Saturday, September 24, 2011

Sembang Siber: Cara Memilih Fail Yang TidakBerturutan (Non-consecutive Selection)

Pada kali ini, saya ingin berkongsi cara untuk memilih fail dalam komputer yang tidak berturutan. Untuk memberi pemahaman yang lebih jelas kepada pembaca, saya ingin menunjukkan satu contoh. Katakan terdapat 10 fail di dalam PenDrive anda. Bagaimanakah caranya jika anda ingin memilih atau menandakan fail 1, 3, 5, 7, dan 9 untuk dipindahkan atau dipadam? Terdapat dua cara yang boleh digunakan untuk berbuat demikian.

Cara yang pertama hanya melibatkan penggunaan papan kekunci (keyboard) sahaja. Saya ingin memberi fokus kepada cara ini terlebih dahulu kerana kaedah ini lebih sesuai untuk kegunaan pengguna yang bermasalah penglihatan seperti saya. Mula-mula, anda perlu pergi ke folder atau tempat yang mempunyai fail yang ingin dipilih atau ditanda. Seterusnya, anda perlu menekan butang CTRL (Control) dan jangan melepaskannya ketika berada di fail pertama yang ingin dipilih. Seterusnya, tekan anak panah atas atau bawah sehingga sampai ke fail kedua yang ingin dipilih. Setelah sampai di fail tersebut, tekan butang SPACE. Ulangi langkah ini sehingga selesai memilih fail yang dikehendaki. Selepas selesai memilih fail yang dikehendaki, barulah anda melepaskan butang CTRL. Selepas itu, anda bolehlah teruskan dengan apa yang ingin dilakukan dengan fail tersebut.

Cara yang kedua pula memerlukan anda menggunakan tetikus yang lebih memudahkan bagi pengguna yang berpenglihatan. Mula-mula, anda perlu pergi ke folder atau tempat yang mempunyai fail yang ingin dipilih. Seterusnya, Anda perlu menekan butang CTRL (Control) pada papan kekunci dan jangan melepaskannya. Selepas itu, halakan tetikus ke fail yang ingin dipilih atau ditandakan dan klik butang kiri pada tetikus. Fail yang dipilih akan berubah menjadi warna biru, menandakan fail tersebut telah dipilih. Setelah selesai memilih, butang CTRL bolehlah dilepaskan.

Diharap perkongsian ini dapat memberi faedah kepada anda yang pernah tertanya-tanya bagaimana hendak memilih fail yang tidak berturutan. Saya juga berharap perkongsian ini dapat membantu anda memudahkan pengurusan fail dalam komputer anda.

Friday, September 23, 2011

Sembang Siber: Kekunci Pintas (Keyboard Shortcuts) Windows

Sebagai permulaan "Sembang Siber", saya ingin berkongsi tentang beberapa kekunci pintas yang dapat digunakan dalam sistem operasi Windows. Memandangkan pengguna komputer bermasalah penglihatan seperti saya sangat bergantung kepada papan kekunci, pastinya kekunci pintas ini akan banyak membantu sebagai pengganti kepada tetikus yang lebih banyak digunakan oleh pengguna komputer yang berpenglihatan. Saya memilih untuk berkongsi senarai kekunci pintas ini kerana penggunaannya dapat menyenangkan tugas perkomputeran seharian selain dapat menjimatkan masa secara signifikan.

Tanpa melengahkan masa, saya ingin memulakan senarai ini:

Petunjuk: Win =Windows, CTRL =Control

1. Kombinasi Win + E:

Kombinasi ini akan membuka My Computer (atau Computer dalam Windows 7). Kekunci pintas ini dapat menjimatkan masa kerana kombinasi ini boleh digunakan hampir di mana-mana seperti ketika melayari internet dengan pelayar internet, ketika menaip atau ketika sedang mendengar muzik.

2. ALT + SHIFT + N (Hanya untuk Windows 7):

Kombinasi ini pula akan membolehkan pengguna membuat folder baharu dengan mudah. Apabila digunakan di semua tempat yang boleh membuat folder baharu seperti di PenDrive, satu folder baharu akan tersedia untuk diberi nama. Kekunci pintas ini dapat menjimatkan masa kerana sebelum ini, pengguna perlu memilih untuk membuat folder baharu dengan memasuki menu yang berkenaan.

