PurnamaSeri
Budi yang baik datangnya dari hati yang ikhlas.
Saturday, June 23, 2018
Coretan Ilham: Sepasang Mata dan Lemang Periuk Kera
Ada kalanya, sesuatu itu tidak semestinya perlu ada pada kita untuk kita memperoleh manfaat daripadanya. Ini berlaku apabila wujudnya suatu yang disebut sebagai perkongsian: seseorang berkongsi perkara/keupayaan yang dimiliki untuk membolehkan manfaatnya datang kepada orang lain yang tidak memiliki perkara/keupayaan berkenaan.
---
"Hari tu saya ada baca satu artikel yang cerita tentang lemang periuk kera," kataku mengubah topik perbualan sebaik sahaja perkara tersebut singgah di ingatan.
"O, lemang tu. Pernah makan ke?" Soalnya.
"Tak pernah lagi, baru pertama kali dengar. Tapi saya rasa tertarik. Katanya, lemang tu agak istimewa: dibalut dalam periuk kera dengan tujuan untuk dapatkan aromanya. Memandangkan periuk kera dikutip di hutan dan kerjanya amat mencabar, susah katanya nak jumpa di bandar seperti Kuala Lumpur," terangku panjang lebar, sambil berharap peneranganku tepat.
---
Suasana di suatu Bazar Ramadhan seperti yang dijangka. Ramai yang sudah mula berkunjung untuk membeli juada berbuka idaman pada hari berkenaan. Tidak ketinggalan juga aroma yang singgah di deria bau, menandakan pelbagai jenis juada yang boleh dijadikan calon hidangan berbuka untuk menghilangkan rasa lapar. Aku berjalan di belakangnya sambil memegang tongkat, memanfaatkan sedikit penglihatan yang masih bersisa untuk memastikan aku tidak tertinggal. Tidak lupa juga untukku berhati-hati supaya tidak terlanggar pengunjung lain yang mungkin tidak perasan kehadiranku. Satu demi satu gerai dikunjungi, aku membeli juadah yang diminati dengan bantuan Dia yang memberitahuku apa yang ada.
"Wah, ada lemang periuk kera!" Kurasa agak tiba-tiba suaranya singgah di gegendang telingaku apabila sedang berjalan keluar dari kawasan bazar untuk pulang.
"Serius ke?" Tanyaku girang, tidak percaya. Bagai suatu mimpi kurasakan kerana baru disebut perkara ini tidak lama sebelumnya.
"Ya, ada tu kat situ. Nak beli ke?" Katanya sambil menunjuk ke suatu arah yang tidak kupasti.
"Nak, nak!" Seruku, masih berasa teruja.
Dengan bantuannya, aku berjaya membeli satu set lemang periuk kera sebagai salah satu juadah istimewa ntuk berhuka pada malam itu.
---
Bila direnung kembali, aku mengakui lemang tersebut memang agak istimewa, tidak pernah dinikmati sebelum ini. Tetapi, ia hanyalah sejenis makanan yang akan habis jua, hanya memberi rasa kekenyangan untuk sementara. Jadi, apa yang kurasa lebih istimewa ialah pengalaman yang dilalui sehingga mendapatkan lemang berkenaan. Dengan perkongsian keupayaan penglihatan daripadanya, aku berpeluang untuk menikmati lemang berkenaan dalam masa yang singkat, sedangkan aku sendiri tiada keupayaan penglihatan yang mencukupi untuk mengesan adanya jualan juadah istimewa berkenaan.
Dengan kata lain, juadah yang dibeli di bazar pada hari itu sangat bergantung kepada perkongsian keupayaan penglihatannya denganku. Jika Dia tidak memberitahuku bahawa lemang tersebut ada dijual, aku tidak dapat membelinya, malah tidak tahu pun kewujudannya di bazar berkenaan sampai detik ini. Atas kerelaannya untuk perkongsian tersebut, aku ucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan aku benar-benar menghargainya kerana keinginanku untuk mencari juadah tersebut ada dalam ingatannya pada ketika itu.
---
Ada kalanya, sesuatu itu tidak semestinya perlu ada padaku untukku memperoleh manfaat daripadanya. Ini berlaku apabila wujudnya suatu yang disebut sebagai perkongsian: Dia berkongsi keupayaan penglihatan yang dimiliki untuk membolehkan manfaatnya datang kepadaku yang tidak memiliki keupayaan berkenaan.
TAMAT
Saturday, June 16, 2018
Cerpen - Nasi Goreng Cinta
Oleh: Lok Weng Hang
“Apa?”
Suara Adi yang terkejut menerjah laju ke gegendang telingaku. “Ini ke rancangan
besar yang kau berahsia sangat dengan kitorang selama ni?” Afiq juga
mengangguk, tanda berkongsi rasa terkejut yang terbit daripada Adi.
