Tuesday, November 06, 2012
Debaran STPM
Friday, July 27, 2012
Ilmu Itu Kuasa VS Ilmu Itu Kelebihan
Dalam kehidupan ini, kita sememangnya tidak dapat menafikan kepentingan ilmu sebagai satu unsur yang telah menyumbang kemajuan hidup dari pelbagai aspek. Oleh sebab itu, kita sentiasa digalakkan untuk menimba ilmu pada sepanjang masa. Kita tidak sepatutnya menganggap bahawa proses mencari ilmu hanya berlaku di sekolah-sekolah atau di institusi pengajian tinggi, malahan ilmu sebenarnya terdapat di mana-mana. Misalnya, masyarakat Melayu banyak menjadikan keadaan sekeliling sebagai sumber pengetahuan dan pengalaman. Hal ini dapat dilihat daripada peribahasa yang digubah berdasarkan alam. Antaranya termasuklah "seperti aur dengan tebing" dan "jadilah seperti resmi padi, makin berisi makin tunduk" (sekadar menyatakan beberapa contoh). Hal ini menunjukkan masyarakat menjadikan kejadian di sekeliling mereka sebagai panduan untuk membentuk peribadi yang mulia.
Dalam hal ini, terdapat banyak tujuan yang menjadi galakan kepada seseorang untuk menimba ilmu. Ada golongan yang menganggap menuntut ilmu itu penting kerana ilmu dianggap sebagai kuasa (power). Bagi golongan ini, mereka akan berusaha untuk mendapatkan seberapa banyak ilmu dalam pelbagai bidang untuk melaksanakan cita-cita mereka. Keadaan ini menjadikan risiko penyalahgunaan ilmu meningkat. Hal ini kerana pemilik ilmu dari golongan ini mungkin menganggap bahawa mereka boleh melakukan apa yang dikehendakinya dengan ilmu itu tanpa memikirkan kesannya. Mungkin juga mereka terlupa bahawa ilmu sepatutnya digunakan untuk kebaikan kehidupan sejagat dan bukannya digunakan untuk tujuan penindasan kerana ilmu hanya dianggap sebagai kuasa.
Dalam pada itu, terdapat juga golongan yang memandang ilmu sebagai suatu kelebihan (virtue). Golongan ini juga berhasrat untuk menimba ilmu dengan sebanyaknya. Berbeza daripada golongan sebelumnya, golongan ini menimba ilmu untuk mendapatkan kelebihan daripada ilmu yang dimilikinya. Sehubungan dengan itu, golongan ini mempunyai kesedaran untuk menggunakan ilmu yang diperoleh untuk kebaikan semua pihak termasuklah memajukan tamadun manusia dan memelihara alam. Dengan ilmu yang ada, mereka akan berusaha untuk menyebarkan ilmu tersebut kepada orang lain kerana mereka tahu bahawa ilmu bukanlah hak mutlak seseorang, tetapi adalah hak milik bersama-sama.
Berdasarkan penerangan di atas, sememangnya terdapat pelbagai tujuan bagi seseorang untuk menimba ilmu. Kita juga dapat melihat bahawa tujuan menimba ilmu itu ditentukan oleh pegangan dan anggapan masing-masing terhadap ilmu itu sendiri. Sebaiknya, kita harus memastikan bahawa tujuan kita menimba ilmu adalah baik dan tidak mendatangkan kemudaratan.
Segala perkongsian ini hanya sekadar pandangan peribadi.
Pesanan buat diri, manfaat buat generasi!
Thursday, July 26, 2012
Sembang Siber: Kelebihan Menggunakan Fungsi '”Run” Dalam Windows
Seperti yang semua tahu, sistem operasi Windows mempunyai fungsi yang disebut sebagai 'Run'. Fungsi ini boleh diaktifkan dengan menekan
windows + R di papan kekunci.
Pada kali ini, saya ingin berkongsi sedikit maklumat yang saya tahu tentang kelebihan menggunakan fungsi 'Run' pada komputer anda. Mungkin ada
yang akan mengatakan bahawa perkara yang ingin saya kongsikan ini boleh dilakukan dengan cara lain yang lebih sesuai. Namun demikian, saya
tetap merasakan bahawa perkongsian ini berguna kepada mereka yang masih belum mengetahui atau kepada mereka yang hendak mencuba
perkara baharu. Tanpa membuang masa, saya mulakan perkongsian ini.
Nota: Perkara yang ingin saya kongsikan ini lebih tertumpu kepada Windows 7. Maknanya, mungkin ada sesetengah perkara yang tidak boleh
diaplikasikan dalam Windows terdahulu (seperti Windows 7).
