Sunday, May 13, 2012

Ujian

Sudah lama saya tidak menulis coretan di sini.

Cepat benar masa berlalu. Esok saya dan rakan-rakan akan mula menduduki ujian pertengahan tahun. Bimbang juga saya dibuatnya kerana banyak topik perlu diulang kaji.

Doakanlah semoga saya beroleh keputusan yang baik.

Thursday, March 22, 2012

Jom Jadi Orang Yang Lebih Bertanggungjawab

Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf kerana sudah lebih sebulan tidak mencoret di blog ini.

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu dikatakan tidak bertanggungjawab. Bezanya, mungkin perkara itu merupakan perkara yang kecil atau mungkin juga besar. Di sini, saya ingin mengajak diri saya sendiri dan pembaca untuk lebih bertanggungjawab terhadap beberapa perkara yang ingin saya kemukakan ini. Mungkin perkara yang dikemukakan ini dilihat sebagai sesuatu yang kecil. Namun demikian, perkara ini perlu dibudayakan sebagai latihan kepada kita untuk lebih bertanggungjawab terhadap perkara yang lebih rumit pada masa akan datang.

Tanpa melengahkan masa, berikut merupakan perkara-perkara tersebut:

1. Sentiasa pastikan paip air ditutup jika tidak digunakan

Saya agak kerap menemui paip air yang tidak ditutup dan dibiarkan begitu sahaja, terutamanya di tandas-tandas sekolah atau tandas-tandas asrama. Air dibiarkan mengalir tanpa dimanfaatkan oleh sesiapa. Bukankah itu membazir namanya? Keadaan ini juga terjadi ketika berlaku gangguan bekalan air. Paip yang dibuka tidak ditutup semula kerana seolah-olah menyangka bahawa air tidak akan mengalir jika paip dibiarkan dibuka. Hasilnya, apabila masalah bekalan air selesai, air akan terus terbazir begitu sahaja. Oleh sebab itu, bermula dari hari ini, sama-samalah kita bekerjasama mengelakkan pembaziran air kerana air merupakan satu keperluan yang sangat penting dalam hidup. Bayangkanlah jika satu hari nanti, air bersih tiada!

2. Letakkan semula troli barang yang telah digunakan di tempat asalnya

Apabila mengunjungi pasar raya, saya dapati ada troli barang yang diletakkan begitu sahaja di kawasan tempat letak kereta. Hal ini menyukarkan pelangan baharu yang ingin meletakkan kereta mereka. Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa mengalihkan troli itu untuk membolehkan kenderaan mereka diletakkan di tempat tersebut. Ramai yang mungkin berpendapat bahawa pekerja pasar raya akan menghantarkan troli tersebut ke tempat asal selepas mereka beredar nanti. Tetapi, mereka tidak terfikir pula kesusahan yang disebabkan oleh perbuatannya.  Mulai hari ini, marilah kita bersikap lebih bertanggungjawab dengan mengembalikan troli barang ke tempat asalnya. Selain melatih diri untuk lebih bertanggungjawab, kita dapat memudahkan orang lain. Bukankah itu situasi menang-menang?

Setakat ini sahaja yang ingin saya coretkan untuk kali ini. Sebelum itu, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak berniat untuk memburuk-burukkan sesiapa dalam tulisan ini. Sebaliknya, saya sekadar ingin mengingatkan diri saya sendiri dan para pembaca supaya kita menyedari kepentingan sikap bertanggungjawab dalam kehidupan.

Thursday, February 16, 2012

Perbualan antara A dan B (coretan ilham)

 

A: Awak baiklah.
B: Mengapa pulak awak cakap macam tu?
A: Sebab saya selalu dengar cerita tentang awak. Awak suka tolong orang lain, menghormati orang lain dan banyak lagi.
B: Pernahkah awak melihatnya sendiri?
A: Hmm, tak pernah lagi.
B: Sebenarnya, saya tak sebaik yang awak sangka. Saya ada banyak kekurangan. Mungkin cuma awak yang tak tahu.
A: Mengapa pulak? Saya tak faham.
B: Macam nilah. Saya beri awak satu contoh. Andaikan seorang kawan beritahu awak bahawa dia terjumta 5 keping duit RM100 semasa hendak pulang ke rumah. Tentu sekali awak akan kata bahawa dia bernasib baik.
A: Ok, teruskan.
B: Apa yang awak akan fikir kalau dia akhirnya beritahu bahawa duit itu duit yang dah koyak dan tak boleh digunakan langsung?
A: Rugilah kalau begitu.
B: Inilah yang saya maksudkan. Mungkin selepas mengetahui kekurangan yang banyak yang ada pada saya, awak akan ucapkan ayat seumpama itu.
A: ......

