Friday, January 20, 2012

Pulang Bercuti

Hari ini merupakan hari terakhir saya menduduki Ujian Ulang Kaji 1 untuk pelajar pra universiti 2 (tingkatan 6 atas) yang bermula pada hari Isnin lalu. Soalan yang ditanya merangkumi topik yang telah dipelajari sepanjang berada di tingkatan 6 bawah pada tahun lepas. Bagi saya, ujian ini merupakan perkara baharu bagi saya, lebih-lebih lagi apabila ujian ini diadakan seawal ini.

Namun demikian, apabila saya bertanya rakan-rakan yang sudah agak lama bersekolah di Sekolah Tinggi Muar, ujian seperti ini memang menjadi kebiasaan di sekolah itu.

Selepas waktu persekolahan hari ini, rakan-rakan saya sudah mula pulang ke rumah untuk memulakan cuti sekolah sempena Tahun Baru Cina. Semasa catatan ini ditulis, saya juga sedang dalam perjalanan pulang ke rumah untuk turut bercuti.

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan selamat bercuti kepada semua pengunjung blog ini. Saya juga mengucapkan Gong Zhi Fa Chai kepada mereka yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

Seperti tahun-tahun sudah, buah limau akan menjadi popular pada waktu perayaan ini.

Friday, January 13, 2012

Menghadiri Majlis Pelancaran Skim Amanah Rakyat 1Malaysia

Pada 12 Januari 2012 (semalam), seramai 76 orang pelajar pra universiti 2 (tingkatan 6 atas) dan beberapa orang guru pengiring Sekolah Tinggi Muar termasuk saya telah menghadiri Majlis Pelancaran Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Sekolah  Tinggi Muar merupakan salah sebuah sekolah daripada  5 sekolah di daerah Muar yang terpilih untuk menghadiri majlis tersebut.

Kami telah bertolak dari sekolah pada pukul 9.30 pagi dengan menaiki dua buah bas. Perjalanan ke destinasi mengambil masa selama lebih kurang 3 jam.

Pada pukul 12.30 tengah hari, kami tiba di PWTC. Sebelum bergerak ke Dewan Merdeka, guru-guru telah mencadangkan supaya kami menjamu selera terlebih dahulu.Pada pukul 2.00 petang, kami sudah mengambil tempat duduk di dalam Dewan Merdeka. Kedengaran lagu-lagu berkumandangan untuk menghiburkan para tetamu. Saya diberitahu bahawa lagu-lagu tersebut dimainkan oleh sebuah kumpulan band. Menurut pengacara majlis, kumpulan band tersebut adalah daripada Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada pukul 3.15 petang, pengacara majlis mengumumkan ketibaan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku. Seterusnya, majlis diikuti dengan bacaan doa yang diketuai oleh imam Masjid Negara, Ustaz Azhar Tuarno. Selesai bacaan doa, majlis menjemput Tuan Ahmad Sarji, pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk menyampaikan ucapan alu-aluan.

Kemudian, majlis diteruskan dengan penyampaian ucapan perasmian oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Dalam ucapan tersebut, beliau telah menerangkan objektif SARA 1Malaysia yang bertujuan membantu golongan berpendapatan negara. Selain itu, beliau juga menyentuh syarat-syarat untuk memohon skim ini. Antara syaratnya ialah skim ini disasarkan kepada golongan berpendapatan kurang ddaripada RM3000. Nilai pembelian adalah sebanyak RM5000. Dalam setiap bulan, pemohon akan dibayar RM134 sebulan. Bagi mereka yang tidak mempunyai simpanan wang yang cukup, mereka boleh meminjam dengan institusi kewangan. Bagi mereka yang meminjam, bayaran yang diterima adalah sebanyak RM50, iaitu selepas pembayaran pinjaman berjumlah RM84 sebulan.

Ucapan tersebut mengambil masa selama 15 minit. Sebagai tanda pelancaran, perdana menteri, diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri telah meletakkan logo 1Malaysia pada plag pelancaran. Kemudian, majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata oleh Tun Ahmad Sarji kepada Perdana Menteri.

