Friday, June 19, 2015

Refleksi: Ayam Masak Tom Yam




Hari semakin senja. Mentari perlahan-lahan mengundurkan diri untuk menyinari bahagian Bumi yang satu lagi pula. Kelihatan insan mula berjalan menuju ruang makan. Terbit di bibir-bibir mereka tentang hari pertama mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadhan selepas setahun berlalu.

Di ruang makan itu, kelihatan nasi berlaukkan Ayam Masak Tom Yam mula dihidangkan kepada insan-insan yang datang ke situ. Di salah sebuah meja, kelihatan beberapa orang remaja sedang menunggu waktu berbuka puasa, makanan sudah berada di hadapan mereka. Beberapa minit kemudian, tibalah waktu berbuka puasa.

“Sedap tom yam hari ni,” detik hati salah seorang daripada remaja itu dengan spontan, sambal terus menikmati makanan di hadapannya. Sejurus selepas itu, dirinya disinggahi satu kesedaran yang sangat memberi kesan dalam hatinya. Jika pada hari-hari lain yang dihidangkan lauk itu, dia akan memujuk hatinya untuk tidak merungut dan tidak mencela makanan tersebut walaupun dia kurang menggemarinya. Sebaliknya, dia memujuk hatinya untuk bersyukur dengan makanan yang ada.

Sambil meneruskan makan, dia mendapati bahawa hatinya tidak perlu dipujuk seperti hari-hari lain. Ibadah puasa yang dikerjakan telah membantunya untuk lebih menghargai makanan yang ada di hadapannya.

Terdetik pula di hatinya rasa syukur dan terima kasih kepada Ilahi yang telah menetapkan semua ini.

KISAH TAMAT

No comments:

Post a Comment

Followers