Sunday, January 07, 2018
Coretan Ilham: Kemudahan Bagimu, Keperluan Bagi Kami
"Whatsapp, Now, Siswa A @ Info Siswa,
Pengumuman: Perpustakaan Nasional telah melancarkan sebuah laman sesawang untuk membolehkan para pengguna meminjam buku dan membacanya secara dalam talian. Diharap kemudahan ini sedikit sebanyak dapat menyuburkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia," suara robotik femenin itu kedengaran lagi dari arah telefon pintar yang digunakan oleh Farhan yang bermasalah penglihatan.
"Wow, menarik!" Farhan bersuara, bermonolog sendirian. "Kena masuk sekarang jugak ni. Untung-untung ada buku yang dah lama nak cari."
"Whatsapp, Now, Siswa B @ Info Siswa,
Terima kasih atas perkongsian. Lepas ni kalau tak bawak buku fizikal, tapi rasa nak baca buku, bolehlah akses laman web ni. Sangat memudahkan kita," suara robotik itu membacakan lagi mesej yang diterima.
"Terima kasih banyak-banyak atas perkongsian ini. Suatu inisiatif yang bagus dari pihak perpustakaan. Perkhidmatan yang menawarkan bahan bacaan secara online, khususnya buku yang telah diterbitkan seperti ini sangat ditunggu-tunggu oleh golongan yang bermasalah penglihatan, terutamanya yang langsung tidak dapat melihat." mesej selesai ditaip, Farhan menekan butang 'send' untuk menghantarnya.
"Whatsapp, Now, Siswa B @ Info Siswa,
Timbul rasa ingin tahu dalam diri saya. Boleh saya tahu mengapa golongan bermasalah penglihatan sangat menantikan perkhidmatan macam ni berbanding golongan yang berpenglihatan?" Tanpa jemu, suara itu terus membaca mesej.
"Sebab kami menghadapi kesukaran untuk baca buku fizikal. Jadi, kami biasanya menganggap buku dalam bentuk digital sebagai bacaan yang lebih utama. Dengan adanya lebih banyak penawaran perkhidmatan macam ni, mudah-mudahan bilangan buku yang dapat kami akses akan bertambah.
Dengan kata lain, perkhidmatan ini barangkali suatu kemudahan bagi kamu, tetapi suatu keperluan bagi kami." Butang 'send' ditekan lagi, mesej dihantar ke kumpulan Info Siswa untuk renungan ahli-ahlinya.
Tamat
Friday, December 29, 2017
Gambar Kosong (Fiksyen untuk Renungan)
"WHATSAPP, Now, Siswa A @ Info Siswa, Camera, Image."
Suara femenin robotik itu setia membacakan mesej yang diterima untuk pendengaran dia yang mengalami kekurangan penglihatan.
"WHATSAPP, Now, Siswi A @ Info Siswa, Wow, penulisan! menarik, kena masuk ni," suara itu membaca mesej seterusnya beberapa saat kemudian.
"Oh, hantar gambar 'kosong' lagi," dia sedikit mengeluh.
Dia sedar, gambar itu sebenarnya tidak kosong pada pandangan penglihatan, lebih-lebih lagi selepas ada maklum balas orang lain yang telah mencerna maklumat daripada gambar yang terbentuk daripada berjuta petak-petak kecil piksel itu. Namun, dia berpendapat, kosong atau tidaknya sesuatu bukan bergantung kepada persepsi orang lain, Sebaliknya, persepsi masing-masing yang menentukan. Gambar itu kosong kerana tiada maklumat yang mampu diperoleh, fikirnya.
"Ini gambar apa ya? Menarik ni kalau pertandingan penulisan kreatif!" selesai jemari menaip mesej, lalu ditekan butang 'send'. Dia sangat sedar, keperluan untuk teka-meneka ini akan wujud dalam diri insan sepertinya setiap kali maklumat yang diberikan tidak cukup dalam bentuk yang boleh dicapai.
Nombor hadapan jam digital terus beralih ke digit demi digit yang lebih tinggi, tetapi belum ada suara yang membacakan mesej lanjut. Dia ada juga mencuba mengimbas gambar tersebut dengan aplikasi pengimbas teks, tetapi belum ada keputusan yang memuaskan. Mungkinkah gambar itu tiada teks, tekanya lagi.
---
"WHATSAPP, Now, Siswi A+ @ Info Siswa, Sorry lambat balas, baru sempat nak check Whatsapp. Ya, gambar ni tentang pertandingan menulis cerpen. Ini poster dia. Butiran lanjut nanti saya hantar. Kalau berminat, bolehlah sama-sama kita masuk."
Mesej keramat itu mengakhiri penantian dia selepas matahari terbenam dan terbit semula. Lebih baik lambat sedikit daripada tiada langsung, fikirnya.
Seperti yang dijanjikan, Siswi A+ telah menghantar teks butiran pertandingan tersebut kepadanya beberapa minit kemudian: tema, format, tarikh tamat, dan tidak lupa juga lokasi penghantaran manuskrip.
---
"terima kasih banyak-banyak sebab sudi ambil masa untuk terangkan gambar tu. Kalau tak ada orang balas mesej sampai ke sudah, mesti saya dah terlepas pertandingan yang saya tunggu-tunggu ni. Kalau saya terlepas dan tak tahu sampai bila-bila tak apa lagi, tentu sedih kalau lepas tarikh tamat baru ada orang nak beritahu," katanya memulakan perbualan dengan siswi A+ ketika mereka bertemu keesokan harinya.
"Sama-sama. Saya tak sangka, pertolongan yang saya anggap kecil ini dapat beri makna yang banyak pada awak. Saya pun tumpang gembira bila tengok awak gembira. Saya terfikir, deria penglihatan yang dikurniakan Tuhan ini bukan sahaja untuk bantu kehidupan seharian saya, tetapi juga satu ujian untuk menilai kesanggupan saya untuk menjadi mata kepada insan yang mengalami kekurangan penglihatan," jawab siswi A+ panjang lebar.
"Wow, Menarik idea awak tu! Apa pun, kalau lebih ramai orang yang bertindak macam awak ni, tentu lebih mudah untuk kami memperoleh penyertaan penuh dalam masyarakat," kata dia.
"Penyertaan penuh," balas siswa A+. "Macam pernah dengar je baru-baru ni."
Dia dan Siswa A+ mengukir senyuman.
