Sunday, May 10, 2015

Jika Rambutan, Eloklah Rambutan


"Saya nak jadi macam dia tu. Orangnya peramah, pandai mengambil hati, dan tidaklah pendiam macam saya ni," Alia tiba-tiba mengubah topik perbualan di rumah rakannya, Ainul. "Kenapa tiba-tiba je cakap macam tu?" Tanya Ainul. Reaksi terkejut agak jelas terpancar di wajahnya. Suasana sunyi seketika. Kedua-dua mereka memandang antara satu sama lain. Di antara mereka, kelihatan sebiji durian yang masih belum dibelah dan sebuah plastik berisi buah rambutan terletak di atas sebuah meja kaca di ruang tamu rumah Ainul.

"Mana taknya. Kalau saya jadi macam dia, mesti saya boleh dapat ramai kawan. Tapi saya tahu, perubahan itu sangatlah susah," balas Alia, kekecewaan berlegar dalam nada suaranya. "Perlukah menjadi orang lain untuk menjadi diri sendiri?" Ainul bertanya kembali, kali ini dengan sebaris kata yang agak mengelirukan. "Apa yang Ainul cuba nak sampaikan? Dan salahkah saya untuk menjadi lebih baik dengan menggunakan cara saya sendiri?" Alia tampak tidak berpuas hati.

"Tentulah tidak salah untuk menjadi lebih baik. Kalau saya tak silap dengar, Alia sendiri mengakui bahawa berubah menjadi seperti orang lain itu sukar. Kalau itu sukar, kenapa tidak Alia berubah menjadi lebih baik dengan bantuan sifat-sifat baik yang ada dalam diri Alia sendiri?" Ainul masih mencuba untuk meyakinkan Alia dengan pendiriannya. "Kerana saya tiada sifat baik yang boleh dianggap baik. Kalau keluar dengan kawan, selalu saja diam dan rasa tak selesa kerana selalu memaksa diri untuk mencari idea untuk bersembang," ujar Alia. "Ok, saya faham. Hmm, boleh tak kita makan buah dulu. Nanti kita sambung perbualan kita balik," Ainul memberi saranan. Alia sekadar menganggukkan kepala sahaja. Dalam hati kecilnya, Alia berprasangka bahawa Ainul ingin mengalihkan topik perbualan kerana dia sudah tiada idea untuk berhujah dengannya. Alia tersenyum sinis.

Meja kaca di rumah Ainul itu memang sudah biasa diletakkan dua jenis buah-buahan tempatan itu apabila Alia datang berkunjung. Hubungan Ainul dan Alia sangat rapat. Segala suka dan duka akan dikongsi bersama. Alia sangat suka buah durian, manakala Ainul sangat suka buah rambutan. Walaupun buah kegemaran mereka berbeza, hal ini tidak menjejaskan hubungan rapat antara mereka.

Tanpa berkata apa-apa, Ainul mencapai pisau lalu membelah buah durian itu. Setelah selesai, dia mencapai sebiji rambutan pula dan membukanya. Lalu dia mengeluarkan isi rambutan itu dan diletakkannya di atas meja. Alia sekadar memerhatikan telatah rakannya yang dirasakannya agak pelik pada hari itu. Dia terus memerhatikan Ainul yang mencapai seulas buah durian. Tanpa disangka, Ainul cuba memasukkan durian yang diambilnya ke dalam kulit rambutan yang telah terbelah dua. Mulanya, Ainul memasukkannya ke dalam belahan kulit yang pertama, lalu dia cuba menutupnya dengan belahan kedua pula di atasnya. Kelihatan kedua-dua belahan kulit rambutan itu tidak mampu menutup keseluruhan buah durian itu. Di bahagian tengah, buah durian itu masih terdedah dan dapat dilihat dengan mata kasar. Ainul amat sedar bahawa, sekiranya dia melepaskan tangannya daripada kulit rambutan itu, pasti durian itu akan terkeluar dan terjatuh ke atas meja.

