Saturday, May 30, 2015

Cerpen: Xie Xie




Mukanya tampak merah padam, seperti sedang menahan rasa marah yang begitu mendalam. Matanya memandang kertas-kertas di hadapannya dengan rasa tidak senang hati. “Apa yang mengganggumu ketika ini, Man?” tegur satu suara. Tanpa disedari, remaja yang dipanggil Man itu sedikit terkejut apabila rakan sebiliknya, Iskandar telah berada di sisinya. Man hanya diam sahaja, belum bersedia menjawab pertanyaan itu.

“Ni mesti sebab tugasan kumpulan tu kan?” Tanya Iskandar lagi, sambal menepuk-nepuk bahu sahabatnya itu. Man hanya menganggukkan kepala sahaja. Iskandar sangat faham dengan sikap Man. Apabila Man sedang marah, dia lebih memilih untuk mendiamkan diri supaya kemarahannya itu tidak terarah kepada orang yang tidak sepatutnya, terutamanya kepada sahabatnya sendiri. “Pergilah bersihkan diri dulu. Mudah-mudahan api kemarahan itu akan reda,” kata Iskandar lagi. Man menganggukkan kepala lagi dan menurut seperti yang dicadangkan oleh Iskandar. “Terima kasih kerana sangat memahamiku.” Akhirnya, Man bersuara sebelum beredar keluar dari biliknya.

Pintu bilik ditutup selepas Man keluar ke bilik air, meninggalkan Iskandar seorang di dalamnya. Melihat keadan rakannya yang berterusan tidak gembira, dia juga terkena tempiasnya. Dia sangat kenal dengan Man. Perkenalan mereka bermula dari sekolah rendah lagi, sampailah pada saat itu, iaitu di tahun kedua menuntut di sebuah university tempatan dalam jurusan yang sama.

Iskandar berasa simpati dengan Man. Hasil kerja Man untuk tugasan kumpulan sering tidak dihargai oleh ahli kumpulannya, walaupun Man telah menyiapkan bahagian tugasannya dengan baik. Lebih teruk lagi, kadang kala, hasil kerjanya tidak dimasukkan langsung dalam penulisan esei dan pembentangan. Perkara inilah yang menyebabkan Man berasa sangat tidak berpuas hati. Iskandar hanya mampu menasihati Man supaya bersabar dengan apa yang telah berlaku. Iskandar tertanya-tanya juga, kenapalah Man diperlakukan sebegini rupa.

__________

“Kenapa dengan kau ni? Cukuplah dengan orang-orang yang tak menghargai aku. Kau yang sangat memahami aku pun asyik nak cari kesalahan aku je?” Kata Man dengan suara yang tinggi kepada Iskandar pada suatu hari. “Maafkan aku kalau kau rasa begitu. Tapi, aku tak berniat begitu,” jawab Iskandar dengan tenang. “Sudahlah, aku tak nak dengar lagi semua ni,” sambal mengucapkan ayat itu, Man terus meluru keluar bilik, meninggalkan Iskandar seorang diri. Iskandar hanya mampu mengeluh mengenangkag kelakuan sahabatnya itu.

Semua ini berlaku gara-gara Iskandar menegur Man yang tersilap dalam tugasannya berkenaan undang-undang sivil dan undang-undang jenayah. Iskandar mendapati Man telah tertukar definisi antara kedua-dua perkara itu. Sebelum membuat teguran itu, Iskandar telah memikirkan cara yang paling lembut untuk melakukannya. Namun demikian, teguran itu dianggap oleh Man sebagai sesuatu yang bertujuan untuk terus-terusan menyalahkannya.

Jauh di sudut hatinya, Iskandar tidak menyimpan rasa marah terhadap Man. Dia faham benar dengan keadaan sahabatnya itu, selalu sahaja menjadi mangsa kepada ahli kumpulannya, seolah-olah hasil kerja Man tidak boleh dipakai langsung. Pasti pengalaman ini telah menyebabkan Man bertukar menjadi seorang yang sangat defensive, fikir Iskandar. Dia hanya mampu berdoa supaya Man akan kembali seperti Man yang dulu, ceria, penyayang, dan baik hati.

