Saturday, December 31, 2011

Tahun 2011 Bakal Melabuhkan Tirai

Seperti yang kita ketahui, hari ini merupakan hari terakhir dalam tahun 2011. Bermula esok, kita akan menyambut kedatangan tahun 2012.

Pada saat-saat seperti ini, tentu ramai yang sedang sibuk menetapkan azam tahun baharu. Mungkin ada yang sudah siap menulis segala azam tahun baharu di atas kertas atau mungkin ada yang hanya mencatatkan azam di dalam fikiran sahaja. Tidak kira bagaimana catatan azam itu dibuat, apa yang penting ialah kita seharusnya berusaha sebaik mungkin untuk merealisasikan azam yang telah dirangka dengan rapi ini.

Sungguhpun tidak ada sesiapa yang akan memantau sama ada kita berjaya mencapai azam kita atau tidak, tetapi kejayaan mencapainya tentu merupakan satu kepuasan kepada diri sendiri. Lebih-lebih lagi, jika kita dapat mencapai sesuatu perkara tertentu yang sudah lama mengisi senarai azam untuk saban tahun.

Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat tahun baharu kepada semua pengunjung blog ini. Tidak lupa juga untuk saya mengucapkan selamat bercuti bagi mereka yang bercuti sempena cuti umum pada keesokan harinya.

Hujan tropika namanya hutan,

Sungguh kaya flora dan fauna;

Bakal menjelang tahun hadapan,

Sambutlah ia dengan suka cita.

Saturday, December 24, 2011

Sembang Siber: Tingkatkan Kelajuan Pelayar Internet Explorer Dengan Google Chrome Frame

Semasa saya sedang mencari cara untuk meningkatkan kelajuan pelayar Internet Explorer, saya menemui satu video yang mendemonstrasikan tentang perisian Google Chrome Frame. Menurut Google, perisian ini boleh meningkatkan kelajuan Internet Explorer semasa melayari laman web dan meningkatkan prestasinya.

Berikut saya lampirkan petikan teks ulasan mengenai Google Chrome Frame:

Speed up your web experience
Sites that utilise Google Chrome Frame become more responsive.

Enjoy more advanced features
With Google Chrome Frame, sites offer you new features based on open technologies.

Surf the web the way that you are used to
Google Chrome Frame works under the hood with your current browser.

Sumber: http://www.google.com/chromeframe

Pada pendapat saya, pengguna Internet Explorer seharusnya mencuba perisian ini, terutamanya kepada pengguna pembaca skrin yang sukar untuk menggunakan pelayar internet yang lain seperti Google Chrome. Hal ini demikian kerana setakat yang saya maklum, perisian pembaca skrin seperti JAWS tidak dapat berfungsi dengan baik jika menggunakan pelayar internet selain Internet Explorer. Selain itu, perisian ini juga PERCUMA untuk dimuat turun.

Untuk memuat turun perisian Google Chrome. sila klik pada pautan ini.

Semoga bermanfaat!

Wednesday, December 21, 2011

Kisah Suka Duka Jam Dinding

Latar Tempat: Di ruang tamu sebuah rumah

Sebuah jam dinding baharu yang besar dan cantik tersandar kukuh pada dinding bercat biru. Tiga jarum yang berbeza panjang dan saiz terus bergerak dengan bantuan kuasa sel kering.

Jam dinding: (tanpa suara) Bosannya. Tak habis-habis berpusing jarumku ini pada bulatan yang sama setiap hari. Bergunakah aku kepada makhluk yang bernama manusia?

Tidak lama kemudian,

Abu: (memandang jam dinding) Tak sedar dah pukul 7 rupanya. Asyik sangat bersembang sampai tak ingat waktu. Saya minta diri dahulu. Tak lama lagi, dah nak masuk waktu Maghrib.

Jam dinding: (gembira) Tak sangka, berguna juga aku rupanya.

Keadaan ini berterusan. Jam dinding semakin gembira. Sudah banyak orang yang mendapat faedah atas kehadiran jam dinding yang satu ini.

Suatu hari, Abu datang lagi ke rumah itu.

Abu: (memandang jam dinding dengan tanda tanya) Jam ni dah rosak ke?

Tuan rumah: berasa hairan) Ya ke, tak perasanlah pulak.

Jam dinding: (berasa risau dan sedih) Adakah ini penghujung riwayatku seperti karangan autobiografi yang sering ditulis oleh anak tuan rumah ini?

