Thursday, December 23, 2010

Mari Berkunjung Ke Blog Mahasiswi SMPK Setapak

Mungkin sudah terlewat bagi saya untuk memperkenalkan blog ini. Tetapi, bukankah lebih baik lewat daripada tiada? Atas sebab itu, Di sini, saya ingin memperkenalkan satu lagi blog yang dikendalikan oleh seorang bekas pelajar SMPK Setapak, iaitu saudari Norhayu Sapri yang kini bergelar mahasiswi di UITM Melaka.

Semasa bersekolah di SMPK Setapak, beliau merupakan pelajar yang cemerlang dalam pelajaran. Selain itu, keperibadian dan tingkah lakunya yang baik telah melayakkannya untuk dipilih sebagai Ketua Pengawas Sekolah. Beliau juga sangat disegani oleh guru-guru dan rakan-rakannya atas sebab ini. Di akhir zaman persekolahannya di SMPK Setapak, beliau telah berjaya memperoleh keputusan SPM yang cemerlang.

Bagi sesiapa yang ingin mengunjungi blognya, alamat blognya ialah:
www.gadissepi.blogspot.com.
Anda boleh klik pada pautan di atas untuk sampai ke blog tersebut atau klik pada "Norhayu Sapri" di ruangan "Blog Sahabat Dan Guru". Bagi pengguna JAWS pula, anda boleh tekan "H" sehingga sampai di heading untuk "blog Sahabat Dan Guru". Seterusnya, tekan down arrow dan kemudian enter pada "Norhayu Sapri".

Selamat datang ke dunia siber saya ucapkan kepada Saudari Norhayu Sapri! Semoga anda memanfaatkan dunia siber ke arah kebaikan.

Terima Kasih SMPK Setapak Dan Semua Warganya

Sekolah Menengah Pendidikan Khas, Setapak. Demikianlah nama sekolah yang telah menjadi tempat saya menimba ilmu selama lima tahun. Bermula dari tingkatan 1, iaitu pada tahun 2006, saya telah melangkah dari alam sekolah rendah ke alam sekolah menengah. Sepanjang berada di sana, pastinya terdapat banyak kenangan yang sukar untuk saya lupakan, sama ada yang pahit mahupun yang manis.

Kini pada penghujung tahun 2010, sudah sampai masanya untuk saya meninggalkan sekolah yang banyak berjasa itu. Dengan berakhirnya peperiksaan SPM pada 20 Disember 2010, berakhirlah status saya sebagai pelajar di sekolah itu. Yang hanya tinggal untuk saya oleh sekolah itu hanyalah seribu satu kenangan, segala ilmu pengetahuan yang saya perolehi, dan jasa serta pengorbanan daripada semua warganya.

Dengan menggunakan ruang internet yang diperuntukkan kepada saya ini, saya, sebagai wakil kepada semua pelajar tingkatan 5 tahun 2010 ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua warga SMPK Setapak yang telah banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit bagi memastikan kami memperoleh yang terbaik sepanjang kami berada di sana. Pertama sekali, setinggi-tinggi penghargaan kami rakamkan buat semua guru yang telah berusaha sedaya upaya untuk menyalurkan ilmu pengetahuan kepada kami dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai perantaraan dalam menyalurkan ilmu dari Tuhan.

Seterusnya, kami juga amat berterima kasih kepada semua staf sokongan yang telah banyak menghulurkan bantuan kepada kami dan guru-guru bagi melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran di samping menjayakan program-program yang dijalankan sepanjang tahun. Akhir sekali, ucapan terima kasih ini kami tujukan kepada semua warga SMPK Setapak yang telah memberikan segala bentuk bantuan atau pertolongan, sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk kemudahan kami.

Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan kalian adalah amat besar dan tidak mungkin akan terungkap dengan tulisan ini. Namun, semua itu akan kekal mekar dalam ingatan kami sebagai koleksi kenangan yang indah. Sebelum mengakhiri tulisan ini, kami ingin memohon maaf dari hujung rambut ke hujung kaki andai kami ada tersalah perlakuan, terkasar bahasa dan seumpamanya. Kepada guru-guru, kami mohon supaya halalkanlah segala bentuk ilmu pengetahuan yang kalian curahkan kepada kami agar ilmu tersebut berkat buat kami untuk dimanfaatkan hingga ke akhir hayat.

Sebagai mengakhiri tulisan ini, izinkanlah saya menyampaikan serangkap pantun:

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kami menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita bertemu lagi.

Saturday, November 20, 2010

Catatan Pada Jadual SPM

Selasa, 23 November 2010
Tarikh pertama ujian bertulis
Bermulalah perjuangan mencari masa depan
Demi hidup yang lebih terjamin
Agar hidup terbela akan bermakna.

“Adakah kertas putih ini
Dikatakan tercatat perjuangan masa depan?
Adakah dakwat hitam dan titik braille ini
Menjadikan catatan ini lengkap?
Adakah Helaian ini
Wajib dipatuhi demi kecemerlangan?”

Jika ujian ini menentukan segalanya
Hancurlah masa depan mereka
Mereka-mereka yang terlantar koma
Mereka-mereka yang tak mampu menghadirinya
Biarpun sebenarnya
Ilmu sudah penuh di dada
Dengan usaha yang tanpa mengenal jemu.

Isnin, 20 Disember 2010
Berakhirlah perjuangnn memburu masa depan
Tidak kira setebal mana penyesalan
Dan oleh itu
Jagalah diri sebaiknya
Demi mematuhi catatan itu
Supaya pohon-pohon kecemerlangan mampu berbuah.

(Sajak ini hanya sekadar ditulis untuk mengisi masa lapang dan sebagai renungan pembaca. Terpulanglah kepada anda untuk mentafsirmya.)

Sunday, August 01, 2010

Seorang Lagi Blogger SMPK

Pada kali ini, saya ingin memperkenalkan seorang lagi blogger SMPK yang baru sahaja mewujudkan blognya. Beliau ialah Low Kian Tat yang merupakan rakan setingkatan saya di sekolah, iaitu tingkatan 5.

Di sekolah, beliau merupakan seorang pengawas perpustakaan. Selain itu, perwatakannya yang periang dan senang menghulurkan bantuan ketika diperlukan membuatkan beliau disenangi oleh rakan-rakannya.

Saya sempat mengunjungi blognya dan mendapati sudah ada perkara yang disampaikan olehnya. Beliau telah menceritakan serba sedikit mengenai dirinya yang telah hilang penglihatan sepenuhnya akibat jangkitan kuman pada matanya. Menurutnya lagi, rakan-rakannya tidak membezakan dirinya yang memiliki sedikit penglihatan pada masa dulu dan dirinya yang hilang penglihatan sekarang. Bagi saya, tentu beliau berasa beruntung mendapat sahabat yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

Untuk mendalami apa yang ingin disampaikan oleh beliau, saya mencadangkan supaya anda mengunjungi blognya. Alamat blognya ialah:
. Anda juga boleh mengunjungi blognya dengan klik pada pautan “Night Angel” yang terdapat di ruangan Blog Pilihan pada bahagian bawah halaman blog ini.

Kepada Low Kian Tat, saya mengucapkan selamat datang ke dunia ICT yang tiada sempadan ini. Semoga anda dapat memanfaatkan blog anda ke arah perkara yang membawa kebaikan.

Friday, July 23, 2010

Menghadiri Program Eksplorasi Sejarah MTD 2010

Pada 22 Julai 2010 (Khamis), 4 pelajar dari sekolah saya termasuk saya dan seorang guru pengiring telah menghadiri Program Eksplorasi Sejarah MTD (Maktab Tentera Diraja) 2010 di Dewan Tun Templer, MtD. Tujuan pelaksanan program ini adalah untuk mendedahkan cara-cara belajar sejarah yang efektif di samping menerangkan teknik menjawab soalan untuk SPM.

