Saturday, June 23, 2018

Coretan Ilham: Sepasang Mata dan Lemang Periuk Kera



Ada kalanya, sesuatu itu tidak semestinya perlu ada pada kita untuk kita memperoleh manfaat daripadanya. Ini berlaku apabila wujudnya suatu yang disebut sebagai perkongsian: seseorang berkongsi perkara/keupayaan yang dimiliki untuk membolehkan manfaatnya datang kepada orang lain yang tidak memiliki perkara/keupayaan berkenaan.
---
"Hari tu saya ada baca satu artikel yang cerita tentang lemang periuk kera," kataku mengubah topik perbualan sebaik sahaja perkara tersebut singgah di ingatan.
"O, lemang tu. Pernah makan ke?" Soalnya.
"Tak pernah lagi, baru pertama kali dengar. Tapi saya rasa tertarik. Katanya, lemang tu agak istimewa: dibalut dalam periuk kera dengan tujuan untuk dapatkan aromanya. Memandangkan periuk kera dikutip di hutan dan kerjanya amat mencabar, susah katanya nak jumpa di bandar seperti Kuala Lumpur," terangku panjang lebar, sambil berharap peneranganku tepat.
---
Suasana di suatu Bazar Ramadhan seperti yang dijangka. Ramai yang sudah mula berkunjung untuk membeli juada berbuka idaman pada hari berkenaan. Tidak ketinggalan juga aroma yang singgah di deria bau, menandakan pelbagai jenis juada yang boleh dijadikan calon hidangan berbuka untuk menghilangkan rasa lapar. Aku berjalan di belakangnya sambil memegang tongkat, memanfaatkan sedikit penglihatan yang masih bersisa untuk memastikan aku tidak tertinggal. Tidak lupa juga untukku berhati-hati supaya tidak terlanggar pengunjung lain yang mungkin tidak perasan kehadiranku. Satu demi satu gerai dikunjungi, aku membeli juadah yang diminati dengan bantuan Dia yang memberitahuku apa yang ada.

"Wah, ada lemang periuk kera!" Kurasa agak tiba-tiba suaranya singgah di gegendang telingaku apabila sedang berjalan keluar dari kawasan bazar untuk pulang.
"Serius ke?" Tanyaku girang, tidak percaya. Bagai suatu mimpi kurasakan kerana baru disebut perkara ini tidak lama sebelumnya.
"Ya, ada tu kat situ. Nak beli ke?" Katanya sambil menunjuk ke suatu arah yang tidak kupasti.
"Nak, nak!" Seruku, masih berasa teruja.
Dengan bantuannya, aku berjaya membeli satu set lemang periuk kera sebagai salah satu juadah istimewa ntuk berhuka pada malam itu.
---
Bila direnung kembali, aku mengakui lemang tersebut memang agak istimewa, tidak pernah dinikmati sebelum ini. Tetapi, ia hanyalah sejenis makanan yang akan habis jua, hanya memberi rasa kekenyangan untuk sementara. Jadi, apa yang kurasa lebih istimewa ialah pengalaman yang dilalui sehingga mendapatkan lemang berkenaan. Dengan perkongsian keupayaan penglihatan daripadanya, aku berpeluang untuk menikmati lemang berkenaan dalam masa yang singkat, sedangkan aku sendiri tiada keupayaan penglihatan yang mencukupi untuk mengesan adanya jualan juadah istimewa berkenaan.

Dengan kata lain, juadah yang dibeli di bazar pada hari itu sangat bergantung kepada perkongsian keupayaan penglihatannya  denganku. Jika Dia tidak memberitahuku bahawa lemang tersebut ada dijual, aku tidak dapat membelinya, malah tidak tahu pun kewujudannya di bazar berkenaan sampai detik ini. Atas kerelaannya untuk perkongsian tersebut, aku ucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan aku benar-benar menghargainya kerana keinginanku untuk mencari juadah tersebut ada dalam ingatannya pada ketika itu.
---
Ada kalanya, sesuatu itu tidak semestinya perlu ada padaku untukku memperoleh manfaat daripadanya. Ini berlaku apabila wujudnya suatu yang disebut sebagai perkongsian: Dia berkongsi keupayaan penglihatan yang dimiliki untuk membolehkan manfaatnya datang kepadaku yang tidak memiliki keupayaan berkenaan.

