Wednesday, February 09, 2011

Peringatan

Sebentar tadi, tatkala saya mengunjungi blog Cikgu Zakaria, saya telah membaca satu posting terbaru di dalamnya. Saya berasa sungguh terkejut apabila mengetahui akaun e-mailnya telah dihack oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Selepas saya meneliti kandungan e-mail yang ditulis dalam posting itu, saya segera teringat bahawa saya turut menerima e-mail yang serupa. Namun, sebelum saya membaca posting tersebut, saya tidaklah syak apa-apa yang buruk walaupun nama dan alamat e-mail itu serupa dengan yang dimiliki oleh Cikgu Zakaria. Pada sangkaan saya, mungkin saya sahaja yang menerima e-mail tersebut. Lagipun, cara penulisannya juga jauh berbeza berdasarkan pengalaman saya yang pernah beberapa kali menerima e-mail daripadanya.

Seperti yang tertulis dalam posting tersebut, antara lain kandungan e-mail tersebut mengatakan bahawa Cikgu Zakaria sedang berada di Scotland untuk menghadiri satu seminar dan memerlukan pinjaman wang setelah barang-barang miliknya dikatakan dirompak.

Bercerita mengenai perkara ini, saya juga banyak menerima e-mail sebegini daripada orang-orang yang tidak dikenali. Rata-ratanya, kesemuanya meminta bantuan kewangan dan wang tersebut diminta untuk dimasukkan ke dalam akaun yang dinyatakan. Tidak kurang juga yang meminta nombor akaun daripada saya supaya sejumlah wang tertentu boleh dimasukkan ke dalam akaun tersebut. Namun, kesemuanya tidak saya hiraukan kerana orang-orang tersebut tidak saya kenali.

Saya tidak menyangka hacker sebegini sanggup melakukan perkara seperti ini untuk kepentingan mereka. Jika bukan pemilik e-mail yang meminta bantuan kewangan seperti ini, siapalah lagi? Sudah tentulah hacker tersebut yang ingin mengambil kesempatan dengan cara menghantar e-mail kepada ramai penerima dengan harapan 1 atau 2 daripada mereka akan memberikan bantuan atas dasar kenalan.

Selain e-mail, saya pernah juga membaca tentang penipuan menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan tambah nilai prabayar. Kandungan SMS tersebut menggambarkan penghantar SMS berada dalam kecemasan dan memerlukan tambah nilai dengan segera. Untuk meyakinkan penerima, SMS sedemikian menggunakan ganti nama orang yang dikenali oleh penerima seperti ayah dan sebagainya dengan memberi alasan bahawa sudah bertukar nombor.

Demikianlah antara taktik yang digunakan untuk memperdayakan orang lain dan mengambil kesempatan ke atas mereka. janganlah sekali-kali memenuhi permintaan yang dirasakan mencurigakan daripada orang yang tidak dikenali sama ada e-mail, SMS atau alat perhubungan lain bagi mengelakkan sebarang perkara buruk berlaku. Jika mesej tersebut datangnya daripada orang yang dikenali, janganlah bertindak terburu-buru. Sebaik-baiknya, hubungilah kenalan tersebut terlebih dahulu bagi mendapat kepastian sebelum membuat tindakan sewajarnya.

Dengan pendedahan sebegini, saya berharap kita dapat menjadikannya sebagai pengajaran agar kita lebih berhati-hati dengan perkara sebegini pada masa hadapan.

Thursday, December 23, 2010

Mari Berkunjung Ke Blog Mahasiswi SMPK Setapak

Mungkin sudah terlewat bagi saya untuk memperkenalkan blog ini. Tetapi, bukankah lebih baik lewat daripada tiada? Atas sebab itu, Di sini, saya ingin memperkenalkan satu lagi blog yang dikendalikan oleh seorang bekas pelajar SMPK Setapak, iaitu saudari Norhayu Sapri yang kini bergelar mahasiswi di UITM Melaka.

