Thursday, April 30, 2015

Coretan Ilham: Mentari Tidak Pilih Kasih


Pagi hari cuti itu sangat mendamaikan. Burung-burung kelihatan berterbangan sambil berkicau menyanyikan irama merdu. Langit biru pula sedikit demi sedikit mula mencerah, menandakan sinaran mentari sudah semakin menghampiri bahagian bumi yang bakal menerima siang.

Kelibat seorang insan dapat dilihat sedang berjalan-jalan di sekeliling kawasan tempat kediamannya. Dia merasakan, pagi hari cuti sebegini amat merugikan jika dihabiskan dengan memanjangkan waktu tidur sehingga ke tengah hari. Oleh sebab itulah, dia mengambil keputusan untuk memperuntukkan sedikit daripada waktu paginya untuk berjalan-jalan.

Waktu terus berlalu. Sinaran ultraungu yang terasa suam mula menyapa kulitnya. Bukan mudah untuk merasai kelembutan sinaran seperti ini. Hanya pada hari cuti seperti inilah peluang itu akan hadir. Pada hari-hari bekerja, sinaran cahaya lampu sahajalah yang mampu diperoleh. Tanpa disedarinya, dia tersenyum. Suatu ingatan singgah di fikirannya. Dia pernah mendengar cakap-cakap orang dan membaca bahawa pendedahan kepada sinaran ultraungu daripada mentari boleh menjana Vitamin D yang sangat berguna untuk kesihatan. Satu kajian yang telah dilakukan oleh Creighton University School of Medicine di Nebraska mendapati bahawa pengambilan Vitamin D dan kalsium boleh membantu mengurangkan risiko kanser sekurang-kurangnya sebanyak 60%. Peratusan ini sememangnya tinggi, ditambah lagi dengan kenyataan bahawa mencegah itu lebih baik daripada merawat. Senyumannya bertambah lebar, sekali gus meruntuhkan semua keinginannya untuk menyambung tidur pada pagi itu.

Satu lagi perkara singgah dalam fikirannya. Tiada bukti yang menunjukkan bahawa hanya individu tertentu sahaja yang boleh memperoleh Vitamin D dari sinaran mentari. Sesiapa yang memperuntukkan sedikit masa di waktu pagi untuk mendedahkan kulit kepada sinaran mentari layak memperolehnya.

Langkahnya diteruskan lagi. Langit yang semakin terang menambah jarak penglihatannya. Pelbagai jenis Tumbuhan, kecil dan besar, tinggi dan rendah, yang kehijauan kelihatan sungguh indah tersusun di kawasan itu. Sekali lagi ingatannya terarah kepada sinaran mentari. Umum mengetahui bahawa sinaran mentari membantu tumbuh-tumbuhan hijau untuk proses fotosentesis. Tumbuh-tumbuhan yang kelihatan sihat di kawasan itu menjadi bukti bahawa proses fotosintesis berjalan lancar dengan bantuan cahaya mentari. Cuma, ada satu dua tumbuhan kecil yang nampak kurang sihat kerana terlindung daripada sinaran mentari yang disebabkan oleh kehadiran tumbuhan besar yang menghalang sinaran sampai terus kepada tumbuhan kecil. Sekali lagi, mentari tidak memilih tumbuhan hijau yang mana untuk memanfaatkan sinarannya. Kekurangan sinaran mentari yang sampai kepada tumbuhan kecil bukan disebabkan pilih kasih mentari, tetapi kerana adanya tumbuhan besar yang menghalang sinaran itu daripada sampai terus kepada tumbuhan kecil.

Sebenarnya, sudah agak lama dia mengelilingi kawasan kediamannya itu. Tetapi, masih belum ada tanda untuk dia pulang ke rumah. Matanya masih ligat mencari perkara-perkara yang boleh dijadikan pengajaran untuknya pada pagi itu. Sedang dia melalui kawasan deretan rumah-rumah, bunyi pintu dibuka pula singgah di gegendang telinganya. Kelihatan, penghuni dua buah rumah yang bersebelahan antara satu sama lain keluar dari rumah sambil membawa baldi berisi pakaian. Jelas dan nyata, kedua-dua orang wanita itu ingin menjemur pakaian. Menyedari bahawa kedua-duanya menutup aurat dengan sempurna, hatinya berasa senang dan lega.

