Wednesday, February 17, 2010

Banyaknya Acara!!!

Pada hari Khamis yang lalu [11 Februari], sekolah saya telah mengadakan acara akhir untuk acara balapan dan acara padang di padang UIA. Semua pelajar dibawa ke situ dengan menaiki bas sekolah pada pukul 8 pagi.

Semasa dalam perjalanan, saya hanya melayan perasaan saya sahaja. Saya sebenarnya kurang berminat untuk masuk acara yang begitu banyak. Untuk pengetahuan semua, saya dikehendaki mengambil bahagian dalam acara lumba lari 200 meter, 100 meter dan 4 kali 100 meter. Bagi acara padang pula, saya dipilih untuk acara lompat jauh dan merejam lembing. Bilangan acara yang agak banyak ini disebabkan saya diminta menggantikan tempat seorang rakan saya yang telah pulang lebih awal ke rumah.

Setelah selesai acara lumba lari 800 dan 400 meter, acara 200 meter pun dimulakan. Saya mula berasa gementar, lebih-lebih lagi ketika sebelum wisel ditiup. Walaupun larian saya tidaklah pantas, namun saya mampu juga menghabiskannya. Kemudian, ia diikuti dengan acara 100 meter. Sama sahaja seperti tadi, cuma rasa gementar sudah sedikit berkurang. Selepas berehat selama lebih kurang 10 minit, acara 4 kali 100 meter dimulakan. Saya masih ingat lagi semasa waktu rehat itu, saya telah mengambil sebungkus makanan yang terdiri daripada dua jenis kuih. Kuih yang pertama saya makan tanpa halangan. Apabila separuh daripada kuih kedua dihabiskan, seseorang menegur dengan berkata: "Nanti awak ada acara 4 kali 100 meter kan"? Saya sekadar mengangguk tanda mengiyakan. Kemudian, orang yang menegur saya tadi menyuruh saya menyimpan dahulu makanan saya kerana katanya, nanti muntah masa lari. Memandangkan saya telah hampir menghabiskan makanan itu, saya terus memakannya. Apabila dia melihatnya, orang tadi berkata sesuatu dan beredar. Saya merasakan seperti dia kurang berpuas hati. Tak apalah, biarkanlah yang telah berlalu.

Seperti yang telah dirancang, acara 4 kali 100 meter dimulakan. Sebenarnya, saya mengharapkan supaya saya diletakkan sebagai pelari pertama. Namun, harapan saya itu hancur apabila ada orang memberitahu saya bahawa saya diletakkan sebagai pelari kedua. Saya mula berasa kurang senang dengan berita itu. Hal ini kerana bagi saya, pelari yang kurang pantas seharusnya diletakkan di hadapan manakala pelari yang pantas di belakang. Apa gunanya jika dua orang pelari yang pantas diletakkan di permulaan dan diambil alih oleh yang kurang pantas pada akhir acara. Tentu membazir kan? Tapi, saya hanya akur sahaja. Akhirnya, acara balapan telah selesai tanpa saya tahu keputusan rasmi mengenai pemenang bagi semua acara yang saya sertai.

Kemudian, acara padang pula menyusul. Mula-mula saya merejam lembing. Seperti yang saya jangka, mata lembing jatuh tidak jauh di hadapan saya sahaja. Kalau orang yang tidak dapat melihat pun boleh tahu daripada bunyi jatuhan itu. Semua rejaman telah dilakukan untuk mengakhiri acara itu. Kemudian, langkah saya dihalakan ke padang lompat jauh yang menjadi tempat acara akhir saya pada hari itu dijalankan.

Acara lompat jauh dijalankan di bawah sinaran terik cahaya matahari yang sangat terik. Sebelum memulakan lompatan, saya telah berkata kepada seorang rakan saya bahawa saya bercadang untuk berkaki ayam semasa acara. Saya ingat lagi jawapannya: "hmm, suka hati awaklah." Setelah menunggu giliran untuk beberapa ketika, akhirnya tiba juga giliran saya. Setelah sampai di situ, tanpa disangka kepanasan sinaran matahari bagaikan membakar tapak kaki saya. Saya tidak menjangka akan sepanas ini. Namun, lompatan pertama saya telah terganggu dengan panas yang menikam tapak kaki dan desakan guru yang meminta supaya segera melakukannya. Semasa lompatan kedua, barulah saya berpeluang memakai kasut semula. Barulah selesa sedikit untuk melompat. Akhirnya, acara tamat dengan keputusan rasminya masih tidak diberitakan.

Selepas makan tengah hari, pelajar pun dibawa pulang ke sekolah dengan bas sekolah yang sama. Acara yang banyak ini sememangnya memenatkan saya tetapi saya sudah tidak menyesalinya lagi. Saya sedar bahawa inilah sukan tahunan terakhir saya di zaman persekolahan saya. Mungkin saya tidak akan mempunyai banyak peluang lagi untuk mengambil bahagian dalam acara sukan seperti sekarang. Semoga sukan tahunan kali terakhir ini memberi pengalaman dan kenangan yang manis kepada saya dan rakan-rakan saya yang lain.

No comments:

Post a Comment

Followers