Friday, February 03, 2012

Dalam Dilema (Sekadar Coretan)

Aku diam termangu
Berfikir dan mencatur
Kewajaran tindakan
Untuk dilema ini.

Wajarkah aku
Bertolak ansur setiap kali
Aku dibebani
Masalah yang bukan aku puncanya
Sedang hati kurang senang.

Atau wajarkah aku
Jauhkan diri dari mempeduli
Jauhkan hati dari mengambil kisah
Biar ia begitu sahaja.

Tetapi aku tahu
Bukan kehendaknya timbulkan masalah
Aku serba salah.

Lama sudah aku merencana
Akhirnya kutemu titik kefahaman
Kemaafan dan rendah hati itu penyelesaian
Dapat juga aku menilai
aku masih jauh terpisah
Dari sifat-sifat bertaraf mulia ini
Oleh hati yang kurang bersih.

(sekadar mencoret menurut ilham)

Friday, January 20, 2012

Pulang Bercuti

Hari ini merupakan hari terakhir saya menduduki Ujian Ulang Kaji 1 untuk pelajar pra universiti 2 (tingkatan 6 atas) yang bermula pada hari Isnin lalu. Soalan yang ditanya merangkumi topik yang telah dipelajari sepanjang berada di tingkatan 6 bawah pada tahun lepas. Bagi saya, ujian ini merupakan perkara baharu bagi saya, lebih-lebih lagi apabila ujian ini diadakan seawal ini.

Namun demikian, apabila saya bertanya rakan-rakan yang sudah agak lama bersekolah di Sekolah Tinggi Muar, ujian seperti ini memang menjadi kebiasaan di sekolah itu.

Selepas waktu persekolahan hari ini, rakan-rakan saya sudah mula pulang ke rumah untuk memulakan cuti sekolah sempena Tahun Baru Cina. Semasa catatan ini ditulis, saya juga sedang dalam perjalanan pulang ke rumah untuk turut bercuti.

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan selamat bercuti kepada semua pengunjung blog ini. Saya juga mengucapkan Gong Zhi Fa Chai kepada mereka yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

Seperti tahun-tahun sudah, buah limau akan menjadi popular pada waktu perayaan ini.

Friday, January 13, 2012

Menghadiri Majlis Pelancaran Skim Amanah Rakyat 1Malaysia

Pada 12 Januari 2012 (semalam), seramai 76 orang pelajar pra universiti 2 (tingkatan 6 atas) dan beberapa orang guru pengiring Sekolah Tinggi Muar termasuk saya telah menghadiri Majlis Pelancaran Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Sekolah  Tinggi Muar merupakan salah sebuah sekolah daripada  5 sekolah di daerah Muar yang terpilih untuk menghadiri majlis tersebut.

Kami telah bertolak dari sekolah pada pukul 9.30 pagi dengan menaiki dua buah bas. Perjalanan ke destinasi mengambil masa selama lebih kurang 3 jam.

Pada pukul 12.30 tengah hari, kami tiba di PWTC. Sebelum bergerak ke Dewan Merdeka, guru-guru telah mencadangkan supaya kami menjamu selera terlebih dahulu.Pada pukul 2.00 petang, kami sudah mengambil tempat duduk di dalam Dewan Merdeka. Kedengaran lagu-lagu berkumandangan untuk menghiburkan para tetamu. Saya diberitahu bahawa lagu-lagu tersebut dimainkan oleh sebuah kumpulan band. Menurut pengacara majlis, kumpulan band tersebut adalah daripada Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada pukul 3.15 petang, pengacara majlis mengumumkan ketibaan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku. Seterusnya, majlis diikuti dengan bacaan doa yang diketuai oleh imam Masjid Negara, Ustaz Azhar Tuarno. Selesai bacaan doa, majlis menjemput Tuan Ahmad Sarji, pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk menyampaikan ucapan alu-aluan.

