Penafian: Kisah ini hanyalah satu coretan ilham di petang
hari dan bukan bertujuan untuk dijadikan bahan untuk menyampaikan celaan,
tetapi hanya bertujuan untuk menyampaikan secebis dua perkara baik yang dapat
dimanfaatkan.
Suasana di dapur rumah itu agak sunyi. Tiada insan yang
sedang berada di situ. Cuma, terkadang terdengar bunyi ketukan antara kuali
hitan yang digantung di sisi tingkap dan besi tingkap hasil tiupan angin. Tidak
jauh dari kuali itu pula, sehelai kain putih juga kelihatan digantung. Manakala
beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran juga dapat dilihat diletakkan
berdekatan singki. Kelihatan terdapat terung (ungu), sayur kobis (hijau) dan
tembikai merah di situ.
Kedengaran langkah sepasang kaki seorang remaja menuju
dapur. Sambil membuka peti sejuk untuk mengeluarkan beberapa keeping coklat,
matanya melihat kea rah makanan dan peralatan yang berada berhampiran singki. “Agak-agaknyalah,
kenapalah ada warna yang pelbagai seperti ini di atas dunia ini? Tentu ada maknanya
yang tersendiri bagi orang yang ingin belajar dan mengambil tahu,” remaja itu
bersuara tanpa disedarinya. Selepas menutup kembali peti sejuk itu, dia berjalan
kembali ke ruang tamu semula.
“Betullah kata dia tu. Perbezaan warna-warna ni mesti ada
maknanya.” Tiba-tiba satu suara kedengaran. “Aku tahu, perbezaan warna ni nak
tunjukkan warna apa yang paling baik dan yang tak baik. Kalau macam tu, warna
putihlah yang paling baik sebab putih sinonim dengan kesucian. Taklah macam
warna kuali tu, selalu saja dikaitkan dengan kejahatan.” Daripada cara
ucapannya itu, suara itu adalah kepunyaan kain putih.
“Adakah kau pasti putih itu yang terbaik? Ketahuilah
bahawa sekiranya dihinggap kotoran, warnamulah yang paling mudah untuk orang
Nampak kotoran di atasnya. Dan aku tidak setuju dengan kau yang suka
membanding-bandingkan warna mana yang terbaik,” kata kuali hitam, enggan
mengalah menjawab kritikan kain putih. Kain putih hanya senyap, tidak tahu apa
yang harus dikatakannya.
“Yang lain tak nak bagi komen apa-apa ke?” Tanya kuali
hitam kepada buah dan sayur-sayuran yang membisu dari tadi. “Rasanya tak
perlulah kalau kami nak hangatkan perkara yang boleh membawa kepada pergaduhan
seperti ini. Yang kami pegang ialah setiap yang diciptakan oleh Tuhan pasti ada
hikmahnya yang tersendiri. Lagipun tak bagus kalua kita merendah-rendahkan
orang macam ni,” sahut tembikai merah, mengetahui rakan sayur-sayuran yang
lain.
Tiba-tiba, kedengaran sekali lagi langkah sepasang kaki
menuju dapur dari ruang depan rumah. Kelihatan remaja yang sama semakin
menghampiri peralatan dan makanan yang berada di dapur. “Ternyata warna yang
berbeza memang ada fungsinya yang berbeza,” kata remaja itu. Dia tidak pasti
kepada siapa yang ingin disampaikan kata-kata itu, sedangkan makanan dan peralatan
itusedang tekun mendengar. Namun, mereka hanya senyap sahaja.
“Warna hitam adalah warna yang sangat efektif untuk
menyerap haba berbanding warna-warna cerah yang lain. Sebab itulah kuali
biasanya berwarna hitam, untuk memudahkan aktiviti memasak.” Remaja itu mula
berkongsi apa yang dipelajarinya. “Kalau warna putih pulak, ramai sedia maklum
bahawa ia melambangkan kesucian. Tapi, warna ini juga memberitahu kita bahawa
orang yang baik tidak seharusnya berasa sombong dan menghina orang lain, dengan
alasan orang yang dihina itu tidak sebaiknya. Kerana sesungguhnya, kotoran yang
sedikit, jika menghinggap sehelai kain putih, sudah memadai untuk kelihatan
sangat kotor berbanding warna lain.” Sambung remaja itu lagi.
Kelihatan remaja itu mencapai sebotol air masak dan
menuangkan air dalams ebuah gelas. Lalu, dia duduk di atas sebuah kerusi dan
mula menghabiskan air yang berada di gelas yang dipegangnya itu.
Selepas hilang dahaganya, dia menyambung lagi: “Dari segi
makanan pula, banyak kajian yang menyarankan supaya kita memakan makanan yang
terdiri daripada pelbagai warna. Contoh yang baik ada di sini: tembikai merah,
sayur kobis hijau, dan terung. Sebabnya, warna yang berbeza mempunyai khasiat
yang berbeza. Contohnya, sayuran hijau kaya dengan potassium yang berfungsi
untuk merendahkan tekanan darah. Kandungan anthocyanin yang menjadikan warna
ungu pada makanan seperti terung pula berfungsi sebagai antioksida yang
menyumbang kepada kesihatan jantung dan merendahkan risiko kanser. Buah-buahan merah
pula mempunyai kandungan Vitamin C,” kata remaja itu lagi. Selepas menghabiskan
kata-katanya, sekali lagi dia berlalu meninggalkan kawasan dapur rumahnya.
“Sekarang, barulah aku faham tentang hikmah perbezaan
warna-warna ini. Maafkan aku kerana rasa sombong yang aku tunjukkan tadi,” kain
putih memulakan semula perbualan. “Taka pa. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan,”
jawab kuali hitam pula. Perbualan mereka berterusan, menyentuh pelbagai topik. "Warna ini atau warna itu? Jawabnya, semua bermanfaat," kata tembikai merah.
KISAH TAMAT!
Sumber: http://www.todaysdietitian.com/newarchives/110308p34.shtml
Sumber: http://www.todaysdietitian.com/newarchives/110308p34.shtml