Setelah diperiksa, tuan rumah itu mendapati bahawa jam dinding tidak rosak, tetapi cuma kehabisan kuasa sel keringnya. Lalu dia menggantikan sel kering yang baharu.

Tuan rumah: Jam ni dah boleh berfungsi semula. Kalau tak ada jam ni, tentu sukar nak tahu waktu!

Jam dinding: (kembali ceria) Rupanya, selagi aku belum rosak, aku akan digunakan kerana aku sangat penting untuk manusia.

Sejak itu, jam dinding tidak pernah berasa bosan dan mengeluh lagi tentang putaran jarumnya yang berulang-ulang pada setiap hari kerana dia tahu bahawa kehadirannya sangat diperlukan oleh manusia.

"Hargailah jam dinding yang menyedarkan anda tentang waktu bekerja, waktu ke sekolah dan urusan seharian yang melibatkan masa!”

(Jam yang dimaksudkan meliputi semua peralatan yang boleh menunjukkan waktu, sama ada analog (jam jarum( atau digital (jam bernombor)!

Monday, October 10, 2011

Kisah Kucing dan Suara Lauk

Pada kali ini, saya ingin berkongsi satu kisah yang muncul dalam imaginasi saya. Sebenarnya, saya terpanggil untuk menukilkannya di sini. Ikutilah kisah yang berikut.

Suatu petang, matahari sudah bersedia untuk terbenam, bersiap sedia untuk memberi laluan kepada malam yang dijadikan sebagai pengganti siang. Pada ketika itu, sekumpulan remaja bersama-sama turun untuk menikmati makan malam yang disajikan. Dalam kalangan kumpulan remaja itu, ada seorang yang bernama Hasan. Dia tidak banyak bercakap walaupun rakannya yang lain bercakap tentang topik masing-masing. Sebaliknya, Hasan hanya melayan fikiran sahaja.

Semasa makan, Hasan masih diam, menghadapi rezeki untuk malam ini. Sebenarnya, lauk ikan yang disajikan tidak begitu digemari oleh Hasan. Walau bagaimanapun, dia cuba menghargainya dengan berusaha untuk menghabiskan hidangan itu selagi mampu. Tambahan pula, dia berasa agak kenyang pada ketika itu dan kurang selera makan. Bagi Hasan, apabila dia sudah mengambil makanan, dia perlu berusaha menghabiskannya selagi mampu.

Selang beberapa lama kemudian, rakan-rakan Hasan mula beransur-ansur meninggalkannya seorang diri. Di sisi Hasan, hanya tinggal pinggan dan cawan yang digunakan oleh rakan-rakannya yang menunggu untuk dihantarkannya ke dapur apabila dia selesai makan.

Pada ketika itulah kelihatan seekor kucing berjalan perlahan ke arah kerusi Hasan dengan senyap. Hasan yang memandang berasa agak sayu. Sayu bukan kerana memikirkan makanannya yang masih banyak tinggal pada ketika itu. Sayu apabila terpandang ke arah pinggan rakan-rakannya yang masih terdapat baki-baki nasi dan lauk yang tidak habis dimakan. “Tentu kucing itu sedang kelaparan",” fikir Hasan dalam hati. Namun begitu, menurut pengalaman Hasan, memberi makan kepada kucing di tempat yang sering memerlukan pembersihan ini kemungkinan besar akan mengundang kemarahan orang yang membersihkan kawasan ini nanti. Oleh sebab itu, niat hanya tinggal niat. Betul kata orang, kalau niat sahaja tetapi tidak dilaksanakan, segalanya akan jadi sia-sia.

Setelah selesai makan,  Hasan dengan perlahan mengumpulkan sisa nasi dan lauk yang masih berada dalam tiga pinggan yang ditinggalkan oleh rakan-rakannya tadi ke dalam satu pinggan supaya mudah dibuang nanti. Apabila selesai dikumpul, banyaknya nasi yang telah disatukan itu membuatkan Hasan bertambah sedih. “Banyaknya nasi dan lauk yang akan aku buang.” Hanya itu sahaja yang mampu terucap dalam hatinya yang kesepian pada ketika itu. Beratnya pinggan yang diangkat itu seakan menjadi penentu tahap sayu dan sedih hati Hasan. Semakin berat, semakin sayu.

