Friday, October 16, 2009

Pengalaman Berharga

Pada 10 Oktober yang lalu, iaitu bersamaan hari Sabtu, saya dan rakan-rakan saya dari tingkatan 4 dan 5 telah mengikuti satu Kem Kerjaya yang diadakan di Teluk Kemang, Port Dickson. Pada mulanya, saya menyangka tentu kem seperti ini tidak menarik. Namun, saya mula berasa seronok apabila diberi peluang untuk menemu bual pengurus hotel Cozzi, iaitu hotel yang kami duduki. melalui sesi tersebut, kami dapat mengetahui banyak perkara yang hanya boleh diketahui melalui seorang pengurus hotel seperti bilangan pekerja hotel, rancangan perkembangan hotel, sasaran keuntungan dan sebagainya.
Selain itu, saya juga mendengar ada bekas pelajar SMPK Setapak akan memberikan ceramah tentang bagaimana mereka dapat membuka kedai urut selepas bersekolah. Pada mulanya, saya rasa tidaklah begitu menarik perhatian saya sehinggalah setelah saya mengetahui bahawa salah seorang daripada mereka ialah rakan saya semasa di sekolah rendah dulu, iaitu di SKPK Seremban. Dalam ceramah itu, mereka tidak putus-putus menasihati kami supaya jangan berputus asa dan terus berusaha dalam apa jua yang ingin dilakukan. Mereka juga mengatakan bahawa kejayaan itu tidak akan datang secara sendiri. Sebaliknya, kita perlulah mencorakkannya mengikut kemahuan kita supaya kejayaan itu mendatangkan kepuasan kepada kita. Kem Kerjaya yang saya ikuti ini telah mengubah tanggapan saya terhadap orang-orang yang telah mencapai kejayaan. Jika dahulu saya menganggap orang yang telah berjaya akan bersikap sombong terhadap orang lain termasuk rakan sendiri, tetapi kini saya telah mengetahui bahawa bukan semua orang bersikap sedemekian. Hal ini kerana rakan saya yang telah membuka kedai urut itu masih mesra dengan saya seperti dulu. Dia langsung tidak bersikap meninggi diri, malah memberikan nasihat kepada saya supaya terus berusaha untuk berjaya. Kini bagi saya, sikap seseorang yang telah berjaya itu bergantung pada hatinya dan bukan pada kejayaannya. Bila saya fikirkan kembali, saya dapati pengalaman seperti ini cukup berharga dan tidak boleh dijual beli.

No comments:

Post a Comment

Followers