Tanpa mahu berhenti lama di situ, langkahnya diteruskan lagi. Sempat juga dia melihat keadaan dua buah rumah itu secara kasar. Di rumah pertama, kelihatan ada dua buah kereta dan sebuah motosikal. Langsir yang digunakan agak tinggi mutunya. Di rumah kedua pula, kelihatan ada dua buah motosikal. Langsir yang digunakan kelihatan biasa-biasa sahaja, cukup untuk memenuhi fungsinya bagi mengelakkan pandangan mata orang luar daripada melihat terus ke ruang dalam rumah. Dalam diam-diam, dia sedar langsir itu sudah menjalankan fungsinya untuk mengelakkan dia daripada melihat ruang dalam kedua-dua rumah itu. Dia tersenyum.

Mentari semakin meninggi. Kehangatan sinaran mentari mula terasa peningkatannya. Lalu, dia membuat keputusan untuk pulang ke rumah. Baginya, sudah cukup dengan apa yang telah diperolehnya pagi itu. Sedang dalam perjalanan pulang, dia terfikir sesuatu yang lain pula. Dia sedar bahawa kehangatan sinaran mentari yang semakin meninggi ini tidak sesuai baginya untuk terus berada di luar kawasan tertutup. Namun demikian, dia juga tahu bahawa terik mentari ini ada fungsinya yang tersendiri. Dua orang wanita yang menjemur pakaian itu semestinya mengharapkan jemurannya dikeringkan dengan sempurna. Pada ketika inilah, terik mentari dapat menjalankan fungsi itu. Sekali lagi, dia sedar bahawa sinar mentari tidak menetapkan kriteria jemuran yang layak dikeringkan dengan sinarannya. Semua jenis jemuran adalah dialu-alukan untuk ditempatkan di bawah sinaran mentari untuk dikeringkan, tidak kira kaya atau miskin pemiliknya.

Pintu pagar rumahnya sudah kelihatan. Langkahnya tenang menuju ke arah itu. Apabila terpandang pakaian yang berada di ampaian, sekali lagi dia tersenyum dan menganggukkan kepala. Lalu, dia masuk ke dalam rumah. Dia sudah dapat mengumpul bukti yang kukuh bahawa mentari tidak pilih kasih. Lebih penting daripada itu, dia amat menyedari bahawa Pencipta mentari yang telah menetapkan semua ini. Oleh sebab itu, lebih tepat lagi dikatakan bahawa Pencipta tidak pilih kasih.

Wednesday, April 29, 2015

Pengalaman Itu Mendewasakan

Dalam kehidupan yang penuh dengan dugaan ini, pasti banyak keadaan yang pernah kita lalui.  Adakalanya, kita berasa ceria dan tersenyum kerana gembira atas sesuatu yang dilakukan atau yang kita terima.  Namun, tidak dapat dinafikan bahawa kesedihan juga akan singgah dalam hidup kita tidak kira pangkat dan darjat.  Oleh itu, untuk menjalani hidup dengan baik dan teratur, kita seharusnya belajar bertindak dalam setiap detik hidup kita.  Hal ini bertujuan agar kita sentiasa menghargai hidup kita di dunia dan tidak mensia-siakannya.

Bagaimana kita dapat menjadikan hidup kita lebih baik?  Matlamat ini boleh dicapai dengan menggunakan pengalaman yang diperolehi sama ada daripada diri sendiri mahupun orang lain.  Kita seharusnya belajar daripada semua bentuk pengalaman sepanjang hidup kita.  Tanpa pengalaman, kita diibaratkan hidup tanpa panduan arah.  Kepentingannya terbukti kerana mampu menjadikan seseorang itu lebih berkeyakinan, berwaspada dan lebih cekap untuk menjalani hidup.

