Thursday, April 30, 2015

Coretan Ilham: Mentari Tidak Pilih Kasih


Pagi hari cuti itu sangat mendamaikan. Burung-burung kelihatan berterbangan sambil berkicau menyanyikan irama merdu. Langit biru pula sedikit demi sedikit mula mencerah, menandakan sinaran mentari sudah semakin menghampiri bahagian bumi yang bakal menerima siang.

Kelibat seorang insan dapat dilihat sedang berjalan-jalan di sekeliling kawasan tempat kediamannya. Dia merasakan, pagi hari cuti sebegini amat merugikan jika dihabiskan dengan memanjangkan waktu tidur sehingga ke tengah hari. Oleh sebab itulah, dia mengambil keputusan untuk memperuntukkan sedikit daripada waktu paginya untuk berjalan-jalan.

Waktu terus berlalu. Sinaran ultraungu yang terasa suam mula menyapa kulitnya. Bukan mudah untuk merasai kelembutan sinaran seperti ini. Hanya pada hari cuti seperti inilah peluang itu akan hadir. Pada hari-hari bekerja, sinaran cahaya lampu sahajalah yang mampu diperoleh. Tanpa disedarinya, dia tersenyum. Suatu ingatan singgah di fikirannya. Dia pernah mendengar cakap-cakap orang dan membaca bahawa pendedahan kepada sinaran ultraungu daripada mentari boleh menjana Vitamin D yang sangat berguna untuk kesihatan. Satu kajian yang telah dilakukan oleh Creighton University School of Medicine di Nebraska mendapati bahawa pengambilan Vitamin D dan kalsium boleh membantu mengurangkan risiko kanser sekurang-kurangnya sebanyak 60%. Peratusan ini sememangnya tinggi, ditambah lagi dengan kenyataan bahawa mencegah itu lebih baik daripada merawat. Senyumannya bertambah lebar, sekali gus meruntuhkan semua keinginannya untuk menyambung tidur pada pagi itu.

Satu lagi perkara singgah dalam fikirannya. Tiada bukti yang menunjukkan bahawa hanya individu tertentu sahaja yang boleh memperoleh Vitamin D dari sinaran mentari. Sesiapa yang memperuntukkan sedikit masa di waktu pagi untuk mendedahkan kulit kepada sinaran mentari layak memperolehnya.

Langkahnya diteruskan lagi. Langit yang semakin terang menambah jarak penglihatannya. Pelbagai jenis Tumbuhan, kecil dan besar, tinggi dan rendah, yang kehijauan kelihatan sungguh indah tersusun di kawasan itu. Sekali lagi ingatannya terarah kepada sinaran mentari. Umum mengetahui bahawa sinaran mentari membantu tumbuh-tumbuhan hijau untuk proses fotosentesis. Tumbuh-tumbuhan yang kelihatan sihat di kawasan itu menjadi bukti bahawa proses fotosintesis berjalan lancar dengan bantuan cahaya mentari. Cuma, ada satu dua tumbuhan kecil yang nampak kurang sihat kerana terlindung daripada sinaran mentari yang disebabkan oleh kehadiran tumbuhan besar yang menghalang sinaran sampai terus kepada tumbuhan kecil. Sekali lagi, mentari tidak memilih tumbuhan hijau yang mana untuk memanfaatkan sinarannya. Kekurangan sinaran mentari yang sampai kepada tumbuhan kecil bukan disebabkan pilih kasih mentari, tetapi kerana adanya tumbuhan besar yang menghalang sinaran itu daripada sampai terus kepada tumbuhan kecil.

Sebenarnya, sudah agak lama dia mengelilingi kawasan kediamannya itu. Tetapi, masih belum ada tanda untuk dia pulang ke rumah. Matanya masih ligat mencari perkara-perkara yang boleh dijadikan pengajaran untuknya pada pagi itu. Sedang dia melalui kawasan deretan rumah-rumah, bunyi pintu dibuka pula singgah di gegendang telinganya. Kelihatan, penghuni dua buah rumah yang bersebelahan antara satu sama lain keluar dari rumah sambil membawa baldi berisi pakaian. Jelas dan nyata, kedua-dua orang wanita itu ingin menjemur pakaian. Menyedari bahawa kedua-duanya menutup aurat dengan sempurna, hatinya berasa senang dan lega.

Tanpa mahu berhenti lama di situ, langkahnya diteruskan lagi. Sempat juga dia melihat keadaan dua buah rumah itu secara kasar. Di rumah pertama, kelihatan ada dua buah kereta dan sebuah motosikal. Langsir yang digunakan agak tinggi mutunya. Di rumah kedua pula, kelihatan ada dua buah motosikal. Langsir yang digunakan kelihatan biasa-biasa sahaja, cukup untuk memenuhi fungsinya bagi mengelakkan pandangan mata orang luar daripada melihat terus ke ruang dalam rumah. Dalam diam-diam, dia sedar langsir itu sudah menjalankan fungsinya untuk mengelakkan dia daripada melihat ruang dalam kedua-dua rumah itu. Dia tersenyum.

Mentari semakin meninggi. Kehangatan sinaran mentari mula terasa peningkatannya. Lalu, dia membuat keputusan untuk pulang ke rumah. Baginya, sudah cukup dengan apa yang telah diperolehnya pagi itu. Sedang dalam perjalanan pulang, dia terfikir sesuatu yang lain pula. Dia sedar bahawa kehangatan sinaran mentari yang semakin meninggi ini tidak sesuai baginya untuk terus berada di luar kawasan tertutup. Namun demikian, dia juga tahu bahawa terik mentari ini ada fungsinya yang tersendiri. Dua orang wanita yang menjemur pakaian itu semestinya mengharapkan jemurannya dikeringkan dengan sempurna. Pada ketika inilah, terik mentari dapat menjalankan fungsi itu. Sekali lagi, dia sedar bahawa sinar mentari tidak menetapkan kriteria jemuran yang layak dikeringkan dengan sinarannya. Semua jenis jemuran adalah dialu-alukan untuk ditempatkan di bawah sinaran mentari untuk dikeringkan, tidak kira kaya atau miskin pemiliknya.

Pintu pagar rumahnya sudah kelihatan. Langkahnya tenang menuju ke arah itu. Apabila terpandang pakaian yang berada di ampaian, sekali lagi dia tersenyum dan menganggukkan kepala. Lalu, dia masuk ke dalam rumah. Dia sudah dapat mengumpul bukti yang kukuh bahawa mentari tidak pilih kasih. Lebih penting daripada itu, dia amat menyedari bahawa Pencipta mentari yang telah menetapkan semua ini. Oleh sebab itu, lebih tepat lagi dikatakan bahawa Pencipta tidak pilih kasih.

No comments:

Post a Comment

Followers