Majlis berakhir pada pukul 4.00 petang. Namun demikian, kami hanya meninggalkan destinasi majlis untuk bertolak kembali ke sekolah pada pukul 5.50 petang kerana menunggu ketibaan bas.Perjalanan pulang mengambil masa yang lebih lama kerana bas telah berhenti beberapa kali untuk memberi ruang kepada mereka yang beragama Islam untuk menunaikan solat dan sesiapa yang mahu menjamu selera.

Kami tiba semula di sekolah hampir pukul 10.00 malam.

Maaf kerana tidak memuat naik gambar dalam catatan ini.

Sunday, January 08, 2012

Tidak Tahu Adakalanya Perlu

Dalam kehidupan seharian, kita pastinya terdedah dengan pelbagai bentuk cabaran dan rintangan di samping saat kegembiraan. Semua ini telah menjadi satu lumrah dalam kehidupan kita. Oleh sebab itu, mahu tidak mahu, kita perlu menghadapinya juga.

Pada kali ini, saya mendapat ilham untuk berkongsi sedikit pandangan saya tentang tajuk sebagaimana di atas. Mungkin antara persoalan yang timbul ialah “Mengapakah dikatakan bahawa tidak tahu adakalanya perlu?” Mungkin juga persoalannya akan berbunyi: “Bukankah tidak tahu itu menyusahkan sahaja?” Kemungkinan juga banyak lagi bentuk persoalan yang tidak terlintas dalam fikiran saya ketika saya menulis catatan ini.

Bagi saya, “tidak tahu” bukanlah semata-mata merupakan sesuatu yang buruk. Hal ini demikian kerana “tidak tahu” akan sesuatu boleh mendidik jiwa ke arah yang lebih baik. Keadaan ini dapat membuatkan seseorang itu berfikir semula akan kelemahan diri dan berusaha membaikinya. Secara tidak langsung, seseorang itu akan menyedari bahawa walaupun dia banyak ilmu pengetahuan, tetapi pasti ada banyak perkara lagi yang tidak diketahuinya. Pemikiran seperti ini dapat menghindarinya daripada berbangga dengan pengetahuannya yang banyak kerana dia sedar pada suatu masa dan hari yang tidak tahu bila, mungkin dia yang banyak pengetahuan itu memerlukan bantuan orang lain untuk membantunya dengan perkara yang tidak diketahuinya pula.

Kesimpulannya, perbezaan pengetahuan antara individu dengan individu lain bertujuan untuk mewujudkan suasana saling membantu, iaitu yang tahu membantu yang tidak tahu silih berganti dalam pelbagai perkara yang berlainan. Oleh itu, jelaslah bahawa “tidak tahu adakalanya perlu”.

Semoga bermanfaat!

Ini ialah Ilham daripada sebuah peristiwa yang telah lalu!

Saturday, January 07, 2012

Selamat Menuntut Ilmu Di ST. Nicholas’ Home

Saya telah diberitahu bahawa ada antara rakan-rakan yang baru selesai menduduki SPM akan mengisi masa cuti mereka dengan mengikuti kursus di St. Nicholas’ Home di Pulau Pinang.

Bagi saya, hal ini sangat baik kerana masa lapang yang ada boleh diisi dengan perkara yang bermanfaat. Selain itu, pastinya apabila berada di tempat baharu, tentu akan dapat menimba pengalaman baharu juga. Selain itu, berada di tempat baharu juga dapat menambah lebih ramai kenalan.

Di samping itu, apa yang penting ialah mendapat seberapa banyak ilmu yang berguna untuk masa akan datang. Oleh itu, janganlah sia-siakan peluang yang ada ini.

Kepada rakan-rakan, saya mengucapkan selamat menuntut ilmu semasa mengikuti kursus pilihan masing-masing di St. Nicholas’ Home. Janganlah berasa bosan sekiranya apa yang diajarkan di sana sudah anda ketahui, terutamanya untuk mereka yang mengikuti kursus komputer. Anggaplah bahawa ulangan ini sebagai satu cara untuk memantapkan apa yang sudah diketahui.

Rindu pula saya pada suasana semasa mengikuti kursus di St. Nicholas’ Home!

Monday, January 02, 2012

Sembang Siber: Komputer Dijangkiti Virus

Pagi tadi, semasa sedang sibuk melayari internet, komputer saya telah mengalami masalah yang agak serius. Kemungkinan komputer saya itu telah dijangkiti virus dari internet. Akibatnya, semua ikon pintas (shortcut icon) dan fail di desktop telah tidak kelihatan (tidak dapat diakses). Selepas itu, muncul pula mesej ralat yang tidak saya fahami maksudnya.