Kemudian, majlis diteruskan dengan penyampaian ucapan perasmian oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Dalam ucapan tersebut, beliau telah menerangkan objektif SARA 1Malaysia yang bertujuan membantu golongan berpendapatan negara. Selain itu, beliau juga menyentuh syarat-syarat untuk memohon skim ini. Antara syaratnya ialah skim ini disasarkan kepada golongan berpendapatan kurang ddaripada RM3000. Nilai pembelian adalah sebanyak RM5000. Dalam setiap bulan, pemohon akan dibayar RM134 sebulan. Bagi mereka yang tidak mempunyai simpanan wang yang cukup, mereka boleh meminjam dengan institusi kewangan. Bagi mereka yang meminjam, bayaran yang diterima adalah sebanyak RM50, iaitu selepas pembayaran pinjaman berjumlah RM84 sebulan.

Ucapan tersebut mengambil masa selama 15 minit. Sebagai tanda pelancaran, perdana menteri, diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri telah meletakkan logo 1Malaysia pada plag pelancaran. Kemudian, majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata oleh Tun Ahmad Sarji kepada Perdana Menteri.

Majlis berakhir pada pukul 4.00 petang. Namun demikian, kami hanya meninggalkan destinasi majlis untuk bertolak kembali ke sekolah pada pukul 5.50 petang kerana menunggu ketibaan bas.Perjalanan pulang mengambil masa yang lebih lama kerana bas telah berhenti beberapa kali untuk memberi ruang kepada mereka yang beragama Islam untuk menunaikan solat dan sesiapa yang mahu menjamu selera.

Kami tiba semula di sekolah hampir pukul 10.00 malam.

Maaf kerana tidak memuat naik gambar dalam catatan ini.

Sunday, January 08, 2012

Tidak Tahu Adakalanya Perlu

Dalam kehidupan seharian, kita pastinya terdedah dengan pelbagai bentuk cabaran dan rintangan di samping saat kegembiraan. Semua ini telah menjadi satu lumrah dalam kehidupan kita. Oleh sebab itu, mahu tidak mahu, kita perlu menghadapinya juga.

Pada kali ini, saya mendapat ilham untuk berkongsi sedikit pandangan saya tentang tajuk sebagaimana di atas. Mungkin antara persoalan yang timbul ialah “Mengapakah dikatakan bahawa tidak tahu adakalanya perlu?” Mungkin juga persoalannya akan berbunyi: “Bukankah tidak tahu itu menyusahkan sahaja?” Kemungkinan juga banyak lagi bentuk persoalan yang tidak terlintas dalam fikiran saya ketika saya menulis catatan ini.

Bagi saya, “tidak tahu” bukanlah semata-mata merupakan sesuatu yang buruk. Hal ini demikian kerana “tidak tahu” akan sesuatu boleh mendidik jiwa ke arah yang lebih baik. Keadaan ini dapat membuatkan seseorang itu berfikir semula akan kelemahan diri dan berusaha membaikinya. Secara tidak langsung, seseorang itu akan menyedari bahawa walaupun dia banyak ilmu pengetahuan, tetapi pasti ada banyak perkara lagi yang tidak diketahuinya. Pemikiran seperti ini dapat menghindarinya daripada berbangga dengan pengetahuannya yang banyak kerana dia sedar pada suatu masa dan hari yang tidak tahu bila, mungkin dia yang banyak pengetahuan itu memerlukan bantuan orang lain untuk membantunya dengan perkara yang tidak diketahuinya pula.

Kesimpulannya, perbezaan pengetahuan antara individu dengan individu lain bertujuan untuk mewujudkan suasana saling membantu, iaitu yang tahu membantu yang tidak tahu silih berganti dalam pelbagai perkara yang berlainan. Oleh itu, jelaslah bahawa “tidak tahu adakalanya perlu”.

Semoga bermanfaat!

Ini ialah Ilham daripada sebuah peristiwa yang telah lalu!

Followers

Baca Catatan Terdahulu