Sunday, March 11, 2018

Coretan Ilham: Sekotak Mancis dan Selonggok Daun Kering


"Berapa kali mak nak cakap? Jangan main api!"
Angah dapat melihat kotak mancis pantas terlepas dari tangan Along, jatuh ke atas longgokan daun kering yang nyaris berubah menjadi abu hitam. Barangkali terkejut dengan suara Emak yang tiba-tiba menerjah gegendang telinga.

Emak sudah tidak tahu bagaimana hendak menghentikan tabiat bermain api anak-anaknya. Dalam keadaan marahnya, Emak masih sempat menyedari sesuatu. Reaksi anak-anaknya hampir sama sejak entah berapa kali dimarahi. Kotak mancis di tangan terlepas, jatuh ke atas bahan bakar. Yang membezakannya cuma tangan yang memegang kotak mancis. Kadang-kadang Along, kadang-kadang Angah. Namun, ini bukan masanya untuk mengimbas kembali kejadian lalu, Fikir Emak. Anak-anak perlu dilarang bermain api dengan suara lantang yang digeruni. Lalu, Emak meneruskan leterannya sambil Along dan Angah tidak berganjak dari tempat mereka berdiri.
"...Kalau rumah yang jadi abu, mana kita nak tinggal?..." Suara emak belum nampak tanda-tanda hendak berhenti membunyikan kata-kata kemarahan.

---

"Aku tak tahulah apa jadi dengan anak-anak aku ni."
Keluh Emak di hadapan Kawan.
"Kenapa dengan mereka?" Tanya Kawan, ingin tahu.
"Sejak dua menjak ni, mereka suka sangat main api kat depan rumah. Guna mancis, bakar daun kering. Dah berkali-kali aku marah pun masih sama," terang Emak.
"Oh ya ke?" sahut Kawan, berasa simpati.
"Apa kata kau tolong nasihatkan mereka. Mungkin mereka akan dengar kalau orang lain yang tegur mereka. Lagipun dah lama kau tak datang rumah aku," cadang Emak.

---

Emak dan Kawan berjalan bersama-sama menuju rumah. Pandangan dua pasang mata itu segera dihiasi kelibat sepasang kanak-kanak yang sedang tekun mengumpul daun-daun kering yang gugur dari pohon berhampiran. Selepas berpuas hati dengan longgokan daun yang terhasil, Angah mengambil kotak mancis dari lantai, lalu dikeluarkan sebatang anak mancis. Baru sahaja Angah hendak menyalakan api, matanya dan mata emak bertentang sebaik sahaja dia mengangkat kepala.

Tanpa mahu menunggu leteran yang bakal diterima, Angah segera mencampakkan kotak mancis ke lantai dan memberi isyarat kepada Along untuk masuk ke rumah. Sepantas kilat, kedua-dua mereka berlari masuk ke rumah tanpa sepatah kata.

"Hmm, apa lagi boleh aku kata? Kau dah nampak sendiri," Emak memulakan bicara, sambil memperdengarkan senafas keluhan. Kawan yang menjadi pendengar tunggal kata-kata emak hanya senyap, tidak berkata apa-apa. Emak dapat mengesan Kawan seperti sedang memikirkan sesuatu.
"Jom kita masuk. Tolong nasihatkan budak-budak tu."
Suara emak yang memecah kesunyian itu mengejutkan Kawan dari lamunan. Emak hairan dengan kelakuan Kawan.

"Kejap, aku rasa ada sesuatu yang aku perasan kat sini," Akhirnya Kawan bersuara.
"Tak ada apa pun yang luar biasa aku tengok kat halaman ni. Kotak mancis dan longgokan daun kering saja," Emak berkata, merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kata-kata Kawan.
"Ya, itulah yang aku perasan," akui Kawan.
"Apa yang luar biasanya? Mancis tu memang aku letakkan kat sini, senang nak cari bila nak guna. Dan daun kering tu pun selalu saja gugur dari pokok berhampiran." Emak menuding jari ke arah pokok-pokok yang dimaksudkan.