Untuk menperolehi pengalaman yang lebih banyak, kita perlulah belajar untuk hidup berdikari seawall yang mungkin.  Apabila kita tidak terlalu bergantung kepada orang lain, kita berpeluang untuk melakukan banyak perkara yang belum pernah kita lakukan secara sendiri.  Sebagai contoh, jika setiap kali orang lain yang membukakan computer untuk kita, kita tidak akan tahu bagaimana untuk membukanya sendiri kerana kita tidak pernah mencubanya.  Contoh seperti di atas juga boleh dipraktikkan dalam konteks yang lebih besar sepanjang kehidupan.  Cuma terpulang kepada kita sendiri untuk melakukan apa yang sepatutnya.

Belajar daripada kesilapan melalui pengalaman juga sangat efektif dalam menambah kualiti kehidupan.  Kesilapan, sama ada yang dilakukan oleh diri sendiri atau orang lain boleh dimanfaatkan untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik.  Dengan mengambil pengajaran daripada perkara yang berlaku di sekeliling kita, kita akan mengelakkan diri daripada mengulangi kesilapan yang dilakukan.  Ahli falsafah, George Santayana pernah berkata bahawa sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya.  Jika kita perhatikan dengan teliti, pengalaman yang kita peroleh juga boleh disamakan dengan sejarah yang pernah kita pelajari sewaktu di bangku sekolah. Cuma bezanya, pengalaman kita merupakan sejarah peribadi.

Sebagai tambahan, kita seharusnya memberanikan diri untuk mencuba sesuatu yang baru.  Perkara yang ingin kita lakukan perlulah bersesuaian dan boleh mendatangkan kebaikan. Misalnya, jika kita ingin membangunkan teknologi baru yang boleh memberi manfaat kepada kehidupan kita, kita boleh melakukannya kerana sudah jelas ia mendatangkan kebaikan.  Sekiranya usaha kita itu membuahkan hasil, sudah tentu kita akan mendapat pengalaman yang tidak ternilai harganya di samping menguntungkan semua pihak.  Dengan cara ini, kita juga boleh memupuk sikap keterbukaan dalam melakukan sesuatu yang lebih bermanfaat lagi.

Pengalaman itu bersifat universal dan tidak terhad.  Percaya atau tidak, kita mampu belajar sesuatu yang baik untuk dicontohi hanya melalui sekumpulan semut.  Sikap semut yang rajin boleh dipraktikkan dalam hidup kita agar kita tidak membazir masa dengan melakukan perkara yang sia-sia.  Bukankah lebih baik masa yang kita bazirkan itu diperuntukkan untuk mencipta kegemilangan untuk diri sendiri atau membantu mereka yang memerlukan.  Dengan penjelasan di atas, jelaslah bahawa pengalaman boleh didapati melalui pelbagai sumber di muka bumi ini.

Kesimpulannya, pengalaman merupakan satu panduan yang sangat berguna dalam hidup kita.  Janganlah kita memandang remeh kepada pengalaman sebagai satu perkara yang menyesakkan untuk dikenang kerana kita pasti memerlukannya suatu hari nanti.  Selagi kita masih mampu bernafas, selagi itulah kita masih berpeluang untuk dipandu oleh pengalaman yang boleh memberi manfaat kepada kita.  Jadi, tidak hairanlah jika kenyataanya, orang yang lebih tua daripada kita lazimnya mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding kita.  Dengan ini, terbuktilah bahawa pengalaman itu sebenarnya mendewasakan kita.

Thursday, April 23, 2015

60 Sen VS Kegembiraan

 
Tersebutlah kisah di sebuah kampung yang indah permai. Penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan suku. Masing-masing sangat bertolak ansur dan bersedia untuk menerima dengan seadanya. Selain itu, mereka juga sangat bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Barangkali, inilah resepi kedamaian yang terdapat di kampung itu.