Kami telah bertolak dari sekolah pada jam seawal 6.45 pagi dan tiba pada jam 7.30 pagi di Dewan Pendekar, Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM). Setelah kami masuk ke dalam dewan yang dilengkapi dengan pendingin hawa itu dan mendapatkan tempat duduk, kami dapati sudah ada 4 putera MTD (pelajar) yang sedang menunggu kedatangan kami. Pada mulanya, kami bersalaman dan berkenalan dengan mereka. Tidak lama kemudian, barulah saya diberitahu oleh salah seorang daripada putera MTD tersebut bahawa kami sedang berada di Dewan UPNM dan bukannya Dewan Tun Templer. Hal ini kerana Dewan Tun Templer sedang dibaik pulih mulai minggu lepas. Saya rasa, kalau mereka tak beritahu, tentu saya tak mengetahui hal ini sampai bila-bila memandangkan penglihatan saya yang terhad ini kurang membolehkan saya untuk menyedari hal ini. Terima kasih saya ucapkan!

Tidak lama kemudian, program pun dimulakan dengan ceramah daripada seorang guru Sejarah MTD tentang kaedah belajar dan cara membuat nota efektif untuk Sejarah. Saya mendengar dengan teliti apa yang disampaikan. Selepas itu, aktiviti diteruskan lagi dengan ceramah daripada seorang guru Sejarah. Kali ini, fokus lebih diberikan terhadap teknik menjawab Sejarah SPM dan diselitkan juga topik dan subtopik penting Sejarah untuk SPM 2010. Saya menyukai cara penyampaian ceramah guru ini kerana disampaikan dengan penuh semangat, seakan-akan guru itu yang bakal menduduki SPM tahun ini walaupun ada kalanya, suaranya terlalu kuat sehingga menyakitkan telingga.

Selesai sahaja ceramah tersebut, kami diberitahu bahawa kaedah perbincangan 1 + 1 akan digunakan bagi meneruskan program di mana seorang putera MTD akan menjadi tutor kepada seorang peserta program. Tajuk-tajuk yang diberi perhatian pada program kali ini ialah daripada bab tingkatan 5. Melalui penerangan yang diberikan, saya dapati bahawa putera-putera MTD mampu mengingati fakta-fakta sejarah dengan baik. Menurut mereka, kaedah berbentuk akronim dan peta minda banyak membantu mereka mengingati sesuatu fakta sejarah. Ada juga antara pelajar MTD yang menggabungkan fakta sejarah untuk membentuk cerita.

Pada lebih kurang jam 2.10 petang, iaitu selepas beberapa jam pelajar MTD berkongsi ilmu dengan kami, acara penutupan pun dimulakan. Sekali lagi guru sejarah kedua yang memberi ceramah itu menekankan topik penting untuk SPM tahun ini. Selain itu, beliau juga ada menyentuh tentang kata tugas dalam soalan esei seperti “nyatakan”, “terangkan” dan “senaraikan”. Melalui penerangannya itu, saya kini lebih memahami cara menjawab soalan esei dengan betul. Pada jam 2.30 petang, program pun tamat dan semua peserta termasuk kami pun bersurai. Sebelum itu, kami sempat bersalaman dengan rakan baru kami pada hari itu.

Secara keseluruhannya, saya berasa gembira dan beruntung kerana dipilih untuk menghadiri program ini. Hal ini kerana banyak ilmu baru yang dapat saya perolehi di samping dapat menambah kenalan. Namun, seperti kata salah seorang guru MTD, tidak ada gunanya jika hanya 4 orang dari setiap sekolah yang dipilih ini yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sejarah sedangkan keseluruhan pelajar tingkatan 5 yang akan menduduki SPM adalah jauh lebih ramai daripada itu. Maksudnya ialah mereka yang dipilih untuk program kali ini perlu berkongsi ilmu baru yang diperolehi ini dengan mereka yang tidak dipilih supaya peratus kecermelangan keputusan Sejarah SPM tahun ini dapat ditingkatkan. Saya akan berusaha untuk berkongsi apa yang saya perolehi dengan mereka yang tidak menghadiri program ini supaya dapat sama-sama berjaya.

Sebelum saya mengakhiri Posting ini, saya ingin berkongsi tentang satu blog yang saya perolehi alamatnya semasa mengikuti program ini. Blog ini mengandungi pelbagai bahan berkaitan sejarah seperti soalan topikal dan fokus penting SPM 2010. Walaupun saya sendiri belum lagi menerokai kandungan blog itu sepenuhnya, saya percaya blog ini sangat membantu berdasarkan komen-komen yang sempat saya baca. Saya sangat mengalu-alukan kunjungan ke blog ini khususnya kepada pelajar SPM di sekolah saya mahupun pelajar SPM di seluruh negara. Alamat blog tersebut ialah:
. Sesiapa yang ingin mengunjungi blog ini boleh berbuat demikian sama ada dengan klik “link” di atas atau mencari link “Blog Sejarah Cemerlang” pada ruangan “Blog Pilihan” dalam blog saya.

Selamat maju jaya rakan-rakan SPM 2010!

Hari Koperasi Sekolah Saya

Hari Koperasi Sekolah Saya

Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf kerana sudah sebulan lebih saya tidak mengemas kini blog saya ini. Kedua, saya juga ingin memohon maaf kerana saya sepatutnya menerbitkan posting ini lebih awal memandangkan saya menghadapi masalah untuk memuatkan gambar dalam posting ini.

Pada 3 Julai 2010 (Sabtu), sekolah saya telah menyambut Hari Koperasi di peringkat sekolah. Pada hari itu, kumpulan dari MAB dan beberapa orang bekas pelajar sekolah saya telah hadir untuk memeriahkan sambutan.

Sambutan pada hari itu dimulakan dengan majlis perhimpunan rasmi yang diadakan di gelanggang serba guna sekolah. Semasa perhimpunan rasmi itu, 3 perutusan sempena sambutan Hari Koperasi telah dibaca oleh 3 orang pelajar sekolah termasuk saya. Seterusnya, pengetua sekolah telah menyampaikan ucapan perasmian penutupan Minggu Koperasi yang diadakan dari 28 Jun 2010 sehingga hari ini. Selepas selesai perhimpunan, acara menanam pokok yang diketuai oleh pengetua sekolah telah berjalan lancar. Acara ini adalah sebagai simbol sambutan Hari Koperasi Sekolah.





Selepas itu, jualan pun dimulakan. Seperti tahun-tahun sebelumnya, setiap kelab permainan, persatuan dan badan beruniform perlu mengadakan jualan pada hari itu. Hasilnya, pelbagai jenis barang dijual pada hari itu. Antaranya termasuk makanan, minuman dan barang-barang lain. Kepelbagaian jenis jualan ini telah berperanan untuk memeriahkan sambutan pada hari itu.





Semasa jualan berlangsung, pertandingan iklan koperasi telah dijalankan. Peserta pertandingan iklan telah menyampaikan iklan mereka dengan baik dan iklan tersebut mempunyai keunikannya yang tersendiri. Ramai yang kelihatan bersorak selepas selesai setiap iklan yang disampaikan.

Sambutan turut dimeriahkan lagi dengan penglibatan Kelab DJ sekolah. Beberapa orang pelajar dan seorang guru telah bertindak sebagai DJ sepanjang tempoh jualan berlangsung. Pembacaan dedikasi yang telah dikirim dan memutarkan lagu pilihan telah dilakukan oleh DJ tersebut. Selain itu, mereka juga telah membantu mempromosikan barang-barang yang dijual oleh setiap kelab dan persatuan.

Selain itu, pertandingan karaoke juga menjadi sebahagian daripada acara sambutan pada hari itu. Guru-guru dan pelajar yang berminat telah menunjukkan bakat mereka dalam nyanyian.

