Friday, July 27, 2012

Ilmu Itu Kuasa VS Ilmu Itu Kelebihan

Dalam kehidupan ini, kita sememangnya tidak dapat menafikan kepentingan ilmu sebagai satu unsur yang telah menyumbang kemajuan hidup dari pelbagai aspek. Oleh sebab itu, kita sentiasa digalakkan untuk menimba ilmu pada sepanjang masa. Kita tidak sepatutnya menganggap bahawa proses mencari ilmu hanya berlaku di sekolah-sekolah atau di institusi pengajian tinggi, malahan ilmu sebenarnya terdapat di mana-mana. Misalnya, masyarakat Melayu banyak menjadikan keadaan sekeliling sebagai sumber pengetahuan dan pengalaman. Hal ini dapat dilihat daripada peribahasa yang digubah berdasarkan alam. Antaranya termasuklah "seperti aur dengan tebing" dan "jadilah seperti resmi padi, makin berisi makin tunduk" (sekadar menyatakan beberapa contoh). Hal ini menunjukkan masyarakat menjadikan kejadian di sekeliling mereka sebagai panduan untuk membentuk peribadi yang mulia.

Dalam hal ini, terdapat banyak tujuan yang menjadi galakan kepada seseorang untuk menimba ilmu. Ada golongan yang menganggap menuntut ilmu itu penting kerana ilmu dianggap sebagai kuasa (power). Bagi golongan ini, mereka akan berusaha untuk mendapatkan seberapa banyak ilmu dalam pelbagai bidang untuk melaksanakan cita-cita mereka. Keadaan ini menjadikan risiko penyalahgunaan ilmu meningkat. Hal ini kerana pemilik ilmu dari golongan ini mungkin menganggap bahawa mereka boleh melakukan apa yang dikehendakinya dengan ilmu itu tanpa memikirkan kesannya. Mungkin juga mereka terlupa bahawa ilmu sepatutnya digunakan untuk kebaikan kehidupan sejagat dan bukannya digunakan untuk tujuan penindasan kerana ilmu hanya dianggap sebagai kuasa.

Dalam pada itu, terdapat juga golongan yang memandang ilmu sebagai suatu kelebihan (virtue). Golongan ini juga berhasrat untuk menimba ilmu dengan sebanyaknya. Berbeza daripada golongan sebelumnya, golongan ini menimba ilmu untuk mendapatkan kelebihan daripada ilmu yang dimilikinya. Sehubungan dengan itu, golongan ini mempunyai kesedaran untuk menggunakan ilmu yang diperoleh untuk kebaikan semua pihak termasuklah memajukan tamadun manusia dan memelihara alam. Dengan ilmu yang ada, mereka akan berusaha untuk menyebarkan ilmu tersebut kepada orang lain kerana mereka tahu bahawa ilmu bukanlah hak mutlak seseorang, tetapi adalah hak milik bersama-sama.

Berdasarkan penerangan di atas, sememangnya terdapat pelbagai tujuan bagi seseorang untuk menimba ilmu. Kita juga dapat melihat bahawa tujuan menimba ilmu itu ditentukan oleh pegangan dan anggapan masing-masing terhadap ilmu itu sendiri. Sebaiknya, kita harus memastikan bahawa tujuan kita menimba ilmu adalah baik dan tidak mendatangkan kemudaratan.

Segala perkongsian ini hanya sekadar pandangan peribadi.

Pesanan buat diri, manfaat buat generasi!

Thursday, July 26, 2012

Sembang Siber: Kelebihan Menggunakan Fungsi '”Run” Dalam Windows

Seperti yang semua tahu, sistem operasi Windows mempunyai fungsi yang disebut sebagai 'Run'. Fungsi ini boleh diaktifkan dengan menekan

windows + R di papan kekunci.

Pada kali ini, saya ingin berkongsi sedikit maklumat yang saya tahu tentang kelebihan menggunakan fungsi 'Run' pada komputer anda. Mungkin ada

yang akan mengatakan bahawa perkara yang ingin saya kongsikan ini boleh dilakukan dengan cara lain yang lebih sesuai. Namun demikian, saya

tetap merasakan bahawa perkongsian ini berguna kepada mereka yang masih belum mengetahui atau kepada mereka yang hendak mencuba

perkara baharu. Tanpa membuang masa, saya mulakan perkongsian ini.

Nota: Perkara yang ingin saya kongsikan ini lebih tertumpu kepada Windows 7. Maknanya, mungkin ada sesetengah perkara yang tidak boleh

diaplikasikan dalam Windows terdahulu (seperti Windows 7).

