Sunday, October 11, 2015

Cerpen: Tapak Persahabatan



Aku hanya mampu melihatnya beredar meninggalkanku. Bibir hendak berteriak agar dia tidak pergi, namun hati enggan mengizinkannya. Kelibatnya semakin mengecil dalam lingkup pandanganku, dibawa langkah yang tidak teratur susunannya. Terus mengecil, terus mengecil, dan akhirnya tiada lagi. Tiba-tiba, Hati terasa sunyi, biarpun di sekeliling perbualan mengisi. Beberapa detik berlalu, sesalan pula menjalar masuk ke dalam hati. Menyesal dengan peristiwa singkat itu. Peristiwa singkat dengan dia, Danial, sahabat rapatku. Peristiwa yang menyebabkan kata-kata yang baik tidak lagi diujarkan untuk mengakhiri pertemuan pada hari itu.

Mata terus dialih ke kiri dan kanan, Entah apa yang ingin kucari. Barisan meja makan dan warga kampus yang sedang menikmati pelbagai jenis juadah hinggap di pandangan. Lalu kupandang meja di hadapanku pula. Sepasang pinggan dan sepasang cawan di atas meja menjadi saksi bahawa dua insan baru makan bersama-sama tadi. Tetapi, kenapa perlu jadi begini? Seorang sahabat meninggalkan sahabatnya sendiri, hanya kerana peristiwa ‘kecil’ itu? Apa silapku? Bukannya aku sengaja? Tidakkah pernah dia untuk cuba memahami?

Sambil terus tertanya-tanya, jari ibu dan jari telunjuk kanan perlahan-lahan mencapai sebutir nasi yang masih berbaki dan disuapkan ke dalam mulut. Lalu hatiku berbisik, “barangkali aku perlu berfikir kembali tentang peristiwa itu dengan lebih teliti, supaya penyelesaian yang terbaik dapat dicapai. Mungkin aku juga bersalah dalam hal ini tanpa aku sedari. Seperti sebuah pinggan yang mulanya dikata tiada nasi lagi, tetapi rupanya ada sebutir nasi yang berbaki setelah direnungi dengan teliti.” Lalu, kuputuskan untuk mengimbas kembali peristiwa yang berlaku itu. Mudah-mudahan, keputusan ini dapat membantuku mencari suatu titik untukku menyambung kembali persahabatan yang sudah lama terjalin ini.

_______

Aku dan Danial begitu gembira berbual sambil menikmati nasi lemak kegemaranku di medan selera yang sederhana itu. Kawasan itu memang gemar kami kunjungi, kerana terletak sangat hampir dari pintu pagar kolej kediaman. Lagipun, pilihan juadah juga pelbagai. Sering saja aku berbincang dengannya tentang akademik, walaupun bidang kami berbeza. Aku belajar Matematik, sedangkan Danial mengkhusus dalam seni lukis. Perbezaan bidang selalu mengundang perbezaan pendapat, tetapi selalu saja disimpulkan dengan baik. Tapi, lain pula ceritanya pada hari itu. Tanpa diundang, tanganku tertolak pingganku ke hadapan, sehingga membaringkan cawan berisi air laici di hadapanku. Cecair yang keluar terus mengalir ke arah Danial, kemudian turun dari meja.

“Apalah kau ni, Farhan. Kau tau tak basah dah lukisan aku ni,” kata Danial kepadaku dengan suara yang tinggi. “Bukannya aku sengaja pun. Lagipun, lukisan kau tu kau boleh buat balik bila-bila je. Tak perlulah besar-besarkan perkara ‘kecil’ macam ni. Kita kan kawan baik, takkanlah ini pun kau nak berkira.” Seperti aliran air dari pili kata-kata yang kuucapkan dengan suara yang sama tinggi, tidak sempat ditapis akal warasku.