Dengan usaha gigih dalam menjual dan bantuan daripada promosi DJ, jualan menjadi laris. Ada antara kelab yang telah menghabiskan jualan mereka sebelum tempoh jualan berakhir. Sebelum sambutan berakhir, penyampaian hadiah bagi pertandingan iklan dan pertandingan karaoke telah diadakan. Semua yang terlibat dengan jualan pada hari itu mengemaskan kembali peralatan dan membersihkan tapak jualan selepas jualan mereka selesai. Saya yang mendapat tahu bahawa air minuman yang dijual oleh Kelab ICT semuanya habis dijual berasa gembira dan berpuas hati.

Sambutan berakhir pada pukul 1.50 petang, iaitu mengikut waktu persekolahan memandangkan hari itu merupakan sekolah ganti. Berkat usaha daripada pelbagai pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, sambutan Hari Koperasi Sekolah berjalan lancar. Diharap objektif sambutan Hari Koperasi sekolah yang bertemakan “kreativiti dan inovasi memperkasakan koperasi sekolah” pada tahun ini akan menjadi kenyataan.

Wednesday, June 16, 2010

Meluahkan Isi Hati

Sekolah merupakan tempat kita belajar dan mencari ilmu pengetahuan agar kita menjadi seorang insan yang berguna. Oleh itu, sebagai seorang murid yang pernah berada di bangku sekolah (bersekolah), kita sepatutnya menunjukkan rasa hormat kepada sekolah. Hormat kepada sekolah yang saya maksudkan bukanlah tunduk hormat kepada bangunan sekolah, tetapi kita hormat dengan menjaga nama baiknya supaya tidak tercemar. Memang tidak dapat dinafikan bahawa tiada yang sempurna dalam dunia ini, jadi apa salahnya jika kita menerima bahawa “bumi mana yang tak ditimpa hujan”>

Sebenarnya, saya ingin berkongsi sesuatu dengan para pembaca. Sebentar tadi, tatkala saya mengunjungi satu laman web, saya terbaca sesuatu yang agak menyedihkan saya. Perkara ini ada berkenaan dengan apa yang saya sampaikan pada awal posting ini.

Saya merasakan, adalah tidak patut seorang bekas pelajar sebuah sekolah tertentu bertindak menceritakan keburukan sekolah yang menjadi tempatnya mencari ilmu pengetahuan. Namun, inilah yang saya baca sebentar tadi.

Saya tidak berhasrat untuk mendedahkan lebih lanjut mengenai isi kandungannya. Cuma, saya sedikit menyesal kerana apa yang saya baca itu berpotensi untuk dibaca oleh orang lain juga, sama ada oleh mereka yang sama sekolah dengan orang yang menulis atau sesiapa sahaja yang memahami bahasa yang digunakannya. Bukankah tindakan ini akan mencemarkan nama baik sekolah? Tambahan pula, individu tersebut menulis di halaman laman web yang berkaitan dengan sekolah tersebut.

Saya berharap tiada sesiapa yang terasa dengan apa yang saya sampaikan. Saya sekadar memberikan pendapat saya sahaja tentang perkara ini. Bagi saya, apa salahnya kita membantu menjaga nama baik sekolah sebagai membalas jasanya kepada hidup kita.

Sunday, May 23, 2010

TERIMA KASIH CIKGU!

Suatu hari, semasa mata pelajaran Sejarah, Cikgu Zakaria masuk ke kelas saya seperti biasa. Pada hari itu, saya dan rakan-rakan sekelas saya telah mempelajari tentang usaha-usaha kea rah kemerdekaan Negara.

Pada satu bahagian pengajarannya, dia telah bertanya akan maksud “mekanisme” kepada kami. Ternyata pada waktu itu, tiada sesiapa pun yang menjawab pertanyaan tersebut termasuk saya. Kemudian, dia berkata:
“Kamu semua dah tingkatan lima, kenalah tahu guna perkataan-perkataan seperti ini.” Kata-katanya itu seperti memberitahu saya bahawa saya kurang pengetahuan kerana kurang membaca. Secara tersuratnya, kata-kata itu mungkin tidak membawa makna yang besar. Namun bagi saya, secara tersiratnya, kata-kata itu diucapkan untuk memberikan kesedaran supaya mengubah diri dengan memperbanyak bacaan agar dapat mengembangkan pengetahuan.

Selepas berlakunya peristiwa tersebut, saya teringat pula pada peristiwa yang berlaku pada 28 April yang lalu. Pada hari itu, perjumpaan bagi Kelab ICT telah diadakan. Cikgu Zakaria yang juga merupakan guru yang mengajar kumpulan saya telah mengajar membuat jadual. Sebelum perjumpaan itu berakhir, dia telah menyuruh saya dan ahli kumpulan saya yang lain mengisi jadual yang mengandungi nama negeri di Malaysia, ibu negerinya dan ketua negerinya. Melalui latihan itu, saya begitu menyedari bahawa saya juga kurang pengetahuan tentang perkara ini, terutamanya bagi ketua negeri. Selain menguji pengetahuan, saya merasakan latihan ini telah memberi kesedaran kepada saya tentang betapa kurangnya pengetahuan am saya, lebih-lebih lagi pada peringkat umur saya sekarang. Tambahan pula, sebagai rakyat Malaysia, saya berasa adalah tidak sepatutnya saya kekurangan pengetahuan tentang hal yang berkaitan dengan negara sendiri.

Secara keseluruhannya, kedua-dua peristiwa ini telah banyak memberi kesedaran kepada saya untuk berazam menjadi seorang yang berpengetahuan. Saya juga sedar bahawa kelemahan yang dimiliki oleh seseorang tidak akan kelihatan sekiranya tidak diuji, seperti saya yang mengetahui bahawa banyak lagi yang perlu saya pelajari melalui peristiwa-peristiwa tersebut. Saya bertekad untuk menambah ilmu pengetahuan melalui pembacaan yang lebih banyak mengenai pelbagai perkara. Selain dapat menambah pengetahuan dan dapat mengikuti perkembangan terkini, saya fikir amalan ini juga amat berguna bagi saya memandangkan saya akan menduduki peperiksaan SPM pada bulan November nanti. Mungkin pengetahuan tambahan yang diperoleh daripada pembacaan dapat membantu saya ketika itu, terutamanya untuk menulis karangan.

TERIMA KASIH CIKGU ATAS KEINSAFAN YANG DIBERI!

Saturday, May 22, 2010

Blog Baharu

Pada kali ini, saya ingin memperkenalkan seorang lagi Blogger baharu. Dia ialah Ahmad Shahide bin Ruslan, iaitu salah seorang rakan sekelas saya. Dia telah mewujudkan blognya sejak dua bulan yang lalu, iaitu pada bulan Mac.

Di sekolah, dia merupakan seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajaran. Selain itu, dia juga memegang banyak jawatan penting di sekolah dan asrama seperti ketua pengawas dan ketua asrama. Dari segi sastera pula, dia mempunyai minat yang mendalam terhadap cerita-cerita yang berunsurkan misteri atau siasatan. Hal ini telah menyebabkan dia juga berminat untuk mengarang cerita-cerita yang berunsurkan siasatan.

Saya sempat mengunjungi blognya dan mendapati blog tersebut sudah diisi dengan salah sebuah karyanya. Saya percaya bahawa dia berpotensi untuk mengembangkan blognya dengan melihat kepada minat dan kesungguhannya untuk mendalami bidang ini.

Kepada sesiapa yang berkesempatan, silalah kunjungi blognya dan menghayati sendiri karyanya selain dapat membaca pengalaman dan ilmu pengetahuan yang dirasakannya bermanfaat untuk dikongsi bersama. Sebelum saya terlupa, alamat blognya ialah www.shidimt.blogspot.com
Anda juga boleh mengunjungi blognya dengan memilih pautan “A.Shahide” di bahagian “Blog Pilihan” dalam blog saya.

Selamat maju jaya saya ucapkan!

