Saturday, November 22, 2014

Sayap Sang Burung


Dalam kemendungan langit biru, sang burung itu kelihatan terbang tenang menuju jalan pulang. Sayap terus dikibas, terus menolak tubuh ke hadapan. Sesekali, terhuyung-hayang menahan sakitnya sayap sederhana besar itu. Digagahkan juga perjalanan hingga sampai ke sarang yang menjadi tempat berteduh dan bermalam. Sahabat handai sedia menanti dan menyambut dengan kicauan bahasa sang burung.

Malam semakin memekat. Sang burung masih setia memandang tingginya rembulan. Ia tampak terpegun bercahayanya kelip-kelip, tampak kagumnya mendengar alunan suara cengkerik, dan tampak menariknya bintang-bintang beribu. Namun, perhatian sang burung berubah kepada kelukaan pada sepasang sayapnya. Sudah beberapa purnama berlalu, tetap enggan luka itu sembuh. Barangkali, itu luka kekal, fikir sang burung.

Fikirannya melayang jauh. Setiap irama kibasan sayap dihiasi melodi kesakitan. Berbeza dengan dahulu, kibasan sayap dilajukan semampu daya upaya. Kini tidak lagi, kibasan agak terbatas. Kini, kibasan hanya untuk tidak jatuh ke tanah dari ketinggian.

Pagi menjelma lagi. Sang burung perlu mulakan perjalanan kembali. Jika tidak, tiadalah rezeki untuk hari baru itu. Kibasan sayap disusun sebaik mungkin, supaya sakit tidaklah terasa sangat. Terlintas juga di hati, hendak menghentikan kibasan itu sahaja. Biar jatuh ke tanah, dan berakhirlah semua ini. Biar sakit ini juga berakhir bersama riwayatnya. Namun, kebijaksanaan memain peranan pada saat telur di hujung tanduk itu. "Benarkah kamu pasti segala sakit akan berakhir jika riwayat kamu berakhir? Aku tidak berani jamin," beginilah suara itu berbisik. Sayap yang sudah beberapa saat dihentikan terus dikibas kembali. Tubuh sang burung naik semula sebelum menyembah bumi.

Namun, kesakitan ini sangat membosankan, sangat menyedihkan, sangat membencikan, dan sangat membuatkan sang burung sayu. "Apalah erti semua ini lagi?" sang burung cuba mencari jawapan, tetapi tiada jawapan yang singgah di fikiran. Lalu, sang burung mengalunkan kicauan merdu mengingati Pencipta, dan melupakan diri yang sedang bersedih. Dengan perlahan, sang burung mendarat di tanah, menghilangkan lelah.

Matanya memandang ke segenap sudut alam yang mampu dicapai. Macam-macam yang dapat dicapai oleh pandangan. Masing-masing hidupan tekun mencari bahagian rezekinya. Ada juga unggas-unggas kecil yang melawat sang burung, bersembang rancak dan menghulur semangat. "Dunia ini luas! Dunia ini bukan sahaja tentang kita! Kalau dunia ini hanya tentang kita, itu bukan dunia. Itu diri kita," Unggas kecil bersuara memberi semangat. "Mengapa bukan tentang kita? Saya rasa kesakitan di atas dunia, saya rasa kesedihan atas dunia ini," sang burung menjawab. "Saya kasihan kepada kebolehan kamu. Sebab kamu tidak menghargainya," sang unggas masih belum berputus asa. "Kebolehan? Ada ke kebolehan dalam ketidakbolehan ini?" Sang burung tampak masih belum berpuas hati, tetapi sudah mula memutar fikiran, mencerna makna ayat-ayat yang singgah di pendengarannya.

