Friday, February 26, 2016

Cerpen: Bila Diarinya Berbicara

Penafian: tulisan ini hanya bertujuan untuk dibaca sebagai karya fiksyen.


“Inaaa.”
Dengan spontan, aku terus berpaling ke arah datangnya suara itu. Terasa baru semalam aku mendengar nama itu dipanggil, walhal sudah hampir dua bulan Haris pergi menghadap Ilahi. Fikiranku tertanya-tanya, mungkinkah Haris yang memanggil nama itu sebentar tadi? “Tidak mungkin sama sekali! Yang sudah mati tidak mungkin hidup kembali, melainkan pada hari kiamat.” Akhirnya, fikiran warasku berbicara, menyedarkanku dari alam anganan. Mataku kemudian menangkap kelibat seorang lelaki separuh usia keluar ke halaman rumah dan menghampiri salah seorang anak kecil yang berada di situ. Barangkali anak kecil itu yang dipanggil ‘Ina’ sebentar tadi, fikirku.

Tanpa disedari, hatiku sebak, disusuli genangan air mata. Nama itu mengingatkanku kepada pelbagai pahit manis kehidupan, terutamanya insan bernama Haris, satu-satunya insan yang memanggilku dengan nama itu. Perasaanku bercampur baur antara duka, bersalah, kesal, dan beberapa lagi bentuk perasaan yang aku sendiri tidak tahu namanya. “Rasanya lebih mudah aku panggil kau Ina je. Taklah keliru nanti dengan nama adik aku.” Demikian kata Haris bila aku bertanya sebab dia memanggilku ‘Ina’. Aku sekadar mengangguk tanda bersetuju. Aku memang kenal dengan adiknya yang bernama Ain itu. Mulai hari itu, Haris terus memanggilku Ina, sedangkan rakan-rakanku yang lain memanggilku dengan nama Ain. Bila difikirkan kembali, baru aku sedar mengapa aku begitu terkesan dengan nama “Ina” sebentar tadi.

Dengan langkah yang agak pantas, aku terus melangkah masuk kebilik, tidak mahu dilihat sedang menahan tangisan. Aku mengambil masa beberapa minit sebelum dapat mengawal perasaan sebak yang terkumpul di dadaku. Aku perlu mencari perkara bermanfaat yang boleh aku lakukan untuk mengalihkan perhatianku dari emosi yang terbit di hatiku ini, fikirku. Sambil mataku liar mencari buku Matematik yang ingin aku rujuk untuk menyiapkan tugasan kuliah, aku terpandang sebuah buku yang tertulis nama ‘Ina’ di atas meja tulisku. Lantas kandungan demi kandungan buku kecil itu mula menyelinap masuk ke dalam kotak fikiranku. Daripada pembacaanku, Buku itu ialah diari yang ditulis oleh Haris ketika dia masih hidup. Tanpa dipinta, fikiranku pantas mengimbas kembali detik-detik itu, yang menjadi punca aku sedang dilanda sebak.

***

“Ini buku akak kan?” Suara Ain, adik Haris masih terngiang-ngiang di telingaku walaupun perbualan itu sudah sebulan berlalu. 
“Rasanya bukan,” sahutku ringkas.
“Tapi, buku tu ada nama akak,” kata Ain.
“Hmm, seingat akak. Haris tak ada pinjam buku dari akak,” kataku pula, mula berasa hairan.
“Abang Haris kan panggil akak Ina. Jadi, mungkin dia nak bagi buku ni kat akak,” sahut Ain, sambil menghulurkan buku itu kepadaku tanpa menanti jawapanku. Dengan hati yang berat, aku pun menghulurkan tanganku untuk menyambutnya.
“Kami jumpa buku itu masa kemaskan barang-barang abang Haris,” tambah Ain lagi.