“Ya,
inilah dia. Kenapalah korang terkejut sangat dengan apa yang aku nak buat ni?
Bukankah itu juga makanan yang boleh mengenyangkan aku, kau, dan dia?” Balasku,
hairan dengan reaksi yang ditunjukkan oleh dua orang sahabat baikku ini.
“Hmm,
setahu aku belum pernah orang yang aku kenal buat lagi? Sebab tu aku cadangkan
supaya kau batalkan saja niat kau tu. Ikut saja aturan seperti yang biasa kita
jumpa dalam majlis-majlis orang. Makanan seperti tu dah cukup baik, dan tak ada
orang yang akan cakap apa-apa,” Akhirnya Afiq bersuara setelah lama mendiamkan
diri.
***
Khemah-khemah
piramid berwarna biru tersusun berhampiran rumah yang dihias indah itu. Para
tetamu yang sudah memilih juadah masing-masing lalu mengambil tempat di kerusi
yang mengelilingi meja-meja bulat yang berada di setiap khemah. Para tetamu
kelihatan gembira, barangkali berkongsi kebahagiaan dua insan yang bakal
menjadi raja sehari.
“Biadab!”
Satu suara yang kuat mengalihkan segenap pandangan ke arah salah sebuah khemah.
Dari jauh, tidak dapat kulihat dengan jelas apa yang berlaku. Perasaanku
bercampur aduk, ada cemas, ada terkejut, dan tidak kurang juga rasa ingin tahu.
Lalu langkah diatur hati-hati mendekati tempat kejadian.
“Kalau
tak suka sekalipun, janganlah tumpahkan makanan macam tu. Kalau orang yang kenyang
tak sudi, ada lagi orang lapar yang berbudi.” Sambung suara itu lagi. Tidak
kutahu siapa pemilik suara itu, dan siapa insan yang menjadi sasaran kemarahannya.
Atas sebab tertentu, Aku tidak tertarik untuk mengetahuinya.
Sebaliknya,
rasa ingin tahuku lebih tertarik kepada apa yang sedang berada di atas lantai
pada ketika ini. Butir-butir kecil yang berasal dari padi bertaburan di atas
lantai. Bagaikan tidak percaya, butir-butir kecil itu bergerak-gerak di hadapan
ruang lingkup pandanganku untuk beberapa ketika, dan akhirnya menghasilkan
bentuk hati, lambang yang dikaitkan oleh manusia dengan rasa cinta.
“Nasi
goreng? Tidaaaaa…”
***
“Kenapa
dengan kau ni, Man. Tiba-tiba je jerit nasi goreng? Kau mimpi ngeri ke?”
Kedengaran suara Afiq bertanya. Aku segera terduduk di atas katil, diam, lalu
menggosok-gosok mata, bagai tidak pasti yang mana mimpi, yang mana realiti.
Pandanganku segera dialihkan ke sudut lain dalam bilik yang aku kongsi
bersama-sama Afiq dan Adi selaku mahasiswa sebuah universiti tempatan. Kelihatan
Adi masih nyenyak tidur. Mataku beralih ke arah jam dinding yang digantung
tinggi berdekatan meja belajar. Baru pukul 4:30 pagi, bisik hati kecilku.
“Aku
mintak maaf, Fiq? Aku mimpi suatu yang aku tak jangka.” Aku berjaya
mengeluarkan suara setelah berasa lebih tenang. Afiq hanya mengangguk, tidak
bertanya lanjut. Aku pun menuju pintu bilik sambil mataku masih dapat melihat
Afiq kembali berbaring di atas katil.
Sambil
berjalan-jalan di koridor, fikiranku tidak dapat kualihkan daripada mimpiku
sebentar tadi. Adakah atas sebab ini mereka meminta aku membatalkan niat aku
itu? Kerana bakal berlaku sesuatu yang buruk seperti yang aku mimpikan, atau
lebih teruk daripada itu? Semakin aku memikirkan perkara ini, semakin fikiranku
bercelaru. Mimpi kali ini lain daripada yang lain. Kenapa perlu nasi goreng,
makanan yang sangat aku gemari? Tahap kegemaran aku pada nasi goreng memang
tidak dapat aku nafikan, dan rakan-rakanku pasti bersetuju denganku.
“Aku
nak tambah lagilah nasi goreng ni.” Aku teringat kata-kataku pada suatu ketika
dahulu.
“Tambah lagi? Nasi ni hanya digoreng dengan
telur saja ni.” Kata Adi, ragu-ragu.
“Ya, sebab nasi goreng kebanyakannya sedap
bagi aku.” Aku tahu penjelasanku tidak dapat memberi kefahaman kepadanya
tentang kesukaanku terhadap nasi goreng, tetapi itu sahaja yang mampu aku
katakan.