TAMAT
Wednesday, December 20, 2017
Wednesday, May 10, 2017
Bila Kehilangan Bertanya
Noktah terakhir ditaip. Rasa lapar mula menyengat-nyengat, mendesak secebis perhatian yang tidak diberikan sejak beberapa jam yang lalu. Lantas, Farhan terbayang-bayangkan nasi goreng kampung telur mata yang difikirkannya sesuai sungguh untuk menyelesaikan tugas itu. Lalu dicarinya barang-barang yang ingin dibawa bersama ke kafe. Beberapa minit berlalu, pencarian masih tertumpu kepada satu objek yang di dalamnya terkandung kertas-kertas yang mampu menukarmilikkan makanan seperti nasi goreng kampung kegemarannya.
Langkah dihala pula ke bilik belajar, barangkali barang yang dicari ada di situ, memandangkan itu tempat terakhir yang dikunjungi sebelum pulang ke bilik tadi. Namun, pencarian Farhan dengan deria sentuhan dan deria penglihatan orang sekeliling juga tidak menemukan barang yang dicari.
"Aku balik dulu," kata Farhan, mencuba sedaya upaya menyembunyikan rasa sedih yang semakin terasa.
"Kenapa nampak sedih je ni?" Suara Fariz singgah di telinga Farhan yang baru menutup pintu bilik belajar selepas keluar dari situ.
"Hmm, dompet aku hilang," kata Farhan ringkas, bersedia untuk memulakan langkah.
"Oh ya ke? Dah cari kat bilik ke?" tanya Faris, simpati.
"Aku dah cari tadi, lepas tu cari kat bilik belajar. Tapi tak jumpa jugak. Kalau ada yang terambil, dia pulangkan dompet tu saja pun jadilah. Sebab dompet tu orang bagi," kata Farhan, menyatakan isi hatinya.
"Kadang-kadang, kehilangan itu sebuah pertanyaan untuk kita," kata Fariz.
"Apa maksud kau?" Farhan berhenti melangkah, berminat dengan kata-kata Fariz tadi.
"Bayangkan kehilangan itu mengajukan soalan yang berbunyi: adakah kau hargai benda itu, dan jika yang hilang itu lebih daripada satu benda, benda mana yang paling kau hargai?" jelas Fariz.
"Jika betul sekalipun itu satu pertanyaan, bukannya dapat bantu aku cari benda tu pun," protes Farhan.
"Ya, pertanyaan tu tak dapat bantu sesiapa pun cari barang hilang. Tapi, pertanyaan tu dapat bantu kau untuk nilai keteguhan kaca penghargaan kau. Bila tukul kehilangan mengetuk, dua saja kemungkinan akan terjadi: sama ada kaca itu pecah, atau kaca itu tidak pecah." terang Fariz panjang lebar. Kali ini, Farhan hanya diam, barangkali sedang memikirkan sesuatu.
"Dan daripada apa yang kau beritahu aku, aku dapat agak kaca yang aku maksudkan itu tidak pecah. Kau sangat hargai dompet itu, hingga jika diberi pilihan, kau sanggup hilang isinya untuk mendapatkannya kembali," sambung Fariz lagi. Fariz dapat melihat Farhan seperti hendak berkata sesuatu, tetapi dia cepat-cepat menyambung:
"Selepas kau dapat jawapan daripada pertanyaan kehilangan itu, sedarlah bahawa kehilangan itu ada dua pula pengakhiran. Sama ada kau jumpa semula benda yang hilang, atau kau tidak jumpa lagi benda itu. Jika kau tak jumpa, ketahuilah bahawa kenangan tentangnya tetap akan subur dalam ingatan, tidak boleh diambil seperti mana barang yang hilang itu. Mudah-mudahan kenangan itu akan menambahkan penghargaan kepada perkara-perkara yang masih ada pada kau. Sekiranya berjumpa kembali, ketahuilah bahawa Allah memberi satu lagi peluang supaya kita dapat menjaga benda yang dihargai itu dengan lebih baik. Kerana kita sebagai manusia kadang-kadang tidak memikirkan soal menghargai atau tidak menghargai sesuatu, melainkan setelah ditanya oleh kehilangan, seperti yang pernah berlaku kepada kau, aku, dan insan-insan lain." Fariz berhenti berkata, tertanya-tanya adakah Farhan memahami kata-katanya yang berjela-jela itu.
"Ok Fariz, aku rasa aku faham apa yang kau nak sampaikan. Jadi, benda yang perlu aku lakukan sekarang ialah cari sekali lagi di bilik untuk tentukan pengakhiran kehilangan yang mana yang aku akan dapat. Walau apa pun pengakhirannya, aku perlu sedar bahawa kedua-duanya ada baiknya untukku. Terima kasih," kata Farhan sambil tersenyum dan meneruskan langkah menuju bilik.
Tamat
Langkah dihala pula ke bilik belajar, barangkali barang yang dicari ada di situ, memandangkan itu tempat terakhir yang dikunjungi sebelum pulang ke bilik tadi. Namun, pencarian Farhan dengan deria sentuhan dan deria penglihatan orang sekeliling juga tidak menemukan barang yang dicari.
"Aku balik dulu," kata Farhan, mencuba sedaya upaya menyembunyikan rasa sedih yang semakin terasa.
"Kenapa nampak sedih je ni?" Suara Fariz singgah di telinga Farhan yang baru menutup pintu bilik belajar selepas keluar dari situ.
"Hmm, dompet aku hilang," kata Farhan ringkas, bersedia untuk memulakan langkah.
"Oh ya ke? Dah cari kat bilik ke?" tanya Faris, simpati.
"Aku dah cari tadi, lepas tu cari kat bilik belajar. Tapi tak jumpa jugak. Kalau ada yang terambil, dia pulangkan dompet tu saja pun jadilah. Sebab dompet tu orang bagi," kata Farhan, menyatakan isi hatinya.
"Kadang-kadang, kehilangan itu sebuah pertanyaan untuk kita," kata Fariz.
"Apa maksud kau?" Farhan berhenti melangkah, berminat dengan kata-kata Fariz tadi.
"Bayangkan kehilangan itu mengajukan soalan yang berbunyi: adakah kau hargai benda itu, dan jika yang hilang itu lebih daripada satu benda, benda mana yang paling kau hargai?" jelas Fariz.
"Jika betul sekalipun itu satu pertanyaan, bukannya dapat bantu aku cari benda tu pun," protes Farhan.
"Ya, pertanyaan tu tak dapat bantu sesiapa pun cari barang hilang. Tapi, pertanyaan tu dapat bantu kau untuk nilai keteguhan kaca penghargaan kau. Bila tukul kehilangan mengetuk, dua saja kemungkinan akan terjadi: sama ada kaca itu pecah, atau kaca itu tidak pecah." terang Fariz panjang lebar. Kali ini, Farhan hanya diam, barangkali sedang memikirkan sesuatu.