Friday, May 21, 2010

Perkhemahan Di Kela, Raub, Pahang

Pada 8 hingga 10 Mei yang lalu, iaitu hari Sabtu hingga hari Isnin, saya telah mengikuti satu aktiviti perkhemahan di sebuah kampung yang agak terpencil di Kela yang terletak di Raub, Pahang. Kebanyakan peserta perkhemahan ini adalah terdiri daripada pelajar tingkatan 5 dan ada juga beberapa orang pelajar tingkatan 4. Tujuan aktiviti ini adalah sebagai satu cara untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman di samping merupakan satu daripada aktiviti tahunan anjuran sekolah.

Kami bertolak ke tapak perkhemahan pada lebih kurang pukul 6 petang. Perjalanan ke sana mengambil masa yang agak lama, iaitu lebih kurang 3 jam. Pada pukul 9 malam, kami telah tiba dengan selamat ke Kampung Cedek, iaitu tapak perkhemahan kami sepanjang dua hari ini. Ketibaan kami disambut oleh beberapa orang guru pengiring sekolah yang telah tiba lebih awal. Mereka termasuk Cikgu Mazdi dan Ustaz Zamani. Selepas meletakkan semua barang yang dibawa di suatu kawasan lapang, kami pun makan malam bersama-sama. Pada masa itu, saya ada terdengar sebahagian daripada kata-kata Cikgu Mazdi bahawa di sini tiada liputan untuk telefon bimbit. Saya hanya mendengar sahaja tanpa memberikan sebarang reaksi.

Selepas makan, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil. Setiap kumpulan akan ditempatkan di sebuah teratak. Teratak-teratak yang terdapat di situ adalah diperbuat daripada buluh dan beratapkan daun nipah. Saya sempat mengambil peluang untuk menyentuh beberapa bahagian dalam teratak tersebut. Saya berasa kagum dengan binaan teratak itu. Sepanjang perkhemahan ini, kami tidur beralaskan tikar sahaja. Pada malam itu, kami dibenarkan untuk berehat awal.

Pada keesokan harinya, aktiviti senaman ringan telah dijalankan sebelum sarapan. Sewaktu menikmati sarapan, hujan mulai turun. Keadaan ini telah menyebabkan aktiviti pada pagi itu tertangguh untuk beberapa lama. Pada pukul 9 pagi, hujan mulai reda. Kemudian, kami telah diberi taklimat ringkas oleh jurulatih di situ tentang aktiviti yang akan dijalankan pada pagi itu. Selepas itu, kami telah dibawa ke sebatang sungai dengan sebuah kenderaan yang mirip sebuah lori. Semasa perjalanan tersebut, kepala saya telah tidak sengaja terlanggar dahan pokok. Hal ini membuatkan saya lebih berhati-hati. Beberapa minit kemudian, kami tiba di destinasi yang dituju. Kami telah dipakaikan dengan jaket keselamatan “life jacket” untuk aktiviti apungan dalam air “water confidence”. Ia bertujuan untuk memberi keyakinan kepada kami terhadap air. Selepas melakukannya sebanyak dua kali, kami telah dibawa menaiki kenderaan yang sama untuk ke satu lagi bahagian sungai tersebut.

Selepas kami tiba, kami telah didedahkan tentang cara mengendalikan rakit. Kami juga telah diberi peluang untuk mengendalikan rakit dengan bantuan seorang jurulatih atau guru pengiring sekolah. Saya berasa gembira kerana inilah kali pertama saya berakit. Ternyata banyak juga cabaran yang perlu ditempuhi semasa aktiviti itu. Antaranya saya terpaksa menundukkan kepala apabila melalui kawasan yang mempunyai batang pokok besar yang berupa sebuah jambatan pada paras yang rendah. Selain itu, arus sungai yang terlalu deras juga boleh membahayakan. Oleh itu, mereka yang berakit perlu turun dari rakit dan memberhentikannya supaya tidak terhanyut. Tidak cukup dengan itu, terdapat juga satu kawasan di mana tumbuhan-tumuhan yang terdapat di situ adalah terlalu rendah sehingga saya terpaksa membaringkan diri untuk mengelakkan diri daripada terkena duri pokok tersebut. Ada sekali, saya terjatuh ke dalam sungai kerana terlanggar dahan pokok yang tidak dapat dielakkan walaupun dalam keadaan berbaring. Mujurlah tempat saya terjatuh itu tidak dalam.

Setelah beberapa lama berakit, kami diberi masa untuk berehat sebelum menyambung semula. Pada masa itu, saya dan seorang rakan saya, iaitu EE Beng sempat bertanya mengenai beberapa perkara kepada salah seorang jurulatih yang ada di situ. Melaluinya, saya mendapat tahu bahawa teratak yang terdapat di tapak perkhemahan telah dibina oleh jurulatih-jurulatih tersebut dengan menggunakan kaedah ikatan dan menggunakan paku. Selain itu, rakit yang digunakan untuk meredah sungai yang dalam seperti Sungai Pahang adalah menggunakan buluh yang disusun secara bertingkat-tingkit dan berbeza dengan rakit biasa yang lebih rendah. Seterusnya, buluh yang asalnya berwarna hijau akan bertukar warna yang lebih gelap selepas lama digunakan. Oleh itu, buluh yang telah lama perlu diganti dengan yang baru.

Perbualan kami terganggu apabila kami diberitahu untuk meneruskan perjalanan rakit kami. Pada pukul 1.45 petang, kami telah tiba berhampiran tapak perkhemahan kami setelah berakit untuk beberapa jam. Selepas itu, mereka yang beragama Islam pun menunaikan Solat Zuhur dan bersama-sama menikmati makan tengah hari.

Selepas berehat untuk tempoh 1 jam, kami telah berkumpul untuk melakukan satu lagi aktiviti yang menarik. Aktiviti ini menghendaki kami untuk berjalan di atas tali, melakukan “flying fox” dan seterusnya berjalan di atas satu lagi tali. Sebelum aktiviti tersebut, kami dipakaikan peralatan yang perlu untuk keselamatan. Aktiviti ini juga merupakan pengalaman pertama saya dan saya berasa sedikit gayat apabila berjalan di atas tali tersebut yang akan bergoyang-goyang apabila dilalui. Aktiviti “flying fox” yang dilakukan dari ketinggian antara 30 hingga 50 kaki pula menyeronokkan saya kerana saya merasakan seperti sedang terbang. Perjalanan di atas tali yang kedua ini pula lebih mencabar. Tali yang ada untuk dipegang telah dikurangkan dan ini menyebabkan lebih kerap bergoyang.

Selepas semua selesai melakukan aktiviti tersebut, kami diperkenalkan dengan “cargo net” yang digunakan oleh para tentera untuk latihan menempuh halangan. Kami dikehendaki memanjat tali yang diikat seperti jaring dan turun semula setelah sampai di puncaknya. Walaupun ia tidak sesukar aktiviti sebelum ini, namun aktiviti ini tetap menyeronokkan.

Pada malam itu pula, guru-guru pengiring kami telah mengadakan acara berbalas pantun tetapi dengan cara yang berbeza. Pantun disampaikan dengan menggunakan lagu “LLLLLLLemak Manis” dan perlu dibalas dengan lagu yang sama dengan pembayang pantun sekali. Aktiviti ini agak sukar bagi saya tetapi ada juga rakan-rakan saya yang lain mampu membalas pantun tersebut. Selain menguji kepantasan berfikir, aktiviti ini juga menguji kepekaan kami terhadap keadaan sekeliling. Hal ini kerana soalan yang ditanya melalui pantun itu adalah berdasarkan kepada perkhemahan ini, seperti nama kampung, nama sungai dan nama tukang masak yang menyediakan makanan.