1. Melayari internet dengan lebih mudah dan pantas:
Setelah melancarkan fungsi 'Run' (Win+R), anda boleh menaip terus laman sesawang yang ingin anda lawati dan kemudian tekan 'enter'. Selepas itu,pelayar internet yang anda gunakan (default browser) akan dibuka dan halaman yang anda kehendaki akan dipaparkan. Dengan menggunakan cara
ini, anda tidak perlu membuka pelayar internet secara manual dan menaip alamat laman sesawang selepas pelayar internet dibuka. Pada pandangan
saya, cara ini dapat menjimatkan sedikit masa kita.
2. Membuka beberapa jenis program dengan lebih mudah:
A. Taipkan "dfrgui", (tanpa simbol pengikat kata) pada kotak teks pada fungsi 'Run' untuk melancarkan 'Disk Defragmenter'.
- Kegunaannya adalah untuk menyusun semula fail dalam komputer yang telah tercerai (fragment).
- Bertujuan melajukan komputer kerana fail yang telah tersusun memudahkan pencarian fail.
B. Taipkan "rstrui" (tanpa simbol pengikat kata) pada kotak teks fungsi 'Run' untuk melancarkan 'System Restore'.
- Kegunaannya adalah untuk mengundurkan sistem komputer ke suatu tarikh yang terdahulu.
- Supaya sesetengah masalah komputer dapat diatasi dengan mengundurkan sistem ke tarikh yang tiada masalah.
C. Taipkan "sfc /scannow" (tanpa simbol pengikat kata) untuk melancarkan 'System File Check'.
- Kegunaannya adalah untuk memeriksa fail sistem dalam komputer.
- Fail yang rosak akan digantikan dengan yang baharu.
- Mungkin tidak ramai yang mengetahui fungsi ini, kerana setahu saya, fungsi ini tidak ditemui baik di desktop mahupun di Start Menu.
- Saya hanya pernah menggunakan fungsi ini dalam Windows 7. Saya telah mencuba di Windows XP tetapi tidak boleh digunakan. Bagi WindowsVista, saya belum mencubanya lagi.
D. Taipkan 'winword' (tanpa simbol pengikat kata) untuk melancarkan Microsoft Word (sekiranya dipasang).
- Perisian penulisan (Word Processor) yang dikenali ramai.
E. Taipkan 'cleanmgr' (tanpa simbol pengikat kata) untuk melancarkan fungsi 'disk cleanup'.
- Kegunaannya untuk memadam fail-fail yang tidak lagi diperlukan oleh sistem operasi pada cakera keras (hard disk).
F. Taipkan "msconfig" (tanpa simbol pengikat kata) untuk melancarkan "System Configuration".
- Kegunaannya adalah untuk menguruskan "Windows Start-up".
- Misalnya, untuk menentukan program yang hendak dilancarkan secara automatik ketika komputer dihidupkan atau menentukan program supayatidak dilancarkan secara automatik.
3. Fungsi 'Run' memudahkan pengguna dalam jangka panjang:
- Teks yang telah ditaip dalam kotak teks fungsi "Run", termasuk alamat laman sesawang boleh dicari semula pada masa akan datang.
- Caranya adalah dengan menggunakan kekunci anak panah atas dan bawah di kotak teks untuk memilih item yang dikehendaki.Demikianlah beberapa kelebihan yang boleh didapati dengan menggunakan fungsi 'Run'. Semoga bermanfaat.
Wednesday, July 25, 2012
Kelemahan Diri Ada Baiknya: Sekadar Pandangan
Sebagai seorang manusia, kita tidak dapat melepaskan diri daripada kelemahan dan ketidak sempurnaan dari pelbagai aspek. Hal ini kerana setiap manusia diciptakan dengan kelebihan dan kekurangan yang berbeza. Oleh sebab itu, kita seharusnya menerima setiap kelemahan diri dengan sebaiknya. Namun demikian, kita juga tidak seharusnya terlalu bangga dengan kelebihan yang kita miliki.
Di sebalik setiap kelemahan diri yang ada pada kita, terdapat sesuatu yang kita dapat belajar daripadanya. Bagi kita yang mempunyai kelebihan dalam pelbagai bidang, kelemahan yang ada pada kita dapat dijadikan satu saluran untuk melakukan refleksi terhadap diri sendiri. Bagi kita yang memahami bahawa tiada sesiapa yang dapat lari daripada kekurangan diri, kelemahan yang dihadapi dapat mengingatkan kita supaya tidak sombong dan bangga diri atas segala kelebihan yang dimiliki. Sebaliknya, kita perlu sedar bahawa dalam hal ini, kita seharusnya merendah diri untuk meminta pertolongan daripada orang lain untuk mengatasi segala masalah yang dihadapi. Sebagai balasannya, kita juga seharusnya menggunakan kelebihan yang ada pada kita untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Keadaan ini dapat mewujudkan hubungan kemanusiaan yang baik di samping memupuk keluhuran akhlak kita yang cinikan. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat daripada perkongsian yang tidak seberapa ini.
