Wednesday, December 23, 2015

Cerpen: Meja Tak Berpenduduk




Duduk aku seorang diri, menghadap sebuah meja bulat di ruang berbumbung itu sambal memerhati sekeliling. Meja-meja bulat kelihatan diletakkan di seluruh ruang kedai makan itu. Sedikit ruang yang cukup untuk sepasang kaki melangkah dibiarkan kosong untuk memudahkan keluar masuk insan. Terdetik di hati kecilku, mengapa hanya ada meja bulat di situ? Adakah meja segi empat telah menjadi mangsa diskriminasi? Tersenyum aku seorang diri mengenangkan perkara itu. Setahuku, manusia golongan minority sahaja yang giat mengadu didiskriminasi fikiran-fikiran berautoriti, yang tidak lain juga insan yang berjalan atas dua kaki di muka bumi ini.

“Nasi goring Cina siap!” Laung satu suara yang sudah biasa aku dengar. Inilah rutinnya pekerja di kedai makan sebegini. Aku hanya tersenyum sahaja, sambal menatap pinggan di hadapanku, yang masih terdapat dua potong mentimun. Memang menjadi kebiasaanku, kalau dah selesai makan seorang diri, aku akan duduk beberapa lama lagi di situ, menghayati suasana sejuk di malam hari sehingga aku berpuas hati. Tiada orang yang perlu tertunggu-tungguku. Suasana itu amat menyenangkan diriku.

“Kenapalah tak ada orang yang nak duduk sini?” satu suara yang tidak kusangka singgah di telingaku. Suara itu tidak kusangka kerana sungguh asing bagiku. Lalu Kupandang ke kanan, tetapi tiada orang di situ, sedangkan suara tadi datang dari arah itu. “Buruk sangatkah aku? Bukankah aku seperti kamu juga, bulat sama bulat, tinggi sama tinggi? Apa lagi yang membezakan kita?” Suara itu berkata lagi.

Air mukaku mula berubah, tetapi aku cuba menarik nafas perlahan-lahan, menenangkan diri yang mula ada rasa ketakutan. Ingin saja aku bangun dan terus beredar dari situ. Tetapi, sebahagian daripada hatiku ingin pula tahu siapa pemilik suara asing itu? “Boleh tak jangan merungut lagi. Bising je aku dengar.” Satu suara lain pula singgah di telingaku, kali ini suara itu datang dari arah yang lebih jauh. Bila ku pandang kea arah itu, kulihat ada seorang pelanggan di situ. Tetapi, aku yakin bukan dia yang bersuara. Dia tidak memegang telefon, dan tiada pula orang lain di situ. Lalu, satu kesimpulan muncul dalam kepalaku. Bahawasanya, dua suara itu adalah kepunyaan dua buah meja yang terletak sebelah-menyebelah.

“Kamu bolehlah cakap banyak. Sekurang-kurangnya, ada seorang insan yang duduk di hadapan kamu. Tertunai juga peranan kamu sebagai sebuah meja makan.” Suara yang mula-mula tadi membalas, tidak berpuas hati. Bertambah yakinlah aku bahawa andaianku itu tepat. Tiba-tiba saja singgah dua nama untuk meja berkenaan dalam kepalaku. Suara pertama itu aku gelarkan Meja Tak Berpenduduk, dan yang satu lagi ialah Meja Satu Penduduk. “Ketahuilah kamu bahawa tak ada orang duduk itu juga satu ni’mat,” sahut Meja Satu Penduduk, suaranya tenang. Kuperhatikan insan di hadapan meja Satu Penduduk, hanya meneruskan makan seperti biasa. Terdetik satu kesedaran di fikiranku, dialah yang memesan nasi goring cina tadi. Aku hanya tersenyum sendirian. Hmm, barangkali hanya aku yang mendengar perbualan yang sedang berlangsung ini.

