Wednesday, October 21, 2009

Lain Orang Lain Kelebihannya

Pada posting kali ini, saya ingin berkongsi sedikit tentang tajik di atas. Saya berpendapat perkongsian saya ini sungguh bermakna dan perlu diketahui oleh semua pihak.

Di dalam sekolah, saya dapat mencari ramai rakan pelajar. Melalui persahabatan yang terjalin ini, saya berpeluang untuk lebih mengenali mereka dengan berkomunikasi dengan mereka. Selain dapat mengenali mereka, saya juga dapat menyaksikan kelebihan-kelebihan dan bakat setiap rakan saya itu. Selain terdapat rakan yang bijak dalam pelajaran, terdapat juga rakan yang berbakat dalam pelbagai bidang lain.

Salah satu kelebihan yang saya kagumi ialah terdapatnya beberapa orang rakan saya yang boleh membezakan dan menyatakan “note” dan “chord” dalam sesebuah lagu dengan hanya mendengarnya dan tanpa perlu merujuk dengan alat muzik seperti gitar. Salah seorang rakan yang saya maksudkan ialah Mohd. Nazri Asri. Selain itu, dia juga sering mendapat jemputan untuk membuat persembahan nyanyian di luar sekolah kerana bakatnya dalam nyanyian. Dalam saya berasa kagum dengan bakat mereka, saya ada kalanya berasa cemburu dengan kebolehan mereka itu. Hal ini kerana saya juga telah agak lama belajar bermain muzik dan masih gagal menjadi seperti rakan-rakan saya itu. Namun begitu, selepas saya memikirkan kembali, agak tidak adil bagi mereka jika saya dapat menjadi seratus peratus seperti mereka kerana mereka tidak begitu menyerlah dalam pelajaran sedangkan saya boleh dikira menyerlah dalam pelajaran. Oleh itu, saya merasakan bahawa kelebihan dalam bidang muzik yang mereka miliki itu tidak patut disamakan dengan saya yang masih belum dapat menguasai bidang tersebut secara menyeluruh.

Setelah saya memikirkan semua ini, saya membuat kesimpulan bahawa setiap orang yang hidup di dunia ini mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri dan tidak patut dicemburui oleh sesiapa. Bagi saya, setiap manusia yang hidup di dunia perlu bersatu dan menggabungkan kepakaran masing-masing supaya hidup kita ini lebih sempurna dan sejahtera.

Terima kasih saya ucapkan kepada Mohd. Nazri Asri kerana telah mengubah pemikiran saya kea rah yang lebih positif. Semoga bakat anda dalam bidang muzik ini dapat diasah lagi supaya ia dapat memberikan manfaat kepada anda.

Friday, October 16, 2009

Pengalaman Berharga

Pada 10 Oktober yang lalu, iaitu bersamaan hari Sabtu, saya dan rakan-rakan saya dari tingkatan 4 dan 5 telah mengikuti satu Kem Kerjaya yang diadakan di Teluk Kemang, Port Dickson. Pada mulanya, saya menyangka tentu kem seperti ini tidak menarik. Namun, saya mula berasa seronok apabila diberi peluang untuk menemu bual pengurus hotel Cozzi, iaitu hotel yang kami duduki. melalui sesi tersebut, kami dapat mengetahui banyak perkara yang hanya boleh diketahui melalui seorang pengurus hotel seperti bilangan pekerja hotel, rancangan perkembangan hotel, sasaran keuntungan dan sebagainya.
Selain itu, saya juga mendengar ada bekas pelajar SMPK Setapak akan memberikan ceramah tentang bagaimana mereka dapat membuka kedai urut selepas bersekolah. Pada mulanya, saya rasa tidaklah begitu menarik perhatian saya sehinggalah setelah saya mengetahui bahawa salah seorang daripada mereka ialah rakan saya semasa di sekolah rendah dulu, iaitu di SKPK Seremban. Dalam ceramah itu, mereka tidak putus-putus menasihati kami supaya jangan berputus asa dan terus berusaha dalam apa jua yang ingin dilakukan. Mereka juga mengatakan bahawa kejayaan itu tidak akan datang secara sendiri. Sebaliknya, kita perlulah mencorakkannya mengikut kemahuan kita supaya kejayaan itu mendatangkan kepuasan kepada kita. Kem Kerjaya yang saya ikuti ini telah mengubah tanggapan saya terhadap orang-orang yang telah mencapai kejayaan. Jika dahulu saya menganggap orang yang telah berjaya akan bersikap sombong terhadap orang lain termasuk rakan sendiri, tetapi kini saya telah mengetahui bahawa bukan semua orang bersikap sedemekian. Hal ini kerana rakan saya yang telah membuka kedai urut itu masih mesra dengan saya seperti dulu. Dia langsung tidak bersikap meninggi diri, malah memberikan nasihat kepada saya supaya terus berusaha untuk berjaya. Kini bagi saya, sikap seseorang yang telah berjaya itu bergantung pada hatinya dan bukan pada kejayaannya. Bila saya fikirkan kembali, saya dapati pengalaman seperti ini cukup berharga dan tidak boleh dijual beli.

Thursday, October 15, 2009

Memperkenalkan Diri

Nama saya Lok Weng Hang yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan. Kini, saya sedang belajar di SM Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur. Blog ini saya wujudkan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman saya. Kunjungan ke blog ini adalah dialu-alukan untuk semua.

Followers