Selepas itu, satu lagi aktiviti telah dijalankan. Sebelum aktiviti ini, kami telah diminta untuk menutup mata dengan kain. Kemudian, kami dibawa ke suatu tempat di mana kami perlu berjalan mengikut tali dengan mata yang tertutup. Selepas selesai, kami diminta duduk di suatu sudut dan dikehendaki mendengar bunyi-bunyian semula jadi yang terdapat di situ. Seterusnya, kami diperdengarkan dengan bunyi-bunyian yang dihasilkan oleh seorang jurulatih dan kami diminta menekanya. Selepas itu, kami dibawa pulang ke tapak perkhemahan. Sebelum bersurai, kami telah didedahkan dengan mesej daripada aktiviti yang dijalankan sebentar tadi. Antara mesejnya kita perlulah peka dan dapat membezakan bunyi-bunyian semula jadi dengan yang dihasilkan oleh manusia. Hal ini adalah penting, lebih-lebih lagi apabila berada di kawasan hutan untuk mengelakkan daripada sebarang bahaya yang boleh menyumbang kepada kejadian yang tidak diingingi.

Pada keesokan pagi, iaitu hari terakhir, kami mengemaskan barang-barang untuk persiapan pulang pada tengah hari itu. Selepas itu, kami dibenarkan melakukan aktiviti bebas. Pada waktu itu, ada antara pelajar dan guru yang pergi berakit dan mandi sungai. Namun pada masa itu, saya dan beberapa orang rakan saya hanya menghabiskan masa dengan menyambung tidur dalam teratak kami. Sebelum pulang, majlis penutupan perkhemahan telah diadakan. Kami telah mendengar ucapan daripada Encik Azmi, iaitu pemilik “Kela Camp” yang berasa gembira dengan kedatangan kami berkhemah di situ. Kemudian, Cikgu Suriani pula berucap dan berterima kasih kerana kedatangan kami disambut dengan baik. Selepas majlis penutupan itu, kami pun pulang ke sekolah.

Secara keseluruhannya, perkhemahan pada kali ini telah memberikan saya banyak pengalaman manis yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Sememangnya, setiap tempat yang dijadikan kawasan perkhemahan mempunyai ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri. Oleh itu, saya berharap pihak sekolah dapat menanjurkan aktiviti perkhemahan lain pada masa akan datang di tempat yang berbeza supaya lebih banyak pengalaman baru dapat ditimba menerusi keistimewaan tempat tersebut.

Friday, April 16, 2010

Aktiviti Perkampungan Sastera

Pada 9 dan 10 April 2010, iaitu Hari Jumaat dan Hari Sabtu, sekolah saya telah mengadakan aktiviti perkampungan sastera. Mereka yang terlibat adalah terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan lima yang seramai lebih kurang 52 orang termasuk saya. Aktiviti yang baru pertama kali diadakan ini adalah anjuran Panitia Bahasa Malaysia sekolah.

Sesi pertama telah bermula pada pukul 3 petang [Jumaat], iaitu seminar teknik menjawab kertas soalan Kesusasteraan Melayu SPM yang diadakan di Bilik Media. Penceramah merupakan seorang guru yang berpengalaman menanda kertas SPM. Semasa sesi tersebut, beliau telah memberikan banyak panduan dalam menjawab soalan dan menerangkan cara untuk memperoleh markah yang tinggi dengan menggunakan teknik menjawab yang betul. Terdapat juga dalam kalangan kami yang menggunakan peluang ini untuk bertanya kepada guru tersebut tentang apa yang tidak difahami. Sesi berakhir pada pukul 5.30 petang.

Seterusnya, Bengkel Menulis Cerpen berkualiti telah disambung pada hari kedua [Hari Sabtu] jam 8 pagi. Bengkel ini juga diadakan di Bilik Media dan telah dikendalikan oleh Cikgu Shuhada yang merupakan guru Kesusasteraan Melayu di sekolah saya. Ia telah dimulakan dengan
Penjelasan tentang difinisi sebuah cerpen dan sedikit sebanyak tentang ciri-cirinya. Selepas itu, pendedahan kepada aspek-aspek yang perlu diambil kira untuk menghasilkan sebuah cerpen berkualiti telah diberi. Selepas semua penerangan selesai, semua pelajar diminta berkumpul dalam kumpulan masing-masing untuk menghasilkan sebuah cerpen dengan menggunakan panduan yang telah diberi. Pada jam 12.30 tengah hari, semua cerpen telah dihantar untuk penilaian.

Pada pukul 2 petang, semua pelajar telah berkumpul di gelanggang serba guna untuk sedikit latihan sebagai persedian untuk persembahan kumpulan pada malam itu. Pada masa itu, setiap kumpulan telah menceritakan sedikit sebanyak tentang persembahan masing-masing. Selepas itu, sejumlah kerusi telah disusun untuk kegunaan pada malam itu.

Pada lebih kurang pukul 8.15 malam, sesi kepimpinan rohani telah dikendalikan oleh Cikgu Zinaida sebagai memulakan aktiviti pada malam itu. Sesi ini bertujuan untuk memotivasikan pelajar supaya sentiasa berusaha mencapai kejayaan tanpa berputus asa. Selain itu, pengamalan nilai-nilai positif juga ditekankan kerana ia adalah penyumbang kepada kejayaan seseorang.

Selepas tamatnya sesi kepimpinan rohani, majlis penutupan pun dimulakan. Ia dimulakan dengan penyampaian satu ucapan alu-aluan dan satu ucapan perasmian penutupan. Selepas itu, persembahan bagi setiap kumpulan pun bermula. Persembahan daripada setiap kumpulan mempunyai kekuatannya yang tersendiri, yang telah menjadikan ia menarik untuk disaksikan.

Selepas menyaksikan persembahan-persembahan yang menarik daripada setiap kumpulan, acara penyampaian hadiah pun dimulakan. Hadiah yang disampaikan kepada pelajar ialah hadiah bagi pemenang penulisan cerpen dan hadiah persembahan terbaik. Kelihatan kumpulan yang beroleh kemenangan bersorak dengan gembira kerana usaha yang telah dilakukan telah membuahkan kemenangan. Menjelang hampir pukul 11 malam, majlis pun berakhir.

Secara keseluruhannya, aktiviti perkampungan sastera yang telah diadakan ini telah mendatangkan banyak manfaat. Dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti seumpama ini, ia dapat menggalakkan pelajar untuk meminati bidang kesusasteraan dan seterusnya dapat mendedahkan akan kepentingan bidang ini. Selain bertanding untuk mendapat kemenangan, pertandingan yang diadakan ini dapat mengajar pelajar cara untuk menghasilkan sebuah karya kesusasteraan yang berkualiti. Oleh itu, diharapkan aktiviti seumpama ini akan terus diadakan pada masa akan datang supaya manfaat daripadanya dapat dikongsi dengan pelajar lain yang tidak berpeluang mengikuti aktiviti ini pada kali ini.

Thursday, March 18, 2010

Belajar Mengaplikasikan HTML

PENGENALAN

Sebelum berbincang lebih jauh mengenai HTML, saya ingin berkongsi sedikit maklumat mengenainya. Untuk pengetahuan semua, "HTML" ialah singkatan bagi Hyper Text Markup Language. HTML digunakan untuk membuat halaman dalam laman web. Untuk pengetahuan semua juga, halaman laman web menggunakan HTML untuk dihasilkan dan "web Browser" seperti Internet Explorer berfungsi untuk menterjemahkan kod HTML tersebut dan memaparkan halaman tersebut. Seterusnya, saya ingin menyatakan bagaimana dapat mempelajarinya.

Langkah Seterusnya

Jika anda berminat untuk mempelajari tentang HTML dan lain-lain perkara mengenai laman web, Sila klik "link" berikut:
  • W3school.com
  • Dalam laman web ini, anda boleh mendalami ilmu HTML. Selain itu, anda juga boleh belajar beberapa lagi perkara lain seperti Javascript dan XHTML.

    Kata-kata akhir

    Saya berharap ia dapat membantu anda yang berminat mengenai perkara yang berkaitan dengan laman web dan masih belum tahu di mana untuk mempelajarinya. Saya juga telah belajar sedikit sebanyak mengenainya. Terima kasih saya ucapkan kepada W3schools.com atas ilmu yang saya peroleh ini.