Demikianlah dua kekunci pintas yang dapat saya kongsikan pada kali ini. Sebenarnya, kemunculan Windows 7 telah membawa banyak kekunci pintas yang baharu. Untuk mengetahui lebih lanjut, bolehlah lawati laman web berikut: http://4sysops.com/archives/windows-7-keyboard-shortcuts-the-complete-list

Diharap perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada pembaca. Saya memohon maaf jika penerangan ini sukar untuk difahami.

Sembang Siber: Satu Pengisian Baharu

Salam sejahtera buat semua pengunjung blog PurnamaSeri.

Selepas saya membuat pertimbangan demi pertimbangan, akhirnya saya membuat keputusan untuk mewujudkan pengisian baharu yang akan diberi nama “Sembang Siber” dalam blog ini. Untuk pengetahuan semua, tulisan yang bakal termasuk dalam pengisian ini ialah maklumat tentang teknologi maklumat (IT) seperti tentang sistem operasi (operating system) dan internet. Sumber bagi kebanyakan tulisan yang bakal diterbitkan adalah berdasarkan maklumat yang saya peroleh daripada pembacaan di laman web dan blog peribadi lain yang mengandungi maklumat ini. Selain itu, sebahagian daripada tulisan ini juga bersumberkan pengalaman peribadi saya sebagai seorang pengguna komputer.

Mungkin ada yang akan bertanya, mengapakah saya ingin menulis perkara yang sudah ditulis oleh individu lain memandangkan saya bakal menggunakan tulisan mereka sebagai sumber? Sebenarnya, kebanyakan tulisan tersebut adalah dalam bahasa Inggeris. Oleh hal yang demikian, saya berhasrat untuk mengalihkan maklumat tersebut ke dalam Bahasa Melayu supaya lebih mudah difahami. Selain itu, tulisan tersebut juga boleh dijadikan perkongsian ilmu pengetahuan daripada saya.

Tulisan dalam “Sembang Siber” akan cuba ditulis dalam bentuk yang paling mudah difahami untuk kebaikan bersama. Selain itu, istilah IT yang digunakan dalam tulisan tersebut akan ditulis dengan Bahasa Melayu dan akan disertai dengan istilah asalnya dalam Bahasa Inggeris. Langkah ini dilakukan untuk membolehkan pembaca yang kurang biasa dengan istilah IT dalam Bahasa Melayu merujuk istilah asalnya dalam Bahasa Inggeris. Seterusnya, kandungan dan penerangan akan ditulis dalam Bahasa Melayu seperti biasa.

Diharap pengisian “Sembang Siber” ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada pembaca. Jika ada sebarang kesilapan, cadangan atau pertanyaan, bolehlah ajukan kepada saya dengan menghubungi saya menerusi emel, ruangan komentar atau menerusi cara perhubungan lain yang bersesuaian.

Tuesday, September 20, 2011

Coretan Petang

Petang ini, langit agak mendung. Sinaran sang suria agak terlindung dek awan tebal yang berarak di langit biru.

Tanpa sedar, titisan hujan mula turun membasahi bumi. Angin bertiup agak kencang, memukul halangan yang dilintasinya. Pintu-pintu ditolak menghentam tempat tutupnya lalu berbalik ke belakang lalu memukul tempat tutupnya semula. Bumbung zink mengeluarkan bunyi tatkala disinggahi bayu. Langsir-langsir berkibar mengikut arah datangnya angin. Suara guruh berbunyi luas kedengaran dari atas langit. Lembut titisan hujan yang menitis lemah ke bumi mendamaikan rasa sehingga terbawa kenangan dahulu.

Sebenarnya, pada ketika ini, saya baru selesai mengulang kaji pelajaran. Ujian bulanan baru berlalu, tetapi niat hati ingin membuat persediaan awal menjelang ujian akhir tahun yang akan bermula bulan hadapan.

Tidak mudah bagi saya untuk mengulang kaji di luar musim peperiksaan, tetapi saya ingin membuat perubahan. Mungkin betul nasihat orang bahawa mengulang kaji awal jauh lebih baik daripada mengulang kaji pada saat akhir, lebih-lebih lagi di peringkat tingkatan 6 yang mencabar ini.

