Sunday, June 07, 2015

Tetamu Kepala: Kedukaan Dan Kekuatan




Penafian: Segala perkara aneh yang dipaparkan dalam kisah ini hanyalah imaginasi dan bertujuan untuk membantu penceritaan kisah ini. Perkara yang biasa dan logic pula mungkin boleh bersumber dari pengalaman.

Suasana tengah malam itu ditemani kesunyian insan. Namun demikian, suara cengkerik berkumandang memecah keheningan malam yang dingin itu. Dari jendela kamar, rembulan dapat dilihat dengan mata kasar yang bersedia untuk memandang ke luar.

Remaja itu kelihatan sedang berbaring di atas tilam, tidak Berjaya melelapkan mata, biarpun malam semakin larut. Fikirannya ligat memikirkan beberapa perkara yang sedang bermain di dalam kepalanya. “Ketahuilah bahawa kamu sepatutnya menerimaku untuk menjadi tetamumu.” Tiba-tiba saja satu suara kedengaran, bercakap terus dalam kepalanya, tidak didengar oleh sesiapa, melainkan olehnya. “Siapa kamu?” Detik hati remaja itu dengan terkejut, juga tidak didengar oleh sesiapa, melainkan olehnya dan pemilik suara itu tadi. “Akulah Dukamu,” balas suara itu. “Dukaku?” Remaja itu semakin hairan. “Ya, akulah Dukamu. Kamu sepatutnya menerimaku sebagai tetamu kepalamu. Tidakkah kamu tahu bahawa ‘ia’ bakal meninggalkan tempat yang sedang kamu berada sekarang?” Tanya suara itu pula.

Mendengar pertanyaan itu, remaja itu hanya diam. Secara tidak sengaja, dia telah menerima tetamu itu tanpa disedarinya. Rasa sedih mula menjalar ke dalam hatinya. Remaja itu tentu sekali sedia maklum bahawa ‘ia’ bakal meninggalkan tempat yang sedang dia berada sekarang dalam masa beberapa kiraan minggu. Fikirannya kembali ligat mengimbas kembali segala kenangan yang telah tercipta. Di saat sebelah langkah kakinya telah diarahkan untuk keluar meninggalkan pengajiannya, kehadiran ‘ia’ telah membuatkannya berfikir semula tentang keputusannya. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk tidak meninggalkan pengajiannya. Dia bertindak untuk cuba mencari alternatif pengajian yang lebih sesuai dengan kemampuan dirinya. Dia tahu bahawa mengambil keputusan untuk tidak meninggalkan pengajian bukan sahaja dapat memperbaiki masa depannya, tetapi juga dapat memanjangkan pertemuan antara dia dengan ‘ia’.

Kemudian, terkenang pula di kepala remaja itu kepada ‘ia’ yang selalu saja sudi mendengar suka dukanya. Kesudian ini telah banyak meringankan beban remaja itu. Dari sekecil hal seperti makan minum dan kenangan lalu hinggalah sebesar perkara seperti sebuah rahsia, ‘ia’ sudi mendengarnya.

Halaman buku kenangannya disingkap lagi. Kali ini, dia terkenang ‘ia’ yang selalu menceriakan hari-harinya. Ada kalanya dengan perkongsian kisah, ada kalanya dengan lagu-lagu, ada kalanya dengan permainan yang berasaskan waktu, dan banyak lagi. Perkara-perkara yang berbeza ini telah mencapai satu tujuan, iaitu menceriakan hari-harinya.

Tanpa disedari, kenangan yang terimbas di kepalanya berubah lagi. Dia mengenangkan dirinya yang begitu banyak kelemahan. Sebelum kehadiran ‘ia’, dia merasakan agak tidak mungkin untuk memperbaiki kelemahan dirinya, sehingga tak banyak usaha yang diambil untuk membaikinya. Perkara ini menyebabkan dia lebih suka mengelak dari berjumpa dengan situasi yang boleh menampakkan kelemahannya. Sedikit demi sedikit, keadaan ini berubah selepas kehadiran ‘ia’. Dia mula sedar bahawa untuk menjadi seorang yang baik di sisi ‘ia’, dia perlu berusaha untuk membaiki kelemahannya. Perlahan-lahan, dia mengorak langkah kea rah itu. Dia mula keluar dari zon selesa, menerima cabaran untuk melakukan perkara yang agak sukar, dan juga menerima cabaran untuk melakukan sesuatu perkara yang baru pertama kali dilakukannya. Hasilnya agak memuaskan. Ada perkara yang Berjaya dilakukan, walaupun baru kali pertama, dan ada juga cabaran yang Berjaya ditempuh, walaupun agak sukar. Dia tahu bahawa sekiranya ini berterusan, dia boleh menjadi seorang yang lebih baik, kalau pun tidak sempurna.