***
“Ya
Allah, sekiranya mimpiku itu satu petunjuk daripada-Mu, maka berilah kefahaman
kepadaku tentang apa yang ingin Kau tunjukkan. Tetapi sekiranya mimpiku itu
hanya mainan syaitan, maka lepaskanlah diriku daripada kebimbangan yang
disebabkan olehnya.” Demikianlah doaku kepada Allah semoga diberi pencerahan
tentang perkara ini selepas mengerjakan solat sunat Tahajud. Sebuah hadith
Kudhsi yang menyebut bahawa Allah turun ke langit dunia pada setiap sepertiga
malam menambahkan lagi keyakinanku bahawa setiap doaku itu tidak pernah akan
diabaikan.
***
Pelayan
kafeteria itu meletakkan pinggan berisi mi goreng di hadapanku. Aku hanya
tersenyum tanda berpuas hati. Aku hanya diam sambil menikmati makanan di
hadapanku, sedang Afiq dan Adi pula rancak bersembang tentang perkara-perkara
yang tidak menarik minatku. Sekali-sekala, kedua-dua mereka memandangku dengan
wajah hairan, yang tidak aku tahu sebabnya. Barangkali mereka berasa hairan
dengan aku yang banyak diam. Atau barangkali tidak, kerana aku sememangnya
banyak berdiam diri sekiranya melibatkan topik perbualan yang di luar
pengetahuanku.
“Eh,
baru aku perasan kau tak makan nasi goreng kali ni,” kata Adi kepadaku,
membuatkanku lantas memandangnya.
“Penggemar
nasi goreng diwajibkan makan nasi goreng setiap ketika ke?” Tanyaku kuat. Entah
mengapa Aku rasa sangat tersinggung dengan kata-kata itu. Tanpa menunggu lama,
aku terus bangkit dan beredar dari tempat dudukku, meninggalkan kafeteria yang
kurasakan seperti sedang mencengkam emosiku.
Perkara pertama yang aku mahu sekarang ialah duduk seorang diri tanpa
gangguan orang-orang yang selalu kuat mengatakan faham, tetapi menunjukkan
sikap yang sebaliknya.
Setibanya
di bangku batu berdekatan kolam ikan, barulah perasaanku mula lega. Untuk
beberapa ketika, aku hanya mampu memandang kosong ke arah ikan-ikan yang sedang
berlumba-lumba mendapatkan makanan. Barangkali staff kolej kediaman baru
memberi makan ikan-ikan itu tadi.
“Eh, baru aku perasan kau tak makan nasi
goreng kali ni.” Tiba-tiba sahaja kata-kata Adi itu kembali kedengaran di
fikiranku. Dadaku mula berasa sempit kembali, tetapi kali ini bukan kerana
marah. Di hadapan ikan-ikan yang sangat mendamaikan ini, aku dapati kata-kata
itu tidaklah setajam yang aku rasa seperti yang kurasakan sebentar tadi. Ayat
itu hanya sebuah ayat penyata yang sangat mudah difahami. Sebuah ayat yang
datang daripada seorang rakan yang tahu kebiasaanku. Rupanya, aku sendiri yang
berprasangka bahawa Adi hendak menyindirku kerana tidak mahu lagi makan nasi
goreng, memandangkan aku pernah menceritakan mimpi yang aku alami tempoh hari. Pastikah
aku bahawa itu yang dia maksudkan? Jika tidak, mengapa aku lantang bertanya begitu
seolah-olah aku pasti 101 peratus?
Tiba
pula giliran rasa bersalah menghantuiku. Pelbagai perkara lain bermain di
fikiranku. Suatu sudut hatiku berfikir, Bagaimana jika benar aku sebenarnya
sedang menjauhkan diri daripada nasi goreng secara tidak sedar? Ah, mana
mungkin? Nasi goreng itu sangat aku gemari. Sehingga sekiranya aku tidak tahu
hendak memilih makanan, aku akan bertanya keberadaan nasi goreng di situ. Atau,
bagaimana pula jika aku menjauhi nasi goreng bukan kerana aku tidak suka? Hmm,
boleh terjadikah begitu, fikiranku makin kusut. Sebelum aku dilanda sakit kepala
yang teruk, aku membuat keputusan untuk menangguhkan pencarian jawapan kepada
soalan terakhir itu tadi.
Aku
kembali menatap ikan-ikan yang masih ligat berenang meneroka seluruh kolam itu.
Airnya bersih kerana ditukar secara berkala. Melihatkan ikan-ikan yang seperti
tiada masalah sedikit sebanyak mengalihkan fikiranku daripada segala masalahku.