Man meneruskan langkahnya lagi, tanpa sebarang tujuan. Dalam fikirannya, dia hanya mahu melarikan diri sejauh mungkin dari tempat-tempat yang seolah-olah tidak mahu menerimanya lagi, sebagai seorang sahabat, dan sebagai seorang insan. Selepas beberapa ratus langkah, dia sampai di kawasan yang menempatkan sebuah kolam yang sangat menenangkan. Ikan-ikan kecil dan besar berenang-renang riang di dalam kolam itu, seolah-olah tiada apa-apa masalah yang perlu difikirkan. Dalam diam-diam, hatinya terasa sebak. Dia tahu, dia yang dahulu tidaklah seperti sekarang. Dia yang dahulu sangat periang, ceria, dan sangat ringan tangan menghulurkan bantuan. Semenjak dia dilanda semua perkara yang tidak menyenangkan ini, dia lebih banyak berseorangan sahaja. Tanpa disedari, air mata mula bergenang di mata Man.

“Hai,” satu suara tiba-tiba singgah di telinga Man, menghentikan lamunan Man. Apabila Man memandang kea rah belakang, dia dapat melihat seorang lelaki Cina sedang berdiri tidak jauh darinya. Man kenal dengan wajah lelaki itu, tetapi baru kali ini mereka bersua. “Tumpang Tanya, macam mana nak ke Kolej Kediaman Suria?” Tanya lelaki itu dengan sopan. “Ikut jalan ni. Bila jumpa simpang, belok kanan. Kemudian, jalan terus dan awak akan jumpa papan tanda yang ada tertulis nama Kolej Suria,” jawab Man. Dia Nampak ceria semasa menunjukkan arah kepada lelaki itu. Dia sempat melupakan sebentar masalah yang sedang dihadapinya.

“Ok, xie xie. Boleh panggil saya Lam,” kata lelaki itu sambal melambaikan tangan kea rah Man. Tiba-tiba sahaja air muka Man bertukar merah padam, menahan marah. Kemudian, lelaki itu beredar meninggalkan Man di situ. Man terus berdiri dan berjalan semula, sambal bermonolog sendirian: “Sudahlah. Orang dah tolong pun dia kata sia-sia kat aku. Agaknya, ke manalah aku perlu pergi, baru boleh jumpa orang yang akan hargai aku.”

Akhirnya, Man sampai semula ke biliknya. “Dari mana, Man?” Tanya Iskandar. “Hmm, duduk seorang kat tepi kolam ikan,” jawab Man. Iskandar tahu tempat yang dimaksudkan oleh sahabatnya itu. Itulah tempat kegemaran Man apabila dia ingin mendapatkan sedikit ketenangan. “Apalah orang Cina tu tadi. Dia Tanya aku arah nak ke kolej kita. Tapi, lepas aku bagi tahu, dia kata sia-sia sambal lambaikan tangan kat aku. Orang dah tolong dia, dia kata sia-sia pulak kat kita. Adakah aku ni memang tak akan dihargai walau ke mana pun aku pergi?” kata Man dengan rasa tidak puas hati. “Ke dia nak cakap terima kasih dalam Bahasa Cina?” Mskandar sengaja bertanya, kalau-kalau Man akan berfikir kembali apa yang didengarinya tadi. “Yang aku dengar, dia sebut sia-sia,” jawab Man, tidak mahu mengalah. Iskandar tidak tahu lagi apa yang perlu dikatakannya. Kalau tersalah cakap, nanti tersinggung lagi hati sahabatnya itu.

Jauh di sudut hati Iskandar, dia agak pasti bahawa rakannya itu tersalah dengar. “Mesti kawan aku ni tersalah dengar antara xie xie dengan sia-sia,” bisik hati kecil Iskandar. “Barangkali, Man terlalu fokus tentang dirinya tak dihargai, sampaikan perkara baik yang didengarnya pun cenderung diarah kepada perkara negatif.”

_______

Suatu hari, kelihatan Man sedang berjalan seorang diri di kawasan kampus. Melalui laluan yang diambilnya, kelihatan dia sedang menuju pulang ke kolej kediaman Suria. Gayaanya berjalan menyerlahkan keletihan yang sedang membelengu dirinya. Pada ketika itu, jalan raya sedang sibuk dengan kereta yang bertali arus.

Tiba-tiba, Man berasa ada sesuatu yang menolaknya dengan kuat dari sisi sebelah kiri. Tanpa sempat dia berbuat apa-apa, dia sudah tersungkur ke tepi sebelah kanan jalan. Rasa sakit terasa di siku kirinya, seperti tercucuk sesuatu yang tajam. Serentak dengan itu, satu bunyi yang kuat dapat didengar dari arah jalan raya. Man berasa terkejut bukan kepalang apabila melihat lelaki Cina yang ditemuinya tempoh hari sedang terbaring di tepi sebelah kiri jalan. Mata Lam tertumpu tepat ke siku kiri Man yang sedang berdarah. Menyedari perkara itu, Man pun melihat kea rah sikunya yang cedera itu. Dia tertanya-tanya, kenapalah Lam memandang tepat kea rah sikunya? Apabila dia mengalihkan pandangan kea arah Lam semula, Man mendapati matanya sudah terpejam rapat. Tiba-tiba saja rasa sebak menjalar ke dalam dadanya, diikuti dengan rasa bersalah yang entah datang dari mana. Matanya terasa kabur dan pandangannya menjadi gelap. Dia hanya mampu mendengar suara riuh-rendah insan yang berusaha menghulurkan bantuan kepada mangsa kemalangan itu.