Hasan memasuki ruang dapur dan terus menuju ke arah tempat membuang sisa makanan. “Wah, di situ pun dah ada banyak sisa makanan,,,” sekali lagi hati kecil Hasan berbicara. Mahu tak mahu, Hasan pun menterbalikkan pinggan yang dibawanya untuk menaburkan sisa makanan ke dalam satu besen besar yang dikhaskan untuk membuang sisa makanan. “Criik.” Kedengaran bunyi seperti suara makanan yang berada dalam pinggan itu ketika menggelengsur turun menyertai sisa makanan yang sudah sedia berada di dalam besen itu. Setelah itu, Hasan pun berlalu pergi sambil terus berfikir tentang makanan itu. “Mungkin sisa makanan itu merayu supaya tidak dibuang dengan suaranya itu,” bayang Hasan dalam fikirannya. “Bukankah lebih baik kalau “aku” diberi kepada kucing yang mungkin sedang kelaparan itu untuk mengisi perutnya. Adalah jugak manfaatnya daripada dicampak begitu sahaja tanpa penghargaan insan,.” Hasan membayangkan kalau makanan yang dibuang itu boleh berkata-kata, barangkali inilah antara isi hatinya.

Sambil berfikir itu, Hasan kembali ke tempatnya semula. Kelihatan langit sudah semakin gelap. Tidak lama kemudian, azan Maghrib pun berkumandang, menyeru umat Islam untuk mengerjakan ibadah wajib mereka.

Demikianlah kisah yang ingin saya kongsikan pada kali ini. Saya nukilkan kisah ini untuk dijadikan renungan bersama-sama.

Saturday, September 24, 2011

Sembang Siber: Cara Memilih Fail Yang TidakBerturutan (Non-consecutive Selection)

Pada kali ini, saya ingin berkongsi cara untuk memilih fail dalam komputer yang tidak berturutan. Untuk memberi pemahaman yang lebih jelas kepada pembaca, saya ingin menunjukkan satu contoh. Katakan terdapat 10 fail di dalam PenDrive anda. Bagaimanakah caranya jika anda ingin memilih atau menandakan fail 1, 3, 5, 7, dan 9 untuk dipindahkan atau dipadam? Terdapat dua cara yang boleh digunakan untuk berbuat demikian.

Cara yang pertama hanya melibatkan penggunaan papan kekunci (keyboard) sahaja. Saya ingin memberi fokus kepada cara ini terlebih dahulu kerana kaedah ini lebih sesuai untuk kegunaan pengguna yang bermasalah penglihatan seperti saya. Mula-mula, anda perlu pergi ke folder atau tempat yang mempunyai fail yang ingin dipilih atau ditanda. Seterusnya, anda perlu menekan butang CTRL (Control) dan jangan melepaskannya ketika berada di fail pertama yang ingin dipilih. Seterusnya, tekan anak panah atas atau bawah sehingga sampai ke fail kedua yang ingin dipilih. Setelah sampai di fail tersebut, tekan butang SPACE. Ulangi langkah ini sehingga selesai memilih fail yang dikehendaki. Selepas selesai memilih fail yang dikehendaki, barulah anda melepaskan butang CTRL. Selepas itu, anda bolehlah teruskan dengan apa yang ingin dilakukan dengan fail tersebut.

Cara yang kedua pula memerlukan anda menggunakan tetikus yang lebih memudahkan bagi pengguna yang berpenglihatan. Mula-mula, anda perlu pergi ke folder atau tempat yang mempunyai fail yang ingin dipilih. Seterusnya, Anda perlu menekan butang CTRL (Control) pada papan kekunci dan jangan melepaskannya. Selepas itu, halakan tetikus ke fail yang ingin dipilih atau ditandakan dan klik butang kiri pada tetikus. Fail yang dipilih akan berubah menjadi warna biru, menandakan fail tersebut telah dipilih. Setelah selesai memilih, butang CTRL bolehlah dilepaskan.

Diharap perkongsian ini dapat memberi faedah kepada anda yang pernah tertanya-tanya bagaimana hendak memilih fail yang tidak berturutan. Saya juga berharap perkongsian ini dapat membantu anda memudahkan pengurusan fail dalam komputer anda.