"Ada sesuatu yang aku nak cakap. Aku harap kau tak terasa hati." Kawan menyambung kata-kata yang masih belum difahami oleh Emak. Emak hanya mengangguk tanpa berkata apa-apa, melainkan menunggu sahaja apa yang hendak dikatakan oleh Kawan.
"Tadi kau kata kau memang letak mancis kat situ supaya senang cari bila kau nak guna kan? Kalau macam tu, kau setuju tak kalau aku kata, ini bermakna anak-anak kau pun senang jugak nak cari mancis tu bila mereka terasa nak main api masa kau tak perhati?"
Emak tidak menyangka Kawan akan bertanya soalan tersebut. Giliran Emak pula yang melayan fikirannya, cuba mencerna apa yang telah dinyatakan oleh Kawan.
"Ya, aku rasa betul kata kau. Logiknya, kalau aku senang capai mancis tu bila aku perlu, tentu anak-anak aku juga begitu. Tapi, itu tak bermakna mereka boleh gunakan mancis tu sesuka hati, lebih-lebih lagi untuk buat sesuatu yang berbahaya macam ni. Kau pun tahu kan, dah berkali-kali aku larang mereka. Sampai dah kering tekak aku dibuatnya. Tentu mereka dah boleh fikir apa yang aku cuba nak sampaikan," Emak lantas mempertahankan pendiriannya.

"Ya, betul kata kau. Mereka harus sedar bahawa mereka tak sepatutnya main api sesuka hati. Tapi barangkali, mereka tak fikir seperti yang kau fikir," terang Kawan. "Barangkali mereka masih jugak main api sebab mereka rasa kalau betullah api itu berbahaya sangat, mengapa emak mereka letak mancis tu kat tempat yang senang nak jumpa? Dengan kata lain, mereka rasa larangan emak mereka itu kurang bersungguh-sungguh."

"Macam mana kau boleh kata larangan aku tak bersungguh-sungguh? Kau tak tau dah berapa kali mereka buat kerja ni, dan berapa kali jugaklah aku marah kat mereka. Kalau ini masih kau kata tak bersungguh-sungguh, aku dah tak tau apa yang lebih bersungguh-sungguh daripada itu." Nada suara dan perkataan yang digunakan oleh Emak memberitahu Kawan bahawa dia sudah mula hendak naik angin. Lalu Kawan mengambil keputusan untuk menyampaikan penjelasannya dengan kadar segera sebelum Emak mengambil keputusan untuk tidak lagi mahu mendengar:

"Aku mintak maaf, aku tak sekali-kali berniat nak kata kau tak sungguh-sungguh. Apa yang aku maksudkan ialah, ada sesuatu yang kau boleh buat untuk lengkapkan kesungguhan larangan kau. Kalau kau dah marah mereka, dan kemudian letakkan mancis kat tempat yang lebih susah nak dicapai, aku fikir itu lebih dapat sampaikan kepada mereka bahawa bermain api itu sangat bahaya dan sebab itulah emak mereka jauhkan mancis itu dari mereka. Pendek kata, dalam situasi kau, larangan berbentuk perkataan perlu disusuli dengan tindakan yang menunjukkan larangan itu serius supaya anak-anak kau boleh faham sedikit demi sedikit,"
---
CERITA TAMAT

Komentar penulis:
Kita ada banyak keinginan, dan kita melakukan pelbagai tindakan untuk cuba memenuhinya, tidak kiralah untuk mendapatkan sesuatu atau mengelakkan sesuatu yang lain. Bila sesuatu tindakan itu tidak mendatangkan hasil yang diingini, kadang-kadang kita perlu fikir semula apa yang kita buat untuk menuju hasil yang kita inginkan. Ada kalanya, hasil yang kita mahu itu tidak tercapai kerana tindakan kita tidak selaras dengan apa yang kita harapkan.

Misalnya, andaikan saya tidak mahu monyet masuk ke dalam bilik, tapi saya sentiasa membiarkan tingkap bilik terbuka luas pada waktu siang semasa saya tiada di bilik. Bila difikirkan, tindakan mengabaikan tingkap sebenarnya memberi dorongan kepada monyet untuk masuk, sedangkan harapan saya kuat supaya monyet tidak lagi masuk. Itu yang cuba digambarkan dalam cerita di atas. Emak larang anak bermain api dengan leter dan marah, tetapi emak dalam cerita itu juga yang membiarkan mancis terus berada di tempat anak-anak mereka bermain api.

