Sunday, January 08, 2012

Tidak Tahu Adakalanya Perlu

Dalam kehidupan seharian, kita pastinya terdedah dengan pelbagai bentuk cabaran dan rintangan di samping saat kegembiraan. Semua ini telah menjadi satu lumrah dalam kehidupan kita. Oleh sebab itu, mahu tidak mahu, kita perlu menghadapinya juga.

Pada kali ini, saya mendapat ilham untuk berkongsi sedikit pandangan saya tentang tajuk sebagaimana di atas. Mungkin antara persoalan yang timbul ialah “Mengapakah dikatakan bahawa tidak tahu adakalanya perlu?” Mungkin juga persoalannya akan berbunyi: “Bukankah tidak tahu itu menyusahkan sahaja?” Kemungkinan juga banyak lagi bentuk persoalan yang tidak terlintas dalam fikiran saya ketika saya menulis catatan ini.

Bagi saya, “tidak tahu” bukanlah semata-mata merupakan sesuatu yang buruk. Hal ini demikian kerana “tidak tahu” akan sesuatu boleh mendidik jiwa ke arah yang lebih baik. Keadaan ini dapat membuatkan seseorang itu berfikir semula akan kelemahan diri dan berusaha membaikinya. Secara tidak langsung, seseorang itu akan menyedari bahawa walaupun dia banyak ilmu pengetahuan, tetapi pasti ada banyak perkara lagi yang tidak diketahuinya. Pemikiran seperti ini dapat menghindarinya daripada berbangga dengan pengetahuannya yang banyak kerana dia sedar pada suatu masa dan hari yang tidak tahu bila, mungkin dia yang banyak pengetahuan itu memerlukan bantuan orang lain untuk membantunya dengan perkara yang tidak diketahuinya pula.

Kesimpulannya, perbezaan pengetahuan antara individu dengan individu lain bertujuan untuk mewujudkan suasana saling membantu, iaitu yang tahu membantu yang tidak tahu silih berganti dalam pelbagai perkara yang berlainan. Oleh itu, jelaslah bahawa “tidak tahu adakalanya perlu”.

Semoga bermanfaat!

Ini ialah Ilham daripada sebuah peristiwa yang telah lalu!

No comments:

Post a Comment

Followers