Semasa bersekolah di SMPK Setapak, beliau merupakan pelajar yang cemerlang dalam pelajaran. Selain itu, keperibadian dan tingkah lakunya yang baik telah melayakkannya untuk dipilih sebagai Ketua Pengawas Sekolah. Beliau juga sangat disegani oleh guru-guru dan rakan-rakannya atas sebab ini. Di akhir zaman persekolahannya di SMPK Setapak, beliau telah berjaya memperoleh keputusan SPM yang cemerlang.

Bagi sesiapa yang ingin mengunjungi blognya, alamat blognya ialah:
www.gadissepi.blogspot.com.
Anda boleh klik pada pautan di atas untuk sampai ke blog tersebut atau klik pada "Norhayu Sapri" di ruangan "Blog Sahabat Dan Guru". Bagi pengguna JAWS pula, anda boleh tekan "H" sehingga sampai di heading untuk "blog Sahabat Dan Guru". Seterusnya, tekan down arrow dan kemudian enter pada "Norhayu Sapri".

Selamat datang ke dunia siber saya ucapkan kepada Saudari Norhayu Sapri! Semoga anda memanfaatkan dunia siber ke arah kebaikan.

Terima Kasih SMPK Setapak Dan Semua Warganya

Sekolah Menengah Pendidikan Khas, Setapak. Demikianlah nama sekolah yang telah menjadi tempat saya menimba ilmu selama lima tahun. Bermula dari tingkatan 1, iaitu pada tahun 2006, saya telah melangkah dari alam sekolah rendah ke alam sekolah menengah. Sepanjang berada di sana, pastinya terdapat banyak kenangan yang sukar untuk saya lupakan, sama ada yang pahit mahupun yang manis.

Kini pada penghujung tahun 2010, sudah sampai masanya untuk saya meninggalkan sekolah yang banyak berjasa itu. Dengan berakhirnya peperiksaan SPM pada 20 Disember 2010, berakhirlah status saya sebagai pelajar di sekolah itu. Yang hanya tinggal untuk saya oleh sekolah itu hanyalah seribu satu kenangan, segala ilmu pengetahuan yang saya perolehi, dan jasa serta pengorbanan daripada semua warganya.

Dengan menggunakan ruang internet yang diperuntukkan kepada saya ini, saya, sebagai wakil kepada semua pelajar tingkatan 5 tahun 2010 ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua warga SMPK Setapak yang telah banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit bagi memastikan kami memperoleh yang terbaik sepanjang kami berada di sana. Pertama sekali, setinggi-tinggi penghargaan kami rakamkan buat semua guru yang telah berusaha sedaya upaya untuk menyalurkan ilmu pengetahuan kepada kami dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai perantaraan dalam menyalurkan ilmu dari Tuhan.

Seterusnya, kami juga amat berterima kasih kepada semua staf sokongan yang telah banyak menghulurkan bantuan kepada kami dan guru-guru bagi melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran di samping menjayakan program-program yang dijalankan sepanjang tahun. Akhir sekali, ucapan terima kasih ini kami tujukan kepada semua warga SMPK Setapak yang telah memberikan segala bentuk bantuan atau pertolongan, sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk kemudahan kami.

Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan kalian adalah amat besar dan tidak mungkin akan terungkap dengan tulisan ini. Namun, semua itu akan kekal mekar dalam ingatan kami sebagai koleksi kenangan yang indah. Sebelum mengakhiri tulisan ini, kami ingin memohon maaf dari hujung rambut ke hujung kaki andai kami ada tersalah perlakuan, terkasar bahasa dan seumpamanya. Kepada guru-guru, kami mohon supaya halalkanlah segala bentuk ilmu pengetahuan yang kalian curahkan kepada kami agar ilmu tersebut berkat buat kami untuk dimanfaatkan hingga ke akhir hayat.

Sebagai mengakhiri tulisan ini, izinkanlah saya menyampaikan serangkap pantun:

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kami menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita bertemu lagi.

Saturday, November 20, 2010

Catatan Pada Jadual SPM

Selasa, 23 November 2010
Tarikh pertama ujian bertulis
Bermulalah perjuangan mencari masa depan
Demi hidup yang lebih terjamin
Agar hidup terbela akan bermakna.