Beruntung benar ikan-ikan ini, sentiasa dijaga, sentiasa dicintai.
“Cinta?”
Dengan spontan aku mengeluarkan suara apabila mendapati ikan-ikan yang banyak itu
tersusun seperti bentuk hati. Namun, bentuk itu segera terlerai apabila
ikan-ikan itu terus berenang.
“Kerana rasa cinta, ikan-ikan ini damai.”
Kenyataan ini terbit secara spontan di hatiku.
“Kerana cinta kurniaan Ilahi kepada
manusia, ikan-ikan ini tidak terlompat-lompat di tanah, ikan-ikan ini tidak
mati kelaparan,” sambungku lagi.
“Apa pula maksud nasi goreng berlambang
cinta? Atau adakah itu hanya mainan ilusi semata-mata?” Aku terus bermonolog
sendirian, masih cuba mencari maksud di sebalik perkara ini.
***
“Kami
mintak maaf sebab buat kau marah tadi,” Adi memulakan bicara, apabila melihat
wajahku yang muram dan tidak berkata apa-apa sejak aku kembali ke bilik.
“Aku
yang patut mintak maaf. Aku yang berprasangka yang kau nak sindir aku dengan
nasi goreng,” balasku, kuat mengharap agar perbualan ini segera berakhir.
“Kalau
macam tu, kami mintak maaf sebab selalu merendah-rendahkan nasi goreng,” kata
Afiq pula.
“Tak
apa, pendapat masing-masing,” balasku, sudah malas untuk menggunakan ayat
penuh. Bukan permohonan maaf yang aku cari, tetapi jawapan yang masih belum
bertamu.
“Aku
harap kau tak tinggalkan nasi goreng sebab orang lain macam aku merendah-rendahkannya,”
Kata Afiq lagi.
Tinggalkan
nasi goreng? Ya, ada kemungkinan orang akan tinggalkan sesuatu yang dia suka
hanya kerana cakap-cakap orang lain. Adakah aku begitu? Aku tidak dapat
menafikan bahawa ada sedikit perasaan itu dalam hatiku. Walaupun aku hendak
menolak perasaan itu, tetapi aku tidak mampu, tiada kekuatan, seperti ada
sesuatu yang hilang daripada diriku.
“Tulis
seorang ustaz, Jalur bahagia kita berbeza. Ada orang bahagia dengan makanan
yang mahal-mahal. Ada pula orang bahagia hanya dengan makanan yang dianggap
biasa-biasa oleh masyarakat. Apa yang penting ialah hati yang syukur dan redha.
Jika tidak, di mana-mana pun kita tidak akan bahagia.” Dengan sendirinya,
pandanganku tepat ke arah Adi yang baru selesai membaca tulisan itu di skrin
telefon pintarnya.
Kini
aku jelas. Aku tidak perlu lagi mengharap masyarakat suka kepada apa yang aku
suka, kerana jalur bahagia setiap orang berbeza. Sekiranya aku bahagia dengan
menikmati nasi goreng, itu sudah cukup, tanpa perlu aku membanding-bandingkan
pilihan makananku dengan orang lain. Aku juga sedar bahawa simbol cinta yang
dibentuk oleh nasi goreng itu melambangkan kegemaranku padanya bukan daripada
orang lain, tetapi dari rasa hati sendiri. Kegemaran terhadap nasi goreng juga mengajarku
untuk tidak memperlekehkan orang lain yang menyukai sesuatu yang tidak aku
suka, kerana sekali lagi, jalur bahagia setiap orang itu berbeza.
Terima
kasih Tuhanku, terima kasih sahabatku.
Sunday, March 11, 2018
Coretan Ilham: Sekotak Mancis dan Selonggok Daun Kering
"Berapa kali mak nak cakap? Jangan main api!"
Angah dapat melihat kotak mancis pantas terlepas dari tangan Along, jatuh ke atas longgokan daun kering yang nyaris berubah menjadi abu hitam. Barangkali terkejut dengan suara Emak yang tiba-tiba menerjah gegendang telinga.
Emak sudah tidak tahu bagaimana hendak menghentikan tabiat bermain api anak-anaknya. Dalam keadaan marahnya, Emak masih sempat menyedari sesuatu. Reaksi anak-anaknya hampir sama sejak entah berapa kali dimarahi. Kotak mancis di tangan terlepas, jatuh ke atas bahan bakar. Yang membezakannya cuma tangan yang memegang kotak mancis. Kadang-kadang Along, kadang-kadang Angah. Namun, ini bukan masanya untuk mengimbas kembali kejadian lalu, Fikir Emak. Anak-anak perlu dilarang bermain api dengan suara lantang yang digeruni. Lalu, Emak meneruskan leterannya sambil Along dan Angah tidak berganjak dari tempat mereka berdiri.
