Sunday, March 11, 2018

Coretan Ilham: Sekotak Mancis dan Selonggok Daun Kering


"Berapa kali mak nak cakap? Jangan main api!"
Angah dapat melihat kotak mancis pantas terlepas dari tangan Along, jatuh ke atas longgokan daun kering yang nyaris berubah menjadi abu hitam. Barangkali terkejut dengan suara Emak yang tiba-tiba menerjah gegendang telinga.

Emak sudah tidak tahu bagaimana hendak menghentikan tabiat bermain api anak-anaknya. Dalam keadaan marahnya, Emak masih sempat menyedari sesuatu. Reaksi anak-anaknya hampir sama sejak entah berapa kali dimarahi. Kotak mancis di tangan terlepas, jatuh ke atas bahan bakar. Yang membezakannya cuma tangan yang memegang kotak mancis. Kadang-kadang Along, kadang-kadang Angah. Namun, ini bukan masanya untuk mengimbas kembali kejadian lalu, Fikir Emak. Anak-anak perlu dilarang bermain api dengan suara lantang yang digeruni. Lalu, Emak meneruskan leterannya sambil Along dan Angah tidak berganjak dari tempat mereka berdiri.
"...Kalau rumah yang jadi abu, mana kita nak tinggal?..." Suara emak belum nampak tanda-tanda hendak berhenti membunyikan kata-kata kemarahan.

---

"Aku tak tahulah apa jadi dengan anak-anak aku ni."
Keluh Emak di hadapan Kawan.
"Kenapa dengan mereka?" Tanya Kawan, ingin tahu.
"Sejak dua menjak ni, mereka suka sangat main api kat depan rumah. Guna mancis, bakar daun kering. Dah berkali-kali aku marah pun masih sama," terang Emak.
"Oh ya ke?" sahut Kawan, berasa simpati.
"Apa kata kau tolong nasihatkan mereka. Mungkin mereka akan dengar kalau orang lain yang tegur mereka. Lagipun dah lama kau tak datang rumah aku," cadang Emak.

---

Emak dan Kawan berjalan bersama-sama menuju rumah. Pandangan dua pasang mata itu segera dihiasi kelibat sepasang kanak-kanak yang sedang tekun mengumpul daun-daun kering yang gugur dari pohon berhampiran. Selepas berpuas hati dengan longgokan daun yang terhasil, Angah mengambil kotak mancis dari lantai, lalu dikeluarkan sebatang anak mancis. Baru sahaja Angah hendak menyalakan api, matanya dan mata emak bertentang sebaik sahaja dia mengangkat kepala.

Tanpa mahu menunggu leteran yang bakal diterima, Angah segera mencampakkan kotak mancis ke lantai dan memberi isyarat kepada Along untuk masuk ke rumah. Sepantas kilat, kedua-dua mereka berlari masuk ke rumah tanpa sepatah kata.

"Hmm, apa lagi boleh aku kata? Kau dah nampak sendiri," Emak memulakan bicara, sambil memperdengarkan senafas keluhan. Kawan yang menjadi pendengar tunggal kata-kata emak hanya senyap, tidak berkata apa-apa. Emak dapat mengesan Kawan seperti sedang memikirkan sesuatu.
"Jom kita masuk. Tolong nasihatkan budak-budak tu."
Suara emak yang memecah kesunyian itu mengejutkan Kawan dari lamunan. Emak hairan dengan kelakuan Kawan.

"Kejap, aku rasa ada sesuatu yang aku perasan kat sini," Akhirnya Kawan bersuara.
"Tak ada apa pun yang luar biasa aku tengok kat halaman ni. Kotak mancis dan longgokan daun kering saja," Emak berkata, merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kata-kata Kawan.
"Ya, itulah yang aku perasan," akui Kawan.
"Apa yang luar biasanya? Mancis tu memang aku letakkan kat sini, senang nak cari bila nak guna. Dan daun kering tu pun selalu saja gugur dari pokok berhampiran." Emak menuding jari ke arah pokok-pokok yang dimaksudkan.

