Thursday, May 21, 2015

Hanyut


Suasana di kawasan air terjun itu sungguh mendamaikan. Bunyi deruan air terjun itu sendiri membawa ketenangan kepada telinga-telinga yang mendengar. Sekumpulan remaja sedang berada di sekeliling air terjun itu. Masing-masing tampak gembira dengan senyuman terukir di bibir. Sebentar lagi, mereka akan berpeluang untuk merasai kesejukan air terjun yang berarus deras itu.

Tidak lama kemudian, semua remaja itu kelihatan sedang bermandi-manda di air terjun itu. Bermacam-macam telatah yang dipamerkan sebagai tanda keseronokan mereka. Ada yang mempamerkan kemahiran renang yang dimiliki, dan ada pula yang bergelak ketawa sesame mereka.

Dia juga tidak kurang gembiranya bermandi-manda di air terjun itu. Dia memilih untuk merasai kesejukan air terjun itu sambal bersembang dengan rakan-rakannya. Sekali-sekala, arus yang agak deras menolaknya sedikit ke hadapan. Cepat-cepat, dia bergerak kembali ke tempat asalnya supaya tidak memasuki zon bahaya.

Tanpa disedari, dia telah berjalan perlahan-lahan meninggalkan kawasan tempat dia berbual dengan rakannya tadi. Hatinya terasa teruja untuk mengetahui sejauh mana kedalaman air terjun itu. Selangkah demi selangkah, dia melangkahkan kaki.

Tiba-tiba, arus deras dengan pantas menolak tubuhnya ke hadapan. Dia terkejut, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa. Kakinya terangkat dan tidak dapat memijak dasar air terjun itu. Kepalanya juga tenggelam dalam air yang terus membawanya ke hadapan. Suara rakan-rakannya tidak lagi kedengaran, yang ada hanyalah bunyi kocakan air. Dengan tidak semena-menanya, dia berasa sangat keseorangan. Terlintas di hatinya, “adakah ini akhir riwayatku.” Sedikit sebanyak, rasa gerun menyelubungi dirinya.

Entah bagaimana, kakinya terpaut pada sebiji batu besar. Tanpa berlengah lagi, dia menguatkan cengkaman kakinya pada batu itu untuk menghalang arus deras itu membawanya lebih jauh entah ke mana. Pada ketika itu, barulah dia dapat mengangkat kepalanya dari dalam air. Untuk menguatkan pautannya, tangannya turut digunakan untuk berpaut pada batu itu. Dia berasa lega kerana dia dapat mengekalkan posisinya. Namun demikian, posisinya itu menyebabkan dia tidak dapat bergerak kembali ke kawasan rakan-rakannya berkumpul. Dia tahu sekiranya dia melepaskan tangan dan kakinya dari batu itu, kemungkinan besar dia akan terus dihanyut lagi. Jadi, dia terus menanti kalau-kalau ada orang yang dapat menyelamatkannya.

Nasibnya baik apabila ada seorang gurunya yang menyedari keadaannya pada ketika itu. Apabila gurunya itu sudah berada di sisinya, dia memegang tangan gurunya dan dibawa bergerak ke kawasan yang lebih selamat. Banyak perasaan yang bermain di hatinya. Ada juga cakap-cakap yang dapat didengarinya tentang kejadian yang berlaku kepadanya itu. Ada yang mengatakan bahawa dia tidak mendengar arahan daripada gurunya, sehingga menyebabkan kejadian ini berlaku. Dia hanya diam sahaja, tidak melawan cakap-cakap itu.

Sudah beberapa tahun peristiwa ini berlaku. Mujurlah peristiwa itu tidak dibesar-besarkan sehingga menimbulkan suasana yang kurang elok. Apabila dia termenung sendiri dan terfikir peristiwa ini, perasaan yang bercampur baur mendatangi dirinya. Mungkin benar kerana dia tidak mendengar arahan, maka peristiwa ini berlaku.

Di satu sudut yang lain, dia juga menyedari bahawa selamat daripada kejadian itu adalah satu perkara yang perlu disyukuri. Walaupun dalam hatinya sudah membayangkan dia tidak akan selamat pada detik genting itu, namun dia tahu bahawa dia tidak dapat menentukan apa-apa. Sekiranya Tuhan menentukan bahawa ajalnya belum sampai, maka dia akan terselamat. Perkara ini mendatangkan banyak kesedaran kepada dirinya. Pasti segala ketentuan itu ada hikmahnya yang tersendiri. Barangkali, salah satunya adalah selepas peristiwa itu, dia dapat berjumpa dan berkenalan dengan rakan-rakan baharu yang menceriakan hari-harinya.

Kisah tamat

No comments:

Post a Comment

Followers