"...Kalau rumah yang jadi abu, mana kita nak tinggal?..." Suara emak belum nampak tanda-tanda hendak berhenti membunyikan kata-kata kemarahan.
---
"Aku tak tahulah apa jadi dengan anak-anak aku ni."
Keluh Emak di hadapan Kawan.
"Kenapa dengan mereka?" Tanya Kawan, ingin tahu.
"Sejak dua menjak ni, mereka suka sangat main api kat depan rumah. Guna mancis, bakar daun kering. Dah berkali-kali aku marah pun masih sama," terang Emak.
"Oh ya ke?" sahut Kawan, berasa simpati.
"Apa kata kau tolong nasihatkan mereka. Mungkin mereka akan dengar kalau orang lain yang tegur mereka. Lagipun dah lama kau tak datang rumah aku," cadang Emak.
---
Emak dan Kawan berjalan bersama-sama menuju rumah. Pandangan dua pasang mata itu segera dihiasi kelibat sepasang kanak-kanak yang sedang tekun mengumpul daun-daun kering yang gugur dari pohon berhampiran. Selepas berpuas hati dengan longgokan daun yang terhasil, Angah mengambil kotak mancis dari lantai, lalu dikeluarkan sebatang anak mancis. Baru sahaja Angah hendak menyalakan api, matanya dan mata emak bertentang sebaik sahaja dia mengangkat kepala.
Tanpa mahu menunggu leteran yang bakal diterima, Angah segera mencampakkan kotak mancis ke lantai dan memberi isyarat kepada Along untuk masuk ke rumah. Sepantas kilat, kedua-dua mereka berlari masuk ke rumah tanpa sepatah kata.
"Hmm, apa lagi boleh aku kata? Kau dah nampak sendiri," Emak memulakan bicara, sambil memperdengarkan senafas keluhan. Kawan yang menjadi pendengar tunggal kata-kata emak hanya senyap, tidak berkata apa-apa. Emak dapat mengesan Kawan seperti sedang memikirkan sesuatu.
"Jom kita masuk. Tolong nasihatkan budak-budak tu."
Suara emak yang memecah kesunyian itu mengejutkan Kawan dari lamunan. Emak hairan dengan kelakuan Kawan.
"Kejap, aku rasa ada sesuatu yang aku perasan kat sini," Akhirnya Kawan bersuara.
"Tak ada apa pun yang luar biasa aku tengok kat halaman ni. Kotak mancis dan longgokan daun kering saja," Emak berkata, merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kata-kata Kawan.
"Ya, itulah yang aku perasan," akui Kawan.
"Apa yang luar biasanya? Mancis tu memang aku letakkan kat sini, senang nak cari bila nak guna. Dan daun kering tu pun selalu saja gugur dari pokok berhampiran." Emak menuding jari ke arah pokok-pokok yang dimaksudkan.
"Ada sesuatu yang aku nak cakap. Aku harap kau tak terasa hati." Kawan menyambung kata-kata yang masih belum difahami oleh Emak. Emak hanya mengangguk tanpa berkata apa-apa, melainkan menunggu sahaja apa yang hendak dikatakan oleh Kawan.
"Tadi kau kata kau memang letak mancis kat situ supaya senang cari bila kau nak guna kan? Kalau macam tu, kau setuju tak kalau aku kata, ini bermakna anak-anak kau pun senang jugak nak cari mancis tu bila mereka terasa nak main api masa kau tak perhati?"
Emak tidak menyangka Kawan akan bertanya soalan tersebut. Giliran Emak pula yang melayan fikirannya, cuba mencerna apa yang telah dinyatakan oleh Kawan.
"Ya, aku rasa betul kata kau. Logiknya, kalau aku senang capai mancis tu bila aku perlu, tentu anak-anak aku juga begitu. Tapi, itu tak bermakna mereka boleh gunakan mancis tu sesuka hati, lebih-lebih lagi untuk buat sesuatu yang berbahaya macam ni. Kau pun tahu kan, dah berkali-kali aku larang mereka. Sampai dah kering tekak aku dibuatnya. Tentu mereka dah boleh fikir apa yang aku cuba nak sampaikan," Emak lantas mempertahankan pendiriannya.
"Ya, betul kata kau. Mereka harus sedar bahawa mereka tak sepatutnya main api sesuka hati. Tapi barangkali, mereka tak fikir seperti yang kau fikir," terang Kawan. "Barangkali mereka masih jugak main api sebab mereka rasa kalau betullah api itu berbahaya sangat, mengapa emak mereka letak mancis tu kat tempat yang senang nak jumpa? Dengan kata lain, mereka rasa larangan emak mereka itu kurang bersungguh-sungguh."
