Wednesday, August 26, 2015

Nota Hati Buat Hati




Bersabarlah wahai hati.

Terkadang kamu kecewa kerana masih belum dapat mencapai kejayaan yang diimpikan, walaupun telah berkali-kali mencuba. Wahai hati, cubalah lagi, selagi mampu. Barangkali kejayaan itu sudah sangat hampir, dan sekali lagi cubaan dituntut untuk mencapainya. Ibarat seorang penggali perigi yang tidak Berjaya menemui air setelah lama menggali, lalu meninggalkan tapak perigi itu. Beberapa hari kemudian, dia kembali ke situ dan menggali lagi. Alangkah gembira bercampur tidak percayanya dia apabila mendapati hanya seminit sahaja diperlukan untuknya menemui air yang dicari-carinya. Tidak sempat pun dia penat pada hari itu. Demikianlah wahai hati, kamu perlu lebih tabah sekiranya kejayaan yang kamu cari.

Terkadang, kamu berasa sedih kerana tidak dapat bersama-sama dengan insan yang kamu sayangi, sama ada kerana dia menganggap kamu tidak baik baginya, atau kerana kamu sedar kamu tidak baik untuknya. Tidak mudah menanggung sedihnya jika perlu merelakan yang tidak menyayangi kamu untuk pergi, tetapi fikirkanlah. Sekiranya dia pergi itu membuatkan dia bahagia, dan dia tidak pergi itu membuatkan dia derita, mana yang kamu akan pilih, kalau kamu menyayanginya? Ibarat seorang yang menemui seekor ikan air masin yang cantik dan berhasrat hendak membawanya pulang untuk diletakkan dalam akuarium yang berisi ikan air tawar. Lalu satu kesedaran singgah di fikirannya. Sekiranya dia berbuat demikian, ikan itu akan mati. Oleh sebab tidak mahu ikan itu mati, dia dengan berat hati membiarkan ikan itu pergi. Jauh di sudut hatinya, dia tahu bahawa inilah tindakan yang terbaik, kepada dia yang menyayangi dan ikan yang disayangi.

Terkadang, kamu berasa susah hati apabila insan yang kamu ambil bearat dan yang kamu rasa mengambil berat tentang kamu dengan tiba-tiba mengambil keputusan untuk melangkah keluar dari urusan hidupmu tanpa sebarang tanda dan pesan. Kamu ligat mencongak dan mencongak, cuba mencari satu kemungkinan dalam kalangan seribu satu kebarangkalian yang mungkin membuatkan perkara itu berlaku. Mungkin insan itu sudah benci kepadamu? Mungkin insan itu marah kepadamu? mungkin insan itu sudah bosan? mungkin kamu ada melukakannya? Setelah penat mencongak, satu pun kamu tidak dapat memastikan kebenarannya, kerana terus terang darinya belum berhasrat untuk menemuimu, walaupun kamu sudah giat berusaha untuk mencarinya. Sekiranya kamu rasa kamu bersalaah kepadanya, mohonlah maaf kepadanya. Sekiranya sudah benar-benar ketandusan idea, sudah tiba masanya untuk berhenti memikirkannya buat masa ini, dan usahlah kamu membencinya. Ibarat seorang insan yang sedang menerbangkan layang-layang pada suatu pagi yang berangin, tiba-tiba melepaskan tali dari genggamannya, dan segera berlalu pergi tanpa diketahui sebab dan musababnya. Lalu, layang-layang itu terus dibawa mengikut arah angin, tidak pasti ke mana destinasi. Lalu entah berapa lama kemudian, redalah tiupan angin dan perlahan-lahan, layang-layang mendarat ke bumi. Barangkali itu yang terbaik buatnya, sekiranya tiada terus terang yang bakal ditemui dalam penerbangan itu.

Wahai hati! Sekiranya kamu menghadapi semua situasi di atas, ketahuilah bahawa semua ini adalah ujian dari Tuhan yang menciptakanmu. Sekiranya kamu mengakui bahawa Tuhan itu Maha Besar, akuilah juga bahawa Dia layak untuk mengujimu dan kamu pula layak diuji. Seterusnya, terimalah ujian itu dengan sabar, dalam keadaan kamu menyedari bahawa ada hikmah yang bakal bertamu, Mungkin hari ini, esok, minggu hadapan, bulan hadapan, tahun hadapan, dan mungkin juga hikmah sudah hadir. Sulamilah juga dengan doa supaya ditabahkan hati untuk menghadapi segala bentuk ujian yang bertandang

Kata bijak pandai, sekiranya kita diberi limau yang masam, buatlah jus limau. Dipetik dari:

Bersabarlah wahai hati!

Tamatlah sudah Nota Hati Buat Hati.

Followers