Semoga coretan kecil daripada penulis yang masih dalam usaha meluaskan ilmunya ini dapat memberi sedikit manfaat kepada pembaca yang sudi mengikuti coretan hingga noktah terakhir.

Sunday, February 11, 2018

Coretan Ilham: Akuarium, Ikan Emas, dan Besen


Berenang-renang si ikan emas itu, dari satu sudut akuarium ke satu sudut yang lain. Memerhatikannya membuatku lupa sebentar lelah hasil tuntutan rutin kerjaya. Malam ini tiada bezanya daripada malam-malam sebelumnya. Sejak memperoleh ikan emasku, melihat ikan itu berenang-renang dengan riang sudah menjadi rutin hampir setiap kali sebelum aku meninggalkan ruang tamu untuk masuk tidur.

Sedang aku memerhatikan ikan emasku, timbul suatu ilham dalam hatiku. Jika aku menempatkan ikan itu di dalam bilikku, sudah pasti aku dapat melihat keriangan ikan itu hingga detik terakhir sebelum mataku pejam dibuai mimpi. Sudah pasti aku akan lebih menghargai dan menyayangi ikan itu yang telah banyak menghiburkan hatiku, fikirku.

Oleh sebab aku tidak dapat menempatkan akuarium segi empat tepat yang besar itu di dalam ruang bilikku, aku membuat keputusan membersihkan sebuah besen yang sudah agak lama tidak digunakan. Diisinya air, dan dengan cara yang kurasakan paling lemah lembut, aku memindahkan ikan emasku ke dalam besen itu.

Sejak malam itu, ikan emasku berada hampir denganku di dalam bilik tidurku. Pandangan terakhir sebelum aku terlena ialah ikan itu, dan ikan itu jugalah yang mengisi pandangan pertama selepas aku membuka mata selepas terjaga keesokan paginya. Menyedari hakikat ini, aku berasa puas. Dengan menghabiskan lebih banyak masa dengan ikan itu, aku berharap akan dapat lebih menghargainya, dan aku mengharapkan ikan itu juga berkongsi perasaan yang sama.

Malam yang lain datang lagi. Gelapnya seperti selalu, tetapi hari, bulan, dan tahunya sudah berbeza. Sedang aku memerhatikan ikan emasku, aku dapati ada satu perkara lagi yang berbeza pada malam itu. Sering saja badan ikan itu berlaga dengan badan besen. Kulihat ikan itu tidak dapat lagi berenang dengan bebas, tidak lagi dapat mempamerkan keriangannya seperti sebelum ini. Puas aku memerah fikiranku, tetapi tidak kutemui jawapannya. Persoalan itu kubawa ke alam mimpiku.

Tangan kebas dan lembik. Itulah yang kurasa sebaik sahaja aku membuka mata untuk memulakan hari baru. Aku mula panik. Sambil memusingkan badanku, pantas aku sedari tanganku terhempap oleh badanku sendiri sehingga peredaran darah terhalang. Barangkali inilah sebabnya rasa kebas dan lembik ini terjadi. Sukar sekali untukku menggerakkan tanganku. Aku menunggu untuk beberapa ketika hingga rasa itu hilang. Kemudian, barulah aku mula hendak melangkah turun dari katil dan meninggalkan bilik tidurku.

Beberapa langkah dari pintu, mataku sempat memandang ke arah besen ikan emasku. Keadaannya masih sama, badannya sering sahaja berlaga dengan badan plastik besen. Hingga tidak lagi bebas renangannya. Hingga begitu sukar sekali untuk ia bergerak, fikirku. Adakah seperti mana sukarnya aku menggerakkan tanganku dek rasa kebas tadi? Jika tanganku sukar digerakkan kerana terhempap dengan berat badanku, ikan emasku barangkali sukar bergerak kerana kepungan ruang kecil. Lebih tepat lagi, ruang kecil besen. Ruang kecil besen yang aku rasakan dapat mendekatkan aku dengannya, dan dapat mendekatkannya denganku. Dan yang paling penting, ruang kecil besen itulah yang menjadi puncanya ketidakbebasan pergerakan ikan emasku.

Aku tersentak daripada lamunan. Baru kusedari, walaupun tindakanku membolehkanku bertambah dekat dengan ikan emasku, tetapi berbaloikah kedekatan itu dengan ketidakbebasan ikan emasku? Tidak sama sekali! Tidak perlu masa yang panjang untuk aku membuat keputusan itu. Lalu aku segera memindahkan ikan itu kembali ke akuarium kebebasannya.