"Macam mana kau boleh kata larangan aku tak bersungguh-sungguh? Kau tak tau dah berapa kali mereka buat kerja ni, dan berapa kali jugaklah aku marah kat mereka. Kalau ini masih kau kata tak bersungguh-sungguh, aku dah tak tau apa yang lebih bersungguh-sungguh daripada itu." Nada suara dan perkataan yang digunakan oleh Emak memberitahu Kawan bahawa dia sudah mula hendak naik angin. Lalu Kawan mengambil keputusan untuk menyampaikan penjelasannya dengan kadar segera sebelum Emak mengambil keputusan untuk tidak lagi mahu mendengar:
"Aku mintak maaf, aku tak sekali-kali berniat nak kata kau tak sungguh-sungguh. Apa yang aku maksudkan ialah, ada sesuatu yang kau boleh buat untuk lengkapkan kesungguhan larangan kau. Kalau kau dah marah mereka, dan kemudian letakkan mancis kat tempat yang lebih susah nak dicapai, aku fikir itu lebih dapat sampaikan kepada mereka bahawa bermain api itu sangat bahaya dan sebab itulah emak mereka jauhkan mancis itu dari mereka. Pendek kata, dalam situasi kau, larangan berbentuk perkataan perlu disusuli dengan tindakan yang menunjukkan larangan itu serius supaya anak-anak kau boleh faham sedikit demi sedikit,"
---
CERITA TAMAT
Komentar penulis:
Kita ada banyak keinginan, dan kita melakukan pelbagai tindakan untuk cuba memenuhinya, tidak kiralah untuk mendapatkan sesuatu atau mengelakkan sesuatu yang lain. Bila sesuatu tindakan itu tidak mendatangkan hasil yang diingini, kadang-kadang kita perlu fikir semula apa yang kita buat untuk menuju hasil yang kita inginkan. Ada kalanya, hasil yang kita mahu itu tidak tercapai kerana tindakan kita tidak selaras dengan apa yang kita harapkan.
Misalnya, andaikan saya tidak mahu monyet masuk ke dalam bilik, tapi saya sentiasa membiarkan tingkap bilik terbuka luas pada waktu siang semasa saya tiada di bilik. Bila difikirkan, tindakan mengabaikan tingkap sebenarnya memberi dorongan kepada monyet untuk masuk, sedangkan harapan saya kuat supaya monyet tidak lagi masuk. Itu yang cuba digambarkan dalam cerita di atas. Emak larang anak bermain api dengan leter dan marah, tetapi emak dalam cerita itu juga yang membiarkan mancis terus berada di tempat anak-anak mereka bermain api.
Semoga coretan kecil daripada penulis yang masih dalam usaha meluaskan ilmunya ini dapat memberi sedikit manfaat kepada pembaca yang sudi mengikuti coretan hingga noktah terakhir.
Sunday, February 11, 2018
Coretan Ilham: Akuarium, Ikan Emas, dan Besen
Berenang-renang si ikan emas itu, dari satu sudut akuarium ke satu sudut yang lain. Memerhatikannya membuatku lupa sebentar lelah hasil tuntutan rutin kerjaya. Malam ini tiada bezanya daripada malam-malam sebelumnya. Sejak memperoleh ikan emasku, melihat ikan itu berenang-renang dengan riang sudah menjadi rutin hampir setiap kali sebelum aku meninggalkan ruang tamu untuk masuk tidur.
Sedang aku memerhatikan ikan emasku, timbul suatu ilham dalam hatiku. Jika aku menempatkan ikan itu di dalam bilikku, sudah pasti aku dapat melihat keriangan ikan itu hingga detik terakhir sebelum mataku pejam dibuai mimpi. Sudah pasti aku akan lebih menghargai dan menyayangi ikan itu yang telah banyak menghiburkan hatiku, fikirku.
Oleh sebab aku tidak dapat menempatkan akuarium segi empat tepat yang besar itu di dalam ruang bilikku, aku membuat keputusan membersihkan sebuah besen yang sudah agak lama tidak digunakan. Diisinya air, dan dengan cara yang kurasakan paling lemah lembut, aku memindahkan ikan emasku ke dalam besen itu.
Sejak malam itu, ikan emasku berada hampir denganku di dalam bilik tidurku. Pandangan terakhir sebelum aku terlena ialah ikan itu, dan ikan itu jugalah yang mengisi pandangan pertama selepas aku membuka mata selepas terjaga keesokan paginya. Menyedari hakikat ini, aku berasa puas. Dengan menghabiskan lebih banyak masa dengan ikan itu, aku berharap akan dapat lebih menghargainya, dan aku mengharapkan ikan itu juga berkongsi perasaan yang sama.