Di hujung kampung itu, tinggal seorang pemuda di sebuah rumah using yang jarang dikunjung orang. Dia bukanlah seorang yang terkenal di situ, walaupun sejak kecil, dia sudah menetap di situ. Dia lebih banyak menghabiskan harinya dengan melakukan kerja-kerja yang dirasakan mampu dilakukannya dengan kemahiran yang dimiliki. Sesekali dia membantu penduduk kampung membaiki bot nelayan. Ada kalanya pula, pemuda itu mengajar anak muda sebayanya memancing ikan. Pemuda itu sangat suka melihat senyuman di wajah penduduk yang telah dibantunya. Dengan bot nelayan yang telah dibaiki kerosakannya, pemiliknya boleh berasa lega dan meneruskan aktiviti memancing ikan seperti sedia kala. Manakala mereka yang sudah pandai memancing ikan juga tersenyum memikirkan pencapaian mereka. Namun demikian, apabila tiba waktu untuk mengadakan mesyuarat atau aktiviti yang melibatkan perjumpaan social, pemuda itu akan berada di barisan belakang. Inilah yang menyebabkan dia tidak begitu dikenali dalam kampung itu.

Pada suatu hari, satu mesyuarat tergempar telah diadakan antara ketua kampung dengan semua penduduk kampung. Ketua kampung telah membuat satu pengumuman yang memutik rasa hairan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk kampung. “30 hari dari sekarang, harga semua jenis beras yang dijual di kampung ini akan dinaikkan sebanyak 60 sen. Tetapi, saya harap, janganlah anda bimbang kerana kenaikan harga ini hanya akan berlaku selama 6 bulan. Dan ketahuilah bahawa kenaikan harga ini adalah baik untuk kampung kita juga,” kata ketua kampung itu. Pemuda itu yang duduk di barisan belakang dapat mendengar dengan jelas pengumuman itu tadi. Dia sudah kenal dengan cara ketua kampung itu. Beliau agak gemar membuat keputusan tanpa mendedahkan sebab di sebaliknya. Perkara seperti inilah yang sedikit sebanyak mengganggu kedamaian yang telah dikecapi di kampung itu.

Walaupun sebahagian besar penduduk tidak berpuas hati dengan cara ketua kampung mereka membuat keputusan tanpa mendedahkan sebab di sebaliknya, mereka masih tetap memilihnya untuk terus menjadi ketua kampung. Hal ini disebabkan ketua kampung itu adalah antara individu yang mendapat pendidikan yang tertinggi dalam kalangan mereka. Oleh sebab itu, penduduk beranggapan bahawa mereka yang berpelajaran adalah yang paling layak untuk menjadi ketua.

Pemuda itu merupakan antara orang yang kurang berpuas hati dengan keputusan ketua kampung untuk menaikkan harga beras. Dia tahu juga sedikit sebanyak selok-belok jual beli. Dengan pengetahuan tersebut, dia dapat mengagak sebab ketua kampung berbuat demikian. Beras merupakan satu keperluan yang asas kerana merupakan makanan ruji penduduk kampung. Oleh sebab itu, boleh dikatakan bahawa semua penduduk akan tetap membeli beras walaupun setelah harga dinaikkan, dan seterusnya akan menjana keuntungan. Namun demikian, pemuda itu tidak pasti apa yang akan dilakukan dengan keuntungan yang dijana itu.

Walaupun begitu, pemuda itu merasakan system kenaikan harga ini tidak adil untuk mereka yang berpendapatan rendah. Mahu saja dia berbincang semula dengan ketua kampung mengenai keputusan kenaikan harga itu. Tetapi, dia sedar bahawa dia tidak berkemahiran dan berkeyakinan dalam membuat rundingan. Dia risau sekiranya tindakan itu akan mengeruhkan lagi keadaan. Oleh itu, dia terpaksa menguburkan sahaja hajatnya untuk berjumpa dengan ketua kampung.