Tidak dapat aku nafikan, aku sebenarnya berasa ingin tahu, walaupun hairan dengan kemunculan buku misteri tersebut. Sepanjang 10 minit perbualanku dengan Ain, perihal buku tersebut tidak lagi dibawa dalam perbulan. Namun sekali sekala, aku tertanya-tanya tentang kandungan buku tersebut. Sebaik sahaja Ain beredar, aku pun kembali ke bilikku. Perlahan-lahan aku pun membuka halaman buku itu dengan tangan yang sedikit terketar.

31 Mac 2015:
Hai diari baruku, namaku Haris. Aku benar-benar teruja untuk menulis catatan harianku di sini. Sebab aku ada baca tulisan para ahli psikologi yang menyatakan bahawa menulis diari itu sangat efektif untuk merawat kegawatan emosi. Haha, ingatkan ekonomi je gawat, rupanya emosi pun boleh gawat juga. Tidak mengapa, ini hanya catatanku, tiada yang perlu membaca. Mereka juga mengatakan bahawa anggaplah diari itu sebagai seorang sahabat yang boleh dibawa berkomunikasi dan menyimpan segala rahsia yang tercatat. Jadi, inilah yang cuba aku lakukan. Baiklah, jumpa lagi di hari lain, bye.
Catatan Tamat
***
Aku tidak tahu apa yang perlu aku rasa selepas membaca tulisan ringkasnya itu. Benarkah Haris ada menghadapi masalah emosi? Aku tidak pernah tahu. Barangkali dia tidak bercerita, atau aku dan rakan-rakannya yang lain yang tidak mengambil tahu dan mengambil kisah, fikirku lagi. Dalam masa yang sama, aku tersenyum dengan gurau ‘gawat’ yang ditulisnya itu.
“Tidak mengapa, ini hanya catatanku, tiada yang perlu membaca.” Tulisannya itu tiba-tiba singgah di fikiranku, seolah-olah sedang berkomunikasi denganku. Adakah ini yang dikatakan sebagai berkomunikasi dengan diari yang dimaksudkan olehnya? Lebih penting lagi, haruskah aku mengingkari kehendak Haris dan terus membaca diarinya itu?

Sebahagian akalku mengatakan supaya aku tidak terus membaca atas sebab menghormati kehendak rakanku itu. Tetapi, sebahagian besar akal warasku mengesyorkan aku untuk terus membaca. Bukankah diari itu tertulis namaku, fikirku. Jadi, mungkin Haris benar-benar ingin aku membaca tulisannya. Lagipun, kini aku tahu dia ada konflik emosi. Jadi, dengan membacanya, aku boleh tahu lebih lanjut. Dan kalau ada apa-apa yang boleh aku lakukan untuk kebaikannya, Insya Allah aku akan cuba. Walaupun dia sudah tiada lagi di dunia ini, barangkali masih ada lagi perkara yang boleh aku lakukan untuknya. Jauh di sudut hatiku, aku harap sebab yang aku kemukakan itu rasional untuk aku terus membaca.

1 Mei 2015:
Hai diariku. Hari ini merupakan Hari Pekerja. Jadi, ibu bapaku tidak bekerja. Mereka mengambil keputusan untuk menyusun semula perabot di rumah dengan adik-beradikku yang lain. Engkau mungkin bertanya, kenapa aku hanya sebut ‘dengan adik-beradikku yang lain’? Sebabnya mudah, aku tidak tahu di mana yang dapat aku menyumbangkan tenaga. Dengan dua tanganku yang sudah disahkan lemah oleh doktor yang memeriksa, aku tidak berdaya membantu menganggkat barang-barang yang berat. Malah, aku sudah serik untuk meminta izin untuk membantu. Aku ingat lagi peristiwa pahit pada hari raya tahun lepas. Aku meminta supaya ibu bapaku mengizinkan aku untuk membantu mengangkat besi katil yang agak berat. Pada mulanya, mereka keberatan, tetapi apabila aku meyakinkan mereka bahawa aku mampu, mereka akhirnya mengizinkan dengan rasa berat hati. Lalu aku pun mengangkat besi katil itu bersama-sama Halim, adik lelakiku.