“Adakah kertas putih ini
Dikatakan tercatat perjuangan masa depan?
Adakah dakwat hitam dan titik braille ini
Menjadikan catatan ini lengkap?
Adakah Helaian ini
Wajib dipatuhi demi kecemerlangan?”

Jika ujian ini menentukan segalanya
Hancurlah masa depan mereka
Mereka-mereka yang terlantar koma
Mereka-mereka yang tak mampu menghadirinya
Biarpun sebenarnya
Ilmu sudah penuh di dada
Dengan usaha yang tanpa mengenal jemu.

Isnin, 20 Disember 2010
Berakhirlah perjuangnn memburu masa depan
Tidak kira setebal mana penyesalan
Dan oleh itu
Jagalah diri sebaiknya
Demi mematuhi catatan itu
Supaya pohon-pohon kecemerlangan mampu berbuah.

(Sajak ini hanya sekadar ditulis untuk mengisi masa lapang dan sebagai renungan pembaca. Terpulanglah kepada anda untuk mentafsirmya.)

Sunday, August 01, 2010

Seorang Lagi Blogger SMPK

Pada kali ini, saya ingin memperkenalkan seorang lagi blogger SMPK yang baru sahaja mewujudkan blognya. Beliau ialah Low Kian Tat yang merupakan rakan setingkatan saya di sekolah, iaitu tingkatan 5.

Di sekolah, beliau merupakan seorang pengawas perpustakaan. Selain itu, perwatakannya yang periang dan senang menghulurkan bantuan ketika diperlukan membuatkan beliau disenangi oleh rakan-rakannya.

Saya sempat mengunjungi blognya dan mendapati sudah ada perkara yang disampaikan olehnya. Beliau telah menceritakan serba sedikit mengenai dirinya yang telah hilang penglihatan sepenuhnya akibat jangkitan kuman pada matanya. Menurutnya lagi, rakan-rakannya tidak membezakan dirinya yang memiliki sedikit penglihatan pada masa dulu dan dirinya yang hilang penglihatan sekarang. Bagi saya, tentu beliau berasa beruntung mendapat sahabat yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

Untuk mendalami apa yang ingin disampaikan oleh beliau, saya mencadangkan supaya anda mengunjungi blognya. Alamat blognya ialah:
. Anda juga boleh mengunjungi blognya dengan klik pada pautan “Night Angel” yang terdapat di ruangan Blog Pilihan pada bahagian bawah halaman blog ini.

Kepada Low Kian Tat, saya mengucapkan selamat datang ke dunia ICT yang tiada sempadan ini. Semoga anda dapat memanfaatkan blog anda ke arah perkara yang membawa kebaikan.

Friday, July 23, 2010

Menghadiri Program Eksplorasi Sejarah MTD 2010

Pada 22 Julai 2010 (Khamis), 4 pelajar dari sekolah saya termasuk saya dan seorang guru pengiring telah menghadiri Program Eksplorasi Sejarah MTD (Maktab Tentera Diraja) 2010 di Dewan Tun Templer, MtD. Tujuan pelaksanan program ini adalah untuk mendedahkan cara-cara belajar sejarah yang efektif di samping menerangkan teknik menjawab soalan untuk SPM.

Kami telah bertolak dari sekolah pada jam seawal 6.45 pagi dan tiba pada jam 7.30 pagi di Dewan Pendekar, Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM). Setelah kami masuk ke dalam dewan yang dilengkapi dengan pendingin hawa itu dan mendapatkan tempat duduk, kami dapati sudah ada 4 putera MTD (pelajar) yang sedang menunggu kedatangan kami. Pada mulanya, kami bersalaman dan berkenalan dengan mereka. Tidak lama kemudian, barulah saya diberitahu oleh salah seorang daripada putera MTD tersebut bahawa kami sedang berada di Dewan UPNM dan bukannya Dewan Tun Templer. Hal ini kerana Dewan Tun Templer sedang dibaik pulih mulai minggu lepas. Saya rasa, kalau mereka tak beritahu, tentu saya tak mengetahui hal ini sampai bila-bila memandangkan penglihatan saya yang terhad ini kurang membolehkan saya untuk menyedari hal ini. Terima kasih saya ucapkan!