“Perkara ‘kecil’ kau cakap? Aku tak sangka Kau tak tau, seni kreatif macam ni bukan boleh dibuat yang serupa kalau dibuat balik. Tak macam Matematik yang kau sayang sangat tu. Dengan ketidaktahuan inikah kau nak cakap kita bersahabat baik dan suruh aku jangan berkira?”
“Betul, betul. Matematik yang aku sayang ni memang lebih baik. Kalau satu tambah satu dah tentu jawapannya dua. Tak macam seni lukis kau tu, bila tak ada ilham kerja tak jalan, tak produktif langsung.” Beberapa lagi das tembakan sinis aku berikan kepada Danial, belum bersedia memikirkan kelukaan yang bakal aku cipta di hatinya.

“Rupanya, ini watak sebenar kau. Aku kecewa dengan ceteknya nilai persahabatan yang kau miliki. Daripada aku terus buang masa gaduh dengan kau, baik aku beredar.” Sejurus selesai kata-katanya, Danial terus berdiri dan mula mengatur langkah untuk beredar. Pada saat itulah, sesalan mula menjalar dalam hatiku.

_______

“Tidak halal bagi seorang Muslim “hajr” (tidak bertegur sapa) saudaranya melebihi tiga hari, kedua-duanya bertemu, lantas saling berpaling muka antara satu sama lain. Yang terbaik antara mereka ialah orang yang memulakan salam”. “Saudara boleh rujuk hadith yang telah saya bacakan ini dalam Kitab Sahih Muslim Hadith no. 6697…..” Suara ustaz yang keluar dari corong radio itu membuatkan aku tidak senang duduk. Usahaku untuk bertegur sapa dengan Danial sebelum cuti semester hanya dibalas dengan pandangan tanpa senyuman. Sekali sekala, pandangannya terus dialihkan, dan terus sahaja dia beredar, seolah-olah bersua denganku itu satu perkara yang terburuk dalam harinya.

Kini, aku berada di rumah. Cuti yang suram, yang seperti ada kekurangan. Renungan tanpa gangguan tugasan di kampus memang menampakkan kewarasannya. Memang jelas sekali aku yang bersalah dalam hal ini. Sudah terang lagi bersuluh, aku yang menumpahkan air dan aku juga yang memarahi Danial atas ketidaksengajaan aku itu. Hati menyesali diri. Ini kali pertama perkara seumpama ini berlaku, namun itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menyelamatkan kesalahan diri. Ada pula ahli motivasi yang menyebut tentang memaafkan diri sendiri dan menjadikan kesilapan diri sebagai satu pengajaran. Entah, aku pun tidak tahu apa yang perlu aku fikir? Pengetahuan agama yang ada dalam dada ini memberitahuku bahawa yang sederhana itu sentiasa lebih baik.

“Ya Allah, zalimnya hamba-Mu yang seorang ini! Ya Allah, bantulah aku membaiki persahabatan ini. Sesungguhnya, aku seolah-olah merasakan bagaikan diriku ini tidak berpeluang lagi mendapat rahmat daripada-Mu. Namun, aku juga tahu bahawa seorang Mukmin tidak seharusnya putus harap terhadap Rahmat-Mu. Maka, aku menadah tangan, mengharap dikabulkan doaku,” rintih hati kecilku, sambil mengangkat kedua-dua tapak tangan ke arah muka. Apabila diturunkan kembali, dapat kurasakan kehangatan cecair jernih yang tidak kuperasan bila mengalirnya.

_______

Masa dua bulan setengah berlalu dengan pantasnya. Sesi pengajian baharu sudah bermula. Warga kampus begitu bersemangat untuk memulakan pengajian semula, sekurang-kurangnya itu yang dapat kulihat dari luaran. Namun, aku masih terganggu. Wajah yang kucari-cari masih belum dapat ditemui lagi. Semakin masa berlalu, keresahan di hatiku ini semakin menyesakkan dada. Aku perlu juga bersemuka dengan Danial untuk sekurang-kurangnya memohon maaf atas kesilapan diriku itu.

