Saturday, June 23, 2018

Coretan Ilham: Sepasang Mata dan Lemang Periuk Kera



Ada kalanya, sesuatu itu tidak semestinya perlu ada pada kita untuk kita memperoleh manfaat daripadanya. Ini berlaku apabila wujudnya suatu yang disebut sebagai perkongsian: seseorang berkongsi perkara/keupayaan yang dimiliki untuk membolehkan manfaatnya datang kepada orang lain yang tidak memiliki perkara/keupayaan berkenaan.
---
"Hari tu saya ada baca satu artikel yang cerita tentang lemang periuk kera," kataku mengubah topik perbualan sebaik sahaja perkara tersebut singgah di ingatan.
"O, lemang tu. Pernah makan ke?" Soalnya.
"Tak pernah lagi, baru pertama kali dengar. Tapi saya rasa tertarik. Katanya, lemang tu agak istimewa: dibalut dalam periuk kera dengan tujuan untuk dapatkan aromanya. Memandangkan periuk kera dikutip di hutan dan kerjanya amat mencabar, susah katanya nak jumpa di bandar seperti Kuala Lumpur," terangku panjang lebar, sambil berharap peneranganku tepat.
---
Suasana di suatu Bazar Ramadhan seperti yang dijangka. Ramai yang sudah mula berkunjung untuk membeli juada berbuka idaman pada hari berkenaan. Tidak ketinggalan juga aroma yang singgah di deria bau, menandakan pelbagai jenis juada yang boleh dijadikan calon hidangan berbuka untuk menghilangkan rasa lapar. Aku berjalan di belakangnya sambil memegang tongkat, memanfaatkan sedikit penglihatan yang masih bersisa untuk memastikan aku tidak tertinggal. Tidak lupa juga untukku berhati-hati supaya tidak terlanggar pengunjung lain yang mungkin tidak perasan kehadiranku. Satu demi satu gerai dikunjungi, aku membeli juadah yang diminati dengan bantuan Dia yang memberitahuku apa yang ada.

"Wah, ada lemang periuk kera!" Kurasa agak tiba-tiba suaranya singgah di gegendang telingaku apabila sedang berjalan keluar dari kawasan bazar untuk pulang.
"Serius ke?" Tanyaku girang, tidak percaya. Bagai suatu mimpi kurasakan kerana baru disebut perkara ini tidak lama sebelumnya.
"Ya, ada tu kat situ. Nak beli ke?" Katanya sambil menunjuk ke suatu arah yang tidak kupasti.
"Nak, nak!" Seruku, masih berasa teruja.
Dengan bantuannya, aku berjaya membeli satu set lemang periuk kera sebagai salah satu juadah istimewa ntuk berhuka pada malam itu.
---
Bila direnung kembali, aku mengakui lemang tersebut memang agak istimewa, tidak pernah dinikmati sebelum ini. Tetapi, ia hanyalah sejenis makanan yang akan habis jua, hanya memberi rasa kekenyangan untuk sementara. Jadi, apa yang kurasa lebih istimewa ialah pengalaman yang dilalui sehingga mendapatkan lemang berkenaan. Dengan perkongsian keupayaan penglihatan daripadanya, aku berpeluang untuk menikmati lemang berkenaan dalam masa yang singkat, sedangkan aku sendiri tiada keupayaan penglihatan yang mencukupi untuk mengesan adanya jualan juadah istimewa berkenaan.

Dengan kata lain, juadah yang dibeli di bazar pada hari itu sangat bergantung kepada perkongsian keupayaan penglihatannya  denganku. Jika Dia tidak memberitahuku bahawa lemang tersebut ada dijual, aku tidak dapat membelinya, malah tidak tahu pun kewujudannya di bazar berkenaan sampai detik ini. Atas kerelaannya untuk perkongsian tersebut, aku ucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan aku benar-benar menghargainya kerana keinginanku untuk mencari juadah tersebut ada dalam ingatannya pada ketika itu.
---
Ada kalanya, sesuatu itu tidak semestinya perlu ada padaku untukku memperoleh manfaat daripadanya. Ini berlaku apabila wujudnya suatu yang disebut sebagai perkongsian: Dia berkongsi keupayaan penglihatan yang dimiliki untuk membolehkan manfaatnya datang kepadaku yang tidak memiliki keupayaan berkenaan.

TAMAT

No comments:

Post a Comment

Followers