Hampir sekelip mata, renangan ikan emasku kembali lancar sebaik sahaja memasuki air akuarium, tidak perlu lagi melanggar-langgar apa-apa semasa bergerak. Apa gunanya aku mendekatkannya denganku atas nama sayang jika itu akan memudarkan kebahagiaannya? Bila difikir kembali, aku lebih gembira melihat kebebasan ikan emasku, walaupun mungkin ia sedikit jauh daripadaku. Kupandang sekali lagi renangan riang ikan emasku sebelum berlalu untuk meneruskan hariku pada pagi itu.

Tamat

Sunday, January 07, 2018

Coretan Ilham: Kemudahan Bagimu, Keperluan Bagi Kami


"Whatsapp, Now, Siswa A @ Info Siswa,
Pengumuman: Perpustakaan Nasional telah melancarkan sebuah laman sesawang untuk membolehkan para pengguna meminjam buku dan membacanya secara dalam talian. Diharap kemudahan ini sedikit sebanyak dapat menyuburkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia," suara robotik femenin itu kedengaran lagi dari arah telefon pintar yang digunakan oleh Farhan yang bermasalah penglihatan.

"Wow, menarik!" Farhan bersuara, bermonolog sendirian.  "Kena masuk sekarang jugak ni. Untung-untung ada buku yang dah lama nak cari."

"Whatsapp, Now, Siswa B @ Info Siswa,
Terima kasih atas perkongsian. Lepas ni kalau tak bawak buku fizikal, tapi rasa nak baca buku, bolehlah akses laman web ni. Sangat memudahkan kita," suara robotik itu membacakan lagi mesej yang diterima.

"Terima kasih banyak-banyak atas perkongsian ini. Suatu inisiatif yang bagus dari pihak perpustakaan. Perkhidmatan yang menawarkan bahan bacaan secara online, khususnya buku yang telah diterbitkan seperti ini sangat ditunggu-tunggu oleh golongan yang bermasalah penglihatan, terutamanya yang langsung tidak dapat melihat." mesej selesai ditaip, Farhan menekan butang 'send' untuk menghantarnya.

"Whatsapp, Now, Siswa B @ Info Siswa,
Timbul rasa ingin tahu dalam diri saya. Boleh saya tahu mengapa golongan bermasalah penglihatan sangat menantikan perkhidmatan macam ni berbanding golongan yang berpenglihatan?" Tanpa jemu, suara itu terus membaca mesej.

"Sebab kami menghadapi kesukaran untuk baca buku fizikal. Jadi, kami biasanya menganggap buku dalam bentuk digital sebagai bacaan yang lebih utama. Dengan adanya lebih banyak penawaran perkhidmatan macam ni, mudah-mudahan bilangan buku yang dapat kami akses akan bertambah.

Dengan kata lain, perkhidmatan ini barangkali suatu kemudahan bagi kamu, tetapi suatu keperluan bagi kami." Butang 'send' ditekan lagi, mesej dihantar ke kumpulan Info Siswa untuk renungan ahli-ahlinya.

Tamat

Friday, December 29, 2017

Gambar Kosong (Fiksyen untuk Renungan)


"WHATSAPP, Now, Siswa A @ Info Siswa, Camera, Image."
Suara femenin robotik itu setia membacakan mesej yang diterima untuk pendengaran dia yang mengalami kekurangan penglihatan.
"WHATSAPP, Now, Siswi A @ Info Siswa, Wow, penulisan! menarik, kena masuk ni," suara itu membaca mesej seterusnya beberapa saat kemudian.
"Oh, hantar gambar 'kosong' lagi," dia sedikit mengeluh.

Dia sedar, gambar itu sebenarnya tidak kosong pada pandangan penglihatan, lebih-lebih lagi selepas ada maklum balas orang lain yang telah mencerna maklumat daripada gambar yang terbentuk daripada berjuta petak-petak kecil piksel itu. Namun, dia berpendapat, kosong atau tidaknya sesuatu bukan bergantung kepada persepsi orang lain, Sebaliknya, persepsi masing-masing yang menentukan. Gambar itu kosong kerana tiada maklumat yang mampu diperoleh, fikirnya.

