Duduk aku seorang diri, menghadap sebuah meja bulat di ruang
berbumbung itu sambal memerhati sekeliling. Meja-meja bulat kelihatan
diletakkan di seluruh ruang kedai makan itu. Sedikit ruang yang cukup untuk
sepasang kaki melangkah dibiarkan kosong untuk memudahkan keluar masuk insan.
Terdetik di hati kecilku, mengapa hanya ada meja bulat di situ? Adakah meja
segi empat telah menjadi mangsa diskriminasi? Tersenyum aku seorang diri mengenangkan
perkara itu. Setahuku, manusia golongan minority sahaja yang giat mengadu didiskriminasi
fikiran-fikiran berautoriti, yang tidak lain juga insan yang berjalan atas dua
kaki di muka bumi ini.
“Nasi goring Cina siap!” Laung satu suara yang sudah biasa
aku dengar. Inilah rutinnya pekerja di kedai makan sebegini. Aku hanya
tersenyum sahaja, sambal menatap pinggan di hadapanku, yang masih terdapat dua
potong mentimun. Memang menjadi kebiasaanku, kalau dah selesai makan seorang
diri, aku akan duduk beberapa lama lagi di situ, menghayati suasana sejuk di
malam hari sehingga aku berpuas hati. Tiada orang yang perlu tertunggu-tungguku.
Suasana itu amat menyenangkan diriku.
“Kenapalah tak ada orang yang nak duduk sini?” satu suara
yang tidak kusangka singgah di telingaku. Suara itu tidak kusangka kerana
sungguh asing bagiku. Lalu Kupandang ke kanan, tetapi tiada orang di situ, sedangkan
suara tadi datang dari arah itu. “Buruk sangatkah aku? Bukankah aku seperti kamu
juga, bulat sama bulat, tinggi sama tinggi? Apa lagi yang membezakan kita?”
Suara itu berkata lagi.
Air mukaku mula berubah, tetapi aku cuba menarik nafas
perlahan-lahan, menenangkan diri yang mula ada rasa ketakutan. Ingin saja aku
bangun dan terus beredar dari situ. Tetapi, sebahagian daripada hatiku ingin pula
tahu siapa pemilik suara asing itu? “Boleh tak jangan merungut lagi. Bising je
aku dengar.” Satu suara lain pula singgah di telingaku, kali ini suara itu
datang dari arah yang lebih jauh. Bila ku pandang kea arah itu, kulihat ada
seorang pelanggan di situ. Tetapi, aku yakin bukan dia yang bersuara. Dia tidak
memegang telefon, dan tiada pula orang lain di situ. Lalu, satu kesimpulan
muncul dalam kepalaku. Bahawasanya, dua suara itu adalah kepunyaan dua buah
meja yang terletak sebelah-menyebelah.
“Kamu bolehlah cakap banyak. Sekurang-kurangnya, ada seorang
insan yang duduk di hadapan kamu. Tertunai juga peranan kamu sebagai sebuah
meja makan.” Suara yang mula-mula tadi membalas, tidak berpuas hati. Bertambah
yakinlah aku bahawa andaianku itu tepat. Tiba-tiba saja singgah dua nama untuk
meja berkenaan dalam kepalaku. Suara pertama itu aku gelarkan Meja Tak
Berpenduduk, dan yang satu lagi ialah Meja Satu Penduduk. “Ketahuilah kamu bahawa
tak ada orang duduk itu juga satu ni’mat,” sahut Meja Satu Penduduk, suaranya
tenang. Kuperhatikan insan di hadapan meja Satu Penduduk, hanya meneruskan
makan seperti biasa. Terdetik satu kesedaran di fikiranku, dialah yang memesan
nasi goring cina tadi. Aku hanya tersenyum sendirian. Hmm, barangkali hanya aku
yang mendengar perbualan yang sedang berlangsung ini.
“Sudahlah, itu hanya ayat biasa yang digunakan oleh manusia
berautoriti untuk memujuk minoriti. Aku dah selalu dengar ayat-ayat macam ni sejak
hari pertama aku di sini,” ujar Meja Tak Berpenduduk. Aku tekun mendengar,
ingin tahu apa kesudahan kepada semua ini. Aku tidak pula takut sebarang bahaya
yang akan menimpa, kerana yang bertengkar itu hanyalah dua buah meja makan.