1. Melayari internet dengan lebih mudah dan pantas:
Setelah melancarkan fungsi 'Run' (Win+R), anda boleh menaip terus laman sesawang yang ingin anda lawati dan kemudian tekan 'enter'. Selepas itu,

pelayar internet yang anda gunakan (default browser) akan dibuka dan halaman yang anda kehendaki akan dipaparkan. Dengan menggunakan cara

ini, anda tidak perlu membuka pelayar internet secara manual dan menaip alamat laman sesawang selepas pelayar internet dibuka. Pada pandangan

saya, cara ini dapat menjimatkan sedikit masa kita.

2. Membuka beberapa jenis program dengan lebih mudah:
A. Taipkan "dfrgui", (tanpa simbol pengikat kata) pada kotak teks pada fungsi 'Run' untuk melancarkan 'Disk Defragmenter'.
- Kegunaannya adalah untuk menyusun semula fail dalam komputer yang telah tercerai (fragment).
- Bertujuan melajukan komputer kerana fail yang telah tersusun memudahkan pencarian fail.
B. Taipkan "rstrui" (tanpa simbol pengikat kata) pada kotak teks fungsi 'Run' untuk melancarkan 'System Restore'.
- Kegunaannya adalah untuk mengundurkan sistem komputer ke suatu tarikh yang terdahulu.
- Supaya sesetengah masalah komputer dapat diatasi dengan mengundurkan sistem ke tarikh yang tiada masalah.
C. Taipkan "sfc /scannow" (tanpa simbol pengikat kata) untuk melancarkan 'System File Check'.
- Kegunaannya adalah untuk memeriksa fail sistem dalam komputer.
- Fail yang rosak akan digantikan dengan yang baharu.
- Mungkin tidak ramai yang mengetahui fungsi ini, kerana setahu saya, fungsi ini tidak ditemui baik di desktop mahupun di Start Menu.
- Saya hanya pernah menggunakan fungsi ini dalam Windows 7. Saya telah mencuba di Windows XP tetapi tidak boleh digunakan. Bagi Windows

Vista, saya belum mencubanya lagi.
D. Taipkan 'winword' (tanpa simbol pengikat kata) untuk melancarkan Microsoft Word (sekiranya dipasang).
- Perisian penulisan (Word Processor) yang dikenali ramai.
E. Taipkan 'cleanmgr' (tanpa simbol pengikat kata) untuk melancarkan fungsi 'disk cleanup'.
- Kegunaannya untuk memadam fail-fail yang tidak lagi diperlukan oleh sistem operasi pada cakera keras (hard disk).
F. Taipkan "msconfig" (tanpa simbol pengikat kata) untuk melancarkan "System Configuration".
- Kegunaannya adalah untuk menguruskan "Windows Start-up".
- Misalnya, untuk menentukan program yang hendak dilancarkan secara automatik ketika komputer dihidupkan atau menentukan program supaya

tidak dilancarkan secara automatik.

3. Fungsi 'Run' memudahkan pengguna dalam jangka panjang:
- Teks yang telah ditaip dalam kotak teks fungsi "Run", termasuk alamat laman sesawang boleh dicari semula pada masa akan datang.
- Caranya adalah dengan menggunakan kekunci anak panah atas dan bawah di kotak teks untuk memilih item yang dikehendaki.

Demikianlah beberapa kelebihan yang boleh didapati dengan menggunakan fungsi 'Run'. Semoga bermanfaat.

Wednesday, July 25, 2012

Kelemahan Diri Ada Baiknya: Sekadar Pandangan

Sebagai seorang manusia, kita tidak dapat melepaskan diri daripada kelemahan dan ketidak sempurnaan dari pelbagai aspek. Hal ini kerana setiap manusia diciptakan dengan kelebihan dan kekurangan yang berbeza. Oleh sebab itu, kita seharusnya menerima setiap kelemahan diri dengan sebaiknya. Namun demikian, kita juga tidak seharusnya terlalu bangga dengan kelebihan yang kita miliki.

Di sebalik setiap kelemahan diri yang ada pada kita, terdapat sesuatu yang kita dapat belajar daripadanya. Bagi kita yang mempunyai kelebihan dalam pelbagai bidang, kelemahan yang ada pada kita dapat dijadikan satu saluran untuk melakukan refleksi terhadap diri sendiri. Bagi kita yang memahami bahawa tiada sesiapa yang dapat lari daripada kekurangan diri, kelemahan yang dihadapi dapat mengingatkan kita supaya tidak sombong dan bangga diri atas segala kelebihan yang dimiliki. Sebaliknya, kita perlu sedar bahawa dalam hal ini, kita seharusnya merendah diri untuk meminta pertolongan daripada orang lain untuk mengatasi segala masalah yang dihadapi. Sebagai balasannya, kita juga seharusnya menggunakan kelebihan yang ada pada kita untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Keadaan ini dapat mewujudkan hubungan kemanusiaan yang baik di samping memupuk keluhuran akhlak kita yang cinikan. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat daripada perkongsian yang tidak seberapa ini.

Satu pesanan buat diri, juga buat manfaat generasi.

Followers