Malam yang lain datang lagi. Gelapnya seperti selalu, tetapi hari, bulan, dan tahunya sudah berbeza. Sedang aku memerhatikan ikan emasku, aku dapati ada satu perkara lagi yang berbeza pada malam itu. Sering saja badan ikan itu berlaga dengan badan besen. Kulihat ikan itu tidak dapat lagi berenang dengan bebas, tidak lagi dapat mempamerkan keriangannya seperti sebelum ini. Puas aku memerah fikiranku, tetapi tidak kutemui jawapannya. Persoalan itu kubawa ke alam mimpiku.
Tangan kebas dan lembik. Itulah yang kurasa sebaik sahaja aku membuka mata untuk memulakan hari baru. Aku mula panik. Sambil memusingkan badanku, pantas aku sedari tanganku terhempap oleh badanku sendiri sehingga peredaran darah terhalang. Barangkali inilah sebabnya rasa kebas dan lembik ini terjadi. Sukar sekali untukku menggerakkan tanganku. Aku menunggu untuk beberapa ketika hingga rasa itu hilang. Kemudian, barulah aku mula hendak melangkah turun dari katil dan meninggalkan bilik tidurku.
Beberapa langkah dari pintu, mataku sempat memandang ke arah besen ikan emasku. Keadaannya masih sama, badannya sering sahaja berlaga dengan badan plastik besen. Hingga tidak lagi bebas renangannya. Hingga begitu sukar sekali untuk ia bergerak, fikirku. Adakah seperti mana sukarnya aku menggerakkan tanganku dek rasa kebas tadi? Jika tanganku sukar digerakkan kerana terhempap dengan berat badanku, ikan emasku barangkali sukar bergerak kerana kepungan ruang kecil. Lebih tepat lagi, ruang kecil besen. Ruang kecil besen yang aku rasakan dapat mendekatkan aku dengannya, dan dapat mendekatkannya denganku. Dan yang paling penting, ruang kecil besen itulah yang menjadi puncanya ketidakbebasan pergerakan ikan emasku.
Aku tersentak daripada lamunan. Baru kusedari, walaupun tindakanku membolehkanku bertambah dekat dengan ikan emasku, tetapi berbaloikah kedekatan itu dengan ketidakbebasan ikan emasku? Tidak sama sekali! Tidak perlu masa yang panjang untuk aku membuat keputusan itu. Lalu aku segera memindahkan ikan itu kembali ke akuarium kebebasannya.
Hampir sekelip mata, renangan ikan emasku kembali lancar sebaik sahaja memasuki air akuarium, tidak perlu lagi melanggar-langgar apa-apa semasa bergerak. Apa gunanya aku mendekatkannya denganku atas nama sayang jika itu akan memudarkan kebahagiaannya? Bila difikir kembali, aku lebih gembira melihat kebebasan ikan emasku, walaupun mungkin ia sedikit jauh daripadaku. Kupandang sekali lagi renangan riang ikan emasku sebelum berlalu untuk meneruskan hariku pada pagi itu.
Tamat
Sunday, January 07, 2018
Coretan Ilham: Kemudahan Bagimu, Keperluan Bagi Kami
"Whatsapp, Now, Siswa A @ Info Siswa,
Pengumuman: Perpustakaan Nasional telah melancarkan sebuah laman sesawang untuk membolehkan para pengguna meminjam buku dan membacanya secara dalam talian. Diharap kemudahan ini sedikit sebanyak dapat menyuburkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia," suara robotik femenin itu kedengaran lagi dari arah telefon pintar yang digunakan oleh Farhan yang bermasalah penglihatan.
"Wow, menarik!" Farhan bersuara, bermonolog sendirian. "Kena masuk sekarang jugak ni. Untung-untung ada buku yang dah lama nak cari."
"Whatsapp, Now, Siswa B @ Info Siswa,
Terima kasih atas perkongsian. Lepas ni kalau tak bawak buku fizikal, tapi rasa nak baca buku, bolehlah akses laman web ni. Sangat memudahkan kita," suara robotik itu membacakan lagi mesej yang diterima.
"Terima kasih banyak-banyak atas perkongsian ini. Suatu inisiatif yang bagus dari pihak perpustakaan. Perkhidmatan yang menawarkan bahan bacaan secara online, khususnya buku yang telah diterbitkan seperti ini sangat ditunggu-tunggu oleh golongan yang bermasalah penglihatan, terutamanya yang langsung tidak dapat melihat." mesej selesai ditaip, Farhan menekan butang 'send' untuk menghantarnya.
"Whatsapp, Now, Siswa B @ Info Siswa,
Timbul rasa ingin tahu dalam diri saya. Boleh saya tahu mengapa golongan bermasalah penglihatan sangat menantikan perkhidmatan macam ni berbanding golongan yang berpenglihatan?" Tanpa jemu, suara itu terus membaca mesej.