    Monday, March 15, 2010

    Keputusan Kejohanan Sukan Tahunan SMPK Setapak

    Seperti yang telah dirancang, majlis penutupan kejohanan sukan tahunan telah diadakan pada 25 Februari yang lalu di gelanggang serba guna sekolah. Beberapa acara telah dijalankan pada hari itu. Antaranya ialah acara perbarisan rumah sukan, acara sukaneka dan acara hiasan rumah sukan.

    Selepas acara-acara tersebut dijalankan, satu persembahan tarian juga telah dipersembahkan untuk memeriahkan suasana. Kemudian, ia diikuti dengan acara penyampaian hadiah untuk semua acara yang telah dijalankan sepanjang kejohanan.

    Saat yang paling mendebarkan tiba juga apabila pengacara hendak mengumumkan keputusan keseluruhan kejohanan ini. Selepas keputusan tersebut diumumkan, semua kelihatan bersorak untuk rumah sukan masing-masing.

    Keputusan keseluruhan bagi kejohanan sukan tahunan adalah seperti berikut:
    Tempat ketiga: Rumah Sukan Perdana
    Naib johan: Rumah Sukan Persona
    Johan: Rumah Sukan Waja

    Selepas acara penyampaian hadiah selesai, majlis pun berakhir. Pelajar dan guru mula bersurai dengan membawa bersama perasaan masing-masing yang gembira kerana memperolehi kemenangan pada hari itu. Ada juga pelajar dan guru yang masih berada di gelanggang sekolah untuk mengemaskan tempat tersebut.

    Memperolehi kemenangan dalam sesuatu pertandingan memang diharapkan oleh semua peserta. Namun begitu, tidak mungkin semua peserta yang bertanding akan memperolehi kemenangan. Oleh itu, usaha kea rah kemenangan perlu tinggi dan berterusan untuk mencapainya. Kejohanan sukan tahunan yang memang diadakan pada setiap tahun bukan sahaja dapat mencungkil bakat dalam sukan, tetapi ia juga dapat menggalakkan peserta untuk berusaha bagi memperbaiki prestasi masing-masing dalam sukan. Oleh itu, acara ini perlu diteruskan supaya pelajar mendapat manfaat daripadanya.

    Friday, February 19, 2010

    Lawatan Ke Sekolah Rendahku

    Sungguhpun telah lama terpisah, suatu hubungan yang rapat tidak akan terputus begitu sahaja. Kenyataan ini telah mendorong saya dan dua orang rakan yang lain untuk melawat sekolah rendah kami memandangkan kami masih bercuti. Sememangnya jasa dan pengorbanan khususnya guru-guru yang pernah mengajar kami adalah amat besar dan tidak akan luput dari ingatan. Kerana curahan bakti merekalah kami mampu melangkah ke peringkat yang lebih tinggi dalam pelajaran.

    Pada pagi itu, 3 orang termasuk saya telah bertolak ke Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Seremban dari rumah masing-masing. Lebih kurang pukul 8.45 pagi, kami telah berjumpa di sana. Guru-guru yang mengenali kami terus menghampiri kami dan bertanya khabar. Selain itu, mereka juga bertanya tentang pelajaran kami di sekolah menengah.

    Selepas itu, kami berkumpul di kelas kami dahulu semasa kami belajar di sekolah itu. Oleh sebab kami lebih rapat dengan guru-guru yang mengajar kami, timbullah bermacam-macam topik perbualan. Dimulakan dengan bertanya khabar, bertanya tentang pelajaran, keaadaan sekolah menengah dan diikuti dengan perancangan masa depan. Selain itu, guru-guru tersebut juga menceritakan serba sedikit tentang sekolah itu semenjak kami meninggalkan. Pada waktu itu, saya sempat juga meneliti perubahan yang telah berlaku. Perabot seperti kerusi, meja dan almari telah digantikan dengan yang baharu. Apa yang lebih mengharukan saya ialah terdapat hasil-hasil seni kami masih disimpan dan dijaga dengan baik.

    Perbualan antara kami dengan guru-guru tersebut juga diselang-seli dengan kata-kata nasihat supaya kami belajar bersungguh-sungguh demi masa depan. Melalui kata-kata nasihat itu, saya dapat merasakan harapan mereka cukup tinggi untuk kami dalam mencapai kejayaan. Oleh itu, kami tidak sepatutnya mengecewakan mereka yang telah banyak berkorban tenaga untuk kami. Ada kalanya, perbualan kami juga dihiasi dengan jenaka. Perwatakan mereka tidak berubah, tetap peramah dan mesra seperti dahulu.

    Apabila saya berada di tempat yang berbeza dalam kawasan sekolah itu, pasti akan teringat kenangan lama yang berlainan, sama ada kenangan pahit atau manis. Pasti rakan-rakan saya yang lain juga begitu. Pada hari ini, kami berpeluang untuk bertemu dengan rakan lama yang masih bersekolah di situ. Mungkin disebabkan faktor masa, hubungan kami sudah tidak seperti dulu. Mereka hanya bercakap hanya apabila diajukan dengan soalan. Namun, itu bukanlah penghalang untuk menjalin semula persahabatan seperti dahulu.

    Kami meninggalkan sekolah itu pada pukul 11.55 pagi, iaitu waktu tamatnya persekolahan. Sebelum itu, kami telah bersalam-salaman dengan guru-guru yang kami temui sambil terus mendengar kata-kata nasihat yang tidak jemu-jemu diucapkan. Selepas itu, barulah kami menuju pintu pagar sekolah untuk pulang.

    Sebenarnya, kami menjangkakan 6 orang akan turut serta dalam lawatan pada hari ini. Oleh sebab masalah jarak tempat tinggal dan masalah-masalah lain, hanya 3 orang sahaja yang dapat turut serta. Namun, ini tidak bermakna mereka yang tidak turut serta engan berjumpa rakan lama dan guru di sekolah itu. Saya teringat di satu bahagian perbualan kami tadi, seorang rakan saya berkata bahawa tiada sekolah ini, tiadalah kami di sekolah menengah. Bagi saya, ini bukanlah satu kata-kata kosong sahaja. Ia menunjukkan betapa besarnya jasa dan pengorbanan guru di sekolah untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam pelbagai bidang. Walaupun kami telah sekali lagi eeninggalkan bumi sekolah yang berjasa ini, namun kenangan yang tercipta di sana akan terus tertinggal di dalamnya. Semoga pada suatu hari nanti, kami dapat melawat lagi dan diharap mereka yang tidak turut serta pada hari ini juga dapat hadir bersama-sama.

    Thursday, February 18, 2010

    berita Terkini: Sukan Tahunan SMPK Setapak

    Pada kali ini, saya ingin berkongsi berita terbaru mengenai sukan tahunan sekolah.

    Setakat hari ini, kedudukan markah bagi setiap rumah sukan adalah seperti berikut:
    Rumah Perdana: 170 markah
    Rumah Persona: 188 markah
    Rumah Waja: 190 markah

    Dengan hanya melihat kedudukan markah di atas, sudah jelas tempat teratas diduduki oleh Rumah Waja. Namun begitu, ada beberapa acara lagi yang belum dijalankan atau belum selesai. Antaranya ialah acara melontar peluru, pertandingan goalball antara rumah sukan dan yang paling penting ialah acara perbarisan rumah sukan. Oleh itu, masih ada lagi peluang untuk setiap rumah sukan untuk mengubah kedudukan masing-masing.

    Bagi Rumah Perdana, kedudukannya adalah agak jauh ketinggalan daripada rumah-rumah lain. Namun begitu, acara-acara yang masih belum selesai mungkin dapat menyelamatkan keadaannya. Apa yang penting ialah semangat kesukanan yang lahir dalam diri setiap peserta dalam acara tersebut. Mungkin masih ada sinar harapan yang tinggal untuk menjadi juara pada hari akhir nanti.

