Sunday, May 23, 2010

TERIMA KASIH CIKGU!

Suatu hari, semasa mata pelajaran Sejarah, Cikgu Zakaria masuk ke kelas saya seperti biasa. Pada hari itu, saya dan rakan-rakan sekelas saya telah mempelajari tentang usaha-usaha kea rah kemerdekaan Negara.

Pada satu bahagian pengajarannya, dia telah bertanya akan maksud “mekanisme” kepada kami. Ternyata pada waktu itu, tiada sesiapa pun yang menjawab pertanyaan tersebut termasuk saya. Kemudian, dia berkata:
“Kamu semua dah tingkatan lima, kenalah tahu guna perkataan-perkataan seperti ini.” Kata-katanya itu seperti memberitahu saya bahawa saya kurang pengetahuan kerana kurang membaca. Secara tersuratnya, kata-kata itu mungkin tidak membawa makna yang besar. Namun bagi saya, secara tersiratnya, kata-kata itu diucapkan untuk memberikan kesedaran supaya mengubah diri dengan memperbanyak bacaan agar dapat mengembangkan pengetahuan.

Selepas berlakunya peristiwa tersebut, saya teringat pula pada peristiwa yang berlaku pada 28 April yang lalu. Pada hari itu, perjumpaan bagi Kelab ICT telah diadakan. Cikgu Zakaria yang juga merupakan guru yang mengajar kumpulan saya telah mengajar membuat jadual. Sebelum perjumpaan itu berakhir, dia telah menyuruh saya dan ahli kumpulan saya yang lain mengisi jadual yang mengandungi nama negeri di Malaysia, ibu negerinya dan ketua negerinya. Melalui latihan itu, saya begitu menyedari bahawa saya juga kurang pengetahuan tentang perkara ini, terutamanya bagi ketua negeri. Selain menguji pengetahuan, saya merasakan latihan ini telah memberi kesedaran kepada saya tentang betapa kurangnya pengetahuan am saya, lebih-lebih lagi pada peringkat umur saya sekarang. Tambahan pula, sebagai rakyat Malaysia, saya berasa adalah tidak sepatutnya saya kekurangan pengetahuan tentang hal yang berkaitan dengan negara sendiri.

Secara keseluruhannya, kedua-dua peristiwa ini telah banyak memberi kesedaran kepada saya untuk berazam menjadi seorang yang berpengetahuan. Saya juga sedar bahawa kelemahan yang dimiliki oleh seseorang tidak akan kelihatan sekiranya tidak diuji, seperti saya yang mengetahui bahawa banyak lagi yang perlu saya pelajari melalui peristiwa-peristiwa tersebut. Saya bertekad untuk menambah ilmu pengetahuan melalui pembacaan yang lebih banyak mengenai pelbagai perkara. Selain dapat menambah pengetahuan dan dapat mengikuti perkembangan terkini, saya fikir amalan ini juga amat berguna bagi saya memandangkan saya akan menduduki peperiksaan SPM pada bulan November nanti. Mungkin pengetahuan tambahan yang diperoleh daripada pembacaan dapat membantu saya ketika itu, terutamanya untuk menulis karangan.

TERIMA KASIH CIKGU ATAS KEINSAFAN YANG DIBERI!

Saturday, May 22, 2010

Blog Baharu

Pada kali ini, saya ingin memperkenalkan seorang lagi Blogger baharu. Dia ialah Ahmad Shahide bin Ruslan, iaitu salah seorang rakan sekelas saya. Dia telah mewujudkan blognya sejak dua bulan yang lalu, iaitu pada bulan Mac.

Di sekolah, dia merupakan seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajaran. Selain itu, dia juga memegang banyak jawatan penting di sekolah dan asrama seperti ketua pengawas dan ketua asrama. Dari segi sastera pula, dia mempunyai minat yang mendalam terhadap cerita-cerita yang berunsurkan misteri atau siasatan. Hal ini telah menyebabkan dia juga berminat untuk mengarang cerita-cerita yang berunsurkan siasatan.

Saya sempat mengunjungi blognya dan mendapati blog tersebut sudah diisi dengan salah sebuah karyanya. Saya percaya bahawa dia berpotensi untuk mengembangkan blognya dengan melihat kepada minat dan kesungguhannya untuk mendalami bidang ini.

Kepada sesiapa yang berkesempatan, silalah kunjungi blognya dan menghayati sendiri karyanya selain dapat membaca pengalaman dan ilmu pengetahuan yang dirasakannya bermanfaat untuk dikongsi bersama. Sebelum saya terlupa, alamat blognya ialah www.shidimt.blogspot.com
Anda juga boleh mengunjungi blognya dengan memilih pautan “A.Shahide” di bahagian “Blog Pilihan” dalam blog saya.

Selamat maju jaya saya ucapkan!