Setelah mengambil masa yang agak lama, barulah komputer saya dapat dipulihkan keadaannya. Sungguhpun begitu, semua fail yang saya simpan di Desktop sebelum kejadian telah terpadam begitu sahaja.

Antara pengajaran yang saya dapat daripada peristiwa ini ialah elakkan menyimpan fail di Desktop atau Local Disk C, lebih-lebih lagi fail yang penting. Hal ini kerana sekiranya berlaku apa-apa kepada sistem komputer, tentu tempat-tempat ini akan terjejas kerana di sinilah letaknya fail-fail sistem komputer. Sebaiknya, simpanlah fail di Local Disk D, atau di dalam USB Drive atau di mana-mana tempat lain yang selamat. Tidak ada masalah untuk meletakkan ikon pintas (shortcut icon) di Desktop untuk membuka sesuatu program komputer kerana kehilangan ikon pintas ini tidak membawa kesan kepada fail asal program tersebut.

Seterusnya, saya juga belajar untuk lebih berhati-hati apabila melayari internet dan tidak memandang ringan kepada masalah jangkitan virus komputer. Jika dahulu, saya hanya mendengar cerita dari rakan dan membaca tentang bahaya virus komputer di internet, pada hari ini, saya sendiri yang mengalaminya.

Setakat inilah perkongsian saya pada kali ini untuk peringatan bersama-sama.

Semoga bermanfaat!

Sunday, January 01, 2012

Maklumat Tentang Gula

Pada kali ini, saya ingin berkongsi sedikit maklumat tentang gula yang saya peroleh daripada pelbagai sumber dalam internet. Sebenarnya, maklumat ini merupakan salah satu tugasan Pengajian Am yang telah saya siapkan dengan rakan-rakan saya. Maklumat ini telah diubah daripada bentuk PowerPoint ke bentuk teks biasa.

PENGENALAN:

 

Gula ialah sejenis kristal karbohidrat yang boleh dimakan seperti sukrosa, laktosa, dan fruktosa. Gula mempunyai rasa yang manis. Gula dalam makanan kebanyakannya terdiri daripada sukrosa yang berasal daripada gula tebu dan gula bit (daripada ubi bit putih). Gula yang digunakan dalam industri penyediaan makanan pula seperti glukosa, gula buah atau fruktosa. Antara bentuk gula ialah monosakarida dan disakarida.


MONOSAKARIDA (MONOSACCHARIDE) dan CONTOH:


Monosakarida juga dipanggil gula ringkas.
Gula ini menyimpan tenaga yang digunakan oleh sel biologi.
Hanya terdiri daripada satu molekul.
Mudah dihadam oleh badan.
Contoh:
Glukosa terdapat dalam gula darah.
Galaktosa terdapat dalam gula susu.
Fruktosa atau levulosa terdapat dalam gula buah.


DISAKARIDA (DISACCHARIDE) dan CONTOH:


Disakarida ialah dua molekul yang diikat melalui proses pemeluwapan atau kondensasi.
Contoh:
Sukrosa  terdapat dalam gula pasir (gabungan 1 molekul glukosa dan 1 molekul fruktosa).
Maltosa terdapat dalam gula malt (gabungan 2 molekul glukosa).


KEPERLUAN GULA DALAM TUBUH:


Glukosa atau gula darah ialah gula ringkas yang paling penting dalam metabolisma.
Glukosa menghasilkan tenaga untuk kegunaan sel melalui proses metabolisma.
Sebagai sumber tenaga utama, glukosa tidak perlu dihadam oleh tubuh.
Kepekatan glukosa dalam darah yang normal ialah 0.1%.
Keperluan gula maksimum yang digalakkan oleh British Nutrition Foundation untuk orang dewasa ialah sebanyak 90 gram.


BAHAYA GULA KEPADA KESIHATAN:


Apabila diambil dalam kadar yang berlebihan:
Gula boleh mengganggu penyerapan kalsium, magnesium, dan protein dalam badan.
Gula boleh melemahkan penglihatan.
Gula boleh menyumbang kepada obesiti.
Gula boleh merendahkan kandungan vitamin E (alpha-Tocopherol) dalam darah.
Gula boleh menyebabkan penyakit diabetes.
Gula boleh mencacatkan struktur DNA.
Gula boleh mengurangkan hormon pertumbuhan.