"Ya, benar. Kebolehan dalam ketidakbolehan itu sangat besar ertinya. Mungkin kamu tidak boleh terbang laju, tetapi kamu masih boleh terbang. Malah, mungkin juga mata kamu tajam, pendengaran kamu peka, kasih sayangmu luhur, hatimu baik." Sang unggas terus-terusan memberi contoh, dengan harapan ada yang kena pada keadaan sang burung. "Sungguh banyak contoh yang kamu berikan. Berilah saya masa untuk berfikir tentang itu." Sang burung menamatkan perbualan. "Silakan mengambil masa yang diperlukan. Sebelum saya beredar, saya agak pasti, tentu ada yang kamu boleh hargai daripada kebolehan kamu. Kerana saya yakin dengan keadilan Pencipta. Kalau bukan hari ini, tentu akan terbukti suatu hari nanti" Beberapa lama selepas menghabiskan kata-katanya, sang unggas terbang meninggalkan sang burung yang masih berfikir.

Mentari sudah mula meninggi dan memanaskan tubuh. Sang burung lantas bangkit dan menyambung perjalananya. Sang burung lebih tertumpu kepada pencarian sesuap makanan daripada memikirkan apa yang telah didengarinya tadi. Perjalanan sang burung membawanya ke sebatang sungai yang menjadi tempat kegemarannya mendapatkan makanan. Bila sudah cukup makanan dikumpul, sang burung lalu pulang.

Sang burung seperti terlupa tentang segala yang telah berlaku. Malam itu berlalu seperti biasa. Sang burung bagaikan sudah lali dengan segala kesakitan yang menimpa. Namun, ia enggan melelapkan mata. Tergerak hatinya untuk berjalan-jalan mengharungi kepekatan malam. Fikirannya membayangkan bunyi-bunyian aliran air sungai yang sangat mengasyikkan, dihiasi hembusan bayu nyaman di malam hari. Barangkali, ada sesuatu yang baik menantinya di sana.

Dari ketinggian, sang burung ternampak kelibat sesuatu. Bila ditajamkan pandangan, ia agak pasti, itu kelibat sang unggas yang telah banyak membuatkannya berfikir tempoh hari. Sang unggas tampak terlantar di atas tanah. Sang burung kemudiannya ternampak sayapnya cedera, barangkali lebih teruk daripada kecederaan pada sayapnya sendiri. Lalu didekatkan jaraknya dengan sang unggas.

"Apa yang terjadi dengan kamu, wahai sang unggas?" tanya sang burung. "Sayap saya cedera, ditusuk duri-duri halus yang sangat menyakitkan. Tidak mampu saya terbang, hinggalah yang termampu hanya terbaring di sini. Jika dipanjang usia, mampulah saya terbang kembali selepas luka-luka ini sembuh," kata sang unggas. Tanpa membuang masa, sang burung mendapatkan sedikit makanan dan disuapkannya kepada sang unggas. "Makanlah dahulu. Mudah-mudahan, luka-luka itu akan lebih cepat sembuh," pelawa sang burung. "Terima kasih, sang burung," balas sang unggas. "Maafkanlah saya. Saya tidak pandai mengubat luka. Biarlah saya temankan kamu di sini," sang burung membuat keputusan.

Beberapa hari telah berlalu. Sepanjang masa itu, sang burung berada di sisi sang unggas. Hanya apabila hendak mencari makanan, sang burung meninggalkan sang unggas. Setiap kali sang burung memulakan perjalanan, dia akan berdoa semoga sang unggas dalam keadaan yang terbaik. Sayapnya dikibas tenang sahaja, sekadar cukup untuk penerbangannya. Hinggalah pada saat sang unggas sudah mampu terbang, sang burung sangat gembira dengan perkembangan itu.

"Terima kasih atas kasih sayangmu, wahai sang burung. Barangkali kesakitan yang menimpa kamu inilah yang membentuk kasih sayang ini. Bagaimanalah jika kamu tidak pernah diuji dengan kesakitan?" Pertanyaan sang unggas itu bukan pertanyaan biasa. Sang burung hanya diam, tidak dapat berkata apa-apa. "Sungguh kasihnya kamu kepada saya, sedangkan saya ini hanya seekor unggas yang kesakitan. Barangkali, kamu juga perlu mengasihi diri kamu seperti itu juga, kerana kamu bukan sahaja masih sakit, tetapi kamu masih ada banyak lagi kelebihan," sambung sang unggas. Sang burung menitiskan air mata, tanpa suara.