Pemuda itu berasa sedih apabila mengenangkan bahawa dia tidak dapat menyelamatkan keadaan di kampungnya, sedangkan dia merupakan bekas mahasiswa sebuah institusi pengajian tinggi yang terkemuka di rantau itu. Atas usaha untuk meredakan sedikit kesedihannya, dia telah membuat keputusan untuk membeli sebanyak mungkin beras dengan wang simpanannya sendiri. Dia berhasrat untuk menjualnya dengan harga asal apabila harga beras dinaikkan nanti. Namun, wang simpanannya yang terhad menyebabkan dia tidak dapat membeli dengan banyak.

Sebulan kemudian, harga beras telah dinaikkan sebanyak 60 sen seperti yang telah diumumkan. Pelbagai rungutan dan keluhan yang kedengaran di bibir penduduk kampung. Pemuda itu telah bertindak menjual beras dengan harga asal seperti yang dirancangnya. Setiap kali selesai  satu jualan, satu senyuman akan terukir di bibir pemuda itu. Keadaan ini berterusan sehingga semua beras yang telah dibelinya sebelum kenaikan harga habis dijual.

6 Bulan kemudian, harga beras telah kembali seperti sedia kala. Penduduk berasa lega dengan keadaan ini, walaupun sehingga kini, mereka masih tidak tahu sebab di sebalik kenaikan harga itu. Walaupun kenaikan harga ini telah berakhir, tetapi mereka yang pernah membeli beras dari pemuda itu berasa hairan dengan tindakan pemuda itu menjual beras pada harga asal, sedangkan dia boleh mendapat keuntungan dengan menjualnya pada harga yang lebih tinggi.

Seorang rakan kepada pemuda itu yang pernah membeli beras daripadanya telah berkunjung ke rumahnya. “Boleh tak nak Tanya sikit?” Tanya tetamu itu. “Silakan,” balas pemuda itu ringkas. “Aku rasa hairan walaupun perkara ini sudah lama berlalu. Kau memilih untuk menjual beras dengan harga asal sedangkan ada peluang untuk mendapatkan keuntungan tambahan sebanyak 60 sen?” Tanya rakannya itu. “Bagi aku, kegembiraan itu lebih tinggi nilainya daripada 60 sen. Setiap kali aku jual beras itu, setiap kali itu jugalah terbayang di fikiranku keadaan sebuah keluarga yang sedang sama-sama menikmati makan malam dengan berselera sekali dengan kehadiran nasi yang dimasak daripada beras yang aku jual,” kata pemuda itu. “Oh, begitu ya?” rakannya itu menggeleng-gelengkan kepala, seperti masih tidak dapat menerima jawapan itu.

“Lebih-lebih lagi gembira bila melakukannya terhadap insan yang aku sayangi,” bisik hati pemuda itu.

Thursday, April 16, 2015

Stoking Dan Kehidupan


Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapalah pelik sangat tajuk catatan ini? Sebenarnya, saya terfikir untuk menulis tentang perkara ini berdasarkan pengalaman saya sendiri. Sememangnya, saya rasa topik ini yang nampak seperti perkara yang tak berfaedah untuk dibincangkan ini mengandungi makna yang saya rasa elok untuk difikirkan.

Apa yang kita bayangkan apabila menyebut tentang stoking. Mungkin ramai yang akan membayangkan bau hapaknya. Sebagai tambahan, mungkin ada yang membayangkan stoking yang terdiri daripada pelbagai warna dan saiz. Walau apa pun bayangannya, satu persepsi yang mungkin serupa bagi kita ialah stoking itu selekeh kerana berbau hapak.

Mungkin bagi kita, ini adalah perkara biasa sahaja. Namun, adakah kita menyedari bahawa peristiwa ini boleh disamakan dengan sikap kita dalam kehidupan sebenar? Saya berpendapat begini kerana kita hanya melihat stoking sebagai sesuatu yang selekeh dan menghasilkan bau hapak. Hal ini memang benar jika kita lihat kepada stoking yang sudah dipakai sepanjang hari.