Kalaulah dua manusia yang bertengkar, barangkali boleh mengakibatkan pertumpahan
darah, bila tangan-tangan amarah mula mengambil alih kewarasan. “Dari satu
sudut, aku setuju dengan kamu. Memang benar insan-insan yang kamu maksudkan itu
suka guna ayat macam ni. Tapi, apa yang aku kata tadi tu ikhlas dari hatiku,”
kata Meja Satu Penduduk, masih tidak berputus asa meyakinkan rakan sefungsinya.
Aku tidak tahu apa reaksi Meja Tak Berpenduduk kerana tiada
ekspresi yang dapat kuperhatikan. Kalau dua manusia yang berbicara, air muka mampu
memberitahu perasaannya. Tetapi, ini hanya meja yang pegun, tiada apa-apa
perubahan pada warnna atau bentuknya. Yang kedengaran hanyalah suara sahaja. Peristiwa
malam ini memang sangat unik bagiku. Tidak kudengar sebarang suara dari Meja Tak
Berpenduduk. Mungkinkah meja itu sudah tertidur? Apalah aku ini, selalu membayangkan
perkara-perkara yang membuatkanku tersenyum sendirian. Nanti apa pula kata
orang yang melihatku dari jauh.
“Kalau tak perccaya, lihatlah padaku ini. Ada nasi dan
sedikit air tertumpah di atasku. Bila ada insan yang duduk makan, ada risiko makanan
atau minuman tertumpah ke atasku. Rasanya sungguh tidak selesa. Makanan manis, masam,
masin, dan entah apa lagi. Kenalah tunggu sampai dilap, barulah aku selesa
kembali. Kalau lambat dilap, sang semut pula yang datang. Berbeza dengan keadaan
kamu, wahai sahabatku. Inilah yang cuba aku maksudkan.” Meja Satu Penduduk menyambung
kata-katanya, apabila mendapati rakannya tidak menjawab. “Kamu dengar taka pa yang
cuba aku sampaikan?” tanyanya lagi.
Sekali lagi aku menyedari sesuatu. Rupanya, Meja Satu
Penduduk pun tak tahu sama ada rakannya mendengar atau tidak. Maknanya, lebih
wajar lagilah aku tidak tahu sebab aku bukannya meja. “Aku dengar, wahai sahabatku.
Aku tidak menjawab kerana sedang tekun memikirkan kata-kata kamu itu. Sungguh,
memang betul kata kamu. Aku perlu lebih bersyukur. Setiap keadaan yang
ditetapkan pasti ada hikmahnya. Soal bahawa itu kata-kata manis daripada insan
berautoriti itu soal lain. Cuma, tidak seharusnya insan berautoriti tidak wajar
menggunakan ayat itu untuk lari dari tanggungjawab mereka untuk membela nasib minority.”
Akhirnya, Meja Tak Berpenduduk menjawab juga kata-kata rakannya.
“Bagus, aku bersyukur sebab kamu dah faham. Aku gembira,”
balas Meja Satu Penduduk. Gembira atau tidak sebuah meja, tetap seperti itu dan
di situlah kedudukannya, fikirku. Kalau insan yang bergembira, sudah ada yang
melompat-lompat, atau sekurang-kurangnya mengukirkan senyuman lebar dan manis. “Betul
tu, aku betul-betul perlu banyak bersyukur. Terima kasih atas nasihat dan
peringatan.” Akhirnya aku bersuara, setelah berdiam dari tadi. Kemudian, aku
mencapai potongan mentimun yang masih berada di dalam pinggan dan memakannya.
Orang kata, kata-kata perlu disusuli dengan perbuatan, barulah lengkap,
fikirku. “Aku hanya seorang insan yang cuba sedaya upaya untuk bersyukur dengan
apa yang ada. Ya Tuhanku, Izinkanlah aku menjadikan mentimun yang kurang kusuka
ini sebagai satu permulaan,”
“AsSalatu khairu minan naum”
“AsSalatu khairu minan naum”