"Betul kata kamu tu. Saya akan mencuba semampu mungkin. Saya berjanji tidak akan memberhentikan kibasan sayap lagi semasa terbang, selagi saya masih berdaya untuk mengibasnya. Terima kasih atas pengajaran ini," akhirnya sang burung telah mendapat semangat yang diperlukannya.

Sang burung dan sang unggas menjadi sahabat baik sejak hari itu. Banyak kenangan yang berjaya dicipta, banyak rintangan yang berjaya ditempuh. Persahabatan menjadi semakin rapat. Sang unggas tahu bahawa sang burung ada kekurangan pada sayapnya. Maka, sang unggas berusaha membantu sang burung mengatasi halangan yang dihadapinya. Sang burung pula sentiasa menjadi sahabat yang penyayang kepada sang unggas.

Sungguh indahnya sebuah persahabatan suci. Tiada mengira lebih atau kurang, tiada mengira bebas atau terhalang, yang ditumpukan hanya penerimaan seadanya. Semoga masih ada lagi sinar persahabatan yang sebegitu di atas muka bumi ini.

"Keyakinanku tidak sia-sia. Ternyata juga telah terbukti keadilan Pencipta kepada sang burung pada hari ini. Semoga sang burung menghargainya," bisik hati kecil sang unggas.

Tuesday, November 04, 2014

Kisah: Dari Sebuah Sandaran

Penafian: Kisah ini hanya satu imaginasi yang disokong oleh ilham yang datang, dan tidak bertujuan untuk ditujukan kepada orang lain.

Kedengaran langkah kakinya perlahan menaiki tanga ke tingkat dua. Bunyi ketukan kasutnya di lantai sangat lemah. Lalu, dia bersandar di dinding sambil fikirannya melayang jauh. Barangkali, banyak perkara yang difikirkannya. Dia memang selalu begitu. Apabila dia berbuat demikian, tentu ada masalah yang dihadapinya. Malangnya, dia sangat sukar untuk berkongsi apa yang bermain di fikirannya. Jarum panjang jam analog telah beberapa kali melangkah, namun dia tetap di situ.

"Wahai insan. Lama benar kamu di sini!" Tiba-tiba saja kedengaran suara yang tidak biasa didengari. Satu suara yang begitu tenang dan perlahan, tetapi jelas kedengaran di telinga. Terkejut dia mendengar suara itu, sedangkan tiada orang lain di situ. "Siapa yang bersuara itu?" Dia bertanya dalam keadaan cuba mengawal rasa terkejut dan hairannya. "Saya dinding yang sedang kamu bersandar padanya. Saya lihat kamu sedang bersedih. Barangkali kau boleh berkongsi dengan saya. Kalau kamu risau saya akan membocorkan rahsia kamu, usahlah kamu bimbang." Barulah dia sedar dinding sedang berbicara dengan dia. "Betul kata kamu, saya sedang bersedih. Kalau boleh, saya tak nak orang lain turut bersedih seperti ini, lebih-lebih lagi kalau saya yang menjadi puncanya. Rasanya amat memeritkan," kata dia dengan suara yang seolah-olah tidak bermaya.

"Saya suka dengan pendirian kamu dan saya ucapkan terima kasih. Izinkan saya beritahu kamu bahawa saya agak tidak selesa bila kamu bersandar kuat pada saya seperti ini," kata dinding. Lalu, dia tersedar sesuatu dan lantas berdiri tegak dan tidak lagi bersandar pada dinding. "Terima kasih sekali lagi. Silakan dengan kisah kamu itu," sahut dinding. "Saya rasa saya sangat lemah semangat untuk menghadapi segala rintangan yang sedang mencengkam dan juga yang berada di hadapan. Sampai ke satu tahap, saya rasa tidak lagi layak untuk terus berada di sini," dia berhenti sejenak.