Friday, May 21, 2010

Perkhemahan Di Kela, Raub, Pahang

Pada 8 hingga 10 Mei yang lalu, iaitu hari Sabtu hingga hari Isnin, saya telah mengikuti satu aktiviti perkhemahan di sebuah kampung yang agak terpencil di Kela yang terletak di Raub, Pahang. Kebanyakan peserta perkhemahan ini adalah terdiri daripada pelajar tingkatan 5 dan ada juga beberapa orang pelajar tingkatan 4. Tujuan aktiviti ini adalah sebagai satu cara untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman di samping merupakan satu daripada aktiviti tahunan anjuran sekolah.

Kami bertolak ke tapak perkhemahan pada lebih kurang pukul 6 petang. Perjalanan ke sana mengambil masa yang agak lama, iaitu lebih kurang 3 jam. Pada pukul 9 malam, kami telah tiba dengan selamat ke Kampung Cedek, iaitu tapak perkhemahan kami sepanjang dua hari ini. Ketibaan kami disambut oleh beberapa orang guru pengiring sekolah yang telah tiba lebih awal. Mereka termasuk Cikgu Mazdi dan Ustaz Zamani. Selepas meletakkan semua barang yang dibawa di suatu kawasan lapang, kami pun makan malam bersama-sama. Pada masa itu, saya ada terdengar sebahagian daripada kata-kata Cikgu Mazdi bahawa di sini tiada liputan untuk telefon bimbit. Saya hanya mendengar sahaja tanpa memberikan sebarang reaksi.

Selepas makan, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil. Setiap kumpulan akan ditempatkan di sebuah teratak. Teratak-teratak yang terdapat di situ adalah diperbuat daripada buluh dan beratapkan daun nipah. Saya sempat mengambil peluang untuk menyentuh beberapa bahagian dalam teratak tersebut. Saya berasa kagum dengan binaan teratak itu. Sepanjang perkhemahan ini, kami tidur beralaskan tikar sahaja. Pada malam itu, kami dibenarkan untuk berehat awal.

Pada keesokan harinya, aktiviti senaman ringan telah dijalankan sebelum sarapan. Sewaktu menikmati sarapan, hujan mulai turun. Keadaan ini telah menyebabkan aktiviti pada pagi itu tertangguh untuk beberapa lama. Pada pukul 9 pagi, hujan mulai reda. Kemudian, kami telah diberi taklimat ringkas oleh jurulatih di situ tentang aktiviti yang akan dijalankan pada pagi itu. Selepas itu, kami telah dibawa ke sebatang sungai dengan sebuah kenderaan yang mirip sebuah lori. Semasa perjalanan tersebut, kepala saya telah tidak sengaja terlanggar dahan pokok. Hal ini membuatkan saya lebih berhati-hati. Beberapa minit kemudian, kami tiba di destinasi yang dituju. Kami telah dipakaikan dengan jaket keselamatan “life jacket” untuk aktiviti apungan dalam air “water confidence”. Ia bertujuan untuk memberi keyakinan kepada kami terhadap air. Selepas melakukannya sebanyak dua kali, kami telah dibawa menaiki kenderaan yang sama untuk ke satu lagi bahagian sungai tersebut.

Selepas kami tiba, kami telah didedahkan tentang cara mengendalikan rakit. Kami juga telah diberi peluang untuk mengendalikan rakit dengan bantuan seorang jurulatih atau guru pengiring sekolah. Saya berasa gembira kerana inilah kali pertama saya berakit. Ternyata banyak juga cabaran yang perlu ditempuhi semasa aktiviti itu. Antaranya saya terpaksa menundukkan kepala apabila melalui kawasan yang mempunyai batang pokok besar yang berupa sebuah jambatan pada paras yang rendah. Selain itu, arus sungai yang terlalu deras juga boleh membahayakan. Oleh itu, mereka yang berakit perlu turun dari rakit dan memberhentikannya supaya tidak terhanyut. Tidak cukup dengan itu, terdapat juga satu kawasan di mana tumbuhan-tumuhan yang terdapat di situ adalah terlalu rendah sehingga saya terpaksa membaringkan diri untuk mengelakkan diri daripada terkena duri pokok tersebut. Ada sekali, saya terjatuh ke dalam sungai kerana terlanggar dahan pokok yang tidak dapat dielakkan walaupun dalam keadaan berbaring. Mujurlah tempat saya terjatuh itu tidak dalam.

Setelah beberapa lama berakit, kami diberi masa untuk berehat sebelum menyambung semula. Pada masa itu, saya dan seorang rakan saya, iaitu EE Beng sempat bertanya mengenai beberapa perkara kepada salah seorang jurulatih yang ada di situ. Melaluinya, saya mendapat tahu bahawa teratak yang terdapat di tapak perkhemahan telah dibina oleh jurulatih-jurulatih tersebut dengan menggunakan kaedah ikatan dan menggunakan paku. Selain itu, rakit yang digunakan untuk meredah sungai yang dalam seperti Sungai Pahang adalah menggunakan buluh yang disusun secara bertingkat-tingkit dan berbeza dengan rakit biasa yang lebih rendah. Seterusnya, buluh yang asalnya berwarna hijau akan bertukar warna yang lebih gelap selepas lama digunakan. Oleh itu, buluh yang telah lama perlu diganti dengan yang baru.