Hari semakin petang. Aku masih belum nampak kelibat Danial di mana-mana di sekitar kawasan kolej kediaman. Aku masih hendak berjalan-jalan untuk seketika lagi sebelum kembali ke bilik. Barangkali dia mungkin memilih untuk tinggal di kolej lain, fikirku. Pembukaan semester kali ini sungguh suram. Kalau sebelum ini, pasti aku selalu sahaja berhubung dengan Danial untuk bertanya khabar. Kehilangan perkara itu pada cuti semester kali ini memang banyak memberi kesan dalam hatiku. “Rupanya, ini watak sebenar kau. Aku kecewa dengan ceteknya nilai persahabatan yang kau miliki…” Tiba-tiba ayat itu terngiang-ngiang di telingaku. Barangkali benar kata Danial, aku tidak ikhlas dalam persahabatan ini.

“Perkara itu sudah berlalu. Kalau dulu keputusan tak bagus, kita perbaiki semester ini. Kalau dulu tak ikhlas belajar, ikhlaskanlah dari sekarang.” Aku memalingkan muka ke ara suara itu. Kelihatan dua orang pelajar sedang berbual. Aku tidak mampu untuk memberikan perhatian kepada perbualan itu. Aku meneruskan perjalanan. Kali ini, aku keluar dari pintu pagar kolej. Pandangan terus dihalakan kepada tapak medan selera yang gemar aku kunjungi. Namun, apa yang aku dapat lihat hanyalah kereta-kereta yang diletakkan di kawasan tersebut. Tiada lagi meja-meja, tiada lagi gerai-gerai, tiada lagi bumbung yang menghalang cahaya suria menghinggapi kulit insan yang berada di bawah naungannya.

Pada mulanya, aku berasa pelik dengan perubahan yang mendadak itu. Beberapa lama kemudian, barulah akalku dapat menangkap apa yang berlaku. Kontrak medan selera tersebut sudah berakhir semasa cuti semester, dan tapak tersebut diganti dengan tempat meletak kenderaan. Rasa sebak tiba-tiba singgah di hati. Di situlah kali pertama aku berjumpa dengan Danial dan kemudian menjadi sahabat baik.

“Wah, cantiknya lukisan tu. Saya memang minat tengok lukisan yang cantik-cantik macam ni, tapi sayangnya saya tak berbakat,” aku memulakan perbualan dengan Danial yang pada ketika itu sedang duduk di salah sebuah meja di medan selera itu. “Oh, maafkan saya. Tak perasan pulak ada orang yang sedang melihat. Saya dari kecil lagi memang minat melukis,” jawab Danial. Dari perbualan pertama ini, aku dan Danial saling berkenalan. Kalau aku meminati lukisan yang dibuatnya, Danial pula berasa kagum dengan ilmu Matematik yang aku pelajari. Katanya, kemajuan Matematik banyak membantu kehidupan manusia. Pernah sekali Danial bercerita kepadaku, bagaimana dia berjaya memenangi satu pertandingan dengan menggunakan ilmu Matematik. Menurut Danial, kotak-kotak kosong disusun tinggi, membentuk sebuah kuboid besar. Para peserta kemudiannya diminta untuk mengira jumlah keseluruhan kotak yang digunakan untuk membentuk kuboid itu. Dengan menggunakan rumus isipadu kuboid, iaitu panjang kali lebar kali tinggi, Danial dengan pantas dapat mengira jumlah kotak yang digunakan. Ketika itu, aku tersenyum lebar, memikirkan kepelikan pertandingan yang dianjurkan itu. Tetapi, kisah ini jugalah yang membuatkan aku berasa sebak pada ketika itu, memikirkan bagaimana sebuah ikatan persahabatan dileraikan dengan lidah, suatu alat yang dianggap sebagai yang paling tajam oleh Imam Al-Ghazali.