"Kenapa sampai begitu sekali?" Tanya dinding, dengan rasa ingin tahu. "Di sekeliling saya, saya rasa sangat ramai orang yang hebat-hebat, sedangkan saya seperti tidak mampu berbuat apa-apa. Selalu saja saya buat kesilapan, dan kemudian menjadi perhatian. Pengalaman ini membuatkan saya rasa saya terlalu lemah," ujar dia lagi. "Teruskan, saya setia mendengar." Dinding mengambil pendekatan untuk mengurangkan kata-kata, dan lebih kepada mendengar apa yang bakal dikatakan oleh dia. "Selalu saja saya sangat lemah semangat untuk berjalan kaki ke majlis ilmu, kerana saya agak pasti bahawa saya tidak dapat membawa pulang apa-apa ilmu pada hari itu. Kalau pergi pun, saya terpaksa menggunakan kekuatan yang banyak untuk memulakan perjalanan. Tapi, jauh di sudut hati saya, saya tahu kekuatan yang dicurahkan ini bakal sia-sia kerana walaupun saya pergi, saya tak dapat apa-apa. Jadi, lebih baik saya meninggalkan tempat ini saja" Sungguh panjang lebar dia meluahkann segala yang disimpannya selama ini.

"Hmm, semua orang ada kelemahan. Contohnya, saya hanyalah dinding yang tidak dapat bergerak ke mana-mana, melainkan terus berada di tempat saya sekarang. Inilah tempat yang ditetapkan untuk saya oleh pembina saya. Bila dah habis keperluan, kemungkinan besar saya akan dirobohkan pula." Nampaknya dinding menukar pendekatan pula. Tiba giliran dia pula yang mendengar. "Dalam masa yang sama, saya juga tahu bahawa saya diperlukan oleh manusia untuk pelbagai tujuan. Saya pasti kamu tentu tahu kegunaan saya," kata dinding dengan yakin.

"Hmm, betul kata kamu, wahai dinding. Tapi, saya rasa terlalu lemah untuk menerima semua ini. Saya agak terintimidasi dengan semua yang berlaku ini. Saya ada memikirkan untuk memperbaiki kelemahan saya, tetapi saya seperti kehilangan arah sebab terlalu banyak yang perlu saya baiki. Tak tau mana yang perlu difokuskan. Atau adakah ini ujian untuk saya menjadi insan yang lebih berjiwa kental dan lebih baik?" Nampaknya, pemikiran dia ada sedikit perubahan. "Haha, daripada perkara yang kamu persoalkan itu, saya dapat sesuatu yang sangat penting. Saya tahu bahawa jauh di sudut hati kamu, kamu sebenarnya ada keinginan yang tinggi untuk menjadi insan yang lebih baik. Tentu kamu berfikir untuk membantu mereka yang memerlukan sekiranya kamu berkemampuan," dinding cuba meneka. Dia tampak mengukir senyuman di bibir, menandakan ada kebenaran dalam tekaan Dinding itu.

"Sebenarnya, saya ingin memohon berbanyak-banyak kemaafan. Mungkin saya telah banyak menyusahkan orang di sekeliling saya. Dan selalu saja tidak mampu memberikan yang terbaik kepada insan yang memerlukan bantuan daripada saya. Dan saya juga ingin memhon maaf sekiranya orang lain pula yang terpaksa menghulurkan bantuan kepada saya kerana saya gagal menjayakan sesuatu perkara yang bertujuan untuk membantu orang lain" ujar dia lagi, masih tidak nampak tanda akan memberhentikan luahannya dalam masa terdekat.

Perbualan berterusan untuk beberapa lama.

"Saya faham bahawa masalah seperti ini tidak serupa dengan penyakit yang pada adatnya boleh disembuhkan dengan mengambil ubat. Atas sebab itu jugalah, masalah ini agak sukar dikesan. Jadi, ambillah masa untuk memperbaiki diri kamu itu." Dinding mengakhiri perbualan. Dalam diam-diam, Dinding faham bahawa orang seperti dia itu sukar hendak diubah dengan kata-kata. Bukan sedikit orang yang telah memberi nasihat kepada dia, tetapi dia masih begini. Jadi, Dinding tidak hairan jika esok dia datang lagi untuk bersandar lagi padanya.

"Barangkali, perubahan itu perlu datang dari usaha dia dahulu, sebelum pihak lain dapat menyokong," kata dinding dalam hati, walaupun Dinding tahu itu amat sukar sekali, berdasarkan apa yang diceritakan oleh dia tadi.

***Kisah tamat***

Followers