Friday, September 23, 2011

Sembang Siber: Kekunci Pintas (Keyboard Shortcuts) Windows

Sebagai permulaan "Sembang Siber", saya ingin berkongsi tentang beberapa kekunci pintas yang dapat digunakan dalam sistem operasi Windows. Memandangkan pengguna komputer bermasalah penglihatan seperti saya sangat bergantung kepada papan kekunci, pastinya kekunci pintas ini akan banyak membantu sebagai pengganti kepada tetikus yang lebih banyak digunakan oleh pengguna komputer yang berpenglihatan. Saya memilih untuk berkongsi senarai kekunci pintas ini kerana penggunaannya dapat menyenangkan tugas perkomputeran seharian selain dapat menjimatkan masa secara signifikan.

Tanpa melengahkan masa, saya ingin memulakan senarai ini:

Petunjuk: Win =Windows, CTRL =Control

1. Kombinasi Win + E:

Kombinasi ini akan membuka My Computer (atau Computer dalam Windows 7). Kekunci pintas ini dapat menjimatkan masa kerana kombinasi ini boleh digunakan hampir di mana-mana seperti ketika melayari internet dengan pelayar internet, ketika menaip atau ketika sedang mendengar muzik.

2. ALT + SHIFT + N (Hanya untuk Windows 7):

Kombinasi ini pula akan membolehkan pengguna membuat folder baharu dengan mudah. Apabila digunakan di semua tempat yang boleh membuat folder baharu seperti di PenDrive, satu folder baharu akan tersedia untuk diberi nama. Kekunci pintas ini dapat menjimatkan masa kerana sebelum ini, pengguna perlu memilih untuk membuat folder baharu dengan memasuki menu yang berkenaan.

Demikianlah dua kekunci pintas yang dapat saya kongsikan pada kali ini. Sebenarnya, kemunculan Windows 7 telah membawa banyak kekunci pintas yang baharu. Untuk mengetahui lebih lanjut, bolehlah lawati laman web berikut: http://4sysops.com/archives/windows-7-keyboard-shortcuts-the-complete-list

Diharap perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada pembaca. Saya memohon maaf jika penerangan ini sukar untuk difahami.

Sembang Siber: Satu Pengisian Baharu

Salam sejahtera buat semua pengunjung blog PurnamaSeri.

Selepas saya membuat pertimbangan demi pertimbangan, akhirnya saya membuat keputusan untuk mewujudkan pengisian baharu yang akan diberi nama “Sembang Siber” dalam blog ini. Untuk pengetahuan semua, tulisan yang bakal termasuk dalam pengisian ini ialah maklumat tentang teknologi maklumat (IT) seperti tentang sistem operasi (operating system) dan internet. Sumber bagi kebanyakan tulisan yang bakal diterbitkan adalah berdasarkan maklumat yang saya peroleh daripada pembacaan di laman web dan blog peribadi lain yang mengandungi maklumat ini. Selain itu, sebahagian daripada tulisan ini juga bersumberkan pengalaman peribadi saya sebagai seorang pengguna komputer.

Mungkin ada yang akan bertanya, mengapakah saya ingin menulis perkara yang sudah ditulis oleh individu lain memandangkan saya bakal menggunakan tulisan mereka sebagai sumber? Sebenarnya, kebanyakan tulisan tersebut adalah dalam bahasa Inggeris. Oleh hal yang demikian, saya berhasrat untuk mengalihkan maklumat tersebut ke dalam Bahasa Melayu supaya lebih mudah difahami. Selain itu, tulisan tersebut juga boleh dijadikan perkongsian ilmu pengetahuan daripada saya.

Tulisan dalam “Sembang Siber” akan cuba ditulis dalam bentuk yang paling mudah difahami untuk kebaikan bersama. Selain itu, istilah IT yang digunakan dalam tulisan tersebut akan ditulis dengan Bahasa Melayu dan akan disertai dengan istilah asalnya dalam Bahasa Inggeris. Langkah ini dilakukan untuk membolehkan pembaca yang kurang biasa dengan istilah IT dalam Bahasa Melayu merujuk istilah asalnya dalam Bahasa Inggeris. Seterusnya, kandungan dan penerangan akan ditulis dalam Bahasa Melayu seperti biasa.

Diharap pengisian “Sembang Siber” ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada pembaca. Jika ada sebarang kesilapan, cadangan atau pertanyaan, bolehlah ajukan kepada saya dengan menghubungi saya menerusi emel, ruangan komentar atau menerusi cara perhubungan lain yang bersesuaian.

Tuesday, September 20, 2011

Coretan Petang

Petang ini, langit agak mendung. Sinaran sang suria agak terlindung dek awan tebal yang berarak di langit biru.