Tiba-tiba tanganku terlepas pegangan besi katil itu. Oleh sebab terkejut, Halim juga terlepas pegangan tangannya. Lalu besi katil itu menimpa kakiku dan kemudian kakinya. Hanya Allah saja yang tahu perasaan bersalahku pada ketika itu, walaupun tiada ahli keluarga yang marah kepadaku, termasuk Halim. Aku fikir, barangkali kerana mereka memang tahu keadaanku. Bagiku pula, salah itu tetap sudah salah, tidak dapat lagi dibuang dari lipatan sejarah hidupku. Selepas peristiwa itu, aku dapati layanan mereka sudah berbeza terhadapku. Mereka lebih cenderung untuk membantuku dalam pelbagai urusan kerana takut aku tercedera lagi. Urusan semudah mencedok nasi juga dilakukan oleh mereka untukku tanpa dipinta.

Beberapa lama berlalu, perasaanku menjadi semakin bercelaru. Aku juga manusia yang berperasaan, yang bukan sahaja suka menjadi penerima, tetapi juga sebagai pemberi bantuan. Aku faham mereka berniat menjagaku sebaik mungkin, tetapi sampai bila? Sampai aku mati? Dalam keadaanku yang begini di rumah, bagaimanalah aku dapat membantu? Kerana bantuanku selalunya hanya akan menimbulkan kesukaran sahaja. Kalaulah ada yang mengerti perasaan apabila: kita berniat nak membantu, sedangkan kita hanya berperanan mewujudkan kesukaran pula pada orang lain.
Catatan tamat!
***
Selesai membaca, sekali lagi aku tidak menyangka bahawa ini antara perkara yang pernah dilalui oleh Haris. Mungkin banyak lagi kisah yang dilaluinya, sama ada akan aku temui dalam catatannya yang akan datang, atau sudah hilang bersama-sama pemergiannya. Masih banyak perkara yang belum aku tahu mengenainya. Satu kesedaran tiba-tiba mendatangiku. Haris yang aku kenal semasa sama-sama menuntut dalam kursus yang sama di universiti memang sangat gemar membantu orang lain. Untuk kepastian, aku meneliti tarikh catatannya, 1 Mei 2015. Pada tarikh ini, aku masih belum mengenalinya kerana semester pertama bermula pada bulan September. Jadi, nyatalah bahawa peristiwa yang tercatat ini berlaku lama sebelum dia masuk ke universiti. Rupanya, peristiwa yang tercatat itulah yang mendorongnya menjadi seorang yang suka membantu selama perkenalanku dengannya. Perkara paling penting yang menyentap hatiku ialah perkataan ‘mati’ itu, yang kini sudah menjadi kenyataan buatnya.

Aku faham benar dengan dilemanya pada ketika itu. Satu kenangan pahit yang berkaitan segera terhidang di ruang mindaku. Waktu itu di sekolah, bersama rakan yang lain, berusaha menyiapkan projek seni. Rakanku yang lain sedang menggunting kertas menjadi kepingan yang lebih kecil. Oleh sebab tiada lagi gunting yang berbaki, dan aku tidak mahu duduk bersahaja, aku membuat keputusan untuk mengoyakkan kertas itu dengan tangan untuk menggantikan gunting. Selepas agak banyak kertas yang aku koyakkan, barulah aku perasan bahawa mereka bukan menggunakan gunting biasa, tetapi gunting yang menghasilkan guntingan kertas bercorak ombak. Semua mata tertumpu kepadaku kerana aku telah membazir kertas yang ada, sedangkan tiada lagi kertas yang berbaki. Seperti kata Haris, hanya Allah saja yang mengetahui perasaan bersalahku pada ketika itu.