TAMAT

Saturday, June 16, 2018

Cerpen - Nasi Goreng Cinta



Oleh: Lok Weng Hang

            “Apa?” Suara Adi yang terkejut menerjah laju ke gegendang telingaku. “Ini ke rancangan besar yang kau berahsia sangat dengan kitorang selama ni?” Afiq juga mengangguk, tanda berkongsi rasa terkejut yang terbit daripada Adi.
            “Ya, inilah dia. Kenapalah korang terkejut sangat dengan apa yang aku nak buat ni? Bukankah itu juga makanan yang boleh mengenyangkan aku, kau, dan dia?” Balasku, hairan dengan reaksi yang ditunjukkan oleh dua orang sahabat baikku ini.
            “Hmm, setahu aku belum pernah orang yang aku kenal buat lagi? Sebab tu aku cadangkan supaya kau batalkan saja niat kau tu. Ikut saja aturan seperti yang biasa kita jumpa dalam majlis-majlis orang. Makanan seperti tu dah cukup baik, dan tak ada orang yang akan cakap apa-apa,” Akhirnya Afiq bersuara setelah lama mendiamkan diri.
***
            Khemah-khemah piramid berwarna biru tersusun berhampiran rumah yang dihias indah itu. Para tetamu yang sudah memilih juadah masing-masing lalu mengambil tempat di kerusi yang mengelilingi meja-meja bulat yang berada di setiap khemah. Para tetamu kelihatan gembira, barangkali berkongsi kebahagiaan dua insan yang bakal menjadi raja sehari.

            “Biadab!” Satu suara yang kuat mengalihkan segenap pandangan ke arah salah sebuah khemah. Dari jauh, tidak dapat kulihat dengan jelas apa yang berlaku. Perasaanku bercampur aduk, ada cemas, ada terkejut, dan tidak kurang juga rasa ingin tahu. Lalu langkah diatur hati-hati mendekati tempat kejadian.
            “Kalau tak suka sekalipun, janganlah tumpahkan makanan macam tu. Kalau orang yang kenyang tak sudi, ada lagi orang lapar yang berbudi.” Sambung suara itu lagi. Tidak kutahu siapa pemilik suara itu, dan siapa insan yang menjadi sasaran kemarahannya. Atas sebab tertentu, Aku tidak tertarik untuk mengetahuinya.

            Sebaliknya, rasa ingin tahuku lebih tertarik kepada apa yang sedang berada di atas lantai pada ketika ini. Butir-butir kecil yang berasal dari padi bertaburan di atas lantai. Bagaikan tidak percaya, butir-butir kecil itu bergerak-gerak di hadapan ruang lingkup pandanganku untuk beberapa ketika, dan akhirnya menghasilkan bentuk hati, lambang yang dikaitkan oleh manusia dengan rasa cinta.
            “Nasi goreng? Tidaaaaa…”
***
            “Kenapa dengan kau ni, Man. Tiba-tiba je jerit nasi goreng? Kau mimpi ngeri ke?” Kedengaran suara Afiq bertanya. Aku segera terduduk di atas katil, diam, lalu menggosok-gosok mata, bagai tidak pasti yang mana mimpi, yang mana realiti. Pandanganku segera dialihkan ke sudut lain dalam bilik yang aku kongsi bersama-sama Afiq dan Adi selaku mahasiswa sebuah universiti tempatan. Kelihatan Adi masih nyenyak tidur. Mataku beralih ke arah jam dinding yang digantung tinggi berdekatan meja belajar. Baru pukul 4:30 pagi, bisik hati kecilku.

            “Aku mintak maaf, Fiq? Aku mimpi suatu yang aku tak jangka.” Aku berjaya mengeluarkan suara setelah berasa lebih tenang. Afiq hanya mengangguk, tidak bertanya lanjut. Aku pun menuju pintu bilik sambil mataku masih dapat melihat Afiq kembali berbaring di atas katil.

            Sambil berjalan-jalan di koridor, fikiranku tidak dapat kualihkan daripada mimpiku sebentar tadi. Adakah atas sebab ini mereka meminta aku membatalkan niat aku itu? Kerana bakal berlaku sesuatu yang buruk seperti yang aku mimpikan, atau lebih teruk daripada itu? Semakin aku memikirkan perkara ini, semakin fikiranku bercelaru. Mimpi kali ini lain daripada yang lain. Kenapa perlu nasi goreng, makanan yang sangat aku gemari? Tahap kegemaran aku pada nasi goreng memang tidak dapat aku nafikan, dan rakan-rakanku pasti bersetuju denganku.