"Dan daripada apa yang kau beritahu aku, aku dapat agak kaca yang aku maksudkan itu tidak pecah. Kau sangat hargai dompet itu, hingga jika diberi pilihan, kau sanggup hilang isinya untuk mendapatkannya kembali," sambung Fariz lagi. Fariz dapat melihat Farhan seperti hendak berkata sesuatu, tetapi dia cepat-cepat menyambung:
"Selepas kau dapat jawapan daripada pertanyaan kehilangan itu, sedarlah bahawa kehilangan itu ada dua pula pengakhiran. Sama ada kau jumpa semula benda yang hilang, atau kau tidak jumpa lagi benda itu. Jika kau tak jumpa, ketahuilah bahawa kenangan tentangnya tetap akan subur dalam ingatan, tidak boleh diambil seperti mana barang yang hilang itu. Mudah-mudahan kenangan itu akan menambahkan penghargaan kepada perkara-perkara yang masih ada pada kau. Sekiranya berjumpa kembali, ketahuilah bahawa Allah memberi satu lagi peluang supaya kita dapat menjaga benda yang dihargai itu dengan lebih baik. Kerana kita sebagai manusia kadang-kadang tidak memikirkan soal menghargai atau tidak menghargai sesuatu, melainkan setelah ditanya oleh kehilangan, seperti yang pernah berlaku kepada kau, aku, dan insan-insan lain." Fariz berhenti berkata, tertanya-tanya adakah Farhan memahami kata-katanya yang berjela-jela itu.
"Ok Fariz, aku rasa aku faham apa yang kau nak sampaikan. Jadi, benda yang perlu aku lakukan sekarang ialah cari sekali lagi di bilik untuk tentukan pengakhiran kehilangan yang mana yang aku akan dapat. Walau apa pun pengakhirannya, aku perlu sedar bahawa kedua-duanya ada baiknya untukku. Terima kasih," kata Farhan sambil tersenyum dan meneruskan langkah menuju bilik.
Tamat
Thursday, May 04, 2017
Tawakal Ibu Burung
"Ada sarang burunglah kat sini." Farhan mendengar suara ayahnya yang berdiri tidak jauh darinya.
"Kat mana, yah?" Tanya Farhan, sambil berjalan mundar-mandir, cuba memaksa penglihatannya yang terhad untuk mencari sarang itu. Tiba-tiba dia berasa tertarik, kerana tidak pernah melihat, apatah lagi menyentuh sebuah sarang burung sepanjang hidupnya.
"Tergantung kat tali ampaian rumah kita," sahut ayahnya. Farhan yang memang sudah tahu tempat yang dimaksudkan itu segera bergerak ke situ. Penglihatannya hanya menunjukkan seketul benda bulat yang asing baginya, informasi yang belum memuaskan hatinya. Lalu tangannya dicapai ke arah objek itu. Deria sentuhannya mentafsir objek itu sebagai rumput-rumput yang sudah diikat antara satu sama lain, menyerupai sebuah kantung yang digunakan untuk mengisi sesuatu. Selama ini, Farhan hanya membaca tentang sarang burung yang dibina dari rumput-rumput dan ranting. Tidak disangka, hari ini dia dapat menyentuhnya.
"Ada telur dalam sarang ni," kata ayah Farhan lagi.
"Tentu Allah yang mengajar sang burung untuk melindungi telurnya dalam sarang. Allah Maha Besar," bisik hati kecil Farhan.
"Jap, biar ayah tengok telur ni," sambil mengucapkan ayat itu, ayah Farhan cuba mengeluarkan telur dari sarang burung itu. Dua butir Telur di tangan, ayahnya membelek-belek telur itu.
"Ya Allah, lindungilah telur itu," bisik hati Farhan lagi. Tiba-tiba saja hatinya terasa takut, kalau-kalau ayahnya akan mencampakkann telur itu ke lantai. Farhan menunggu dan menunggu, sehingga ayahnya cuba pula memasukkan kembali telur itu ke tempat asalnya.
"Ya Allah, lindungilah telur itu," sekali lagi Farhan memohon. Kali ini, Farhan takut pula kalau-kalau ayahnya tidak sengaja merosakkan sarang itu, menyebabkan telur terjatuh ke lantai.
"Alhamdulillah, Engkaulah yang memegang hati makhluk-makhluk-Mu untuk berbuat baik, dan Engkau jualah yang menentukan telur itu selamat atau tidak akhirnya," Hati kecil Farhan terus berbisik, lega apabila mendapati tangan ayahnya sudah meninggalkan sarang itu, dan sarang itu tidak rosak.
***
Seekor burung masih gigih mengibas-ngibas sayapnya, menuju tujuan rezekinya pada hari itu, rezeki untuk kelangsungan hidupnya. Ia perlu terus hidup, perlu terus hidup supaya anak-anaknya yang masih berada di dalam dua butir telur yang ditinggalkannya di halaman rumah manusia yang tidak dikenalinya itu akan dapat melihat dunia, dan menjadi dewasa sepertinya. Atas naluri keiibuan inilah, ia terus terbang dan terbang dan terbang. Tiada lain dalam hatinya, melainkan kepercayaannya bahawa "burung yang keluar pagi, akan pulang petang bersama rezekinya pada hari itu."
Mengimbas kembali sebelum mengambil langkah pertama untuk meninggalkan rumah manusia itu, hatinya terasa berat untuk mengalihkan belakang badannya ke arah telur-telurnya yang bakal ditinggalkan. Bagaimana jika burung lain datang membuat kacau, sehingga telur itu retak walau sedikit? Bagaimana jika penghuni rumah manusia ini berhati jahat? Bagaimana pula ini...bagaimana pula itu? Seribu satu perkara bermain dalam fikirannya.
"Aku perlu pergi juga! Jika aku terus di sini, aku akan mati kelaparan. Dan akhirnya tiada juga ibu yang akan dapat menjaga anak-anaknya nanti!" Akhirnya tekad burung itu bulat. Terus ditolaknya segala "bagaimana jika" yang bersarang penuh di fikirannya jauh-jauh.
"Hanya tawakal menjadi sandaranku. Aku sudah ikhtiar yang terbaik, aku sudah lindungi anak-anakku di tempat yang aku rasa paling selamat. Kini, aku harus bertawakal dan pergi mencari sesuap makanan, mudah-mudahan Allah mentakdirkan yang terbaik untukku dan anak-anakku," fikir burung itu lagi.
"Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah (Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada-Nya, dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan-Nya)." Dengan berbekalkan doa itu, ia pun memulakan kibasan pertama sayapnya untuk terbang ke udara.
***
"Farhan, apa yang dimenungkan tu. Jom masuk rumah." Suara ayahnya mengejutkan Farhan dari lamunannya. Tanpa berkata apa-apa, Farhan pun masuk ke rumah sambil tersenyum dengan pengajaran yang diperoleh daripada refleksinya tadi.
TAMAT
Friday, February 26, 2016
Cerpen: Bila Diarinya Berbicara
Penafian: tulisan ini hanya bertujuan untuk dibaca sebagai karya fiksyen.
“Inaaa.”
Dengan spontan, aku terus berpaling ke arah datangnya suara
itu. Terasa baru semalam aku mendengar nama itu dipanggil, walhal sudah hampir dua
bulan Haris pergi menghadap Ilahi. Fikiranku tertanya-tanya, mungkinkah Haris yang
memanggil nama itu sebentar tadi? “Tidak mungkin sama sekali! Yang sudah mati
tidak mungkin hidup kembali, melainkan pada hari kiamat.” Akhirnya, fikiran
warasku berbicara, menyedarkanku dari alam anganan. Mataku kemudian menangkap
kelibat seorang lelaki separuh usia keluar ke halaman rumah dan menghampiri
salah seorang anak kecil yang berada di situ. Barangkali anak kecil itu yang
dipanggil ‘Ina’ sebentar tadi, fikirku.
Tanpa disedari, hatiku sebak, disusuli genangan air mata. Nama
itu mengingatkanku kepada pelbagai pahit manis kehidupan, terutamanya insan
bernama Haris, satu-satunya insan yang memanggilku dengan nama itu. Perasaanku
bercampur baur antara duka, bersalah, kesal, dan beberapa lagi bentuk perasaan
yang aku sendiri tidak tahu namanya. “Rasanya lebih mudah aku panggil kau Ina
je. Taklah keliru nanti dengan nama adik aku.” Demikian kata Haris bila aku
bertanya sebab dia memanggilku ‘Ina’. Aku sekadar mengangguk tanda bersetuju. Aku
memang kenal dengan adiknya yang bernama Ain itu. Mulai hari itu, Haris terus
memanggilku Ina, sedangkan rakan-rakanku yang lain memanggilku dengan nama Ain.
Bila difikirkan kembali, baru aku sedar mengapa aku begitu terkesan dengan nama
“Ina” sebentar tadi.
Dengan langkah yang agak pantas, aku terus melangkah masuk
kebilik, tidak mahu dilihat sedang menahan tangisan. Aku mengambil masa beberapa
minit sebelum dapat mengawal perasaan sebak yang terkumpul di dadaku. Aku perlu
mencari perkara bermanfaat yang boleh aku lakukan untuk mengalihkan perhatianku
dari emosi yang terbit di hatiku ini, fikirku. Sambil mataku liar mencari buku
Matematik yang ingin aku rujuk untuk menyiapkan tugasan kuliah, aku terpandang
sebuah buku yang tertulis nama ‘Ina’ di atas meja tulisku. Lantas kandungan
demi kandungan buku kecil itu mula menyelinap masuk ke dalam kotak fikiranku.
Daripada pembacaanku, Buku itu ialah diari yang ditulis oleh Haris ketika dia
masih hidup. Tanpa dipinta, fikiranku pantas mengimbas kembali detik-detik itu,
yang menjadi punca aku sedang dilanda sebak.
***
“Ini buku akak kan?” Suara Ain, adik Haris masih terngiang-ngiang
di telingaku walaupun perbualan itu sudah sebulan berlalu.
“Rasanya bukan,” sahutku ringkas.
“Tapi, buku tu ada nama akak,” kata Ain.
“Hmm, seingat akak. Haris tak ada pinjam buku dari akak,” kataku pula, mula berasa hairan.
“Hmm, seingat akak. Haris tak ada pinjam buku dari akak,” kataku pula, mula berasa hairan.
“Abang Haris kan panggil akak Ina. Jadi, mungkin dia nak
bagi buku ni kat akak,” sahut Ain, sambil menghulurkan buku itu kepadaku tanpa
menanti jawapanku. Dengan hati yang berat, aku pun menghulurkan tanganku untuk
menyambutnya.
“Kami jumpa buku itu masa kemaskan barang-barang abang
Haris,” tambah Ain lagi.
Tidak dapat aku nafikan, aku sebenarnya berasa ingin tahu,
walaupun hairan dengan kemunculan buku misteri tersebut. Sepanjang 10 minit
perbualanku dengan Ain, perihal buku tersebut tidak lagi dibawa dalam perbulan.
Namun sekali sekala, aku tertanya-tanya tentang kandungan buku tersebut. Sebaik
sahaja Ain beredar, aku pun kembali ke bilikku. Perlahan-lahan aku pun membuka
halaman buku itu dengan tangan yang sedikit terketar.
31 Mac 2015:
Hai diari baruku, namaku Haris. Aku benar-benar teruja untuk
menulis catatan harianku di sini. Sebab aku ada baca tulisan para ahli
psikologi yang menyatakan bahawa menulis diari itu sangat efektif untuk merawat
kegawatan emosi. Haha, ingatkan ekonomi je gawat, rupanya emosi pun boleh gawat
juga. Tidak mengapa, ini hanya catatanku, tiada yang perlu membaca. Mereka juga
mengatakan bahawa anggaplah diari itu sebagai seorang sahabat yang boleh dibawa
berkomunikasi dan menyimpan segala rahsia yang tercatat. Jadi, inilah yang cuba
aku lakukan. Baiklah, jumpa lagi di hari lain, bye.
Catatan Tamat
***
Aku tidak tahu apa yang perlu aku rasa selepas membaca
tulisan ringkasnya itu. Benarkah Haris ada menghadapi masalah emosi? Aku tidak
pernah tahu. Barangkali dia tidak bercerita, atau aku dan rakan-rakannya yang
lain yang tidak mengambil tahu dan mengambil kisah, fikirku lagi. Dalam masa
yang sama, aku tersenyum dengan gurau ‘gawat’ yang ditulisnya itu.
“Tidak mengapa, ini hanya catatanku, tiada yang perlu
membaca.” Tulisannya itu tiba-tiba singgah di fikiranku, seolah-olah sedang
berkomunikasi denganku. Adakah ini yang dikatakan sebagai berkomunikasi dengan
diari yang dimaksudkan olehnya? Lebih penting lagi, haruskah aku mengingkari
kehendak Haris dan terus membaca diarinya itu?