Tanpa sedar, titisan hujan mula turun membasahi bumi. Angin bertiup agak kencang, memukul halangan yang dilintasinya. Pintu-pintu ditolak menghentam tempat tutupnya lalu berbalik ke belakang lalu memukul tempat tutupnya semula. Bumbung zink mengeluarkan bunyi tatkala disinggahi bayu. Langsir-langsir berkibar mengikut arah datangnya angin. Suara guruh berbunyi luas kedengaran dari atas langit. Lembut titisan hujan yang menitis lemah ke bumi mendamaikan rasa sehingga terbawa kenangan dahulu.

Sebenarnya, pada ketika ini, saya baru selesai mengulang kaji pelajaran. Ujian bulanan baru berlalu, tetapi niat hati ingin membuat persediaan awal menjelang ujian akhir tahun yang akan bermula bulan hadapan.

Tidak mudah bagi saya untuk mengulang kaji di luar musim peperiksaan, tetapi saya ingin membuat perubahan. Mungkin betul nasihat orang bahawa mengulang kaji awal jauh lebih baik daripada mengulang kaji pada saat akhir, lebih-lebih lagi di peringkat tingkatan 6 yang mencabar ini.

Tiada apa yang istimewa ingin dikongsi pada kali ini. Cuma ingin menghilangkan bosan dengan menulis catatan ini.

Kepada semua rakan yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi, sama ada peperiksaan akhir tahun atau peperiksaan awam seperti PMR dan SPM, selamat berjuang dan buatlah persediaan yang serapi-rapinya. Ingatlah bahawa keputusan yang diperoleh dalam peperiksaan yang bakal anda hadapi adalah untuk anda, tidak kira bagaimana keputusannya. Jadi, berusahalah bersungguh-sungguh ke arah mencapai sasaran anda.

Nasihat dan peringatan ini juga ditujukan kepada diri saya sendiri yang mudah lupa!

Sunday, September 18, 2011

Setelah 7 Bulan Menyepi


Ternyata sudah lama saya tidak menulis apa-apa untuk dimuatkan dalam blog ini, iaitu sejak bulan Februari hinggalah sekarang. Sebabnya agak pelbagai. Ada kalanya, saya malas nak menulis, ada kalanya masa tak mengizinkan, ada kalanya terdetik nak menulis tapi ilham tak kesampaian dan macam-macam lagi sebab lain. Apa pun, saya ingin memohon maaf kepada pembaca atas hal ini.

Dalam tempoh yang lama itu, beberapa peristiwa telah berlaku. Dari bulan Januari hingga bulan Mei, saya belajar komputer di St. Nicholas' Home di Pulau Pinang. Selepas itu, saya memasuki Sekolah Tinggi Muar untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6. Di situlah, banyak perbezaan yang dapat dirasai. Belajar sekelas dengan pelajar normal di samping belajar dengan guru-guru yang mengajar pelajar normal adalah satu pengalaman baharu bagi saya. Sukatan pelajaran yang semakin sukar juga semakin mencabar minda. Ringkasnya, terdapat pengalaman manis dan pengalaman pahit yang dapat ditimba sepanjang saya berada di sekolah ini.

Pada kali ini, saya tidaklah ingin memperincikan sebab saya menyepikan diri dalam penulisan blog untuk tempoh yang lama ini. Sebaliknya, saya ingin berkongsi tentang galakan yang saya terima untuk kembali menulis semula.

Sebenarnya, galakan yang saya terima ini terbahagi kepada dua peringkat. Galakan pada peringkat yang pertama adalah menerusi blog Besi Waja, iaitu menerusi kiriman yang telah dikirimkan pada 31 Julai yang lalu. Tajuk entri tersebut ialah Promosi Blog. Menurut kiriman tersebut, blog yang sudah lama tidak dikemas kini akan dikeluarkan daripada senarai blog yang terpaut dalam blog tersebut. Sejak itu, saya fikir saya perlu membuat sesuatu agar blog saya tidak terus sepi daripada sebarang tulisan.