Perbualan kami terganggu apabila kami diberitahu untuk meneruskan perjalanan rakit kami. Pada pukul 1.45 petang, kami telah tiba berhampiran tapak perkhemahan kami setelah berakit untuk beberapa jam. Selepas itu, mereka yang beragama Islam pun menunaikan Solat Zuhur dan bersama-sama menikmati makan tengah hari.

Selepas berehat untuk tempoh 1 jam, kami telah berkumpul untuk melakukan satu lagi aktiviti yang menarik. Aktiviti ini menghendaki kami untuk berjalan di atas tali, melakukan “flying fox” dan seterusnya berjalan di atas satu lagi tali. Sebelum aktiviti tersebut, kami dipakaikan peralatan yang perlu untuk keselamatan. Aktiviti ini juga merupakan pengalaman pertama saya dan saya berasa sedikit gayat apabila berjalan di atas tali tersebut yang akan bergoyang-goyang apabila dilalui. Aktiviti “flying fox” yang dilakukan dari ketinggian antara 30 hingga 50 kaki pula menyeronokkan saya kerana saya merasakan seperti sedang terbang. Perjalanan di atas tali yang kedua ini pula lebih mencabar. Tali yang ada untuk dipegang telah dikurangkan dan ini menyebabkan lebih kerap bergoyang.

Selepas semua selesai melakukan aktiviti tersebut, kami diperkenalkan dengan “cargo net” yang digunakan oleh para tentera untuk latihan menempuh halangan. Kami dikehendaki memanjat tali yang diikat seperti jaring dan turun semula setelah sampai di puncaknya. Walaupun ia tidak sesukar aktiviti sebelum ini, namun aktiviti ini tetap menyeronokkan.

Pada malam itu pula, guru-guru pengiring kami telah mengadakan acara berbalas pantun tetapi dengan cara yang berbeza. Pantun disampaikan dengan menggunakan lagu “LLLLLLLemak Manis” dan perlu dibalas dengan lagu yang sama dengan pembayang pantun sekali. Aktiviti ini agak sukar bagi saya tetapi ada juga rakan-rakan saya yang lain mampu membalas pantun tersebut. Selain menguji kepantasan berfikir, aktiviti ini juga menguji kepekaan kami terhadap keadaan sekeliling. Hal ini kerana soalan yang ditanya melalui pantun itu adalah berdasarkan kepada perkhemahan ini, seperti nama kampung, nama sungai dan nama tukang masak yang menyediakan makanan.

Selepas itu, satu lagi aktiviti telah dijalankan. Sebelum aktiviti ini, kami telah diminta untuk menutup mata dengan kain. Kemudian, kami dibawa ke suatu tempat di mana kami perlu berjalan mengikut tali dengan mata yang tertutup. Selepas selesai, kami diminta duduk di suatu sudut dan dikehendaki mendengar bunyi-bunyian semula jadi yang terdapat di situ. Seterusnya, kami diperdengarkan dengan bunyi-bunyian yang dihasilkan oleh seorang jurulatih dan kami diminta menekanya. Selepas itu, kami dibawa pulang ke tapak perkhemahan. Sebelum bersurai, kami telah didedahkan dengan mesej daripada aktiviti yang dijalankan sebentar tadi. Antara mesejnya kita perlulah peka dan dapat membezakan bunyi-bunyian semula jadi dengan yang dihasilkan oleh manusia. Hal ini adalah penting, lebih-lebih lagi apabila berada di kawasan hutan untuk mengelakkan daripada sebarang bahaya yang boleh menyumbang kepada kejadian yang tidak diingingi.

Pada keesokan pagi, iaitu hari terakhir, kami mengemaskan barang-barang untuk persiapan pulang pada tengah hari itu. Selepas itu, kami dibenarkan melakukan aktiviti bebas. Pada waktu itu, ada antara pelajar dan guru yang pergi berakit dan mandi sungai. Namun pada masa itu, saya dan beberapa orang rakan saya hanya menghabiskan masa dengan menyambung tidur dalam teratak kami. Sebelum pulang, majlis penutupan perkhemahan telah diadakan. Kami telah mendengar ucapan daripada Encik Azmi, iaitu pemilik “Kela Camp” yang berasa gembira dengan kedatangan kami berkhemah di situ. Kemudian, Cikgu Suriani pula berucap dan berterima kasih kerana kedatangan kami disambut dengan baik. Selepas majlis penutupan itu, kami pun pulang ke sekolah.

Secara keseluruhannya, perkhemahan pada kali ini telah memberikan saya banyak pengalaman manis yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Sememangnya, setiap tempat yang dijadikan kawasan perkhemahan mempunyai ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri. Oleh itu, saya berharap pihak sekolah dapat menanjurkan aktiviti perkhemahan lain pada masa akan datang di tempat yang berbeza supaya lebih banyak pengalaman baru dapat ditimba menerusi keistimewaan tempat tersebut.

Followers