Sebahagian akalku mengatakan supaya aku tidak terus membaca
atas sebab menghormati kehendak rakanku itu. Tetapi, sebahagian besar akal
warasku mengesyorkan aku untuk terus membaca. Bukankah diari itu tertulis
namaku, fikirku. Jadi, mungkin Haris benar-benar ingin aku membaca tulisannya.
Lagipun, kini aku tahu dia ada konflik emosi. Jadi, dengan membacanya, aku
boleh tahu lebih lanjut. Dan kalau ada apa-apa yang boleh aku lakukan untuk
kebaikannya, Insya Allah aku akan cuba. Walaupun dia sudah tiada lagi di dunia
ini, barangkali masih ada lagi perkara yang boleh aku lakukan untuknya. Jauh di
sudut hatiku, aku harap sebab yang aku kemukakan itu rasional untuk aku terus
membaca.
1 Mei 2015:
Hai diariku. Hari ini merupakan Hari Pekerja. Jadi, ibu
bapaku tidak bekerja. Mereka mengambil keputusan untuk menyusun semula perabot
di rumah dengan adik-beradikku yang lain. Engkau mungkin bertanya, kenapa aku
hanya sebut ‘dengan adik-beradikku yang lain’? Sebabnya mudah, aku tidak tahu
di mana yang dapat aku menyumbangkan tenaga. Dengan dua tanganku yang sudah
disahkan lemah oleh doktor yang memeriksa, aku tidak berdaya membantu
menganggkat barang-barang yang berat. Malah, aku sudah serik untuk meminta izin
untuk membantu. Aku ingat lagi peristiwa pahit pada hari raya tahun lepas. Aku
meminta supaya ibu bapaku mengizinkan aku untuk membantu mengangkat besi katil
yang agak berat. Pada mulanya, mereka keberatan, tetapi apabila aku meyakinkan
mereka bahawa aku mampu, mereka akhirnya mengizinkan dengan rasa berat hati.
Lalu aku pun mengangkat besi katil itu bersama-sama Halim, adik lelakiku.
Tiba-tiba tanganku terlepas pegangan besi katil itu. Oleh
sebab terkejut, Halim juga terlepas pegangan tangannya. Lalu besi katil itu
menimpa kakiku dan kemudian kakinya. Hanya Allah saja yang tahu perasaan
bersalahku pada ketika itu, walaupun tiada ahli keluarga yang marah kepadaku,
termasuk Halim. Aku fikir, barangkali kerana mereka memang tahu keadaanku. Bagiku
pula, salah itu tetap sudah salah, tidak dapat lagi dibuang dari lipatan
sejarah hidupku. Selepas peristiwa itu, aku dapati layanan mereka sudah berbeza
terhadapku. Mereka lebih cenderung untuk membantuku dalam pelbagai urusan
kerana takut aku tercedera lagi. Urusan semudah mencedok nasi juga dilakukan
oleh mereka untukku tanpa dipinta.
Beberapa lama berlalu, perasaanku menjadi semakin bercelaru.
Aku juga manusia yang berperasaan, yang bukan sahaja suka menjadi penerima,
tetapi juga sebagai pemberi bantuan. Aku faham mereka berniat menjagaku sebaik
mungkin, tetapi sampai bila? Sampai aku mati? Dalam keadaanku yang begini di
rumah, bagaimanalah aku dapat membantu? Kerana bantuanku selalunya hanya akan
menimbulkan kesukaran sahaja. Kalaulah ada yang mengerti perasaan apabila: kita
berniat nak membantu, sedangkan kita hanya berperanan mewujudkan kesukaran pula
pada orang lain.
Catatan tamat!
Catatan tamat!
***
Selesai membaca, sekali lagi aku tidak menyangka bahawa ini
antara perkara yang pernah dilalui oleh Haris. Mungkin banyak lagi kisah yang
dilaluinya, sama ada akan aku temui dalam catatannya yang akan datang, atau
sudah hilang bersama-sama pemergiannya. Masih banyak perkara yang belum aku
tahu mengenainya. Satu kesedaran tiba-tiba mendatangiku. Haris yang aku kenal
semasa sama-sama menuntut dalam kursus yang sama di universiti memang sangat
gemar membantu orang lain. Untuk kepastian, aku meneliti tarikh catatannya, 1
Mei 2015. Pada tarikh ini, aku masih belum mengenalinya kerana semester pertama
bermula pada bulan September. Jadi, nyatalah bahawa peristiwa yang tercatat ini
berlaku lama sebelum dia masuk ke universiti. Rupanya, peristiwa yang tercatat
itulah yang mendorongnya menjadi seorang yang suka membantu selama perkenalanku
dengannya. Perkara paling penting yang menyentap hatiku ialah perkataan ‘mati’
itu, yang kini sudah menjadi kenyataan buatnya.
Aku faham benar dengan dilemanya pada ketika itu. Satu
kenangan pahit yang berkaitan segera terhidang di ruang mindaku. Waktu itu di
sekolah, bersama rakan yang lain, berusaha menyiapkan projek seni. Rakanku yang
lain sedang menggunting kertas menjadi kepingan yang lebih kecil. Oleh sebab
tiada lagi gunting yang berbaki, dan aku tidak mahu duduk bersahaja, aku
membuat keputusan untuk mengoyakkan kertas itu dengan tangan untuk menggantikan
gunting. Selepas agak banyak kertas yang aku koyakkan, barulah aku perasan
bahawa mereka bukan menggunakan gunting biasa, tetapi gunting yang menghasilkan
guntingan kertas bercorak ombak. Semua mata tertumpu kepadaku kerana aku telah membazir
kertas yang ada, sedangkan tiada lagi kertas yang berbaki. Seperti kata Haris,
hanya Allah saja yang mengetahui perasaan bersalahku pada ketika itu.
13 Disember 2015:
Sedar tak sedar, dah sangat lama aku tidak mencatat di sini.
Tuntutan pengajian universiti menyebabkan aku seperti tidak berdaya untuk
mencatat di sini. Tetapi, pada hari ini, aku berjaya juga melapangkan sedikit
masa di sini. Kemasukanku ke universiti merupakan satu rahmat yang tidak
terkira. Aku tidak lagi hanya bertindak sebagai penerima seperti di rumah,
tetapi aku dapat memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Senyuman yang
terukir di wajah-wajah mereka yang dapat kubantu itu sangat mendamaikan jiwaku.