            “Aku nak tambah lagilah nasi goreng ni.” Aku teringat kata-kataku pada suatu ketika dahulu.
“Tambah lagi? Nasi ni hanya digoreng dengan telur saja ni.” Kata Adi, ragu-ragu.
“Ya, sebab nasi goreng kebanyakannya sedap bagi aku.” Aku tahu penjelasanku tidak dapat memberi kefahaman kepadanya tentang kesukaanku terhadap nasi goreng, tetapi itu sahaja yang mampu aku katakan.
***
            “Ya Allah, sekiranya mimpiku itu satu petunjuk daripada-Mu, maka berilah kefahaman kepadaku tentang apa yang ingin Kau tunjukkan. Tetapi sekiranya mimpiku itu hanya mainan syaitan, maka lepaskanlah diriku daripada kebimbangan yang disebabkan olehnya.” Demikianlah doaku kepada Allah semoga diberi pencerahan tentang perkara ini selepas mengerjakan solat sunat Tahajud. Sebuah hadith Kudhsi yang menyebut bahawa Allah turun ke langit dunia pada setiap sepertiga malam menambahkan lagi keyakinanku bahawa setiap doaku itu tidak pernah akan diabaikan.
***
            Pelayan kafeteria itu meletakkan pinggan berisi mi goreng di hadapanku. Aku hanya tersenyum tanda berpuas hati. Aku hanya diam sambil menikmati makanan di hadapanku, sedang Afiq dan Adi pula rancak bersembang tentang perkara-perkara yang tidak menarik minatku. Sekali-sekala, kedua-dua mereka memandangku dengan wajah hairan, yang tidak aku tahu sebabnya. Barangkali mereka berasa hairan dengan aku yang banyak diam. Atau barangkali tidak, kerana aku sememangnya banyak berdiam diri sekiranya melibatkan topik perbualan yang di luar pengetahuanku.

            “Eh, baru aku perasan kau tak makan nasi goreng kali ni,” kata Adi kepadaku, membuatkanku lantas memandangnya.
            “Penggemar nasi goreng diwajibkan makan nasi goreng setiap ketika ke?” Tanyaku kuat. Entah mengapa Aku rasa sangat tersinggung dengan kata-kata itu. Tanpa menunggu lama, aku terus bangkit dan beredar dari tempat dudukku, meninggalkan kafeteria yang kurasakan seperti sedang mencengkam emosiku.  Perkara pertama yang aku mahu sekarang ialah duduk seorang diri tanpa gangguan orang-orang yang selalu kuat mengatakan faham, tetapi menunjukkan sikap yang sebaliknya.

            Setibanya di bangku batu berdekatan kolam ikan, barulah perasaanku mula lega. Untuk beberapa ketika, aku hanya mampu memandang kosong ke arah ikan-ikan yang sedang berlumba-lumba mendapatkan makanan. Barangkali staff kolej kediaman baru memberi makan ikan-ikan itu tadi.
“Eh, baru aku perasan kau tak makan nasi goreng kali ni.” Tiba-tiba sahaja kata-kata Adi itu kembali kedengaran di fikiranku. Dadaku mula berasa sempit kembali, tetapi kali ini bukan kerana marah. Di hadapan ikan-ikan yang sangat mendamaikan ini, aku dapati kata-kata itu tidaklah setajam yang aku rasa seperti yang kurasakan sebentar tadi. Ayat itu hanya sebuah ayat penyata yang sangat mudah difahami. Sebuah ayat yang datang daripada seorang rakan yang tahu kebiasaanku. Rupanya, aku sendiri yang berprasangka bahawa Adi hendak menyindirku kerana tidak mahu lagi makan nasi goreng, memandangkan aku pernah menceritakan mimpi yang aku alami tempoh hari. Pastikah aku bahawa itu yang dia maksudkan? Jika tidak, mengapa aku lantang bertanya begitu seolah-olah aku pasti 101 peratus?

