Tuesday, November 06, 2012

Debaran STPM

Kedengaran perbualan rakan-rakan yang memecah kesunyian suasana. Aku termenung sendirian sambil menghayati alunan muzik lembut. Baris lirik yang dinyanyikan bukanlah perhatian. Niat di hati hanya ingin mendapatkan ketenangan daripada getaran bunyi alat muzik yang menenangkan jiwa. Hari terus berlalu sedetik demi sedetik tanpa disedari. Sememangnya, tarikh untuk menghadapi STPM semakin hampir. Hakikatnya, tidak kira cukup atau tidak persediaan yang menjadi bekalan, waktu akan tiba juga. Sama ada lalai atau tekun, waktu itu akan tiba juga. Kertas soalan tetap akan dibekalkan dan mengharapkan jawapan terbaik daripada setiap calon yang telah mendaftarkan diri untuk menjawabnya. Pelbagai perkara bermain di fikiran. Terngiang-ngiang di telinga segala kata-kata harapan yang diterima dari pelbagai pihak. Walaupun ibu bapa tidaklah menyatakan harapan secara terang-terangan dan mengharapkan aku melakukan yang terbaik, tapi aku tahu bahawa mereka tentu mengharap dalam hati. Guru-guru pula tidak putus-putus meletakkan harapan agar aku berjaya. Aku menyambut baik harapan tersebut. Tidak kurang juga dengan rakan yang turut memberi harapan yang serupa. Mungkin ayat sahaja yang berbeza. Akhirnya, aku kembali menyuluh persediaan yang telah aku lakukan untuk menghadapi peperiksaan besar ini. Sememangnya, peperiksaan ini sangat mencabar berbanding peperiksaan sebelum ini. Sukatan kali ini lebih luas dan banyak yang perlu dibaca. Hanya tinggal masa kurang dua minggu sahaja untuk aku melakukan persediaan yang terakhir. Tidak dinafikan bahawa ada kalanya aku terleka juga. Teguran dan nasihat yang membina menjagakan aku daripada leka. Oleh sebab ketidakmampuan untuk mengukur sejauh mana ilmu yang ada dalam dada, debaran ini cukup terasa. Aku tidak tahu prestasi diri nanti. Setelah berusaha dengan segigih mungkin, jawapan yang diberikan nanti menentukan catatan dalam sijil STPM yang bakal diterima. Peluang yang sekali ini seharusnya dimanfaatkan untuk masa depan. Satu pesanan untuk diri sendiri dan rakan seperjuangan. Semoga kalian mendoakan kejayaan untuk diri ini dan calon lain dalam STPM. Sekalung penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan fizikal dan moral, sama ada langsung atau tidak langsung seperti guru, rakan, dan keluarga. Maafkanlah diri ini andainya melakukan kesilapan yang mengguris hati. Kepada rakan-rakan seperjuangan, sama-samalah kita melakukan yang terbaik dalam STPM terakhir (terminal) ini. Terima kasih kerana sudi membaca tulisan ini.

Followers