Bagaimana pula dengan stoking yang baru dibasuh? Adakah stoking tersebut masih berbau seperti sebelum dibasuh? Jika dibasuh dengan betul, saya yakin stoking juga boleh berbau wangi seperti pakaian kita yang lain.

Persoalannya, mengapa kebanyakan daripada kita selalu mengaitkan stoking dengan bau hapaknya sahaja? Saya mempersoalkan perkara ini berdasarkan pengalaman saya sendiri. Saya masih ingat lagi, apabila terdapat bau hapak yang tidak diketahui sumbernya dan seakan-akan bau stoking, kebanyakan orang akan mengaitkannya dengan stoking walaupun sebenarnya bukan bau stoking yang menjadi puncanya. Keadaan yang lebih teruk ialah bau stoking kadang kala disamakan dengan bau ikan masin. Saya sendiri pun tak tahu sebabnya.

Saya ada menyatakan bahawa peristiwa ini boleh disamakan dengan sikap kita dalam kehidupan realiti kita. Jika kita teliti, sesetengah daripada kita biasanya akan terus bersangka buruk kepada seseorang yang pernah melakukan perkara yang salah walaupun sebenarnya si pelakunya telah insaf. Memang tidak hairanlah jika fenomena ini wujud kerana ini soal hati. Kita sukar untuk percaya walaupun seseorang yang bersalah telah mengaku insaf kerana segalanya hanya akan terbukti dengan perlakuannya di kemudian hari. Sementara kita dalam proses menilai, kita biasanya terus mengaitkan orang tersebut dengan kesalahannya. Saya rasa wajar jika perkara ini dilakukan untuk tujuan supaya kita lebih berhati-hati. Apa yang menjadi permasalahan di sini ialah apabila ada dalam kalangan mereka yang terlalu bersangka buruk sehingga melunturkan semangat
orang yang berniat untuk berubah dari kesilapannya. Apalah salahnya jika mereka menumpang gembira bahawa orang yang bersalah itu sudah insaf dan ingin kembali menjadi diri yang lebih baik dalam kalangan masyarakat.

Begitulah yang saya rasa apabila stoking sering dikaitkan dengan bau hapaknya sahaja. Saya amat jarang mendengar ungkapan bahawa stoking itu tidak semestinya sentiasa berbau hapak atau seumpamanya diucapkan. Marilah kita fikir-fikirkan kembali.

Sememangnya stoking yang sudah dibasuh sudah tentu tidak berbau hapak seperti sebelum dibasuh. Jadi, janganlah sesekali kita mengaitkan bau hapak dengan stoking yang sudah bersih dibasuh. Jika ini yang berlaku, ini sama seperti kita bersangka buruk terhadap orang yang pernah berbuat salah tetapi sudah bersedia untuk berubah. Walaupun begitu, saya tidak menafikan bahawa ada juga orang yang berbuat salah tetapi enggan berubah daripada kesalahannya. Apa yang ingin saya sampaikan ialah apabila kita sudah nampak perubahan seseorang yang pernah melakukan kesalahan dari segi sikapnya, elakkanlah daripada mengungkit kembali keburukan itu. Berilah sokongan kepadanya semampu kita, dan Jadikanlah perkara itu sebagai pengalaman dan tauladan untuk kita sendiri supaya kita tidak mengulangi kesalahan itu.

Apabila fikiran saya melayang ke alam fantasi, saya dapat bayangkan jika stoking itu hidup, tentu stoking itu tidak bersedia untuk dipakai jika masih dihina dengan mengatakannya berbau hapak selepas dibasuh. Mungkin bayangan saya itu tidak berasas, tetapi inilah pendapat saya tentang topik ini. Saya harap tiada yang terasa hati dengan apa yang saya sampaikan kerana saya tidak berniat untuk melakukannya terhadap sesiapa. Selain itu, bayangan saya tentang stoking hanya bertujuan untuk menampakkan kelainan dan tiada tujuan lain. Saya rasa, setakat ini sahajalah perkongsian pendapat saya ini.

Pesanan untuk diri, manfaat untuk generasi

Followers