    Bagi Rumah Persona pula, mereka telah berjaya agak jauh meninggalkan Rumah Perdana dari segi markah. Namun, ahlinya perlu berjaga-jaga dan jangan lalai. Jika tidak, mungkin mereka pula yang akan diatasi. Dalam usaha untuk merebut kejuaraan pada hari akhir, semangat daripada ahli adalah penting serta usaha ke arah peningkatan. Lakukanlah yang terbaik untuk rumah.

    Manakala, bagi Rumah Waja pula, setakat ini mereka menduduki tempat teratas. Sungguhpun begitu, mereka tidak boleh cuai dengan kedudukannya ini. Ahlinya perlu mengekalkan semangat dan usahanya supaya dapat mengekalkan kedudukannya pada hari akhir nanti. Hal ini kerana acara-acara yang masih belum selesai boleh mempengaruhi kedudukannya. Oleh itu, lakukanlah yang terbaik dalam acara yang masih tinggal itu.

    Kejuaraan dalam sesuatu pertandingan sememangnya menjadi impian setiap yang bertanding. Oleh itu, usaha dan semangat yang tinggi perlu ada supaya dapat merealisasikan impian masing-masing. Selain itu, persaingan yang berlaku perlulah sihat dan adil supaya kejuaraan yang diperoleh akan menjadi sesuatu yang sangat bermakna. Marilah sama-sama berusaha sehingga hari akhir sukan tahunan pada 25 Februari nanti.

    Wednesday, February 17, 2010

    Banyaknya Acara!!!

    Pada hari Khamis yang lalu [11 Februari], sekolah saya telah mengadakan acara akhir untuk acara balapan dan acara padang di padang UIA. Semua pelajar dibawa ke situ dengan menaiki bas sekolah pada pukul 8 pagi.

    Semasa dalam perjalanan, saya hanya melayan perasaan saya sahaja. Saya sebenarnya kurang berminat untuk masuk acara yang begitu banyak. Untuk pengetahuan semua, saya dikehendaki mengambil bahagian dalam acara lumba lari 200 meter, 100 meter dan 4 kali 100 meter. Bagi acara padang pula, saya dipilih untuk acara lompat jauh dan merejam lembing. Bilangan acara yang agak banyak ini disebabkan saya diminta menggantikan tempat seorang rakan saya yang telah pulang lebih awal ke rumah.

    Setelah selesai acara lumba lari 800 dan 400 meter, acara 200 meter pun dimulakan. Saya mula berasa gementar, lebih-lebih lagi ketika sebelum wisel ditiup. Walaupun larian saya tidaklah pantas, namun saya mampu juga menghabiskannya. Kemudian, ia diikuti dengan acara 100 meter. Sama sahaja seperti tadi, cuma rasa gementar sudah sedikit berkurang. Selepas berehat selama lebih kurang 10 minit, acara 4 kali 100 meter dimulakan. Saya masih ingat lagi semasa waktu rehat itu, saya telah mengambil sebungkus makanan yang terdiri daripada dua jenis kuih. Kuih yang pertama saya makan tanpa halangan. Apabila separuh daripada kuih kedua dihabiskan, seseorang menegur dengan berkata: "Nanti awak ada acara 4 kali 100 meter kan"? Saya sekadar mengangguk tanda mengiyakan. Kemudian, orang yang menegur saya tadi menyuruh saya menyimpan dahulu makanan saya kerana katanya, nanti muntah masa lari. Memandangkan saya telah hampir menghabiskan makanan itu, saya terus memakannya. Apabila dia melihatnya, orang tadi berkata sesuatu dan beredar. Saya merasakan seperti dia kurang berpuas hati. Tak apalah, biarkanlah yang telah berlalu.

    Seperti yang telah dirancang, acara 4 kali 100 meter dimulakan. Sebenarnya, saya mengharapkan supaya saya diletakkan sebagai pelari pertama. Namun, harapan saya itu hancur apabila ada orang memberitahu saya bahawa saya diletakkan sebagai pelari kedua. Saya mula berasa kurang senang dengan berita itu. Hal ini kerana bagi saya, pelari yang kurang pantas seharusnya diletakkan di hadapan manakala pelari yang pantas di belakang. Apa gunanya jika dua orang pelari yang pantas diletakkan di permulaan dan diambil alih oleh yang kurang pantas pada akhir acara. Tentu membazir kan? Tapi, saya hanya akur sahaja. Akhirnya, acara balapan telah selesai tanpa saya tahu keputusan rasmi mengenai pemenang bagi semua acara yang saya sertai.

    Kemudian, acara padang pula menyusul. Mula-mula saya merejam lembing. Seperti yang saya jangka, mata lembing jatuh tidak jauh di hadapan saya sahaja. Kalau orang yang tidak dapat melihat pun boleh tahu daripada bunyi jatuhan itu. Semua rejaman telah dilakukan untuk mengakhiri acara itu. Kemudian, langkah saya dihalakan ke padang lompat jauh yang menjadi tempat acara akhir saya pada hari itu dijalankan.

    Acara lompat jauh dijalankan di bawah sinaran terik cahaya matahari yang sangat terik. Sebelum memulakan lompatan, saya telah berkata kepada seorang rakan saya bahawa saya bercadang untuk berkaki ayam semasa acara. Saya ingat lagi jawapannya: "hmm, suka hati awaklah." Setelah menunggu giliran untuk beberapa ketika, akhirnya tiba juga giliran saya. Setelah sampai di situ, tanpa disangka kepanasan sinaran matahari bagaikan membakar tapak kaki saya. Saya tidak menjangka akan sepanas ini. Namun, lompatan pertama saya telah terganggu dengan panas yang menikam tapak kaki dan desakan guru yang meminta supaya segera melakukannya. Semasa lompatan kedua, barulah saya berpeluang memakai kasut semula. Barulah selesa sedikit untuk melompat. Akhirnya, acara tamat dengan keputusan rasminya masih tidak diberitakan.

    Selepas makan tengah hari, pelajar pun dibawa pulang ke sekolah dengan bas sekolah yang sama. Acara yang banyak ini sememangnya memenatkan saya tetapi saya sudah tidak menyesalinya lagi. Saya sedar bahawa inilah sukan tahunan terakhir saya di zaman persekolahan saya. Mungkin saya tidak akan mempunyai banyak peluang lagi untuk mengambil bahagian dalam acara sukan seperti sekarang. Semoga sukan tahunan kali terakhir ini memberi pengalaman dan kenangan yang manis kepada saya dan rakan-rakan saya yang lain.

    Program Bersama Pelajar Dari UIA

    Pada 7 Februari yang lalu, iaitu Hari Ahad, sekumpulan pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa telah datang ke sekolah saya untuk mengadakan satu program. Mereka adalah seramai 24 orang dan terdiri daripada pelajar perempuan dari universiti berkenaan.

    Sebelum tibanya hari kedatangan mereka itu, kami {pelajar SMPK Setapak} telah dimaklumkan lebih awal akan kedatangan pelajar-pelajar dari UIA itu. Pada mulanya, saya terutamanya berasa tidak gembira dengan berita tersebut kerana kebetulan Hari Sabtu pada minggu merupakan hari sekolah ganti. Hal ini bermakna dalam seminggu, pelajar tidak bercuti. Walaupun begitu, saya tetap berharap program yang akan diadakan itu mampu menggembirakan saya.

    Pada pagi Ahad itu, Semua pelajar telah menunggu lebih awal di gelanggang goalball. Lebih kurang pada pukul 9 pagi, pelajar dari UIA pun tiba. Setelah itu, aktiviti pun dimulakan dengan pembahagian kumpulan. Pembahagian kumpulan adalah secara rawak dan bilangannya tidak tentu. Kesudahannya, kumpulan saya terdiri daripada 7 orang dan semuanya adalah pelajar lelaki. Kak Hafizah dan Kak Sakinah merupakan fesi dalam kumpulan saya.