Namun begitu, hasrat saya untuk mengemas kini blog masih tidak kesampaian. Beberapa lama kemudian, tibalah giliran galakan kedua pula memainkan peranannya. Saya telah beberapa kali dihubungi oleh seorang rakan rapat saya yang juga merupakan pengendali blog Meja Logam. Sambil bertukar-tukar cerita, sempat juga rakan saya itu bertanya sama ada saya sudah kemas kini blog atau tidak. Setiap kali ditanya, saya akan menjawab bahawa saya belum melakukannya. Dua hari yang lalu, rakan saya itu menghubungi saya sekali lagi. Dalam pertengahan cerita, soalan yang sama telah ditanya kepada saya, tetapi yang berbezanya mungkin cuma ayat yang digunakan. Seperti biasa, saya menjawab seperti selalu. Namun begitu, saya merasakan ada satu kelainan pada kali ini. Apabila diberitahu bahawa saya tiada idea nak menulis, rakan saya mencadangkan supaya saya menulis pengalaman baharu saya yang dekat dengan diri saya. Nada suaranya seperti mengandung kesungguhan yang membuatkan saya kembali menulis hari ini.

Kepada semua yang telah memberi galakan kepada saya, sama ada secara langsung atau tidak langsung, terima kasih saya ucapkan. Tanpa galakan daripada kalian, mungkin lebih lama lagi agaknya blog saya ini akan terus sepi.

 

Diharap blog saya dapat terus tersenarai dalam senarai blog yang menyenaraikan blog saya!

Wednesday, February 09, 2011

Peringatan

Sebentar tadi, tatkala saya mengunjungi blog Cikgu Zakaria, saya telah membaca satu posting terbaru di dalamnya. Saya berasa sungguh terkejut apabila mengetahui akaun e-mailnya telah dihack oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Selepas saya meneliti kandungan e-mail yang ditulis dalam posting itu, saya segera teringat bahawa saya turut menerima e-mail yang serupa. Namun, sebelum saya membaca posting tersebut, saya tidaklah syak apa-apa yang buruk walaupun nama dan alamat e-mail itu serupa dengan yang dimiliki oleh Cikgu Zakaria. Pada sangkaan saya, mungkin saya sahaja yang menerima e-mail tersebut. Lagipun, cara penulisannya juga jauh berbeza berdasarkan pengalaman saya yang pernah beberapa kali menerima e-mail daripadanya.

Seperti yang tertulis dalam posting tersebut, antara lain kandungan e-mail tersebut mengatakan bahawa Cikgu Zakaria sedang berada di Scotland untuk menghadiri satu seminar dan memerlukan pinjaman wang setelah barang-barang miliknya dikatakan dirompak.

Bercerita mengenai perkara ini, saya juga banyak menerima e-mail sebegini daripada orang-orang yang tidak dikenali. Rata-ratanya, kesemuanya meminta bantuan kewangan dan wang tersebut diminta untuk dimasukkan ke dalam akaun yang dinyatakan. Tidak kurang juga yang meminta nombor akaun daripada saya supaya sejumlah wang tertentu boleh dimasukkan ke dalam akaun tersebut. Namun, kesemuanya tidak saya hiraukan kerana orang-orang tersebut tidak saya kenali.

Saya tidak menyangka hacker sebegini sanggup melakukan perkara seperti ini untuk kepentingan mereka. Jika bukan pemilik e-mail yang meminta bantuan kewangan seperti ini, siapalah lagi? Sudah tentulah hacker tersebut yang ingin mengambil kesempatan dengan cara menghantar e-mail kepada ramai penerima dengan harapan 1 atau 2 daripada mereka akan memberikan bantuan atas dasar kenalan.

Selain e-mail, saya pernah juga membaca tentang penipuan menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan tambah nilai prabayar. Kandungan SMS tersebut menggambarkan penghantar SMS berada dalam kecemasan dan memerlukan tambah nilai dengan segera. Untuk meyakinkan penerima, SMS sedemikian menggunakan ganti nama orang yang dikenali oleh penerima seperti ayah dan sebagainya dengan memberi alasan bahawa sudah bertukar nombor.

Demikianlah antara taktik yang digunakan untuk memperdayakan orang lain dan mengambil kesempatan ke atas mereka. janganlah sekali-kali memenuhi permintaan yang dirasakan mencurigakan daripada orang yang tidak dikenali sama ada e-mail, SMS atau alat perhubungan lain bagi mengelakkan sebarang perkara buruk berlaku. Jika mesej tersebut datangnya daripada orang yang dikenali, janganlah bertindak terburu-buru. Sebaik-baiknya, hubungilah kenalan tersebut terlebih dahulu bagi mendapat kepastian sebelum membuat tindakan sewajarnya.

Dengan pendedahan sebegini, saya berharap kita dapat menjadikannya sebagai pengajaran agar kita lebih berhati-hati dengan perkara sebegini pada masa hadapan.

Followers