Satu pesanan buat diri, juga buat manfaat generasi.
Sunday, May 13, 2012
Ujian
Sudah lama saya tidak menulis coretan di sini.
Cepat benar masa berlalu. Esok saya dan rakan-rakan akan mula menduduki ujian pertengahan tahun. Bimbang juga saya dibuatnya kerana banyak topik perlu diulang kaji.
Doakanlah semoga saya beroleh keputusan yang baik.
Thursday, March 22, 2012
Jom Jadi Orang Yang Lebih Bertanggungjawab
Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf kerana sudah lebih sebulan tidak mencoret di blog ini.
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu dikatakan tidak bertanggungjawab. Bezanya, mungkin perkara itu merupakan perkara yang kecil atau mungkin juga besar. Di sini, saya ingin mengajak diri saya sendiri dan pembaca untuk lebih bertanggungjawab terhadap beberapa perkara yang ingin saya kemukakan ini. Mungkin perkara yang dikemukakan ini dilihat sebagai sesuatu yang kecil. Namun demikian, perkara ini perlu dibudayakan sebagai latihan kepada kita untuk lebih bertanggungjawab terhadap perkara yang lebih rumit pada masa akan datang.
Tanpa melengahkan masa, berikut merupakan perkara-perkara tersebut:
1. Sentiasa pastikan paip air ditutup jika tidak digunakan
Saya agak kerap menemui paip air yang tidak ditutup dan dibiarkan begitu sahaja, terutamanya di tandas-tandas sekolah atau tandas-tandas asrama. Air dibiarkan mengalir tanpa dimanfaatkan oleh sesiapa. Bukankah itu membazir namanya? Keadaan ini juga terjadi ketika berlaku gangguan bekalan air. Paip yang dibuka tidak ditutup semula kerana seolah-olah menyangka bahawa air tidak akan mengalir jika paip dibiarkan dibuka. Hasilnya, apabila masalah bekalan air selesai, air akan terus terbazir begitu sahaja. Oleh sebab itu, bermula dari hari ini, sama-samalah kita bekerjasama mengelakkan pembaziran air kerana air merupakan satu keperluan yang sangat penting dalam hidup. Bayangkanlah jika satu hari nanti, air bersih tiada!
2. Letakkan semula troli barang yang telah digunakan di tempat asalnya
Apabila mengunjungi pasar raya, saya dapati ada troli barang yang diletakkan begitu sahaja di kawasan tempat letak kereta. Hal ini menyukarkan pelangan baharu yang ingin meletakkan kereta mereka. Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa mengalihkan troli itu untuk membolehkan kenderaan mereka diletakkan di tempat tersebut. Ramai yang mungkin berpendapat bahawa pekerja pasar raya akan menghantarkan troli tersebut ke tempat asal selepas mereka beredar nanti. Tetapi, mereka tidak terfikir pula kesusahan yang disebabkan oleh perbuatannya. Mulai hari ini, marilah kita bersikap lebih bertanggungjawab dengan mengembalikan troli barang ke tempat asalnya. Selain melatih diri untuk lebih bertanggungjawab, kita dapat memudahkan orang lain. Bukankah itu situasi menang-menang?
Setakat ini sahaja yang ingin saya coretkan untuk kali ini. Sebelum itu, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak berniat untuk memburuk-burukkan sesiapa dalam tulisan ini. Sebaliknya, saya sekadar ingin mengingatkan diri saya sendiri dan para pembaca supaya kita menyedari kepentingan sikap bertanggungjawab dalam kehidupan.
Thursday, February 16, 2012
Perbualan antara A dan B (coretan ilham)
A: Awak baiklah.
B: Mengapa pulak awak cakap macam tu?
A: Sebab saya selalu dengar cerita tentang awak. Awak suka tolong orang lain, menghormati orang lain dan banyak lagi.
B: Pernahkah awak melihatnya sendiri?
A: Hmm, tak pernah lagi.
B: Sebenarnya, saya tak sebaik yang awak sangka. Saya ada banyak kekurangan. Mungkin cuma awak yang tak tahu.
A: Mengapa pulak? Saya tak faham.
B: Macam nilah. Saya beri awak satu contoh. Andaikan seorang kawan beritahu awak bahawa dia terjumta 5 keping duit RM100 semasa hendak pulang ke rumah. Tentu sekali awak akan kata bahawa dia bernasib baik.
A: Ok, teruskan.
B: Apa yang awak akan fikir kalau dia akhirnya beritahu bahawa duit itu duit yang dah koyak dan tak boleh digunakan langsung?
A: Rugilah kalau begitu.
B: Inilah yang saya maksudkan. Mungkin selepas mengetahui kekurangan yang banyak yang ada pada saya, awak akan ucapkan ayat seumpama itu.
A: ......