Tidak lama kemudian, program pun dimulakan dengan ceramah daripada seorang guru Sejarah MTD tentang kaedah belajar dan cara membuat nota efektif untuk Sejarah. Saya mendengar dengan teliti apa yang disampaikan. Selepas itu, aktiviti diteruskan lagi dengan ceramah daripada seorang guru Sejarah. Kali ini, fokus lebih diberikan terhadap teknik menjawab Sejarah SPM dan diselitkan juga topik dan subtopik penting Sejarah untuk SPM 2010. Saya menyukai cara penyampaian ceramah guru ini kerana disampaikan dengan penuh semangat, seakan-akan guru itu yang bakal menduduki SPM tahun ini walaupun ada kalanya, suaranya terlalu kuat sehingga menyakitkan telingga.

Selesai sahaja ceramah tersebut, kami diberitahu bahawa kaedah perbincangan 1 + 1 akan digunakan bagi meneruskan program di mana seorang putera MTD akan menjadi tutor kepada seorang peserta program. Tajuk-tajuk yang diberi perhatian pada program kali ini ialah daripada bab tingkatan 5. Melalui penerangan yang diberikan, saya dapati bahawa putera-putera MTD mampu mengingati fakta-fakta sejarah dengan baik. Menurut mereka, kaedah berbentuk akronim dan peta minda banyak membantu mereka mengingati sesuatu fakta sejarah. Ada juga antara pelajar MTD yang menggabungkan fakta sejarah untuk membentuk cerita.

Pada lebih kurang jam 2.10 petang, iaitu selepas beberapa jam pelajar MTD berkongsi ilmu dengan kami, acara penutupan pun dimulakan. Sekali lagi guru sejarah kedua yang memberi ceramah itu menekankan topik penting untuk SPM tahun ini. Selain itu, beliau juga ada menyentuh tentang kata tugas dalam soalan esei seperti “nyatakan”, “terangkan” dan “senaraikan”. Melalui penerangannya itu, saya kini lebih memahami cara menjawab soalan esei dengan betul. Pada jam 2.30 petang, program pun tamat dan semua peserta termasuk kami pun bersurai. Sebelum itu, kami sempat bersalaman dengan rakan baru kami pada hari itu.

Secara keseluruhannya, saya berasa gembira dan beruntung kerana dipilih untuk menghadiri program ini. Hal ini kerana banyak ilmu baru yang dapat saya perolehi di samping dapat menambah kenalan. Namun, seperti kata salah seorang guru MTD, tidak ada gunanya jika hanya 4 orang dari setiap sekolah yang dipilih ini yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sejarah sedangkan keseluruhan pelajar tingkatan 5 yang akan menduduki SPM adalah jauh lebih ramai daripada itu. Maksudnya ialah mereka yang dipilih untuk program kali ini perlu berkongsi ilmu baru yang diperolehi ini dengan mereka yang tidak dipilih supaya peratus kecermelangan keputusan Sejarah SPM tahun ini dapat ditingkatkan. Saya akan berusaha untuk berkongsi apa yang saya perolehi dengan mereka yang tidak menghadiri program ini supaya dapat sama-sama berjaya.

Sebelum saya mengakhiri Posting ini, saya ingin berkongsi tentang satu blog yang saya perolehi alamatnya semasa mengikuti program ini. Blog ini mengandungi pelbagai bahan berkaitan sejarah seperti soalan topikal dan fokus penting SPM 2010. Walaupun saya sendiri belum lagi menerokai kandungan blog itu sepenuhnya, saya percaya blog ini sangat membantu berdasarkan komen-komen yang sempat saya baca. Saya sangat mengalu-alukan kunjungan ke blog ini khususnya kepada pelajar SPM di sekolah saya mahupun pelajar SPM di seluruh negara. Alamat blog tersebut ialah:
. Sesiapa yang ingin mengunjungi blog ini boleh berbuat demikian sama ada dengan klik “link” di atas atau mencari link “Blog Sejarah Cemerlang” pada ruangan “Blog Pilihan” dalam blog saya.