    Selepas itu, setiap kumpulan diberi kebebasan untuk membuat aktiviti sehingga pukul 12 tengah hari. Kumpulan saya telah memilih untuk berada di dalam salah sebuah kelas kerana lebih selesa. Pada mulanya, kami {ahli kumpulan} memberi dan menjawab teka-teki dengan kakak fesi. Banyak juga teka-teki yang diajukan. Salah satu yang masih segar dalam ingatan saya ialah "apakah makanan yang sebelum dimakan, ia berwarna hijau, semasa dimakan ia berwarna merah dan selepas dimakan, ia berwarna hitam." Ia diajukan oleh salah seorang ahli kumpulan kepada kakak fesi. Apabila melihat mereka tidak dapat menjawab, kami pun memberikan jawapannya, iaitu buah tembikai. Kepada pembaca, fikirkanlah sebabnya!!!

    Kemudian, kami juga berkongsi pelbagaijenis cerita. Selepas memperkenalkan diri dengan lebih lanjut, topik cerita mula tertumpu kepada cerita-cerita hantu yang pernah didengar. Cerita yang agak banyak sudah cukup untuk sampai pukul 12 tengah hari. Kemudian, kami dan pelajar lain pun makan tengah hari.

    Selepas hampir 2 jam berehat, iaitu pada pukul 2 petang, semua pelajar berkumpul di gelanggang semula. Kemudian, setiap kumpulan dikehendaki mereka satu "trademark" untuk kumpulan masing-masing. Ternyata, semua kumpulan dapat melakukannya dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.
    Setelah itu, setiap kumpulan perlu mempersembahkan "trademark" masing-masing.
    Selepas mencurahkan bakat masing-masing dalam mereka cipta "trademark" kumpulan, sesi soal jawab pula menyusul. Soalan yang diajukan adalah dari segi perbendaharaan kata Bahasa Inggeris, pengetahuan am dan keagamaan. Melalui pemerhatian saya, kumpulan pelajar dari UIA ini sedang menjalankan satu kajian. Namun begitu, saya tidak pasti jenis kajian itu. Saya dapat merasakannya apabila seorang pelajar sekolah diminta untuk melafazkan tiga surah pendek.

    Pada lebih kurang 3.50 petang, aktiviti terakhir dijalankan. Setiap kumpulan dikehendaki untuk memikirkan cara bagaimana untuk mengungkapkan penghargaan kepada kakak fesi dalam kumpulan. Semasa dalam pertengahan perbincangan, kumpulan saya bercadang untuk menyanyikan sebuah lagu ciptaan sendiri sebagai persembahan. Selepas minum petang pada pukul 4 petang, kami pun berlatih untuk persembahan itu.

    Setelah tiba saat untuk menghayati persembahan, hujan turun membasahi Bumii. Hal ini menyebabkan ada kalanya persembahan yang berbentuk ucapan terutamanya sukar untuk didengari. Ternyata, setiap kumpulan mempunyai kreativitinya yang tersendiri. Ada yang membuat ucapan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Ada juga yang mendeklamasikan sajak dan ramai juga yang memilih untuk menyanyi. Semuanya berjalan lancar walaupun hari hujan. Persembahan lagu yang masih belum diberi tajuk oleh kumpulan kami juga berjalan lancar.

    Sudah menjadi adat dalam setiap pertemuan. Sesungguhnya, setiap pertemuan pasti akan mengalami perpisahan. Namun begitu, sebelum berpisah, kami sempat mengambil gambar bersama-sama untuk dijadikan kenangan. Lebih kurang pukul 5 petang, program pun berakhir dan pelajar dari UIA pun pulang.

    Sungguhpun kelihatan tiada cuti pada minggu itu, saya tetap berasa gembira. Walaupun sedikit memenatkan, saya tetap berpuas hati dengan program pada hari itu. Teringat pula saya pada pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Hal ini kerana sebelum program ini, saya merasakan ia amat membosankan. Tetapi, selepas selesai program ini, saya berasa amat gembira. Oleh itu, saya dapat simpulkan di sini bahawa kita perlu mengalami sesuatu terlebih dahulu sebelum menilai perasaan kita selepas melakukannya. Saya berharap program seumpama ini akan diadakan lagi untuk menambah pengalaman.

    Monday, February 08, 2010

    Penggunaan Singkatan Dalam Sistem Tulisan Braille

    Pada kali ini, saya ingin berkongsi sedikit pendapat saya tentang tulisan Braille. Seperti yang diketahui, setiap pelajar cacat penglihatan perlu didedahkan dengan system tulisan Braille supaya mereka dapat mengikuti pelajaran dengan berkesan. Selain itu, penguasaan terhadap tulisan Braille juga membolehkan pelajar membaca bahan bacaan dalam tulisan Braille sama ada untuk tujuan mengulang kaji atau untuk menambahkan ilmu pengetahuan.

    Bagi golongan cacat penglihatan yang mahir dengan system tulisan Braille, tentu sekali mereka tahu tentang singkatan dalam tulisan Braille. Singkatan ini bukan sahaja dapat menyingkatkan masa yang diambil untuk mencatat, malah ia mampu menjimatkan penggunaan kertas. Oleh itu, singkatan tersebut akan diajarkan kepada pelajar yang telah agak mahir dengan tulisan Braille.

    Setelah bertahun lamanya saya menggunakan system tulisan Braille, saya mula ada pendapat sendiri tentang penggunaan singkatan. Bagi saya, ia memang membawa banyak kebaikan. Namun begitu, saya mula menyedari sesuatu. Penggunaan singkatan sebenarnya ada keburukannya yang tersendiri. Pertama, seseorang yang cenderung menggunakan singkatan mungkin akan menghadapi masalah untuk mengeja sesuatu perkataan. Sebagai contoh, perkataan “sungguh” boleh disingkatkan dalam tulisan Braille dengan hanya membraille titik 4 5 6 dan diikuti dengan huruf S. Jika dibandingkan dengan ejaan penuhnya, ia memang sangat singkat. Penggunaan singkatan seperti ini secara berpanjangan akan sedikit sebanyak memberi kesan kepada pengguna untuk mengeja perkataan tersebut secara penuh. Mungkin mereka dapat mengeja, tetapi tersilap sedikit atau sebagainya.

    Bagi saya, masalah mengeja perkataan akibat daripada penggunaan singkatan Braille Bahasa Melayu tidaklah begitu serius. Hal ini kerana singkatan Bahasa Inggeris boleh mendatangkan masalah mengeja yang lebih buruk kerana cara ejaan perkataan yang sedikit berbeza berbanding dengan Bahasa Melayu. Misalnya, perkataan “receive” boleh diwakili dengan huruf RCV dalam tulisan Braille. Hal ini bermakna singkatan ini tidak menunjukkan ejaan sebenar sesuatu perkataan yang disingkatkan. Saya memilih perkataan “receive” sebagai contoh kerana saya juga sentiasa keliru dengan ejaan perkataan ini. Saya selalu menyangkakan ejaan perkataan itu ialah “recieve” yang sebenarnya tidak betul. Oleh sebab kekeliruan saya ini, saya telah menyedari masalah ini yang terjadi akibat penggunaan singkatan.

    Namun begitu, masalah ini tidak seharusnya dijadikan halangan kepada golongan cacat penglihatan untuk mencapai kejayaan. Singkatan bukanlah bermakna seseorang itu tidak perlu tahu akan ejaan perkataan yang disingkatkan. Kita perlulah peka dengan ejaan perkataan tersebut. Mungkin sewaktu menggunakan tulisan Braille kita tidak menyedari kepentingannya, tetapi apabila dikehendaki untuk menaip dalam komputer, barulah kita sedar akan kepentingannya. Oleh itu, kita perlulah menguasai ejaan selain menguasai singkatan supaya seseorang yang cacat penglihatan dapat menghasilkan penulisannya dengan lancar dan tidak keliru kerana dibelenggu masalah mengeja sesuatu perkataan.

    Followers