Baru aku faham dengan kenyataan ahli psikologi yang menyatakan bahawa membantu
orang lain itu satu cara untuk mengatasi kesedihan dan keresahan. Satu perkara
yang paling aku ingat ialah apabila seorang rakanku memberitahuku bahawa fail
soft copy tugasannya telah terpadam disebabkan oleh virus, sedangkan dia perlu menghantarnya
pada minggu tersebut. Lebar senyumannya masih dapat aku bayangkan hingga ke
hari ini apabila aku menghantar fail yang diperlukannya itu kepadanya menerusi
e-mail. Oleh sebab terlalu gembira, dia tidak pun bertanya di mana aku
memperoleh fail tersebut. Tidak mengapa, barangkali dia akan mengingatinya
kelak. Wahai diariku, sampai di sini dahulu kisahku.
Catatan tamat!
***
“Sah, akulah rakan yang dimaksudkan olehnya dalam tulisannya
itu.” Spontan sahaja kata-kata itu terpacul dari mulutku. Aku sendiri sudah
hampir terlupa peristiwa itu. Pada ketika itu, memang aku sangat tertekan
apabila memikirkan kebarangkalian mendapat kosong markah untuk tugasan itu. Maklum
sajalah, alasan seperti itu dianggap oleh kebanyakan pensyarah sebagai alasan
tipikal seorang pelajar yang terdesak hendak mencipta alasan. Sungguh malang
bagi pelajar sepertiku jika alasan itu benar-benar ikhlas. Apa pun, Bantuannya
itu benar-benar menyelamatkanku. Cuma, aku masih belum mengingati bagaimana dia
memperoleh fail tersebut. Daripada tulisannya itu, aku seolah-olah dapat menyelami
keseronokan yang dapat dirasainya apabila menghulurkan bantuan. Lebih-lebih
lagi bila aku sudah mengatahui peristiwa lalunya yang meronta-ronta mencari
ruang untuk menghulurkan secebis bantuan. Aku sendiri tersenyum dengan
perkembangan positifnya itu. Namun jauh di sudut hatiku, sekelumit rasa
bersalah sempat juga menjalar di kalbuku. Benar katanya, aku tidak pun
bertanyanya untuk mengambil tahu di mana dia mendapatkan fail tugasanku itu.
“Teruknya aku pada ketika itu. Rasa macam pentingkan diri pulak aku ni.
Penghargaan pun tak aku berikan kepadanya,” hatiku berbicara. Walaupun dia
tidak menyatakan kekesalannya dalam diarinya, itu tidak boleh menggugurkan adab
seorang manusia sepertiku untuk sekurang-kurangnya menghargai bantuannya itu.
Pendedahan Haris itu juga membuatkan aku berfikir adakah aku
telah mengambil kesempatan ke atasnya? Aku sememangnya tidak berniat untuk
berbuat begitu kepadanya, tetapi aku risau aku mungkin mengambil kesempatan ke
atasnya secara tidak sengaja dengan langsung tidak menghargai bantuannya. Sebab
itulah pernah aku katakan kepadanya bahawa dia terlalu baik, takut nanti orang
pijak ‘kepala’ dia. Setelah mengetahui kisah silamnya, aku tertanya-tanya
adakah salah aku berkata demikian kepadanya?
23 Disember 2015:
Wahai diariku, di mana-mana pun kita pergi, pasti ada saja
cabaran yang akan menimpa. Demikianlah aku. Jika di rumah, aku bagaikan seorang
anak kecil yang seolah-olah tidak dapat membantu diri sendiri, apatah lagi
rumah dan keluarga. Tetapi, aku tidak sekali-kali menafikan bahawa keluarga
itulah yang sekian lama membesarkan aku. Aku bertekad untuk membetulkan
keadaanku di rumah dengan cara yang sepatutnya. Kalaulah mereka tidak
bersetuuju pun, sekurang-kurangnya mereka faham apa yang aku rasa.
Di universiti pula, cabarannya tidak serupa. Aku suka dengan
diriku yang sekarang, gemar membantu orang lain, suka melihat senyuman yang
terukir di bibir, dan tidak ketinggalan suara-suara riang mereka yang berjaya
aku bantu, sama ada bantuan secara rahsia atau terbuka. Namun, perasaanku
sedikit terganggu.
“Aku rasa, kau/awak/kamu ni baik sangat. Takut nanti orang
ambil kesempatan pulak nanti.” Demikianlah antara bunyi kata-kata yang pernah
aku terima. Aku tidak tahu respon yang paling sesuai terhadap perkara itu. Aku
tidak menafikan kebenaran kata-kata itu. Tapi, seperti yang telah aku catatkan,
aku ada sebab aku sendiri untuk berbuat demikian. Mereka tidak menyiasat
sebelum mengeluarkan kenyataan mereka itu. Tidak, barangkali ayat tadi terlalu
kasar. Mungkin mereka tidak berniat pun untuk menekanku, tapi nasihat itu datang
dari hati yang ikhlas. Wahai diariku, jauh di sudut hatiku, ada seorang yang
aku kenal yang aku agak pasti dapat memahami keadaanku jika aku betul-betul
menerangkan. Maafkan aku, aku tidak mahu menyebutkan namanya di sini. Seperti
juga dengan keluargaku, aku berniat untuk memahamkan mereka dengan keadaanku.
Kalau pun bukan semua faham, sekurang-kurangnya biarlah yang seorang itu faham.
Catatan tamat.
Catatan tamat.
***
Fikiranku ligat berputar, menghadam segala isi catatannya
itu. Baru tadi, aku memikirkan tentang perihal dia yang ‘terlalu baik’ itu.
Tidak mampu aku menipu diri sendiri, memang aku antara yang mengeluarkan
kenyataan itu. “Aku tidak menyyiasat ya? Dia sendiri yang tidak mahu berkongsi.
Takkanlah aku sibuk-sibuk nak jaga tepi kain dia. Lagipun, memang betullah apa
yang aku katakan itu, dunia ini banyak pengambil kesempatan.” Ligat sungguh
hatiku mencabar kenyataannya, memamah simpati yang tadinya mengisi ruang hatiku.
31 Disember 2016:
Wahai diariku, hari ini sama-sama kita melangkah ke hari
akhir tahun 2015. Tetapi, hari ini, perasaan bercelaru. Aku bakal menduduki
peperiksaan pertama pada 2 Januari tahun hadapan. Namun, dengan takdir Tuhan,
fail keras yang berisi nota subjek berkenaan telah lesap dicuri orang. Adakah ini
yang disifatkan sebagai diambil kesempatan, seperti yang mereka katakan itu. Dalam
hal ini, Insya Allah aku akan terus dengan pegangan bahawa ‘berbuat baik itu
tidak rugi’. Tidak, kehilangan itu bukan kerana aku ‘terlalu baik’, kerana
orang lain pun pernah hilang barang juga. Haha, sempat pula aku tertawa seperti
ini. Konsep ‘setiap kejadian itu ada hikmah’ selalu menjadi penenang jiwaku
sejak dahulu. Tapikan, aku nak kongsikan satu rahsia yang ada dalam hatiku.
