Wednesday, December 30, 2009

Melawat Bumi Sabah

Pada 17 hingga 20/12/2009, saya dan keluarga telah melancong ke Negeri Sabah sebagai aktiviti masa cuti panjang hujung tahun ini. Pada posting kali ini, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak pengalaman saya di sana.

Sepanjang lawatan tersebut, kami telah dibawa ke tempat-tempat menarik di Sabah oleh seorang pemandu pelancong yang menggelarkan dirinya sebagai Tony. Beliau merupakan seorang pemandu pelancong yang berasal dari Sabah dan amat berpengalaman mengenai Sabah. Semasa dalam perjalanan ke ssesuatu tempat yang ingin dituju, beliau akan menyerikan suasana dengan bercerita tentang Sabah.

Semasa berada di sana, kami telah melawat Kinabalu Park. Menurut pemandu pelancong tersebut, di sinilah permulaan jika hendak mendaki Gunung Kinabalu. Kami hanya sekadar mengambil gambar di sana sahaja. Mujurlah kabus tidak terlalu tebal, jika tidak tentu sukar untuk mendapatkan gambar yang betul-betul jelas.



Semasa dalam perjalanan ke sini, pemandu pelancong telah menceritakan asal-usul nama Gunung Kinabalu. Menurut beliau, satu rombongan dari Negara China telah datang ke Sabah suatu masa dahulu dan telah berkahwin dengan wanita tempatan. Setelah urusan mereka selesai, rombongan tersebut pun pulang ke negara mereka dan berjanji akan kembali untuk melawat isteri mereka. namun, setelah begitu lama menunggu, suami mereka tidak juga muncul. Oleh itu, Salah seorang wanita tempatan telah membawa bayinya mendaki hingga ke puncak Gunung Kinabalu. Dari puncak gunung, wanita itu memandang ke arah Negara China semoga suaminya akan kembali. Dalam Bahasa Sabah, Kina bermaksud Cina. Jadi, nama Gunung Kinabalu diambil sempena wanita tempatan yang menantikan kepulangan suaminya di puncak gunung. Walaupun tidak pasti kebenarannya, saya berasa tertarik dengan cerita tersebut.

Selain itu, kami juga berpeluang untuk mengunjungi Tunku Abdul Rahman Park yang terdiri daripada gabungan lima buah pulau iaitu: Pulau Gaya, Pulau Manukan, Pulau Mamutik, Pulau Sulug dan Pulau Sapi. Namun Begitu, kami hanya berpeluang untuk melawat dua buah pulau sahaja. Terlebih dahulu, kami telah melawat Pulau Manukan dengan menaiki bot dari jeti Kota Kinabalu selama lebih kurang 15 minit. Pemandangan di pulau ini sangat cantik dan terdapat pelbagai ikan. Kami diberi peluang untuk memberi makanan kepada ikan-ikan tersebut.


Seterusnya, kami meneruskan perjalanan ke Pulau Sapi pula dengan menaiki bot selama 15 minit. Di pulau ini, pelbagai aktiviti di air dapat dijalankan. Salah satu aktiviti yang saya tertarik ialah aktiviti "Sea Walking". Menurut pemandu pelancong, peserta akan menaiki bot dan akan diturunkan 5 meter ke dalam laut. Setelah itu, mereka dapat melihat keindahan di dalam laut dan juga melihat pelbagai jenis ikan. Untuk membolehkan mereka berada di dalam laut selama 30 minit untuk aktiviti tersebut, mereka perlulah memakai topi khas dan dibekalkan dengan bekalan oksigen.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Tunku Abdul Rahman Park, sila klik link yang berikut:


Seterusnya, kami juga telah dibawa ke sebuah perkampungan Sabah untuk melihat sejenis monyet yang berhidung panjang {Propocies Monkey}. Menurut pemandu pelancong kami, monyet tersebut hanya terdapat di kepulauan Borneo dan makanannya ialah daun dan ranting pokok. Monyet jenis ini tidak memakan buah-buahan seperti monyet biasa. Apa yang lebih unik ialah monyet jenis ini boleh hidup dengan memakan daun dan ranting pokok yang beracun. Hal ini kerana ia mempunyai dua perut. Satu digunakan untuk menghadam makanan yang dimakan dan satu lagi untuk menghadam berupaya menghadam racun yang terdapat dalam makanannya. Semasa berada di sana juga, kami berpeluang melihat kelip-kelip pada waktu malam. Sungguhpun saya tidak dapat melihatnya, tetapi saya tetap berasa gembira. Saya mendapat tahu bahawa kelip-kelip hanya boleh hidup selama tujuh hari sahaja.

Sebelum meninggalkan Sabah untuk pulang pada hari terakhir, kami juga berpeluang untuk melihat Menara Tun Mustapha yang merupakan Bangunan Yayasan Sabah.



Jika dilihat dari struktur binaannya, bangunan ini adalah istimewa. Selain bentuknya yang bulat, ia dibina seperti sebuah botol air yang diterbalikkan. Selain itu, setakat ini hanya terdapat empat sahaja bangunan yang dibina sebegini di dunia, iaitu di Jerman, Kanada, Afrika Utara dan di Kota Kinabalu, Sabah. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila klik link berikut:



Memandangkan Sabah merupakan pengeluar makanan laut, kami telah berpeluang untuk membeli makanan laut dengan harga yang lebih murah. Kami juga dibawa ke kedai menjual coklat. Pelbagai jenis coklat boleh didapati di sana.

Demikianlah sedikit sebanyak pengalaman yang dapat saya kongsikan. Saya berasa gembira sepanjang lawatan ini memandangkan ini kali pertama saya melawat Sabah. Semoga saya dapat datang lagi dan beroleh lebih banyak pengalaman yang berharga.

Followers