"Ada sesuatu yang aku nak cakap. Aku harap kau tak terasa hati." Kawan menyambung kata-kata yang masih belum difahami oleh Emak. Emak hanya mengangguk tanpa berkata apa-apa, melainkan menunggu sahaja apa yang hendak dikatakan oleh Kawan.
"Tadi kau kata kau memang letak mancis kat situ supaya senang cari bila kau nak guna kan? Kalau macam tu, kau setuju tak kalau aku kata, ini bermakna anak-anak kau pun senang jugak nak cari mancis tu bila mereka terasa nak main api masa kau tak perhati?"
Emak tidak menyangka Kawan akan bertanya soalan tersebut. Giliran Emak pula yang melayan fikirannya, cuba mencerna apa yang telah dinyatakan oleh Kawan.
"Ya, aku rasa betul kata kau. Logiknya, kalau aku senang capai mancis tu bila aku perlu, tentu anak-anak aku juga begitu. Tapi, itu tak bermakna mereka boleh gunakan mancis tu sesuka hati, lebih-lebih lagi untuk buat sesuatu yang berbahaya macam ni. Kau pun tahu kan, dah berkali-kali aku larang mereka. Sampai dah kering tekak aku dibuatnya. Tentu mereka dah boleh fikir apa yang aku cuba nak sampaikan," Emak lantas mempertahankan pendiriannya.

"Ya, betul kata kau. Mereka harus sedar bahawa mereka tak sepatutnya main api sesuka hati. Tapi barangkali, mereka tak fikir seperti yang kau fikir," terang Kawan. "Barangkali mereka masih jugak main api sebab mereka rasa kalau betullah api itu berbahaya sangat, mengapa emak mereka letak mancis tu kat tempat yang senang nak jumpa? Dengan kata lain, mereka rasa larangan emak mereka itu kurang bersungguh-sungguh."

"Macam mana kau boleh kata larangan aku tak bersungguh-sungguh? Kau tak tau dah berapa kali mereka buat kerja ni, dan berapa kali jugaklah aku marah kat mereka. Kalau ini masih kau kata tak bersungguh-sungguh, aku dah tak tau apa yang lebih bersungguh-sungguh daripada itu." Nada suara dan perkataan yang digunakan oleh Emak memberitahu Kawan bahawa dia sudah mula hendak naik angin. Lalu Kawan mengambil keputusan untuk menyampaikan penjelasannya dengan kadar segera sebelum Emak mengambil keputusan untuk tidak lagi mahu mendengar:

"Aku mintak maaf, aku tak sekali-kali berniat nak kata kau tak sungguh-sungguh. Apa yang aku maksudkan ialah, ada sesuatu yang kau boleh buat untuk lengkapkan kesungguhan larangan kau. Kalau kau dah marah mereka, dan kemudian letakkan mancis kat tempat yang lebih susah nak dicapai, aku fikir itu lebih dapat sampaikan kepada mereka bahawa bermain api itu sangat bahaya dan sebab itulah emak mereka jauhkan mancis itu dari mereka. Pendek kata, dalam situasi kau, larangan berbentuk perkataan perlu disusuli dengan tindakan yang menunjukkan larangan itu serius supaya anak-anak kau boleh faham sedikit demi sedikit,"
---
CERITA TAMAT

Komentar penulis:
Kita ada banyak keinginan, dan kita melakukan pelbagai tindakan untuk cuba memenuhinya, tidak kiralah untuk mendapatkan sesuatu atau mengelakkan sesuatu yang lain. Bila sesuatu tindakan itu tidak mendatangkan hasil yang diingini, kadang-kadang kita perlu fikir semula apa yang kita buat untuk menuju hasil yang kita inginkan. Ada kalanya, hasil yang kita mahu itu tidak tercapai kerana tindakan kita tidak selaras dengan apa yang kita harapkan.

Misalnya, andaikan saya tidak mahu monyet masuk ke dalam bilik, tapi saya sentiasa membiarkan tingkap bilik terbuka luas pada waktu siang semasa saya tiada di bilik. Bila difikirkan, tindakan mengabaikan tingkap sebenarnya memberi dorongan kepada monyet untuk masuk, sedangkan harapan saya kuat supaya monyet tidak lagi masuk. Itu yang cuba digambarkan dalam cerita di atas. Emak larang anak bermain api dengan leter dan marah, tetapi emak dalam cerita itu juga yang membiarkan mancis terus berada di tempat anak-anak mereka bermain api.

Semoga coretan kecil daripada penulis yang masih dalam usaha meluaskan ilmunya ini dapat memberi sedikit manfaat kepada pembaca yang sudi mengikuti coretan hingga noktah terakhir.

No comments:

Post a Comment

Followers