Kalau boleh aku pilih untuk diambil nota atau diambil fail, aku lebih rela
diambil nota kerana aku sangat menghargai fail itu. Tidak mengapa, cepat atau
lambat…
***
“Kenapa dengan aku ni? Dia melihat ujian yang menimpanya itu
dengan minda yang lebih terbuka daripadaku, sedangkan itu melibatkan
peperiksaannya. Tidak patut aku berfikir tentangnya seperti mana aku lakukan
sebentar tadi,” akhirnya hatiku mengakui kesilapanku sebentar tadi. Selepas
membaca catatan ini, jawapan demi jawapan mula menimbulkan kesedaran dalam
diriku. Pernah Haris mengaku kepadaku bahawa dia memang sukar mengungkapkan
suara hatinya kepada orang lain. Katanya lagi, dia lebih selesa melakukannya
dalam bentuk tulisan. Hmm, patutlah selama ini aku tidak memahami keadaannya. Aku
juga cukup ingat dengan fail itu, kerana akulah yang memberikannya kepadanya. Aku
ingat peristiwa notanya berterabur di atas lantai dewan kuliah ketika kuliah
sedang berlangsung. Ketika itu, semua notanya disusun di atas meja kecil yang
bersambung dengan kerusi di auditorium itu. Sebab itulah aku menghadiahkan fail
itu kepadanya. Tidak pernah kusangka pemberian sekecil itu sangat-sangat dia
hargai. Siapalah yang tergamak mencurinya daripada Haris. Sedikit rasa marah bersarang di hatiku. Memang Aku sedia maklum
bahawa dia gemar meminjamkan notanya kepada orang lain untuk disalin.
Nampaknya, salah seorang yang tidak diketahui siapa daripada mereka itu telah menggunakan
jalan mudah dengan mengambilnya terus. Dalam banyak-banyak pendedahan, inilah
yang membuatkanku sangat sebak, sehingga mengeluarkan air mata. “bukan semua
orang itu diciptakan serupa.” Kata-kata seorang ustaz singgah dalam ingatanku.
Mengapalah aku terlalu jahil, menyangka semua orang itu mudah sangat meluahkan
isi hati sepertiku. “Wahai Haris, maafkanlah aku.”
Seperti sebelum ini, tanganku mula memegang kertas pada
diari itu untuk dialhikan ke halaman seterusnya. Halaman kosong, halaman
kosong, halaman kosong... Tiada lagi catatan seterusnya yang aku temui. Lalu
aku mencari kembali catatan hari terakhirnya. Bila diteliti, dapat kurasai
sesuatu yang lain dengan catatan kali ini. Ayat ‘catatan tamat’ tidak pun aku
temui, dan frasa ‘cepat atau lambat’ seperti tergantung. Barangkali dia masih
hendak menyambung penulisannya itu kemudian, tetapi tidak kesampaian.
“Abang Haris kemalangan 31 Disember,” tanpa dipinta, dialog dengan
Ain semasa dia menyerahkan diari Haris kepadaku menjawab persoalanku. Memang
tepatlah andaianku kalau begitu. Apalah yang cuba hendak dia sampaikan?,
fikirku. Bila aku menyedari kenyataan bahawa selama-lamanya pun tiada sesiapa
yang akan tahu apa yang terbuku di hatinya, rasa pilu di hatiku semakin
bertimpa-timpa.
“Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku kerana bersalah sangka
kepada Haris. Rahmatilah dia. Andai hajatnya supaya seorang yang tidak disebut
nama itu boleh memahami keadaannya, biarlah aku menjadi seorang yang faham, walaupun aku sebenarnya tidak tahu adakah aku orangnya. Dan
andai hajatnya supaya keluarganya juga memahaminya, barangkali ada perkara yang
boleh aku lakukan untuknya” doaku untuk menenangkan hatiku.
***
“Akak fikir, ada baiknya akak pulangkan buku ini kat Ain.
Yang lebih penting, jangan lupa baca,” kataku kepada Ain. Sengaja aku
menggunakan perkataan ‘buku’. Biarlah Ain sendiri yang mencari jawapan daripada
diari itu.
“Bukan ke ini buku akak,”
“Bukan, Ain akan faham lepas baca,”
Seperti mana aku berat hati untuk menerima buku yang
dihulurkan oleh Ain, begitulah keadaan Ain sekarang. Sempat aku lihat anggukan
kepalanya, tanda memahami apa yang aku katakan. Kelihatan Ain perlahan-lahan mula menyelak halaman buku itu.
Wednesday, December 23, 2015
Cerpen: Meja Tak Berpenduduk
Duduk aku seorang diri, menghadap sebuah meja bulat di ruang
berbumbung itu sambal memerhati sekeliling. Meja-meja bulat kelihatan
diletakkan di seluruh ruang kedai makan itu. Sedikit ruang yang cukup untuk
sepasang kaki melangkah dibiarkan kosong untuk memudahkan keluar masuk insan.
Terdetik di hati kecilku, mengapa hanya ada meja bulat di situ? Adakah meja
segi empat telah menjadi mangsa diskriminasi? Tersenyum aku seorang diri mengenangkan
perkara itu. Setahuku, manusia golongan minority sahaja yang giat mengadu didiskriminasi
fikiran-fikiran berautoriti, yang tidak lain juga insan yang berjalan atas dua
kaki di muka bumi ini.
“Nasi goring Cina siap!” Laung satu suara yang sudah biasa
aku dengar. Inilah rutinnya pekerja di kedai makan sebegini. Aku hanya
tersenyum sahaja, sambal menatap pinggan di hadapanku, yang masih terdapat dua
potong mentimun. Memang menjadi kebiasaanku, kalau dah selesai makan seorang
diri, aku akan duduk beberapa lama lagi di situ, menghayati suasana sejuk di
malam hari sehingga aku berpuas hati. Tiada orang yang perlu tertunggu-tungguku.
Suasana itu amat menyenangkan diriku.
“Kenapalah tak ada orang yang nak duduk sini?” satu suara
yang tidak kusangka singgah di telingaku. Suara itu tidak kusangka kerana
sungguh asing bagiku. Lalu Kupandang ke kanan, tetapi tiada orang di situ, sedangkan
suara tadi datang dari arah itu. “Buruk sangatkah aku? Bukankah aku seperti kamu
juga, bulat sama bulat, tinggi sama tinggi? Apa lagi yang membezakan kita?”