_______

Matanya dibuka perlahan. Suasana di sekelilingnya tampak asing. Dia tidak tahu di mana dia berada. Dalam usahanya mendapatkan jawapan, kelihatan seorang jururawat menghampiri. “Saya ada di mana ni?” Man bertanya dengan cemas. “Awak sedang berada di hospital. Awak pengsan di kawasan kemalangan,” jawab jururawat wanita itu. “Melalui pemeriksaan kami, awak pengsan akibat hentakan di kepala. Tapi, jangan risau, kecederaan yang awak alami tak serius,” sambung jururawat itu lagi. Man berasa lega mendengar kata-kata jururawat itu. Tetapi, ada satu perkara yang dia risaukan. Hairannya, dia tidak tahu apakah perkara itu.

Dua hari kemudian, Man dibenarkan keluar dari hospital selepas doctor mendapati keadaannya sudah pulih. Sedang dia berjalan keluar dari bilik wad, dia terdengar sesuatu yang menangkap perhatiannya: “Keadaannya stabil, tapi kami tidak dapat menjangka bila dia akan sedarkan diri,” kata seorang doctor kepada seorang wanita Cina separuh usia. Man berjalan kea rah mereka untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Serta-merta, Man mula mengingat kembali segala yang telah berlaku pada hari kejadian apabila dia melihat wajah Lam yang telah menyelamatkannya itu sedang terbaring di atas katil hospital. “Awak kawan dia ke?” Tanya wanita separuh usia itu yang kemudiannya memberitahu bahawa dia merupakan ibu kepada Lam. “Saya kenal dia, auntie. Dialah yang selamatkan saya daripada dilanggar kereta hari tu. Maafkan saya, disebabkan kecuaian saya, dia pula yang dilanggar,” kata Man dengan rasa sedih.

“Jangan cakap macam tu. Bukan kita yang mintak semua ini. Sama-samalah kita berdoa semoga dia cepat sedarkan diri,” jawab ibu kepada lelaki Cina itu. Bertambah rasa sebak di dalam hati Man mendengar kata-kata wanita itu.

Sepanjang beberapa hari kemudiannya, Man banyak melayan fikirannya. Dia sedar bahawa dalam keadaannya yang tidak dihargai, ada juga orang yang sangat menghargainya, sehingga sanggup mengorbankan diri sendiri untuk menyelamatkannya. Perkara ini membuatkan Man berasa sangat serba salah. Kemudian, Man mula memikirkan kembali apa yang dikatakan oleh Iskandar kepadanya bahawa dia tersilap dengar antara xie xie dengan sia-sia. Satu kesedaran datang ke hati Man. Dia tahu, dia terlalu memikirkan bahawa dia tidak dihargai, sehingga orang yang berniat mengucapkan terima kasih dalam Bahasa Cina disalah ertikan sebagai ingin mengatakan sia-sia kepadanya. Tanpa disedari, dia mula menangis, memikirkan segala yang telah berlaku.

“Adakah kerana kesilapan aku, semua harus jadi begini?” Tanya Man kepada Iskandar. “Janganlah cakap macam tu. Semua yang terjadi ini sudah pasti ada tersurat dalam takdir Ilahi. Dan semua yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Kita tidak dapat lagi untuk mengubah perkara yang telah lalu, tetapi kita masih mampu berubah untuk hari esok yang lebih baik. Eloklah jika kita sama-sama berdoa semoga Lam cepat sembuh,” kata Iskandar. Man menganggukkan kepala. “Aku mintak maaf sebab meninggi suara kat kau hari tu. Bila aku fikir balik, aku sedar bahawa kau menegur sebab aku yang tersilap dan bukannya kerana kau sengaja mencari kesilapan aku,” kata Man. “Tak apa, Aku faham dengan keadaan kau pada masa itu. Aku dah lama maafkan kau,” ujar Iskandar.

