Tuesday, February 05, 2013

Syukur: Kebolehan Mendengar Banyak Bunyi Serentak Itu Nikmat

Syukur: Kebolehan Mendengar Banyak Bunyi Serentak Itu Nikmat
Kedengaran langkah perlahan sepasang kaki memijak pasir-pasir halus di pantai. Sambil merehatkan minda daripada pelbagai tekaan hidup, singgah pula bunyi-bunyian lain yang mententeramkan insan yang mendengar. Bunyi belaian ombak di pantai begitu mengasyikkan. Ditambah pula dengan hiasan-hiasan suara kicauan burung-burung yang sememangnya merdu sejak zaman berzaman. Dalam ketenangan itu, singgah pula hembusan bayu yang menghasilkan bunyi apabila bertiup. Apabila bayu membelai daun-daun nyiur, bunyi lambaian daun itu jelas kedengaran. Bagi yang mendengar, akal mentafsirkan bahawa bunyi-bunyian itu sangat menenangkan. Bukan sahaja kerana ianya perlahan, tetapi juga kerana bunyi itu dihasilkan secara lembut. Maka, manusia mengatakan bahawa semua ini adalah resepi ketenangan yang hanya ada di tepi pantai.
Demikianlah sedikit coretan pembuka bicara untuk kali ini berkenaan tajuk di atas. Sedar atau tidak, telinga manusia mampu mendengar lebih daripada satu bunyi secara serentak. Kemampuan ini membolehkan pendengaran kita mendengar pelbagai bunyi pada masa yang sama seperti yang digambarkan dalam situasi di atas. Oleh itu, tidak dinafikan bahawa pendengaran manusia yang sedemikian ini adalah satu nikmat yang sangat besar. Sebagai menjelaskan penyataan ini, cuba bayangkan sekiranya telinga manusia hanya boleh mendengar satu bunyi pada satu masa. Pasti terbayang bagaimana mendengar lagu yang semestinya terdiri daripada banyak alat muzik. Tentu hanya satu alat sahaja yang dapat didengar pada satu masa. Keadaan ini seperti nada dering monofonik pada telefon bimbit dahulu. Tentu segalanya tidak seindah jika dibandingkan dengan pendengaran yang dikurniakan ini.
Apabila kita menghargai sesuatu atau seseorang, kita mengucapkan terima kasih. Jika kita menghargai pendengaran yang dikurniakan ini, kita sepatutnya bersyukur kepada Kuasa yang menciptakan pendengaran yang begitu hebat ini. Sesungguhnya, pendengaran itu sudah merupakan nikmat yang besar. Kebolehan pendengaran pelbagai bunyi serentak ini merupakan nilai tambah kepada nikmat pendengaran yang sememangnya lebih lagi perlu disyukuri. Selain berterima kasih, tanda syukur itu adalah dengan menjauhkan pendengaran daripada perkara yang tidak sepatutnya. Di saat jari-jemari ligat menaip untuk menghasilkan setiap kata dalam coretan ini, terdetik rasa bimbang di hati. Adakah aku sudah bersyukur dengan pendengaranku ini dengan kadar syukur yang dituntut.
Coretan buat diri sendiri dan insan yang dahagakan peringatan!

Followers