Friday, January 13, 2012

Menghadiri Majlis Pelancaran Skim Amanah Rakyat 1Malaysia

Pada 12 Januari 2012 (semalam), seramai 76 orang pelajar pra universiti 2 (tingkatan 6 atas) dan beberapa orang guru pengiring Sekolah Tinggi Muar termasuk saya telah menghadiri Majlis Pelancaran Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Sekolah  Tinggi Muar merupakan salah sebuah sekolah daripada  5 sekolah di daerah Muar yang terpilih untuk menghadiri majlis tersebut.

Kami telah bertolak dari sekolah pada pukul 9.30 pagi dengan menaiki dua buah bas. Perjalanan ke destinasi mengambil masa selama lebih kurang 3 jam.

Pada pukul 12.30 tengah hari, kami tiba di PWTC. Sebelum bergerak ke Dewan Merdeka, guru-guru telah mencadangkan supaya kami menjamu selera terlebih dahulu.Pada pukul 2.00 petang, kami sudah mengambil tempat duduk di dalam Dewan Merdeka. Kedengaran lagu-lagu berkumandangan untuk menghiburkan para tetamu. Saya diberitahu bahawa lagu-lagu tersebut dimainkan oleh sebuah kumpulan band. Menurut pengacara majlis, kumpulan band tersebut adalah daripada Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada pukul 3.15 petang, pengacara majlis mengumumkan ketibaan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku. Seterusnya, majlis diikuti dengan bacaan doa yang diketuai oleh imam Masjid Negara, Ustaz Azhar Tuarno. Selesai bacaan doa, majlis menjemput Tuan Ahmad Sarji, pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk menyampaikan ucapan alu-aluan.

Kemudian, majlis diteruskan dengan penyampaian ucapan perasmian oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Dalam ucapan tersebut, beliau telah menerangkan objektif SARA 1Malaysia yang bertujuan membantu golongan berpendapatan negara. Selain itu, beliau juga menyentuh syarat-syarat untuk memohon skim ini. Antara syaratnya ialah skim ini disasarkan kepada golongan berpendapatan kurang ddaripada RM3000. Nilai pembelian adalah sebanyak RM5000. Dalam setiap bulan, pemohon akan dibayar RM134 sebulan. Bagi mereka yang tidak mempunyai simpanan wang yang cukup, mereka boleh meminjam dengan institusi kewangan. Bagi mereka yang meminjam, bayaran yang diterima adalah sebanyak RM50, iaitu selepas pembayaran pinjaman berjumlah RM84 sebulan.

Ucapan tersebut mengambil masa selama 15 minit. Sebagai tanda pelancaran, perdana menteri, diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri telah meletakkan logo 1Malaysia pada plag pelancaran. Kemudian, majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata oleh Tun Ahmad Sarji kepada Perdana Menteri.

Majlis berakhir pada pukul 4.00 petang. Namun demikian, kami hanya meninggalkan destinasi majlis untuk bertolak kembali ke sekolah pada pukul 5.50 petang kerana menunggu ketibaan bas.Perjalanan pulang mengambil masa yang lebih lama kerana bas telah berhenti beberapa kali untuk memberi ruang kepada mereka yang beragama Islam untuk menunaikan solat dan sesiapa yang mahu menjamu selera.

Kami tiba semula di sekolah hampir pukul 10.00 malam.

Maaf kerana tidak memuat naik gambar dalam catatan ini.

No comments:

Post a Comment

Followers