Tanpa sepatah kata, Ainul dapat melihat seutas getah terletak di atas meja. Dengan sebelah tangannya, dia mencapai getah itu dan mula mengikat kulit rambutan yang sedang mengisi durian itu. Selepas itu, dia melepaskan tangannya. Dengan bantuan ikatan getah itu, durian tidak lagi terpisah daripada kulit rambutan. Akhirnya, Ainul mengeluarkan sebiji lagi rambutan yang belum dikupas kulitnya dan diletakkan bersebelahan kulit rambutan yang telah diikat getah itu.

"Apa yang Ainul buat ni? Durian tidak akan sesuai untuk dimasukkan ke dalam kulit rambutan. Sudahlah begitu, Ainul paksa pula durian itu untuk tidak terpisah dari kulit rambutan dengan ikatan getah." Akhirnya, rasa hairan dalam diri Alia telah mendorongnya untuk bersuara. "Hmm, Alia pun rasa begitu kan? Kalau Alia nak tahu, inilah jugak yang saya rasa," jawab Ainul dengan tenang. "Kalau Ainul dah rasa macam tu, kenapa Ainul masih nak buat?" Alia semakin naik hairan dengan rakannya pada ketika itu.

"Sebenarnya, saya rasa sangat sedih untuk melakukan apa yang telah saya lakukan ini. Tapi, saya rasa, ini satu cara untuk saya menunjukkan kepada Alia tentang apa yang Alia cuba nak buat terhadap diri Alia sendiri," ujar Ainul, masih cuba hendak berteka-teki dengan Alia yang semakin nampak kehairanan di wajahnya. "Tolonglah Ainul. Janganlah berteka-teki macam ni. Apa kaitan saya dengan rambutan dan......." Alia tidak dapat menghabiskan ayatnya. Air mukanya segera berubah. Pandangan matanya tertumpu kepada kulit rambutan yang sedang mengisi seulas buah durian dengan payahnya.

Mata Alia tidak beralih. Dia dapat melihat dengan jelas kulit rambutan yang tidak dapat menutupi sepenuhnya durian itu. Kemudian, dia juga dapat melihat seutas getah yang sedang memaksa kulit rambutan dan durian dengann sifat kenyalnya untuk tidak terpisah. Tiba-tiba, dia tersedar sesuatu. Dia tahu bahawa rambutan yang berada di dalam kulit rambutan boleh disimpan lebih lama berbanding seulas durian yang sedang diisi kulit rambutan, seperti yang sedang berada di hadapan matanya.

"Alia dah faham dengan apa yang saya nak sampaikan?" Tanya Ainul, memecah kesunyian di dalam rumah itu. "Saya rasa saya faham. Ainul nak umpamakan rambutan yang berada di dalam kulit rambutan itu sebagai orang yang cuba mencari kebaikan dengan menjadi diri sendiri. Dan kulit rambutan yang mengisi seulas durian itu ialah seorang yang tidak berpuas hati dengan keadaan diri sendiri, dan memaksa diri berubah untuk menjadi seperti orang lain, dalam keadaan yang penuh dengan tekanan dan paksaan," terang Alia dengan panjang lebar. Sambil tersenyum dan menepuk-nepuk bahu Alia, Ainul berkata: "Ya, Alia. Inilah yang saya nak sampaikan sebenarnya. Walaupun rambutan itu kecil berbanding durian, dia tidak perlu berubah menjadi durian untuk menjadi buah kegemaran saya, kerana rasanya yang unik yang tidak ada pada buah lain. Samalah seperti Alia. Walaupun Alia seorang yang pendiam kerana kurang idea untuk bersembang, saya tetap menganggap Alia sebagai teman rapat saya, kerana Alia ada keunikan yang tersendiri," balas Ainul.