Kini, persahabatan ini tidak jelas, entah masih ada, entahkan tidak. Apabila memikirkan bahawa aku yang menjadi punca peleraian persaudaraan ini, aku berasa tidak tenteram. Barangkali, benar-benar aku tidak ikhlas dalam persahabatan ini. Aku yang menyatakan minat dan pujian terhadap lukisan Danial. Dalam masa yang sama, aku jugalah yang merendahkan seni lukis ketika peristiwa tumpahan air laici. “Perkara itu sudah berlalu. Kalau dulu keputusan tak bagus, kita perbaiki semester ini. Kalau dulu tak ikhlas belajar, ikhlaskanlah dari sekarang.” Sekali lagi aku teringat kata-kata yang pernah aku dengari. Barangkali inilah jalan terbaik untukku, berhenti daripada terlalu memikirkan perkara yang sudah berlalu, sebaliknya berusaha untuk menjadi orang yang lebih baik. Namun, sekelumit rasa ego sempat juga cuba mempengaruhi hatiku bahawa tindakannya mengelak diriku yang ingin meminta maaf itu tidak harus dilakukan oleh seorang yang sudah tentu mengharap keampunan Allah S.W.T. Kesimpulannya, bukan aku sahaja yang bersalah, fikirku. Dia yang menghalang untuk menjalin kembali persahabatan ini. Ya Allah, ampunkanlah kecelaruan hatiku ini.

“Hi, Farhan. Lama dah kita tak jumpa.” Suara sapaan itu cukup aku kenali. Tidak perlu untuk aku menoleh untuk mengenal pasti pemilik suara itu. “Danial,” kataku dengan rasa tidak percaya. “Kau apa khabar?” Tanyaku. Danial membalas pertanyaanku dengan mesra. Perbualan berterusan untuk beberapa lama.

“Aku hampir terlupa tapak ini dah ditukar menjadi tempat letak kereta. Tak sangka, cepat benar masa berlalu,” kata Danial, mengubah topik perbualan sebelumnya.
“Itulah, aku pun sama,” kataku, sebenarnya tidak pasti tujuan Danial berkata begitu.
“Biar ditukar jadi apa pun, ada satu benda yang kekal, dan tak sepatutnya dilupakan,” kata Danial, masih cuba berselindung. Fikiranku ligat berputar. Barangkali, Danial hendak mengungkit kembali peristiwa pahit itu, fikirku.
“Aku mintak maaf kalau peristiwa pahit itu yang kau maksudkan,” aku memberanikan diri untuk membuat pengakuan itu, tidak sanggup lagi untuk aku berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku.
“Janganlah macam tu. Kau salah faham. Aku yang perlu mintak maaf dengan kau sebab tak beri peluang kau untuk mintak maaf,” kata Danial dengan senyuman, sambil menepuk-nepuk bahuku. Aku berasa tertampar kerana terlalu cepat bersangka buruk terhadap sahabatku itu. Aku hanya mampu mendiamkan diri.
“Di tapak inilah, kita mula berkenalan dan menjalin ikatan persahabatan. Walau dulunya dipenuhi kaki-kaki meja, atau sekarang roda-roda kenderaan, atau mungkin nanti roda-roda helikopter sekalipun, hakikat bahawa sebuah persahabatan pernah terjalin di sini tidak boleh diubah oleh sesiapa, kerana itu sudah termasuk dalam takdir Ilahi,” kata Danial. Aku masih diam, menggeleng kepala tanda tidak faham.
“Di sinilah yang aku panggil sebagai tapak persahabatan kita. Benda-benda yang pernah berada di atas tapak ini ibarat suka duka kita, mudah berubah dan berganti. Di sebalik itu, ada satu benda yang tidak berubah, iaitu tapak itu sendiri,” sambung Danial lagi, sambil menudingkan jari telunjuknya kepada barisan kereta pelbagai warna yang diletakkan di kawasan itu. Sambil itu, aku dapat perhatikan Danial menghentakkan kakinya dengan lembut ke tanah. Seperti mendapat ilham dari kejauhan, akhirnya aku dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh Danial.
“Aku dapat faham, kau nak kita lupakan semua peristiwa pahit itu. Tetapi, sebelum itu, izinkanlah aku untuk meminta maaf. Tidak memadai kesalahan kepada manusia hanya meminta ampun kepada Allah, tetapi juga perlu memohon maaf kepada orang yang telah kita berbuat salah.”

Dapat kurasakan terangkat segala beban yang selama ini kupikul atas kesalahan yang telah aku lakukan itu. Aku dan Danial saling berpelukan dan bermaaf-maafan, sambil saling berbisik ke telinga bahawa masing-masing akan cuba sedaya upaya untuk menjadi sahabat yang lebih baik kepada satu sama lain.

Followers