"Sebab kami menghadapi kesukaran untuk baca buku fizikal. Jadi, kami biasanya menganggap buku dalam bentuk digital sebagai bacaan yang lebih utama. Dengan adanya lebih banyak penawaran perkhidmatan macam ni, mudah-mudahan bilangan buku yang dapat kami akses akan bertambah.
Dengan kata lain, perkhidmatan ini barangkali suatu kemudahan bagi kamu, tetapi suatu keperluan bagi kami." Butang 'send' ditekan lagi, mesej dihantar ke kumpulan Info Siswa untuk renungan ahli-ahlinya.
Tamat
Friday, December 29, 2017
Gambar Kosong (Fiksyen untuk Renungan)
"WHATSAPP, Now, Siswa A @ Info Siswa, Camera, Image."
Suara femenin robotik itu setia membacakan mesej yang diterima untuk pendengaran dia yang mengalami kekurangan penglihatan.
"WHATSAPP, Now, Siswi A @ Info Siswa, Wow, penulisan! menarik, kena masuk ni," suara itu membaca mesej seterusnya beberapa saat kemudian.
"Oh, hantar gambar 'kosong' lagi," dia sedikit mengeluh.
Dia sedar, gambar itu sebenarnya tidak kosong pada pandangan penglihatan, lebih-lebih lagi selepas ada maklum balas orang lain yang telah mencerna maklumat daripada gambar yang terbentuk daripada berjuta petak-petak kecil piksel itu. Namun, dia berpendapat, kosong atau tidaknya sesuatu bukan bergantung kepada persepsi orang lain, Sebaliknya, persepsi masing-masing yang menentukan. Gambar itu kosong kerana tiada maklumat yang mampu diperoleh, fikirnya.
"Ini gambar apa ya? Menarik ni kalau pertandingan penulisan kreatif!" selesai jemari menaip mesej, lalu ditekan butang 'send'. Dia sangat sedar, keperluan untuk teka-meneka ini akan wujud dalam diri insan sepertinya setiap kali maklumat yang diberikan tidak cukup dalam bentuk yang boleh dicapai.
Nombor hadapan jam digital terus beralih ke digit demi digit yang lebih tinggi, tetapi belum ada suara yang membacakan mesej lanjut. Dia ada juga mencuba mengimbas gambar tersebut dengan aplikasi pengimbas teks, tetapi belum ada keputusan yang memuaskan. Mungkinkah gambar itu tiada teks, tekanya lagi.
---
"WHATSAPP, Now, Siswi A+ @ Info Siswa, Sorry lambat balas, baru sempat nak check Whatsapp. Ya, gambar ni tentang pertandingan menulis cerpen. Ini poster dia. Butiran lanjut nanti saya hantar. Kalau berminat, bolehlah sama-sama kita masuk."
Mesej keramat itu mengakhiri penantian dia selepas matahari terbenam dan terbit semula. Lebih baik lambat sedikit daripada tiada langsung, fikirnya.
Seperti yang dijanjikan, Siswi A+ telah menghantar teks butiran pertandingan tersebut kepadanya beberapa minit kemudian: tema, format, tarikh tamat, dan tidak lupa juga lokasi penghantaran manuskrip.
---
"terima kasih banyak-banyak sebab sudi ambil masa untuk terangkan gambar tu. Kalau tak ada orang balas mesej sampai ke sudah, mesti saya dah terlepas pertandingan yang saya tunggu-tunggu ni. Kalau saya terlepas dan tak tahu sampai bila-bila tak apa lagi, tentu sedih kalau lepas tarikh tamat baru ada orang nak beritahu," katanya memulakan perbualan dengan siswi A+ ketika mereka bertemu keesokan harinya.
"Sama-sama. Saya tak sangka, pertolongan yang saya anggap kecil ini dapat beri makna yang banyak pada awak. Saya pun tumpang gembira bila tengok awak gembira. Saya terfikir, deria penglihatan yang dikurniakan Tuhan ini bukan sahaja untuk bantu kehidupan seharian saya, tetapi juga satu ujian untuk menilai kesanggupan saya untuk menjadi mata kepada insan yang mengalami kekurangan penglihatan," jawab siswi A+ panjang lebar.
"Wow, Menarik idea awak tu! Apa pun, kalau lebih ramai orang yang bertindak macam awak ni, tentu lebih mudah untuk kami memperoleh penyertaan penuh dalam masyarakat," kata dia.
"Penyertaan penuh," balas siswa A+. "Macam pernah dengar je baru-baru ni."
Dia dan Siswa A+ mengukir senyuman.
TAMAT
Wednesday, December 20, 2017
Subscribe to:
Posts (Atom)