Esei Kemerdekaan 2009

PELAKSANAAN GAGASAN SATU MALAYSIA

Dalam era pasca kemerdekaan ini, negara sebenarnya menghadapi banyak cabaran. Cabaran utama yang terpaksa dihadapi oleh pemimpin-pemimpin negara ialah merancang langkah-langkah wajar bagi mengekalkan kemerdekaan yang telah dikecapi selama 52 tahun ini. Langkah-langkah ini adalah penting supaya negara kita tidak lagi dijajah oleh kuasa-kuasa asing seperti mana yang pernah berlaku sebelum kemerdekaan tercapai. Antara langkah-langkah awal yang perlu dipertimbangkan ialah langkah untuk memupuk semangat patriotisme dalam jiwa semua rakyat dan langkah untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia melalui semangat perpaduan yang kental. Jika usaha-usaha ini berjaya, Pasti kita mampu membentuk sebuah negara yang aman dan maju dengan adanya kerjasama daripada semua pihak.

Menyedari hakikat tersebut, Gagasan Satu Malaysia telah dilaksanakan dan dipilih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-52 pada tahun ini. Gagasan Satu Malaysia yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak ini menjanjikan keadilan kepada semua pihak, tanpa mengira agama dan kaum. Selain itu, kebajikan rakyat juga sentiasa diutamakan. Oleh itu, ia adalah sangat bertepatan dengan slogan “rakyat didahulukan pencapaian diutamakan”. Dengan jaminan tersebut, rakyat tidak akan berasa terpinggir apabila berada di dalam negara ini. Hal ini sangat penting kerana kerjasama yang padu daripada rakyat amat diperlukan bagi merealisasikan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan menjadi contoh kepada negara-negara lain di dunia. Dengan tercapainya matlamat tersebut, kita telah menyambung perjuangan pahlawan-pahlawan negara yang telah sanggup berkorban nyawa untuk menuntut kemerdekaan daripada pihak penjajah.

Dalam usaha untuk meyakinkan rakyat berkenaan pelaksanaan Gagasan Satu Malaysia, perdana menteri telah menggunakan saluran agama untuk menerangkan tujuan pelaksanaannya. Menurut beliau, pelaksanaan gagasan Satu Malaysia telah mepati ajaran Islam yang menuntut setiap umatnya berlaku adil sesama manusia, tanpa mengira agama dan kaum. Menurut beliau lagi, hal ini dapat dibuktikan dengan merujuk ayat kelapan dalam Surah Al-Maidah. Ayat ini menyarankan supaya kita sentiasa bertindak adil terhadap semua manusia dan janganlah kita menjadikan kebencian terhadap sesuatu kaum itu sebagai alasan untuk kita mengamalkan sikap berat sebelahh. Ayat ini juga telah menunjukkan kepada kita bahawa betapa pentingnya keadilan dalam sebuah masyarakat yang besar. Hal ini kerana keadilan mampu mewujudkan suasana yang aman dan harmoni dalam sesebuah negara.

Bagi memastikan matlamat pelaksanaan Gagasan Satu Malaysia tercapai, rakyat perlulah sedar akan tanggungjawab mereka kepada negara dengan memupuk semangat patriotisme yang tinggi dalam jiwa mereka . Semangat patriotisme atau dalam Bahasa Arabnya yang dikenali sebagai hubbu’l watan ialah rasa tanggungjawab dan cintakan negara. Erti semangat patriotisme ini perlu dihayati dan dipupuk bagi melahirkan rakyat yang bertanggungjawab untuk menyumbang ke arah pembangunan dan keamanan negara. Dengan cara ini, kerjasama daripada rakyat akan dapat diperoleh dengan mudah untuk menjayakan sebarang rancangan yang boleh membawa kebaikan kepada semua pihak.

Seterusnya, perpaduan antara rakyat berbilang kaum merupakan pra syarat utama dalam mewujudkan sebuah negara yang benar-benar aman. Sebelum semangat perpaduan ini dapat disemai ke dalam jiwa semua rakyat, mereka haruslah memahami dam menghayati erti perpaduan. Rakyat yang bersemangat perpaduan bukanlah sekadar tahu mengeja dan menyebut perkataan perpaduan sahaja, malah mereka perlu menghalusi maksud tersirat perpaduan dan sedar akan peranan dan kepentingannya dalam kehidupan bermasyarakat. Hal ini demikian kerana kita perlu sedar bahawa negara yang telah merdeka tidak semestinya bermakna semangat perpaduan telah tertanam dalam jiwa kita. Ia telah terbukti apabila berlakunya Tragedi 13 Mei pada tahun 1969 yang melibatkan perselisihan faham antara kaum-kaum di Malaysia. Kejadian yang tidak disangka-sangka ini telah menyampaikan satu mesej yang negatif kepada kita. Ia mencerminkan masyarakat yang masih tidak menghargai keharmonian yang dinikmati selepas negara kita merdeka. Bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang kembali, usaha-usaha untuk memupuk semangat perpaduan perlu dilipatgandakan lagi. Antara langkah yang telah diambil ialah dengan mengintegrasikan murid-murid berbilang kaum dalam sebuah sekolah. Dengan cara ini, murid-murid dapat menyesuaikan diri untuk bergaul dengan rakan-rakan mereka yang berlainan kaum. Langkah yang diambil ini mampu meningkatkan keberkesanannya untuk memupuk semangat perpaduan yang tinggi dalam diri murid-murid berkenaan. Penyemaian semangat perpaduan yang dilakukan dari awal ini juga membolihkan murid-murid belajar untuk menghormati budaya dan agama kaum lain. Langkah awal ini diambil kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, ternyata semangat perpaduan merupakan kunci keamanan dalam sesebuah negara.

Semoga pelaksanaan Gagasan Satu Malaysia dapat mencorakkan masa depan yang gemilang supaya dapat melahirkan sebuah negara yang terbilang. Jika gagasan ini dilaksanakan dengan sempurna, pasti semua rakyat akan berpuas hati dan akan terus memberikan sokongan padu kepada negara. Diharap Satu Malaysia yang telah dipilih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-52 ini mampu mengubah negara ke arah yang lebih baik.

Followers