“Sudahlah, itu hanya ayat biasa yang digunakan oleh manusia berautoriti untuk memujuk minoriti. Aku dah selalu dengar ayat-ayat macam ni sejak hari pertama aku di sini,” ujar Meja Tak Berpenduduk. Aku tekun mendengar, ingin tahu apa kesudahan kepada semua ini. Aku tidak pula takut sebarang bahaya yang akan menimpa, kerana yang bertengkar itu hanyalah dua buah meja makan. Kalaulah dua manusia yang bertengkar, barangkali boleh mengakibatkan pertumpahan darah, bila tangan-tangan amarah mula mengambil alih kewarasan. “Dari satu sudut, aku setuju dengan kamu. Memang benar insan-insan yang kamu maksudkan itu suka guna ayat macam ni. Tapi, apa yang aku kata tadi tu ikhlas dari hatiku,” kata Meja Satu Penduduk, masih tidak berputus asa meyakinkan rakan sefungsinya.

Aku tidak tahu apa reaksi Meja Tak Berpenduduk kerana tiada ekspresi yang dapat kuperhatikan. Kalau dua manusia yang berbicara, air muka mampu memberitahu perasaannya. Tetapi, ini hanya meja yang pegun, tiada apa-apa perubahan pada warnna atau bentuknya. Yang kedengaran hanyalah suara sahaja. Peristiwa malam ini memang sangat unik bagiku. Tidak kudengar sebarang suara dari Meja Tak Berpenduduk. Mungkinkah meja itu sudah tertidur? Apalah aku ini, selalu membayangkan perkara-perkara yang membuatkanku tersenyum sendirian. Nanti apa pula kata orang yang melihatku dari jauh.

“Kalau tak perccaya, lihatlah padaku ini. Ada nasi dan sedikit air tertumpah di atasku. Bila ada insan yang duduk makan, ada risiko makanan atau minuman tertumpah ke atasku. Rasanya sungguh tidak selesa. Makanan manis, masam, masin, dan entah apa lagi. Kenalah tunggu sampai dilap, barulah aku selesa kembali. Kalau lambat dilap, sang semut pula yang datang. Berbeza dengan keadaan kamu, wahai sahabatku. Inilah yang cuba aku maksudkan.” Meja Satu Penduduk menyambung kata-katanya, apabila mendapati rakannya tidak menjawab. “Kamu dengar taka pa yang cuba aku sampaikan?” tanyanya lagi.

Sekali lagi aku menyedari sesuatu. Rupanya, Meja Satu Penduduk pun tak tahu sama ada rakannya mendengar atau tidak. Maknanya, lebih wajar lagilah aku tidak tahu sebab aku bukannya meja. “Aku dengar, wahai sahabatku. Aku tidak menjawab kerana sedang tekun memikirkan kata-kata kamu itu. Sungguh, memang betul kata kamu. Aku perlu lebih bersyukur. Setiap keadaan yang ditetapkan pasti ada hikmahnya. Soal bahawa itu kata-kata manis daripada insan berautoriti itu soal lain. Cuma, tidak seharusnya insan berautoriti tidak wajar menggunakan ayat itu untuk lari dari tanggungjawab mereka untuk membela nasib minority.” Akhirnya, Meja Tak Berpenduduk menjawab juga kata-kata rakannya.

“Bagus, aku bersyukur sebab kamu dah faham. Aku gembira,” balas Meja Satu Penduduk. Gembira atau tidak sebuah meja, tetap seperti itu dan di situlah kedudukannya, fikirku. Kalau insan yang bergembira, sudah ada yang melompat-lompat, atau sekurang-kurangnya mengukirkan senyuman lebar dan manis. “Betul tu, aku betul-betul perlu banyak bersyukur. Terima kasih atas nasihat dan peringatan.” Akhirnya aku bersuara, setelah berdiam dari tadi. Kemudian, aku mencapai potongan mentimun yang masih berada di dalam pinggan dan memakannya. Orang kata, kata-kata perlu disusuli dengan perbuatan, barulah lengkap, fikirku. “Aku hanya seorang insan yang cuba sedaya upaya untuk bersyukur dengan apa yang ada. Ya Tuhanku, Izinkanlah aku menjadikan mentimun yang kurang kusuka ini sebagai satu permulaan,”

“AsSalatu khairu minan naum”
“AsSalatu khairu minan naum”

Followers