13 Disember 2015:
Sedar tak sedar, dah sangat lama aku tidak mencatat di sini. Tuntutan pengajian universiti menyebabkan aku seperti tidak berdaya untuk mencatat di sini. Tetapi, pada hari ini, aku berjaya juga melapangkan sedikit masa di sini. Kemasukanku ke universiti merupakan satu rahmat yang tidak terkira. Aku tidak lagi hanya bertindak sebagai penerima seperti di rumah, tetapi aku dapat memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Senyuman yang terukir di wajah-wajah mereka yang dapat kubantu itu sangat mendamaikan jiwaku. Baru aku faham dengan kenyataan ahli psikologi yang menyatakan bahawa membantu orang lain itu satu cara untuk mengatasi kesedihan dan keresahan. Satu perkara yang paling aku ingat ialah apabila seorang rakanku memberitahuku bahawa fail soft copy tugasannya telah terpadam disebabkan oleh virus, sedangkan dia perlu menghantarnya pada minggu tersebut. Lebar senyumannya masih dapat aku bayangkan hingga ke hari ini apabila aku menghantar fail yang diperlukannya itu kepadanya menerusi e-mail. Oleh sebab terlalu gembira, dia tidak pun bertanya di mana aku memperoleh fail tersebut. Tidak mengapa, barangkali dia akan mengingatinya kelak. Wahai diariku, sampai di sini dahulu kisahku.
Catatan tamat!
***
“Sah, akulah rakan yang dimaksudkan olehnya dalam tulisannya itu.” Spontan sahaja kata-kata itu terpacul dari mulutku. Aku sendiri sudah hampir terlupa peristiwa itu. Pada ketika itu, memang aku sangat tertekan apabila memikirkan kebarangkalian mendapat kosong markah untuk tugasan itu. Maklum sajalah, alasan seperti itu dianggap oleh kebanyakan pensyarah sebagai alasan tipikal seorang pelajar yang terdesak hendak mencipta alasan. Sungguh malang bagi pelajar sepertiku jika alasan itu benar-benar ikhlas. Apa pun, Bantuannya itu benar-benar menyelamatkanku. Cuma, aku masih belum mengingati bagaimana dia memperoleh fail tersebut. Daripada tulisannya itu, aku seolah-olah dapat menyelami keseronokan yang dapat dirasainya apabila menghulurkan bantuan. Lebih-lebih lagi bila aku sudah mengatahui peristiwa lalunya yang meronta-ronta mencari ruang untuk menghulurkan secebis bantuan. Aku sendiri tersenyum dengan perkembangan positifnya itu. Namun jauh di sudut hatiku, sekelumit rasa bersalah sempat juga menjalar di kalbuku. Benar katanya, aku tidak pun bertanyanya untuk mengambil tahu di mana dia mendapatkan fail tugasanku itu. “Teruknya aku pada ketika itu. Rasa macam pentingkan diri pulak aku ni. Penghargaan pun tak aku berikan kepadanya,” hatiku berbicara. Walaupun dia tidak menyatakan kekesalannya dalam diarinya, itu tidak boleh menggugurkan adab seorang manusia sepertiku untuk sekurang-kurangnya menghargai bantuannya itu.

Pendedahan Haris itu juga membuatkan aku berfikir adakah aku telah mengambil kesempatan ke atasnya? Aku sememangnya tidak berniat untuk berbuat begitu kepadanya, tetapi aku risau aku mungkin mengambil kesempatan ke atasnya secara tidak sengaja dengan langsung tidak menghargai bantuannya. Sebab itulah pernah aku katakan kepadanya bahawa dia terlalu baik, takut nanti orang pijak ‘kepala’ dia. Setelah mengetahui kisah silamnya, aku tertanya-tanya adakah salah aku berkata demikian kepadanya?

23 Disember 2015:
Wahai diariku, di mana-mana pun kita pergi, pasti ada saja cabaran yang akan menimpa. Demikianlah aku. Jika di rumah, aku bagaikan seorang anak kecil yang seolah-olah tidak dapat membantu diri sendiri, apatah lagi rumah dan keluarga. Tetapi, aku tidak sekali-kali menafikan bahawa keluarga itulah yang sekian lama membesarkan aku. Aku bertekad untuk membetulkan keadaanku di rumah dengan cara yang sepatutnya. Kalaulah mereka tidak bersetuuju pun, sekurang-kurangnya mereka faham apa yang aku rasa.