"Ini gambar apa ya? Menarik ni kalau pertandingan penulisan kreatif!" selesai jemari menaip mesej, lalu ditekan butang 'send'. Dia sangat sedar, keperluan untuk teka-meneka ini akan wujud dalam diri insan sepertinya setiap kali maklumat yang diberikan tidak cukup dalam bentuk yang boleh dicapai.

Nombor hadapan jam digital terus beralih ke digit demi digit yang lebih tinggi, tetapi belum ada suara yang membacakan mesej lanjut. Dia ada juga mencuba mengimbas gambar tersebut dengan aplikasi pengimbas teks, tetapi belum ada keputusan yang memuaskan. Mungkinkah gambar itu tiada teks, tekanya lagi.
---
"WHATSAPP, Now, Siswi A+ @ Info Siswa, Sorry lambat balas, baru sempat nak check Whatsapp. Ya, gambar ni tentang pertandingan menulis cerpen. Ini poster dia. Butiran lanjut nanti saya hantar. Kalau berminat, bolehlah sama-sama kita masuk."
Mesej keramat itu  mengakhiri penantian dia selepas matahari terbenam dan terbit semula. Lebih baik lambat sedikit daripada tiada langsung, fikirnya.

Seperti yang dijanjikan, Siswi A+ telah menghantar teks butiran pertandingan tersebut kepadanya beberapa minit kemudian: tema, format, tarikh tamat, dan tidak lupa juga lokasi penghantaran manuskrip.
---
"terima kasih banyak-banyak sebab sudi ambil masa untuk terangkan gambar tu. Kalau tak ada orang balas mesej sampai ke sudah, mesti saya dah terlepas pertandingan yang saya tunggu-tunggu ni. Kalau saya terlepas dan tak tahu sampai bila-bila tak apa lagi, tentu sedih kalau lepas tarikh tamat baru ada orang nak beritahu," katanya memulakan perbualan dengan siswi A+ ketika mereka bertemu keesokan harinya.

"Sama-sama. Saya tak sangka, pertolongan yang saya anggap kecil ini dapat beri makna yang banyak pada awak. Saya pun tumpang gembira bila tengok awak gembira. Saya terfikir, deria penglihatan yang dikurniakan Tuhan ini bukan sahaja untuk bantu kehidupan seharian saya, tetapi juga satu ujian untuk menilai kesanggupan saya untuk menjadi mata kepada insan yang mengalami kekurangan penglihatan," jawab siswi A+ panjang lebar.

"Wow, Menarik idea awak tu! Apa pun, kalau lebih ramai orang yang bertindak macam awak ni, tentu lebih mudah untuk kami memperoleh penyertaan penuh dalam masyarakat," kata dia.
"Penyertaan penuh," balas siswa A+. "Macam pernah dengar je baru-baru ni."

Dia dan Siswa A+ mengukir senyuman.

TAMAT

Wednesday, December 20, 2017

Testing



Sila klik sini

Wednesday, May 10, 2017

Bila Kehilangan Bertanya

Noktah terakhir ditaip. Rasa lapar mula menyengat-nyengat, mendesak secebis perhatian yang tidak diberikan sejak beberapa jam yang lalu. Lantas, Farhan terbayang-bayangkan nasi goreng kampung telur mata yang difikirkannya sesuai sungguh untuk menyelesaikan tugas itu. Lalu dicarinya barang-barang yang ingin dibawa bersama ke kafe. Beberapa minit berlalu, pencarian masih tertumpu kepada satu objek yang di dalamnya terkandung kertas-kertas yang mampu menukarmilikkan makanan seperti nasi goreng kampung kegemarannya.

