Sunday, June 21, 2015

Warna Ini Atau Warna Itu?




Penafian: Kisah ini hanyalah satu coretan ilham di petang hari dan bukan bertujuan untuk dijadikan bahan untuk menyampaikan celaan, tetapi hanya bertujuan untuk menyampaikan secebis dua perkara baik yang dapat dimanfaatkan.

Suasana di dapur rumah itu agak sunyi. Tiada insan yang sedang berada di situ. Cuma, terkadang terdengar bunyi ketukan antara kuali hitan yang digantung di sisi tingkap dan besi tingkap hasil tiupan angin. Tidak jauh dari kuali itu pula, sehelai kain putih juga kelihatan digantung. Manakala beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran juga dapat dilihat diletakkan berdekatan singki. Kelihatan terdapat terung (ungu), sayur kobis (hijau) dan tembikai merah di situ.

Kedengaran langkah sepasang kaki seorang remaja menuju dapur. Sambil membuka peti sejuk untuk mengeluarkan beberapa keeping coklat, matanya melihat kea rah makanan dan peralatan yang berada berhampiran singki. “Agak-agaknyalah, kenapalah ada warna yang pelbagai seperti ini di atas dunia ini? Tentu ada maknanya yang tersendiri bagi orang yang ingin belajar dan mengambil tahu,” remaja itu bersuara tanpa disedarinya. Selepas menutup kembali peti sejuk itu, dia berjalan kembali ke ruang tamu semula.

“Betullah kata dia tu. Perbezaan warna-warna ni mesti ada maknanya.” Tiba-tiba satu suara kedengaran. “Aku tahu, perbezaan warna ni nak tunjukkan warna apa yang paling baik dan yang tak baik. Kalau macam tu, warna putihlah yang paling baik sebab putih sinonim dengan kesucian. Taklah macam warna kuali tu, selalu saja dikaitkan dengan kejahatan.” Daripada cara ucapannya itu, suara itu adalah kepunyaan kain putih.

“Adakah kau pasti putih itu yang terbaik? Ketahuilah bahawa sekiranya dihinggap kotoran, warnamulah yang paling mudah untuk orang Nampak kotoran di atasnya. Dan aku tidak setuju dengan kau yang suka membanding-bandingkan warna mana yang terbaik,” kata kuali hitam, enggan mengalah menjawab kritikan kain putih. Kain putih hanya senyap, tidak tahu apa yang harus dikatakannya.

“Yang lain tak nak bagi komen apa-apa ke?” Tanya kuali hitam kepada buah dan sayur-sayuran yang membisu dari tadi. “Rasanya tak perlulah kalau kami nak hangatkan perkara yang boleh membawa kepada pergaduhan seperti ini. Yang kami pegang ialah setiap yang diciptakan oleh Tuhan pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Lagipun tak bagus kalua kita merendah-rendahkan orang macam ni,” sahut tembikai merah, mengetahui rakan sayur-sayuran yang lain.

Tiba-tiba, kedengaran sekali lagi langkah sepasang kaki menuju dapur dari ruang depan rumah. Kelihatan remaja yang sama semakin menghampiri peralatan dan makanan yang berada di dapur. “Ternyata warna yang berbeza memang ada fungsinya yang berbeza,” kata remaja itu. Dia tidak pasti kepada siapa yang ingin disampaikan kata-kata itu, sedangkan makanan dan peralatan itusedang tekun mendengar. Namun, mereka hanya senyap sahaja.

“Warna hitam adalah warna yang sangat efektif untuk menyerap haba berbanding warna-warna cerah yang lain. Sebab itulah kuali biasanya berwarna hitam, untuk memudahkan aktiviti memasak.” Remaja itu mula berkongsi apa yang dipelajarinya. “Kalau warna putih pulak, ramai sedia maklum bahawa ia melambangkan kesucian. Tapi, warna ini juga memberitahu kita bahawa orang yang baik tidak seharusnya berasa sombong dan menghina orang lain, dengan alasan orang yang dihina itu tidak sebaiknya. Kerana sesungguhnya, kotoran yang sedikit, jika menghinggap sehelai kain putih, sudah memadai untuk kelihatan sangat kotor berbanding warna lain.” Sambung remaja itu lagi.

Kelihatan remaja itu mencapai sebotol air masak dan menuangkan air dalams ebuah gelas. Lalu, dia duduk di atas sebuah kerusi dan mula menghabiskan air yang berada di gelas yang dipegangnya itu.

Selepas hilang dahaganya, dia menyambung lagi: “Dari segi makanan pula, banyak kajian yang menyarankan supaya kita memakan makanan yang terdiri daripada pelbagai warna. Contoh yang baik ada di sini: tembikai merah, sayur kobis hijau, dan terung. Sebabnya, warna yang berbeza mempunyai khasiat yang berbeza. Contohnya, sayuran hijau kaya dengan potassium yang berfungsi untuk merendahkan tekanan darah. Kandungan anthocyanin yang menjadikan warna ungu pada makanan seperti terung pula berfungsi sebagai antioksida yang menyumbang kepada kesihatan jantung dan merendahkan risiko kanser. Buah-buahan merah pula mempunyai kandungan Vitamin C,” kata remaja itu lagi. Selepas menghabiskan kata-katanya, sekali lagi dia berlalu meninggalkan kawasan dapur rumahnya.

“Sekarang, barulah aku faham tentang hikmah perbezaan warna-warna ini. Maafkan aku kerana rasa sombong yang aku tunjukkan tadi,” kain putih memulakan semula perbualan. “Taka pa. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan,” jawab kuali hitam pula. Perbualan mereka berterusan, menyentuh pelbagai topik. "Warna ini atau warna itu? Jawabnya, semua bermanfaat," kata tembikai merah.

KISAH TAMAT!

Sumber: http://www.todaysdietitian.com/newarchives/110308p34.shtml

No comments:

Post a Comment

Followers