Di universiti pula, cabarannya tidak serupa. Aku suka dengan diriku yang sekarang, gemar membantu orang lain, suka melihat senyuman yang terukir di bibir, dan tidak ketinggalan suara-suara riang mereka yang berjaya aku bantu, sama ada bantuan secara rahsia atau terbuka. Namun, perasaanku sedikit terganggu.
“Aku rasa, kau/awak/kamu ni baik sangat. Takut nanti orang ambil kesempatan pulak nanti.” Demikianlah antara bunyi kata-kata yang pernah aku terima. Aku tidak tahu respon yang paling sesuai terhadap perkara itu. Aku tidak menafikan kebenaran kata-kata itu. Tapi, seperti yang telah aku catatkan, aku ada sebab aku sendiri untuk berbuat demikian. Mereka tidak menyiasat sebelum mengeluarkan kenyataan mereka itu. Tidak, barangkali ayat tadi terlalu kasar. Mungkin mereka tidak berniat pun untuk menekanku, tapi nasihat itu datang dari hati yang ikhlas. Wahai diariku, jauh di sudut hatiku, ada seorang yang aku kenal yang aku agak pasti dapat memahami keadaanku jika aku betul-betul menerangkan. Maafkan aku, aku tidak mahu menyebutkan namanya di sini. Seperti juga dengan keluargaku, aku berniat untuk memahamkan mereka dengan keadaanku. Kalau pun bukan semua faham, sekurang-kurangnya biarlah yang seorang itu faham.
Catatan tamat.
***
Fikiranku ligat berputar, menghadam segala isi catatannya itu. Baru tadi, aku memikirkan tentang perihal dia yang ‘terlalu baik’ itu. Tidak mampu aku menipu diri sendiri, memang aku antara yang mengeluarkan kenyataan itu. “Aku tidak menyyiasat ya? Dia sendiri yang tidak mahu berkongsi. Takkanlah aku sibuk-sibuk nak jaga tepi kain dia. Lagipun, memang betullah apa yang aku katakan itu, dunia ini banyak pengambil kesempatan.” Ligat sungguh hatiku mencabar kenyataannya, memamah simpati yang tadinya mengisi ruang hatiku.

