Sunday, February 11, 2018

Coretan Ilham: Akuarium, Ikan Emas, dan Besen


Berenang-renang si ikan emas itu, dari satu sudut akuarium ke satu sudut yang lain. Memerhatikannya membuatku lupa sebentar lelah hasil tuntutan rutin kerjaya. Malam ini tiada bezanya daripada malam-malam sebelumnya. Sejak memperoleh ikan emasku, melihat ikan itu berenang-renang dengan riang sudah menjadi rutin hampir setiap kali sebelum aku meninggalkan ruang tamu untuk masuk tidur.

Sedang aku memerhatikan ikan emasku, timbul suatu ilham dalam hatiku. Jika aku menempatkan ikan itu di dalam bilikku, sudah pasti aku dapat melihat keriangan ikan itu hingga detik terakhir sebelum mataku pejam dibuai mimpi. Sudah pasti aku akan lebih menghargai dan menyayangi ikan itu yang telah banyak menghiburkan hatiku, fikirku.

Oleh sebab aku tidak dapat menempatkan akuarium segi empat tepat yang besar itu di dalam ruang bilikku, aku membuat keputusan membersihkan sebuah besen yang sudah agak lama tidak digunakan. Diisinya air, dan dengan cara yang kurasakan paling lemah lembut, aku memindahkan ikan emasku ke dalam besen itu.

Sejak malam itu, ikan emasku berada hampir denganku di dalam bilik tidurku. Pandangan terakhir sebelum aku terlena ialah ikan itu, dan ikan itu jugalah yang mengisi pandangan pertama selepas aku membuka mata selepas terjaga keesokan paginya. Menyedari hakikat ini, aku berasa puas. Dengan menghabiskan lebih banyak masa dengan ikan itu, aku berharap akan dapat lebih menghargainya, dan aku mengharapkan ikan itu juga berkongsi perasaan yang sama.

Malam yang lain datang lagi. Gelapnya seperti selalu, tetapi hari, bulan, dan tahunya sudah berbeza. Sedang aku memerhatikan ikan emasku, aku dapati ada satu perkara lagi yang berbeza pada malam itu. Sering saja badan ikan itu berlaga dengan badan besen. Kulihat ikan itu tidak dapat lagi berenang dengan bebas, tidak lagi dapat mempamerkan keriangannya seperti sebelum ini. Puas aku memerah fikiranku, tetapi tidak kutemui jawapannya. Persoalan itu kubawa ke alam mimpiku.

Tangan kebas dan lembik. Itulah yang kurasa sebaik sahaja aku membuka mata untuk memulakan hari baru. Aku mula panik. Sambil memusingkan badanku, pantas aku sedari tanganku terhempap oleh badanku sendiri sehingga peredaran darah terhalang. Barangkali inilah sebabnya rasa kebas dan lembik ini terjadi. Sukar sekali untukku menggerakkan tanganku. Aku menunggu untuk beberapa ketika hingga rasa itu hilang. Kemudian, barulah aku mula hendak melangkah turun dari katil dan meninggalkan bilik tidurku.

Beberapa langkah dari pintu, mataku sempat memandang ke arah besen ikan emasku. Keadaannya masih sama, badannya sering sahaja berlaga dengan badan plastik besen. Hingga tidak lagi bebas renangannya. Hingga begitu sukar sekali untuk ia bergerak, fikirku. Adakah seperti mana sukarnya aku menggerakkan tanganku dek rasa kebas tadi? Jika tanganku sukar digerakkan kerana terhempap dengan berat badanku, ikan emasku barangkali sukar bergerak kerana kepungan ruang kecil. Lebih tepat lagi, ruang kecil besen. Ruang kecil besen yang aku rasakan dapat mendekatkan aku dengannya, dan dapat mendekatkannya denganku. Dan yang paling penting, ruang kecil besen itulah yang menjadi puncanya ketidakbebasan pergerakan ikan emasku.

Aku tersentak daripada lamunan. Baru kusedari, walaupun tindakanku membolehkanku bertambah dekat dengan ikan emasku, tetapi berbaloikah kedekatan itu dengan ketidakbebasan ikan emasku? Tidak sama sekali! Tidak perlu masa yang panjang untuk aku membuat keputusan itu. Lalu aku segera memindahkan ikan itu kembali ke akuarium kebebasannya.

Hampir sekelip mata, renangan ikan emasku kembali lancar sebaik sahaja memasuki air akuarium, tidak perlu lagi melanggar-langgar apa-apa semasa bergerak. Apa gunanya aku mendekatkannya denganku atas nama sayang jika itu akan memudarkan kebahagiaannya? Bila difikir kembali, aku lebih gembira melihat kebebasan ikan emasku, walaupun mungkin ia sedikit jauh daripadaku. Kupandang sekali lagi renangan riang ikan emasku sebelum berlalu untuk meneruskan hariku pada pagi itu.

Tamat

Followers