INDEKS GLIKEMIK MAKANAN:


Indeks glikemik makanan (IG) atau glycemic index ialah perangkaan yang diberikan kepada makanan untuk menunjukkan tahap peningkatan gula darah.
Angka yang digunakan ialah dari 0 hingga 100.
Semakin tinggi nilai IG makanan, semakin singkat masa peningkatan gula darah.
Nilai IG yang melebihi 55 adalah tinggi manakala nilai IG yang kurang daripada 55 adalah rendah.
Indeks ini dapat membantu merancang pemakanan dengan lebih sihat.


GULA DALAM RAMUAN MAKANAN:


Gula dalam ramuan pada label makanan boleh dirujuk dengan pelbagai nama yang berbeza.
Kerana pelbagai jenis gula digunakan dalam sesuatu makanan.
Mengetahui nama-nama gula membolehkan perhitungan jumlah sebenar gula yang diambil.
Nama bahan yang berakhir dengan “osa” (dalam bahasa Melayu) dan “ose” (dalam bahasa Inggeris) biasanya ialah gula.
Berikut ialah antara nama bahan yang merujuk gula:

Jadual menunjukkan antara nama bahan yang merujuk gula dalam bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris:

Bahasa Melayu Bahasa Inggeris
Glukosa Glucose
Madu Honey
Gula asli Raw sugar
Dekstrosa Dextrose
Maltosa Maltose
Sukrosa Sucrose
Fruktosa Fructose

 

APAKAH GULA TIRUAN?:


Gula tiruan atau artificial sweetener ialah pengganti kepada gula semula jadi.
Biasanya mengandungi nilai kalori yang lebih rendah.
Namun, kebanyakan pemanis jenis ini tidak dapat menyerupai gula semula jadi sepenuhnya.
Kerana didapati terdapat perbezaan rasa berbanding dengan gula semula jadi.
Lima jenis pemanis tiruan utama ialah aspartame, acesulfame potassium, neotame, saccharin, dan sucralose.


SEBAB Penggunaan GULA TIRUAN:


Membantu pengurangan berat badan: pemanis tiruan lebih rendah kandungan tenaga dan kalori.
Membantu penjagaan gigi: pemanis jenis xylitol tidak dapat ditapaikan oleh mikroflora (plak gigi( dan menghalangnya memasuki permukaan gigi.
Mengawal diabetes: gula darah dapat distabilkan kerana sesetengah pemanis tiruan lambat dimetabolisme oleh tubuh.
Mengawal Hipoglikemia reaktif: Seseorang yang menghidap penyakit hipoglikemia reaktif akan menyebabkan penghasilan insulin yang berlebihan sekiranya seseorang mengambil pemanis yang mempunyai nilai glikemik yang tinggi. Hal ini menyebabkan kandungan glukosa dalam darah menurun ke paras yang terlalu rendah. Oleh itu, pemanis tiruan yang mempunyai nilai indeks glikemik yang lebih rendah menggantikan pemanis yang mempunyai nilai indeks glikemik yang tinggi untuk mengelakkan penurunan gula darah ke paras yang terlalu rendah.

Sumber Rujukan:

ms.wikipedia.org/wiki/gula:

- Pengenalan Gula: Definisi Gula

- Bentuk Gula: Monosakarida dan Contoh

- Bentuk Gula: Disakarida dan Contoh

dict.rewaz.org:

- Pengenalan Gula: Definisi Gula Bit

hyperphysics.phy-astr.gsu.edu

DAN

y3hoo.nice-topic.com:

- Keperluan Gula Dalam Tubuh

www.nancyappleton.com:

- Bahaya Gula Kepada Kesihatan

www.mendosa.com

DAN

aminuddin01.wordpress.com:

- Indeks Glikemik Makanan

dapurarang.multiply.com

DAN

lowcarbdiets.about.com:

- Gula dalam ramuan makanan: Nama gula dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris

www.wisegeek.comm:

- Apakah Gula Tiruan

en.wikipedia.org/wiki/sugar_substitudes:

- Sebab Penggunaan Gula Tiruan

Semoga bermanfaat!

Followers