Tersebutlah kisah di sebuah kampung yang indah permai.
Penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan suku. Masing-masing sangat
bertolak ansur dan bersedia untuk menerima dengan seadanya. Selain itu, mereka
juga sangat bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Barangkali, inilah resepi kedamaian yang terdapat di kampung itu.
Di hujung kampung itu, tinggal seorang pemuda di sebuah
rumah using yang jarang dikunjung orang. Dia bukanlah seorang yang terkenal di
situ, walaupun sejak kecil, dia sudah menetap di situ. Dia lebih banyak
menghabiskan harinya dengan melakukan kerja-kerja yang dirasakan mampu
dilakukannya dengan kemahiran yang dimiliki. Sesekali dia membantu penduduk kampung
membaiki bot nelayan. Ada kalanya pula, pemuda itu mengajar anak muda sebayanya
memancing ikan. Pemuda itu sangat suka melihat senyuman di wajah penduduk yang
telah dibantunya. Dengan bot nelayan yang telah dibaiki kerosakannya,
pemiliknya boleh berasa lega dan meneruskan aktiviti memancing ikan seperti
sedia kala. Manakala mereka yang sudah pandai memancing ikan juga tersenyum
memikirkan pencapaian mereka. Namun demikian, apabila tiba waktu untuk
mengadakan mesyuarat atau aktiviti yang melibatkan perjumpaan social, pemuda
itu akan berada di barisan belakang. Inilah yang menyebabkan dia tidak begitu
dikenali dalam kampung itu.
Pada suatu hari, satu mesyuarat tergempar telah
diadakan antara
ketua kampung dengan semua penduduk kampung. Ketua kampung telah membuat
satu
pengumuman yang memutik rasa hairan dan rasa tidak puas hati dalam
kalangan
penduduk kampung. “30 hari dari sekarang, harga semua jenis beras yang
dijual
di kampung ini akan dinaikkan sebanyak 60 sen. Tetapi, saya harap,
janganlah
anda bimbang kerana kenaikan harga ini hanya akan berlaku selama 6
bulan. Dan
ketahuilah bahawa kenaikan harga ini adalah baik untuk kampung kita
juga,” kata
ketua kampung itu. Pemuda itu yang duduk di barisan belakang dapat
mendengar
dengan jelas pengumuman itu tadi. Dia sudah kenal dengan cara ketua
kampung
itu. Beliau agak gemar membuat keputusan tanpa mendedahkan sebab di
sebaliknya. Perkara seperti inilah yang sedikit sebanyak mengganggu
kedamaian yang telah dikecapi di kampung itu.
Walaupun sebahagian besar penduduk tidak berpuas hati
dengan cara ketua kampung mereka membuat keputusan tanpa mendedahkan sebab di
sebaliknya, mereka masih tetap memilihnya untuk terus menjadi ketua kampung.
Hal ini disebabkan ketua kampung itu adalah antara individu yang mendapat
pendidikan yang tertinggi dalam kalangan mereka. Oleh sebab itu, penduduk
beranggapan bahawa mereka yang berpelajaran adalah yang paling layak untuk menjadi
ketua.
Pemuda itu merupakan antara orang yang kurang berpuas
hati dengan keputusan ketua kampung untuk menaikkan harga beras. Dia tahu juga
sedikit sebanyak selok-belok jual beli. Dengan pengetahuan tersebut, dia dapat
mengagak sebab ketua kampung berbuat demikian. Beras merupakan satu keperluan
yang asas kerana merupakan makanan ruji penduduk kampung. Oleh sebab itu, boleh
dikatakan bahawa semua penduduk akan tetap membeli beras walaupun setelah harga
dinaikkan, dan seterusnya akan menjana keuntungan. Namun demikian, pemuda itu
tidak pasti apa yang akan dilakukan dengan keuntungan yang dijana itu.
Walaupun begitu, pemuda itu merasakan system kenaikan
harga ini tidak adil untuk mereka yang berpendapatan rendah. Mahu saja dia
berbincang semula dengan ketua kampung mengenai keputusan kenaikan harga itu.
Tetapi, dia sedar bahawa dia tidak berkemahiran dan berkeyakinan dalam membuat rundingan.
Dia risau sekiranya tindakan itu akan mengeruhkan lagi keadaan. Oleh itu, dia
terpaksa menguburkan sahaja hajatnya untuk berjumpa dengan ketua kampung.
Pemuda itu berasa sedih apabila mengenangkan bahawa dia
tidak dapat menyelamatkan keadaan di kampungnya, sedangkan dia merupakan bekas mahasiswa
sebuah institusi pengajian tinggi yang terkemuka di rantau itu. Atas usaha
untuk meredakan sedikit kesedihannya, dia telah membuat keputusan untuk membeli
sebanyak mungkin beras dengan wang simpanannya sendiri. Dia berhasrat untuk
menjualnya dengan harga asal apabila harga beras dinaikkan nanti. Namun, wang
simpanannya yang terhad menyebabkan dia tidak dapat membeli dengan banyak.
Sebulan kemudian, harga beras telah dinaikkan sebanyak 60
sen seperti yang telah diumumkan. Pelbagai rungutan dan keluhan yang kedengaran
di bibir penduduk kampung. Pemuda itu telah bertindak menjual beras dengan
harga asal seperti yang dirancangnya. Setiap kali selesai satu jualan, satu senyuman akan terukir di
bibir pemuda itu. Keadaan ini berterusan sehingga semua beras yang telah
dibelinya sebelum kenaikan harga habis dijual.
6 Bulan kemudian, harga beras telah kembali seperti sedia
kala. Penduduk berasa lega dengan keadaan ini, walaupun sehingga kini, mereka
masih tidak tahu sebab di sebalik kenaikan harga itu. Walaupun kenaikan harga
ini telah berakhir, tetapi mereka yang pernah membeli beras dari pemuda itu
berasa hairan dengan tindakan pemuda itu menjual beras pada harga asal,
sedangkan dia boleh mendapat keuntungan dengan menjualnya pada harga yang lebih
tinggi.
Seorang rakan kepada pemuda itu yang pernah membeli beras
daripadanya telah berkunjung ke rumahnya. “Boleh tak nak Tanya sikit?” Tanya
tetamu itu. “Silakan,” balas pemuda itu ringkas. “Aku rasa hairan walaupun perkara
ini sudah lama berlalu. Kau memilih untuk menjual beras dengan harga asal
sedangkan ada peluang untuk mendapatkan keuntungan tambahan sebanyak 60 sen?” Tanya
rakannya itu. “Bagi aku, kegembiraan itu lebih tinggi nilainya daripada 60 sen.
Setiap kali aku jual beras itu, setiap kali itu jugalah terbayang di fikiranku
keadaan sebuah keluarga yang sedang sama-sama menikmati makan malam dengan
berselera sekali dengan kehadiran nasi yang dimasak daripada beras yang aku jual,”
kata pemuda itu. “Oh, begitu ya?” rakannya itu menggeleng-gelengkan kepala, seperti
masih tidak dapat menerima jawapan itu.
“Lebih-lebih lagi gembira bila melakukannya terhadap
insan yang aku sayangi,” bisik hati pemuda itu.
saya suka
ReplyDelete