Pada petang itu, rakan-rakan sekumpulan Man dating ke bilik untuk menziarah Man. Banyak perkara yang disembangkan dengan Man. Dalam perbualan itu, mereka meminta maaf kepada Man kerana selalu tidak menghargainya sebagai seorang ahli kumpulan. Mereka mengakui bahawa mereka berbuat begitu kerana cemburu dengan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh Man dalam pengajiannya. Demi menjalin kembali tali persahabatan, Man menganggukkan kepala tanda memberikan kemaafan yang dipinta itu.

Keesokannya, Man mendapat berita daripada ibu Lam bahawa anaknya sudah sedarkan diri. Lalu, Man mengajak Iskandar untuk sama-sama ke hospital untuk menziarahinya. Namun demikian, mereka tidak menemui Lam di mana-mana sudut bilik wad. Rasa cemas mula menghantui kedua-dua remaja itu. Menyedari kegelisahan dua orang remaja itu, seorang jururawat menghampiri mereka dan memberitahu sesuatu kepada mereka. Kemudian, Man dan Iskandar segera meninggalkan bilik wad itu dan mula menuju kea rah kantin hospital.

Man berasa gembira apabila terpandang wajah Lam. Ibunya turut berada di situ. “Adakah kita pernah berkenalan?” Tanya Lam kepada Man. Man berasa hairan dengan pertanyaan itu, lalu memandang ibu Lam. “Doktor mengesahkan bahawa Lam menghidap Amnesia akibat hentakan yang berlaku di kepalanya semasa kemalangan itu,” kata ibu Lam, cuba menahan rasa sedih yang tidak dapat dinafikan. Wajah Man yang tadinya berseri-seri itu bertukar pucat. Perasaannya bercampur-baur. Dia berasa terkejut bercampur sedih dengan kenyataan itu. “Tapi, doctor juga ada beritahu bahawa dalam kebanyakan kes, Amnesia biasanya bersifat sementara,” sambung ibu Lam lagi. Man terus mendiamkan diri. Dia tahu bahawa sementara boleh bermaksud 1 jam, 1 hari, atau 1 tahun, atau mungkin lebih lagi. Perkara inilah yang menyebabkan Man masih tidak mampu untuk mengukirkan senyuman. Menurut ibu Lam lagi, Lam tidak dapat mengingat nama ibunya sendiri.

Tiba-tiba, Man terasa sakit di siku kirinya yang cedera dalam kemalangan itu. Dengan spontan, dia meletakkan tapak tangan kirinya di atas bahu kanannya. Tangan kanannya kemudian menyentuh bahagian siku yang cedera itu. Kelihatan kecederaan itu telah meninggalkan parut. Lam yang terpandang siku Man yang cedera itu seperti tersedar sesuatu.

“Siku awak dah elok ke?” Tanya Lam. “Dah elok, Cuma ada sakit sikit-sikit lagi,” jawab Man. Selepas Man menghabiskan kata-katanya, dia terasa pelik kerana menurut ibunya, Lam disahkan menghidap Amnesia. “Saya dah ingat nama mak, Siew Yong,” ujar Lam. Ibu Lam mengukir senyuman yang lebar apabila mendengar kata-kata anaknya. Masing-masing tersenyum apabila menyedari bahawa Lam sudah bebas dari Amnesia.

“Terima kasih. Siku awak yang membuatkan saya mendapat ingatan saya semula. Bila saya tengok siku awak cedera, saya rasa sedih sebab dalam usaha saya nak selamatkan awak, saya tak dapat nak elakkan kecederaan awak,” kata Lam. Barulah Man tahu kenapa Lam menumpukan pandangannya ke sikunya semasa kemalangan itu.

“Saya yang kena ucap terima kasih, sebab saya dapat banyak pengajaran daripada apa yang sudah berlaku ini. Baru saya sedar anggapan saya bahawa tak ada orang yang nak menghargai saya adalah tidak betul. Apa yang awak buat pada saya itu sudah cukup kuat untuk menunjukkan bahawa saya tersilap. Dalam keadaan sakit sebegitu pun, awak masih lagi memikirkan tentang siku saya yang cedera sedikit ni,” kata Man sambal memandang Iskandar. Iskandar yang dari tadi mendiamkan diri menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan Man.

“Xie xie,” Kedengaran Man, Iskandar, Lam, dan ibu Lam mengucapkan perkataan yang sama dengan serentak. Masing-masing tersenyum. Sama ada xie xie itu disebut kerana kebetulan atau sudah dirancang, perkataan itu membawa makna yang sangat besar. Kini, Man sudah benar-benar menyedari bahawa xie xie itu bukanlah sia-sia.

No comments:

Post a Comment

Followers