Tiada apa yang istimewa ingin dikongsi pada kali ini. Cuma ingin menghilangkan bosan dengan menulis catatan ini.

Kepada semua rakan yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi, sama ada peperiksaan akhir tahun atau peperiksaan awam seperti PMR dan SPM, selamat berjuang dan buatlah persediaan yang serapi-rapinya. Ingatlah bahawa keputusan yang diperoleh dalam peperiksaan yang bakal anda hadapi adalah untuk anda, tidak kira bagaimana keputusannya. Jadi, berusahalah bersungguh-sungguh ke arah mencapai sasaran anda.

Nasihat dan peringatan ini juga ditujukan kepada diri saya sendiri yang mudah lupa!

Sunday, September 18, 2011

Setelah 7 Bulan Menyepi


Ternyata sudah lama saya tidak menulis apa-apa untuk dimuatkan dalam blog ini, iaitu sejak bulan Februari hinggalah sekarang. Sebabnya agak pelbagai. Ada kalanya, saya malas nak menulis, ada kalanya masa tak mengizinkan, ada kalanya terdetik nak menulis tapi ilham tak kesampaian dan macam-macam lagi sebab lain. Apa pun, saya ingin memohon maaf kepada pembaca atas hal ini.

Dalam tempoh yang lama itu, beberapa peristiwa telah berlaku. Dari bulan Januari hingga bulan Mei, saya belajar komputer di St. Nicholas' Home di Pulau Pinang. Selepas itu, saya memasuki Sekolah Tinggi Muar untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6. Di situlah, banyak perbezaan yang dapat dirasai. Belajar sekelas dengan pelajar normal di samping belajar dengan guru-guru yang mengajar pelajar normal adalah satu pengalaman baharu bagi saya. Sukatan pelajaran yang semakin sukar juga semakin mencabar minda. Ringkasnya, terdapat pengalaman manis dan pengalaman pahit yang dapat ditimba sepanjang saya berada di sekolah ini.

Pada kali ini, saya tidaklah ingin memperincikan sebab saya menyepikan diri dalam penulisan blog untuk tempoh yang lama ini. Sebaliknya, saya ingin berkongsi tentang galakan yang saya terima untuk kembali menulis semula.

Sebenarnya, galakan yang saya terima ini terbahagi kepada dua peringkat. Galakan pada peringkat yang pertama adalah menerusi blog Besi Waja, iaitu menerusi kiriman yang telah dikirimkan pada 31 Julai yang lalu. Tajuk entri tersebut ialah Promosi Blog. Menurut kiriman tersebut, blog yang sudah lama tidak dikemas kini akan dikeluarkan daripada senarai blog yang terpaut dalam blog tersebut. Sejak itu, saya fikir saya perlu membuat sesuatu agar blog saya tidak terus sepi daripada sebarang tulisan.

Namun begitu, hasrat saya untuk mengemas kini blog masih tidak kesampaian. Beberapa lama kemudian, tibalah giliran galakan kedua pula memainkan peranannya. Saya telah beberapa kali dihubungi oleh seorang rakan rapat saya yang juga merupakan pengendali blog Meja Logam. Sambil bertukar-tukar cerita, sempat juga rakan saya itu bertanya sama ada saya sudah kemas kini blog atau tidak. Setiap kali ditanya, saya akan menjawab bahawa saya belum melakukannya. Dua hari yang lalu, rakan saya itu menghubungi saya sekali lagi. Dalam pertengahan cerita, soalan yang sama telah ditanya kepada saya, tetapi yang berbezanya mungkin cuma ayat yang digunakan. Seperti biasa, saya menjawab seperti selalu. Namun begitu, saya merasakan ada satu kelainan pada kali ini. Apabila diberitahu bahawa saya tiada idea nak menulis, rakan saya mencadangkan supaya saya menulis pengalaman baharu saya yang dekat dengan diri saya. Nada suaranya seperti mengandung kesungguhan yang membuatkan saya kembali menulis hari ini.

Kepada semua yang telah memberi galakan kepada saya, sama ada secara langsung atau tidak langsung, terima kasih saya ucapkan. Tanpa galakan daripada kalian, mungkin lebih lama lagi agaknya blog saya ini akan terus sepi.

 

Diharap blog saya dapat terus tersenarai dalam senarai blog yang menyenaraikan blog saya!

Followers