    Langkah dihala pula ke bilik belajar, barangkali barang yang dicari ada di situ, memandangkan itu tempat terakhir yang dikunjungi sebelum pulang ke bilik tadi. Namun, pencarian Farhan dengan deria sentuhan dan deria penglihatan orang sekeliling juga tidak menemukan barang yang dicari.
"Aku balik dulu," kata Farhan, mencuba sedaya upaya menyembunyikan rasa sedih yang semakin terasa.
"Kenapa nampak sedih je ni?" Suara Fariz singgah di telinga Farhan yang baru menutup pintu bilik belajar selepas keluar dari situ.
"Hmm, dompet aku hilang," kata Farhan ringkas, bersedia untuk memulakan langkah.
"Oh ya ke? Dah cari kat bilik ke?" tanya Faris, simpati.
"Aku dah cari tadi, lepas tu cari kat bilik belajar. Tapi tak jumpa jugak. Kalau ada yang terambil, dia pulangkan dompet tu saja pun jadilah. Sebab dompet tu orang bagi," kata Farhan, menyatakan isi hatinya.
"Kadang-kadang, kehilangan itu sebuah pertanyaan untuk kita," kata Fariz.
"Apa maksud kau?" Farhan berhenti melangkah, berminat dengan kata-kata Fariz tadi.
"Bayangkan kehilangan itu mengajukan soalan yang berbunyi: adakah kau hargai benda itu, dan jika yang hilang itu lebih daripada satu benda, benda mana yang paling kau hargai?" jelas Fariz.
"Jika betul sekalipun itu satu pertanyaan, bukannya dapat bantu aku cari benda tu pun," protes Farhan.
"Ya, pertanyaan tu tak dapat bantu sesiapa pun cari barang hilang. Tapi, pertanyaan tu dapat bantu kau untuk nilai keteguhan kaca penghargaan kau. Bila tukul kehilangan mengetuk, dua saja kemungkinan akan terjadi: sama ada kaca itu pecah, atau kaca itu tidak pecah." terang Fariz panjang lebar. Kali ini, Farhan hanya diam, barangkali sedang memikirkan sesuatu.

"Dan daripada apa yang kau beritahu aku, aku dapat agak kaca yang aku maksudkan itu tidak pecah. Kau sangat hargai dompet itu, hingga jika diberi pilihan, kau sanggup hilang isinya untuk mendapatkannya kembali," sambung Fariz lagi. Fariz dapat melihat Farhan seperti hendak berkata sesuatu, tetapi dia cepat-cepat menyambung:
"Selepas kau dapat jawapan daripada pertanyaan kehilangan itu, sedarlah bahawa kehilangan itu ada dua pula pengakhiran. Sama ada kau jumpa semula benda yang hilang, atau kau tidak jumpa lagi benda itu. Jika kau tak jumpa, ketahuilah bahawa kenangan tentangnya tetap akan subur dalam ingatan, tidak boleh diambil seperti mana barang yang hilang itu. Mudah-mudahan kenangan itu akan menambahkan penghargaan kepada perkara-perkara yang masih ada pada kau. Sekiranya berjumpa kembali, ketahuilah bahawa Allah memberi satu lagi peluang supaya kita dapat menjaga benda yang dihargai itu dengan lebih baik. Kerana kita sebagai manusia kadang-kadang tidak memikirkan soal menghargai atau tidak menghargai sesuatu, melainkan setelah ditanya oleh kehilangan, seperti yang pernah berlaku kepada kau, aku, dan insan-insan lain." Fariz berhenti berkata, tertanya-tanya adakah Farhan memahami kata-katanya yang berjela-jela itu.

"Ok Fariz, aku rasa aku faham apa yang kau nak sampaikan. Jadi, benda yang perlu aku lakukan sekarang ialah cari sekali lagi di bilik untuk tentukan pengakhiran kehilangan yang mana yang aku akan dapat. Walau apa pun pengakhirannya, aku perlu sedar bahawa kedua-duanya ada baiknya untukku. Terima kasih," kata Farhan sambil tersenyum dan meneruskan langkah menuju bilik.

Tamat

Thursday, May 04, 2017

Tawakal Ibu Burung



"Ada sarang burunglah kat sini." Farhan mendengar suara ayahnya yang berdiri tidak jauh darinya.
"Kat mana, yah?" Tanya Farhan, sambil berjalan mundar-mandir, cuba memaksa penglihatannya yang terhad untuk mencari sarang itu. Tiba-tiba dia berasa tertarik, kerana tidak pernah melihat, apatah lagi menyentuh sebuah sarang burung sepanjang hidupnya.