            Tiba pula giliran rasa bersalah menghantuiku. Pelbagai perkara lain bermain di fikiranku. Suatu sudut hatiku berfikir, Bagaimana jika benar aku sebenarnya sedang menjauhkan diri daripada nasi goreng secara tidak sedar? Ah, mana mungkin? Nasi goreng itu sangat aku gemari. Sehingga sekiranya aku tidak tahu hendak memilih makanan, aku akan bertanya keberadaan nasi goreng di situ. Atau, bagaimana pula jika aku menjauhi nasi goreng bukan kerana aku tidak suka? Hmm, boleh terjadikah begitu, fikiranku makin kusut. Sebelum aku dilanda sakit kepala yang teruk, aku membuat keputusan untuk menangguhkan pencarian jawapan kepada soalan terakhir itu tadi.

            Aku kembali menatap ikan-ikan yang masih ligat berenang meneroka seluruh kolam itu. Airnya bersih kerana ditukar secara berkala. Melihatkan ikan-ikan yang seperti tiada masalah sedikit sebanyak mengalihkan fikiranku daripada segala masalahku. Beruntung benar ikan-ikan ini, sentiasa dijaga, sentiasa dicintai.
            “Cinta?” Dengan spontan aku mengeluarkan suara apabila mendapati ikan-ikan yang banyak itu tersusun seperti bentuk hati. Namun, bentuk itu segera terlerai apabila ikan-ikan itu terus berenang.
“Kerana rasa cinta, ikan-ikan ini damai.” Kenyataan ini terbit secara spontan di hatiku.
“Kerana cinta kurniaan Ilahi kepada manusia, ikan-ikan ini tidak terlompat-lompat di tanah, ikan-ikan ini tidak mati kelaparan,” sambungku lagi.
“Apa pula maksud nasi goreng berlambang cinta? Atau adakah itu hanya mainan ilusi semata-mata?” Aku terus bermonolog sendirian, masih cuba mencari maksud di sebalik perkara ini.
***
            “Kami mintak maaf sebab buat kau marah tadi,” Adi memulakan bicara, apabila melihat wajahku yang muram dan tidak berkata apa-apa sejak aku kembali ke bilik.
            “Aku yang patut mintak maaf. Aku yang berprasangka yang kau nak sindir aku dengan nasi goreng,” balasku, kuat mengharap agar perbualan ini segera berakhir.
            “Kalau macam tu, kami mintak maaf sebab selalu merendah-rendahkan nasi goreng,” kata Afiq pula.
            “Tak apa, pendapat masing-masing,” balasku, sudah malas untuk menggunakan ayat penuh. Bukan permohonan maaf yang aku cari, tetapi jawapan yang masih belum bertamu.
            “Aku harap kau tak tinggalkan nasi goreng sebab orang lain macam aku merendah-rendahkannya,” Kata Afiq lagi.

            Tinggalkan nasi goreng? Ya, ada kemungkinan orang akan tinggalkan sesuatu yang dia suka hanya kerana cakap-cakap orang lain. Adakah aku begitu? Aku tidak dapat menafikan bahawa ada sedikit perasaan itu dalam hatiku. Walaupun aku hendak menolak perasaan itu, tetapi aku tidak mampu, tiada kekuatan, seperti ada sesuatu yang hilang daripada diriku.

            “Tulis seorang ustaz, Jalur bahagia kita berbeza. Ada orang bahagia dengan makanan yang mahal-mahal. Ada pula orang bahagia hanya dengan makanan yang dianggap biasa-biasa oleh masyarakat. Apa yang penting ialah hati yang syukur dan redha. Jika tidak, di mana-mana pun kita tidak akan bahagia.” Dengan sendirinya, pandanganku tepat ke arah Adi yang baru selesai membaca tulisan itu di skrin telefon pintarnya.

            Kini aku jelas. Aku tidak perlu lagi mengharap masyarakat suka kepada apa yang aku suka, kerana jalur bahagia setiap orang berbeza. Sekiranya aku bahagia dengan menikmati nasi goreng, itu sudah cukup, tanpa perlu aku membanding-bandingkan pilihan makananku dengan orang lain. Aku juga sedar bahawa simbol cinta yang dibentuk oleh nasi goreng itu melambangkan kegemaranku padanya bukan daripada orang lain, tetapi dari rasa hati sendiri. Kegemaran terhadap nasi goreng juga mengajarku untuk tidak memperlekehkan orang lain yang menyukai sesuatu yang tidak aku suka, kerana sekali lagi, jalur bahagia setiap orang itu berbeza.

            Terima kasih Tuhanku, terima kasih sahabatku.

Followers