“Berapa lama lagi kamu nak termenung macam ni?” Tiba-tiba suara yang mengaku sebagai Kedukaan itu bertanya terus ke kepalanya dengan tidak sabar. Usahanya untuk mengimbas kembali lebih banyak kenangan dengan ‘ia’ terganggu. “Ya, betul kata kamu. Aku patut bersedih, kerana aku bakal merindui semua kenangan itu apabila ‘ia’ meninggalkan tempat ini kelak. Barangkali kesedihan ini akan melunturkan semangatku,” detik hati remaja itu. Kedukaan hanya mengangguk, tanda bersetuju.

“Tidak sepatutnya kamu begitu. Bukankah kehadiran ‘ia’ telah menguatkan kamu?” Dengan tidak semena-mena, satu lagi suara singgah dalam kepalanya. Namun demikian, suara ini lebih indah didengar berbanding suara Kedukaan. “Siapa kamu? Aku dapat dengar, suaramu lain daripada Kedukaan?” Tanya remaja itu, tidak menjawab soalan pemilik suara kedua itu. “Akulah Kekuatanmu. Terimalah aku sebagai tetamu kepalamu,” pinta suara yang mengaku sebagai Kekuatan itu. “Aku faham bahawa sebagai insan, Kedukaan adalah sesuatu yang lumrah dan tidak dapat dielakkan. Tetapi, kamu perlu juga ada kekuatan. Kekuatan yang telah kamu bina sepanjang kehadiran ‘ia’. Bukankah kamu menghargai ‘ia’ dan segala kenangan yang tercipta?” Kekuatan menyambung lagi. “Ya, aku menghargai ‘ia’. Aku mencuba juga untuk mengurangkan Kedukaan dan meningkatkan Kekuatan. Terkadang tertanya juga di hatiku, adakah ‘ia’ juga menghargai pertemuan ini?” Akui remaja itu.

“Menghargai itu sesuatu yang hebat dan mulia. Kamu boleh menghargai, walaupun kamu mungkin tidak dihargai. Tetapi, menghargai sambil dihargai itu tetap lebih baik lagi. Teruskanlah untuk menghargai kehadiran ‘ia’ dan teruskan untuk menjadi seorang yang lebih baik, seperti yang sedang kamu lakukan sekarang. Mudah-mudahan, kamu yang terus-terusan menghargai akan membuka ruang kepada 'ia' untuk menghargai kamu pula," kata Kekuatan, terus memberi kata semangat dalam kepala remaja itu. “Betul kata kamu tu. Aku perlu terus menghargai ‘ia’ dengan terus berusaha untuk menjadi seorang yang lebih baik. Pertemuan dua insan itu ibarat seorang insan yang menaiki sebuah perahu, hendak menyeberang sebatang sungai yang deras airnya. Di sepanjang perjalanan, banyak kenangan yang tercipta dengan perahu itu. Apabila sampai di destinasi, insan itu akan naik ke tebing dan meninggalkan perahu, sebagai symbol sebuah perpisahan. Namun, kenangan yang pernah tercipta antara insan itu dan perahu mampu mewujudkan penghargaan antara kedua-dua pihak, yang berpotensi untuk mewujudkan sebuah pertemuan yang lebih bermakna di masa hadapan. Pertemuan yang bermakna itu wujud apabila insan itu menyatakan kesanggupan untuk terus mendapatkan bantuan daripada perahu untuk menyeberang, dan apabila perahu juga menyatakan kesanggupan untuk terus membantu insan itu untuk menyeberang,” detik hati remaja itu. Tanpa disedari, remaja itu pun terlena.

“Dia perlu ada duka, tetapi tidak boleh keterlaluan sehingga mengorbankan kekuatan dan pegangannya, kerana kekuatan dan pegangan itulah yang membantunya untuk menjadi seorang yang lebih baik” akhirnya Kedukaan bersuara. “Dia perlu mempunyai kekuatan, tetapi perlu juga ada duka, supaya kedukaan yang terbit di dalam hati dapat dijadikan tanda penghargaannya kepada ‘ia’, selepas ‘ia’ meninggalkan tempat itu kelak,” Kekuatan pula menyambung.

Melihat remaja itu sudah lena dibuai mimpi, Kekuatan dan Kedukaan pun meninggalkan kepalanya. Kedua-dua mereka saling berpandangan dan menyatakan bahawa di kepala itulah tersimpan segala kenangannya dengan ‘ia’, dan dari situ jugalah yang menerbitkan kedukaan dan kekuatan untuknya menjalani kehidupannya. “Alangkah baiknya sekiranya ‘ia’ juga menghargai kenangan itu,” kata Kekuatan, dan disambut oleh anggukan daripada Kedukaan.

Kisah tamat

No comments:

Post a Comment

Followers