"Keunikan eh?" tanya Alia sambil menggeleng-gelengkan kepala. "Ya, keunikan. Alia nak tahu tak, sebelum saya berkenalan dengan Alia di universiti, saya ada satu tabiat buruk. Saya suka keluar dari bilik asrama, tanpa menutup suis lampu dan kipas, walaupun saya keluar bilik untuk tempoh masa yang lama. Pada masa itu, saya berpendapat bahawa bil elektrik bukan saya yang bayar. Tapi, bila saya tinggal sebilik dengan Alia, Alia sentiasa akan menutup kipas dan lampu apabila keluar bilik. Beberapa lama selepas itu, barulah saya tersedar bahawa walaupun bukan saya yang membayar bil elektrik, tabiat saya itu telah menyebabkan pembaziran bekalan elektrik, sedangkan saya boleh mengelakkannya untuk kebaikan bersama. Sejak hari itulah, saya bertekad untuk mengubah tabiat buruk itu" Terang ainul. Alia tidak berkata apa-apa.

"Satu lagi, Alia ingat tak, saya pernah demam panas teruk masa kita sebilik dulu. Saya pernah marah Alia sebab Alia asyik suruh saya ke klinik setelah agak lama demam saya tidak sembuh. Alia tidak tinggikan suara kat saya, malah terus menasihati saya dengan lembut. Kemudian, Alia teman saya ke klinik setelah saya bersetuju. Dalam hati saya, saya agak marah pada Alia ketika itu sebab asyik membebel kat saya. Tetapi, kemarahan saya itu segera bertukar menjadi rasa bersalah bercampur gembira. Seperti yang Alia tahu, doktor telah mengesahkan bahawa saya menghidap demam denggi, tetapi nasihat Alia supaya saya segera ke klinik telah menyelamatkan saya daripada kejadian yang tidak diingini." Sambung Ainul lagi. Kelihatan air jernih bergenang di kelopak dua pasang mata yang sedang berpandangan.

"Janganlah cakap macam tu. Ainul terselamat daripada demam denggi bukanlah kerana saya, tetapi kerana Tuhan jua. Saya hanyalah perantara Tuhan dalam perancangan-Nya untuk Ainul. Saya rasa, saya yang perlu ucapkan Terima kasih kepada Ainul kerana menyedarkan saya tentang diri saya sendiri. Betul kata Ainul, saya tidak perlu berubah menjadi seperti orang lain untuk mencapai kebaikan dan ketenangan. Kerana pendiam atau tidak pendiam itu bukanlah faktor utama kepada baik atau tidaknya seseorang. Dan, saya sebelum ini secara tidak sedar telah menafikan kesyukuran saya kepada Tuhan kerana asyik tidak berpuas hati dengan diri sendiri. Tetapi, Tuhan telah menetapkan bahawa Ainul menjadi orang yang membantu saya untuk kembali bersyukur kepada Tuhan atas apa yang telah dikurniakan-Nya kepada saya," kata Alia, masih cuba mengawal esak tangisnya.

"Saya gembira Alia akhirnya telah menerima kenyataan itu. Dan saya juga hendak meminta maaf kepada Alia sebab saya meninggi suara kat Alia masa saya demam dulu," balas Ainul. "Tidak perlulah minta maaf sebab saya tak marah kat Ainul. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Saya pun tentu ada melakukan kesilapan terhadap Ainul juga. Saya pun nak mintak maaf jugak," kata Alia.

Perbualan Alia dan Ainul berterusan. Pelbagai perkara yang dijadikan topik perbualan mereka. Sambil berbual itu, Alia membuka ikatan getah pada kulit rambutan yang berisi durian dan mengeluarkan durian dari dalamnya. Lalu Alia mengambil isi rambutan di atas meja dan meletakkannya kembali di tempat asalnya, iaitu di dalam kulit rambutan, sebagai simbol penerimaan Alia terhadap nasihat Ainul. Kelihatan kedua-dua mereka tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Followers