Thursday, March 22, 2012

Jom Jadi Orang Yang Lebih Bertanggungjawab

Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf kerana sudah lebih sebulan tidak mencoret di blog ini.

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu dikatakan tidak bertanggungjawab. Bezanya, mungkin perkara itu merupakan perkara yang kecil atau mungkin juga besar. Di sini, saya ingin mengajak diri saya sendiri dan pembaca untuk lebih bertanggungjawab terhadap beberapa perkara yang ingin saya kemukakan ini. Mungkin perkara yang dikemukakan ini dilihat sebagai sesuatu yang kecil. Namun demikian, perkara ini perlu dibudayakan sebagai latihan kepada kita untuk lebih bertanggungjawab terhadap perkara yang lebih rumit pada masa akan datang.

Tanpa melengahkan masa, berikut merupakan perkara-perkara tersebut:

1. Sentiasa pastikan paip air ditutup jika tidak digunakan

Saya agak kerap menemui paip air yang tidak ditutup dan dibiarkan begitu sahaja, terutamanya di tandas-tandas sekolah atau tandas-tandas asrama. Air dibiarkan mengalir tanpa dimanfaatkan oleh sesiapa. Bukankah itu membazir namanya? Keadaan ini juga terjadi ketika berlaku gangguan bekalan air. Paip yang dibuka tidak ditutup semula kerana seolah-olah menyangka bahawa air tidak akan mengalir jika paip dibiarkan dibuka. Hasilnya, apabila masalah bekalan air selesai, air akan terus terbazir begitu sahaja. Oleh sebab itu, bermula dari hari ini, sama-samalah kita bekerjasama mengelakkan pembaziran air kerana air merupakan satu keperluan yang sangat penting dalam hidup. Bayangkanlah jika satu hari nanti, air bersih tiada!

2. Letakkan semula troli barang yang telah digunakan di tempat asalnya

Apabila mengunjungi pasar raya, saya dapati ada troli barang yang diletakkan begitu sahaja di kawasan tempat letak kereta. Hal ini menyukarkan pelangan baharu yang ingin meletakkan kereta mereka. Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa mengalihkan troli itu untuk membolehkan kenderaan mereka diletakkan di tempat tersebut. Ramai yang mungkin berpendapat bahawa pekerja pasar raya akan menghantarkan troli tersebut ke tempat asal selepas mereka beredar nanti. Tetapi, mereka tidak terfikir pula kesusahan yang disebabkan oleh perbuatannya.  Mulai hari ini, marilah kita bersikap lebih bertanggungjawab dengan mengembalikan troli barang ke tempat asalnya. Selain melatih diri untuk lebih bertanggungjawab, kita dapat memudahkan orang lain. Bukankah itu situasi menang-menang?

Setakat ini sahaja yang ingin saya coretkan untuk kali ini. Sebelum itu, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak berniat untuk memburuk-burukkan sesiapa dalam tulisan ini. Sebaliknya, saya sekadar ingin mengingatkan diri saya sendiri dan para pembaca supaya kita menyedari kepentingan sikap bertanggungjawab dalam kehidupan.

Followers