Friday, July 27, 2012

Ilmu Itu Kuasa VS Ilmu Itu Kelebihan

Dalam kehidupan ini, kita sememangnya tidak dapat menafikan kepentingan ilmu sebagai satu unsur yang telah menyumbang kemajuan hidup dari pelbagai aspek. Oleh sebab itu, kita sentiasa digalakkan untuk menimba ilmu pada sepanjang masa. Kita tidak sepatutnya menganggap bahawa proses mencari ilmu hanya berlaku di sekolah-sekolah atau di institusi pengajian tinggi, malahan ilmu sebenarnya terdapat di mana-mana. Misalnya, masyarakat Melayu banyak menjadikan keadaan sekeliling sebagai sumber pengetahuan dan pengalaman. Hal ini dapat dilihat daripada peribahasa yang digubah berdasarkan alam. Antaranya termasuklah "seperti aur dengan tebing" dan "jadilah seperti resmi padi, makin berisi makin tunduk" (sekadar menyatakan beberapa contoh). Hal ini menunjukkan masyarakat menjadikan kejadian di sekeliling mereka sebagai panduan untuk membentuk peribadi yang mulia.

Dalam hal ini, terdapat banyak tujuan yang menjadi galakan kepada seseorang untuk menimba ilmu. Ada golongan yang menganggap menuntut ilmu itu penting kerana ilmu dianggap sebagai kuasa (power). Bagi golongan ini, mereka akan berusaha untuk mendapatkan seberapa banyak ilmu dalam pelbagai bidang untuk melaksanakan cita-cita mereka. Keadaan ini menjadikan risiko penyalahgunaan ilmu meningkat. Hal ini kerana pemilik ilmu dari golongan ini mungkin menganggap bahawa mereka boleh melakukan apa yang dikehendakinya dengan ilmu itu tanpa memikirkan kesannya. Mungkin juga mereka terlupa bahawa ilmu sepatutnya digunakan untuk kebaikan kehidupan sejagat dan bukannya digunakan untuk tujuan penindasan kerana ilmu hanya dianggap sebagai kuasa.

Dalam pada itu, terdapat juga golongan yang memandang ilmu sebagai suatu kelebihan (virtue). Golongan ini juga berhasrat untuk menimba ilmu dengan sebanyaknya. Berbeza daripada golongan sebelumnya, golongan ini menimba ilmu untuk mendapatkan kelebihan daripada ilmu yang dimilikinya. Sehubungan dengan itu, golongan ini mempunyai kesedaran untuk menggunakan ilmu yang diperoleh untuk kebaikan semua pihak termasuklah memajukan tamadun manusia dan memelihara alam. Dengan ilmu yang ada, mereka akan berusaha untuk menyebarkan ilmu tersebut kepada orang lain kerana mereka tahu bahawa ilmu bukanlah hak mutlak seseorang, tetapi adalah hak milik bersama-sama.

Berdasarkan penerangan di atas, sememangnya terdapat pelbagai tujuan bagi seseorang untuk menimba ilmu. Kita juga dapat melihat bahawa tujuan menimba ilmu itu ditentukan oleh pegangan dan anggapan masing-masing terhadap ilmu itu sendiri. Sebaiknya, kita harus memastikan bahawa tujuan kita menimba ilmu adalah baik dan tidak mendatangkan kemudaratan.

Segala perkongsian ini hanya sekadar pandangan peribadi.

Pesanan buat diri, manfaat buat generasi!

No comments:

Post a Comment

Followers