Suara itu berkata lagi.
Air mukaku mula berubah, tetapi aku cuba menarik nafas
perlahan-lahan, menenangkan diri yang mula ada rasa ketakutan. Ingin saja aku
bangun dan terus beredar dari situ. Tetapi, sebahagian daripada hatiku ingin pula
tahu siapa pemilik suara asing itu? “Boleh tak jangan merungut lagi. Bising je
aku dengar.” Satu suara lain pula singgah di telingaku, kali ini suara itu
datang dari arah yang lebih jauh. Bila ku pandang kea arah itu, kulihat ada
seorang pelanggan di situ. Tetapi, aku yakin bukan dia yang bersuara. Dia tidak
memegang telefon, dan tiada pula orang lain di situ. Lalu, satu kesimpulan
muncul dalam kepalaku. Bahawasanya, dua suara itu adalah kepunyaan dua buah
meja yang terletak sebelah-menyebelah.
“Kamu bolehlah cakap banyak. Sekurang-kurangnya, ada seorang
insan yang duduk di hadapan kamu. Tertunai juga peranan kamu sebagai sebuah
meja makan.” Suara yang mula-mula tadi membalas, tidak berpuas hati. Bertambah
yakinlah aku bahawa andaianku itu tepat. Tiba-tiba saja singgah dua nama untuk
meja berkenaan dalam kepalaku. Suara pertama itu aku gelarkan Meja Tak
Berpenduduk, dan yang satu lagi ialah Meja Satu Penduduk. “Ketahuilah kamu bahawa
tak ada orang duduk itu juga satu ni’mat,” sahut Meja Satu Penduduk, suaranya
tenang. Kuperhatikan insan di hadapan meja Satu Penduduk, hanya meneruskan
makan seperti biasa. Terdetik satu kesedaran di fikiranku, dialah yang memesan
nasi goring cina tadi. Aku hanya tersenyum sendirian. Hmm, barangkali hanya aku
yang mendengar perbualan yang sedang berlangsung ini.
“Sudahlah, itu hanya ayat biasa yang digunakan oleh manusia
berautoriti untuk memujuk minoriti. Aku dah selalu dengar ayat-ayat macam ni sejak
hari pertama aku di sini,” ujar Meja Tak Berpenduduk. Aku tekun mendengar,
ingin tahu apa kesudahan kepada semua ini. Aku tidak pula takut sebarang bahaya
yang akan menimpa, kerana yang bertengkar itu hanyalah dua buah meja makan.
Kalaulah dua manusia yang bertengkar, barangkali boleh mengakibatkan pertumpahan
darah, bila tangan-tangan amarah mula mengambil alih kewarasan. “Dari satu
sudut, aku setuju dengan kamu. Memang benar insan-insan yang kamu maksudkan itu
suka guna ayat macam ni. Tapi, apa yang aku kata tadi tu ikhlas dari hatiku,”
kata Meja Satu Penduduk, masih tidak berputus asa meyakinkan rakan sefungsinya.
Aku tidak tahu apa reaksi Meja Tak Berpenduduk kerana tiada
ekspresi yang dapat kuperhatikan. Kalau dua manusia yang berbicara, air muka mampu
memberitahu perasaannya. Tetapi, ini hanya meja yang pegun, tiada apa-apa
perubahan pada warnna atau bentuknya. Yang kedengaran hanyalah suara sahaja. Peristiwa
malam ini memang sangat unik bagiku. Tidak kudengar sebarang suara dari Meja Tak
Berpenduduk. Mungkinkah meja itu sudah tertidur? Apalah aku ini, selalu membayangkan
perkara-perkara yang membuatkanku tersenyum sendirian. Nanti apa pula kata
orang yang melihatku dari jauh.
“Kalau tak perccaya, lihatlah padaku ini. Ada nasi dan
sedikit air tertumpah di atasku. Bila ada insan yang duduk makan, ada risiko makanan
atau minuman tertumpah ke atasku. Rasanya sungguh tidak selesa. Makanan manis, masam,
masin, dan entah apa lagi. Kenalah tunggu sampai dilap, barulah aku selesa
kembali. Kalau lambat dilap, sang semut pula yang datang. Berbeza dengan keadaan
kamu, wahai sahabatku. Inilah yang cuba aku maksudkan.” Meja Satu Penduduk menyambung
kata-katanya, apabila mendapati rakannya tidak menjawab. “Kamu dengar taka pa yang
cuba aku sampaikan?” tanyanya lagi.
Sekali lagi aku menyedari sesuatu. Rupanya, Meja Satu
Penduduk pun tak tahu sama ada rakannya mendengar atau tidak. Maknanya, lebih
wajar lagilah aku tidak tahu sebab aku bukannya meja. “Aku dengar, wahai sahabatku.
Aku tidak menjawab kerana sedang tekun memikirkan kata-kata kamu itu. Sungguh,
memang betul kata kamu. Aku perlu lebih bersyukur. Setiap keadaan yang
ditetapkan pasti ada hikmahnya. Soal bahawa itu kata-kata manis daripada insan
berautoriti itu soal lain. Cuma, tidak seharusnya insan berautoriti tidak wajar
menggunakan ayat itu untuk lari dari tanggungjawab mereka untuk membela nasib minority.”
Akhirnya, Meja Tak Berpenduduk menjawab juga kata-kata rakannya.
“Bagus, aku bersyukur sebab kamu dah faham. Aku gembira,”
balas Meja Satu Penduduk. Gembira atau tidak sebuah meja, tetap seperti itu dan
di situlah kedudukannya, fikirku. Kalau insan yang bergembira, sudah ada yang
melompat-lompat, atau sekurang-kurangnya mengukirkan senyuman lebar dan manis. “Betul
tu, aku betul-betul perlu banyak bersyukur. Terima kasih atas nasihat dan
peringatan.” Akhirnya aku bersuara, setelah berdiam dari tadi. Kemudian, aku
mencapai potongan mentimun yang masih berada di dalam pinggan dan memakannya.
Orang kata, kata-kata perlu disusuli dengan perbuatan, barulah lengkap,
fikirku. “Aku hanya seorang insan yang cuba sedaya upaya untuk bersyukur dengan
apa yang ada. Ya Tuhanku, Izinkanlah aku menjadikan mentimun yang kurang kusuka
ini sebagai satu permulaan,”
“AsSalatu khairu minan naum”
“AsSalatu khairu minan naum”
Subscribe to:
Posts (Atom)