31 Disember 2016:
Wahai diariku, hari ini sama-sama kita melangkah ke hari akhir tahun 2015. Tetapi, hari ini, perasaan bercelaru. Aku bakal menduduki peperiksaan pertama pada 2 Januari tahun hadapan. Namun, dengan takdir Tuhan, fail keras yang berisi nota subjek berkenaan telah lesap dicuri orang. Adakah ini yang disifatkan sebagai diambil kesempatan, seperti yang mereka katakan itu. Dalam hal ini, Insya Allah aku akan terus dengan pegangan bahawa ‘berbuat baik itu tidak rugi’. Tidak, kehilangan itu bukan kerana aku ‘terlalu baik’, kerana orang lain pun pernah hilang barang juga. Haha, sempat pula aku tertawa seperti ini. Konsep ‘setiap kejadian itu ada hikmah’ selalu menjadi penenang jiwaku sejak dahulu. Tapikan, aku nak kongsikan satu rahsia yang ada dalam hatiku. Kalau boleh aku pilih untuk diambil nota atau diambil fail, aku lebih rela diambil nota kerana aku sangat menghargai fail itu. Tidak mengapa, cepat atau lambat…
***
“Kenapa dengan aku ni? Dia melihat ujian yang menimpanya itu dengan minda yang lebih terbuka daripadaku, sedangkan itu melibatkan peperiksaannya. Tidak patut aku berfikir tentangnya seperti mana aku lakukan sebentar tadi,” akhirnya hatiku mengakui kesilapanku sebentar tadi. Selepas membaca catatan ini, jawapan demi jawapan mula menimbulkan kesedaran dalam diriku. Pernah Haris mengaku kepadaku bahawa dia memang sukar mengungkapkan suara hatinya kepada orang lain. Katanya lagi, dia lebih selesa melakukannya dalam bentuk tulisan. Hmm, patutlah selama ini aku tidak memahami keadaannya. Aku juga cukup ingat dengan fail itu, kerana akulah yang memberikannya kepadanya. Aku ingat peristiwa notanya berterabur di atas lantai dewan kuliah ketika kuliah sedang berlangsung. Ketika itu, semua notanya disusun di atas meja kecil yang bersambung dengan kerusi di auditorium itu. Sebab itulah aku menghadiahkan fail itu kepadanya. Tidak pernah kusangka pemberian sekecil itu sangat-sangat dia hargai. Siapalah yang tergamak mencurinya daripada Haris. Sedikit rasa marah bersarang di hatiku. Memang Aku sedia maklum bahawa dia gemar meminjamkan notanya kepada orang lain untuk disalin. Nampaknya, salah seorang yang tidak diketahui siapa daripada mereka itu telah menggunakan jalan mudah dengan mengambilnya terus. Dalam banyak-banyak pendedahan, inilah yang membuatkanku sangat sebak, sehingga mengeluarkan air mata. “bukan semua orang itu diciptakan serupa.” Kata-kata seorang ustaz singgah dalam ingatanku. Mengapalah aku terlalu jahil, menyangka semua orang itu mudah sangat meluahkan isi hati sepertiku. “Wahai Haris, maafkanlah aku.”

Seperti sebelum ini, tanganku mula memegang kertas pada diari itu untuk dialhikan ke halaman seterusnya. Halaman kosong, halaman kosong, halaman kosong... Tiada lagi catatan seterusnya yang aku temui. Lalu aku mencari kembali catatan hari terakhirnya. Bila diteliti, dapat kurasai sesuatu yang lain dengan catatan kali ini. Ayat ‘catatan tamat’ tidak pun aku temui, dan frasa ‘cepat atau lambat’ seperti tergantung. Barangkali dia masih hendak menyambung penulisannya itu kemudian, tetapi tidak kesampaian.

“Abang Haris kemalangan 31 Disember,” tanpa dipinta, dialog dengan Ain semasa dia menyerahkan diari Haris kepadaku menjawab persoalanku. Memang tepatlah andaianku kalau begitu. Apalah yang cuba hendak dia sampaikan?, fikirku. Bila aku menyedari kenyataan bahawa selama-lamanya pun tiada sesiapa yang akan tahu apa yang terbuku di hatinya, rasa pilu di hatiku semakin bertimpa-timpa.

“Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku kerana bersalah sangka kepada Haris. Rahmatilah dia. Andai hajatnya supaya seorang yang tidak disebut nama itu boleh memahami keadaannya, biarlah aku menjadi seorang yang faham, walaupun aku sebenarnya tidak tahu adakah aku orangnya. Dan andai hajatnya supaya keluarganya juga memahaminya, barangkali ada perkara yang boleh aku lakukan untuknya” doaku untuk menenangkan hatiku.

***

“Akak fikir, ada baiknya akak pulangkan buku ini kat Ain. Yang lebih penting, jangan lupa baca,” kataku kepada Ain. Sengaja aku menggunakan perkataan ‘buku’. Biarlah Ain sendiri yang mencari jawapan daripada diari itu.
“Bukan ke ini buku akak,”
“Bukan, Ain akan faham lepas baca,”
Seperti mana aku berat hati untuk menerima buku yang dihulurkan oleh Ain, begitulah keadaan Ain sekarang. Sempat aku lihat anggukan kepalanya, tanda memahami apa yang aku katakan. Kelihatan Ain perlahan-lahan mula menyelak halaman buku itu.

Followers