"Tergantung kat tali ampaian rumah kita," sahut ayahnya. Farhan yang memang sudah tahu tempat yang dimaksudkan itu segera bergerak ke situ. Penglihatannya hanya menunjukkan seketul benda bulat yang asing baginya, informasi yang belum memuaskan hatinya. Lalu tangannya dicapai ke arah objek itu. Deria sentuhannya mentafsir objek itu sebagai rumput-rumput yang sudah diikat antara satu sama lain, menyerupai sebuah kantung yang digunakan untuk mengisi sesuatu. Selama ini, Farhan hanya membaca tentang sarang burung yang dibina dari rumput-rumput dan ranting. Tidak disangka, hari ini dia dapat menyentuhnya.

"Ada telur dalam sarang ni," kata ayah Farhan lagi.
"Tentu Allah yang mengajar sang burung untuk melindungi telurnya dalam sarang. Allah Maha Besar," bisik hati kecil Farhan.
"Jap, biar ayah tengok telur ni," sambil mengucapkan ayat itu, ayah Farhan cuba mengeluarkan telur dari sarang burung itu. Dua butir Telur di tangan, ayahnya membelek-belek telur itu.

"Ya Allah, lindungilah telur itu," bisik hati Farhan lagi. Tiba-tiba saja hatinya terasa takut, kalau-kalau ayahnya akan mencampakkann telur itu ke lantai. Farhan menunggu dan menunggu, sehingga ayahnya cuba pula memasukkan kembali telur itu ke tempat asalnya.
"Ya Allah, lindungilah telur itu," sekali lagi Farhan memohon. Kali ini, Farhan takut pula kalau-kalau ayahnya tidak sengaja merosakkan sarang itu, menyebabkan telur terjatuh ke lantai.

"Alhamdulillah, Engkaulah yang memegang hati makhluk-makhluk-Mu untuk berbuat baik, dan Engkau jualah yang menentukan telur itu selamat atau tidak akhirnya," Hati kecil Farhan terus berbisik, lega apabila mendapati tangan ayahnya sudah meninggalkan sarang itu, dan sarang itu tidak rosak.
***
Seekor burung masih gigih mengibas-ngibas sayapnya, menuju tujuan rezekinya pada hari itu, rezeki untuk kelangsungan hidupnya. Ia perlu terus hidup, perlu terus hidup supaya anak-anaknya yang masih berada di dalam dua butir telur yang ditinggalkannya di halaman rumah manusia yang tidak dikenalinya itu akan dapat melihat dunia, dan menjadi dewasa sepertinya. Atas naluri keiibuan inilah, ia terus terbang dan terbang dan terbang. Tiada lain dalam hatinya, melainkan kepercayaannya bahawa "burung yang keluar pagi, akan pulang petang bersama rezekinya pada hari itu."

Mengimbas kembali sebelum mengambil langkah pertama untuk meninggalkan rumah manusia itu, hatinya terasa berat untuk mengalihkan belakang badannya ke arah telur-telurnya yang bakal ditinggalkan. Bagaimana jika burung lain datang membuat kacau, sehingga telur itu retak walau sedikit? Bagaimana jika penghuni rumah manusia ini berhati jahat? Bagaimana pula ini...bagaimana pula itu? Seribu satu perkara bermain dalam fikirannya.

"Aku perlu pergi juga! Jika aku terus di sini, aku akan mati kelaparan. Dan akhirnya tiada juga ibu yang akan dapat menjaga anak-anaknya nanti!" Akhirnya tekad burung itu bulat. Terus ditolaknya segala "bagaimana jika" yang bersarang penuh di fikirannya jauh-jauh.
"Hanya tawakal menjadi sandaranku. Aku sudah ikhtiar yang terbaik, aku sudah lindungi anak-anakku di tempat yang aku rasa paling selamat. Kini, aku harus bertawakal dan pergi mencari sesuap makanan, mudah-mudahan Allah mentakdirkan yang terbaik untukku dan anak-anakku," fikir burung itu lagi.
"Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah (Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada-Nya, dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan-Nya)." Dengan berbekalkan doa itu, ia pun memulakan kibasan pertama sayapnya untuk terbang ke udara.
***
"Farhan, apa yang dimenungkan tu. Jom masuk rumah." Suara ayahnya mengejutkan Farhan dari lamunannya. Tanpa berkata apa-apa, Farhan pun masuk ke rumah sambil tersenyum dengan pengajaran yang diperoleh daripada refleksinya tadi.

TAMAT

Followers