Selamat maju jaya rakan-rakan SPM 2010!

Hari Koperasi Sekolah Saya

Hari Koperasi Sekolah Saya

Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf kerana sudah sebulan lebih saya tidak mengemas kini blog saya ini. Kedua, saya juga ingin memohon maaf kerana saya sepatutnya menerbitkan posting ini lebih awal memandangkan saya menghadapi masalah untuk memuatkan gambar dalam posting ini.

Pada 3 Julai 2010 (Sabtu), sekolah saya telah menyambut Hari Koperasi di peringkat sekolah. Pada hari itu, kumpulan dari MAB dan beberapa orang bekas pelajar sekolah saya telah hadir untuk memeriahkan sambutan.

Sambutan pada hari itu dimulakan dengan majlis perhimpunan rasmi yang diadakan di gelanggang serba guna sekolah. Semasa perhimpunan rasmi itu, 3 perutusan sempena sambutan Hari Koperasi telah dibaca oleh 3 orang pelajar sekolah termasuk saya. Seterusnya, pengetua sekolah telah menyampaikan ucapan perasmian penutupan Minggu Koperasi yang diadakan dari 28 Jun 2010 sehingga hari ini. Selepas selesai perhimpunan, acara menanam pokok yang diketuai oleh pengetua sekolah telah berjalan lancar. Acara ini adalah sebagai simbol sambutan Hari Koperasi Sekolah.





Selepas itu, jualan pun dimulakan. Seperti tahun-tahun sebelumnya, setiap kelab permainan, persatuan dan badan beruniform perlu mengadakan jualan pada hari itu. Hasilnya, pelbagai jenis barang dijual pada hari itu. Antaranya termasuk makanan, minuman dan barang-barang lain. Kepelbagaian jenis jualan ini telah berperanan untuk memeriahkan sambutan pada hari itu.





Semasa jualan berlangsung, pertandingan iklan koperasi telah dijalankan. Peserta pertandingan iklan telah menyampaikan iklan mereka dengan baik dan iklan tersebut mempunyai keunikannya yang tersendiri. Ramai yang kelihatan bersorak selepas selesai setiap iklan yang disampaikan.

Sambutan turut dimeriahkan lagi dengan penglibatan Kelab DJ sekolah. Beberapa orang pelajar dan seorang guru telah bertindak sebagai DJ sepanjang tempoh jualan berlangsung. Pembacaan dedikasi yang telah dikirim dan memutarkan lagu pilihan telah dilakukan oleh DJ tersebut. Selain itu, mereka juga telah membantu mempromosikan barang-barang yang dijual oleh setiap kelab dan persatuan.

Selain itu, pertandingan karaoke juga menjadi sebahagian daripada acara sambutan pada hari itu. Guru-guru dan pelajar yang berminat telah menunjukkan bakat mereka dalam nyanyian.

Dengan usaha gigih dalam menjual dan bantuan daripada promosi DJ, jualan menjadi laris. Ada antara kelab yang telah menghabiskan jualan mereka sebelum tempoh jualan berakhir. Sebelum sambutan berakhir, penyampaian hadiah bagi pertandingan iklan dan pertandingan karaoke telah diadakan. Semua yang terlibat dengan jualan pada hari itu mengemaskan kembali peralatan dan membersihkan tapak jualan selepas jualan mereka selesai. Saya yang mendapat tahu bahawa air minuman yang dijual oleh Kelab ICT semuanya habis dijual berasa gembira dan berpuas hati.

Sambutan berakhir pada pukul 1.50 petang, iaitu mengikut waktu persekolahan memandangkan hari itu merupakan sekolah ganti. Berkat usaha daripada pelbagai pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, sambutan Hari Koperasi Sekolah berjalan lancar. Diharap objektif sambutan Hari Koperasi sekolah yang bertemakan “kreativiti dan inovasi memperkasakan koperasi sekolah” pada tahun ini akan menjadi kenyataan.

Followers